Friday, September 6, 2024

LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN RAYA HAJI DAN IBADAH KORBAN 2024 (AL-KAUTHAR ’24)


LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN RAYA HAJI DAN IBADAH KORBAN 2024 (AL-KAUTHAR ’24)
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah & Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024

KAHERAH - Program Sambutan Raya Haji dan Ibadah Korban 2024 (AL-KAUTHAR ‘24) telah dianjurkan dengan bertemakan "Aidiladha, Pengorbanan Menuju Ketaatan” bermula pada 15 Jun 2024 bersamaan 9 Zulhijah 1445H sehingga 20 Jun 2024 bersamaan 14 Zulhijah 1445H. 

Program ini diadakan untuk meraikan hari perayaan yang tidak asing lagi bagi umat Islam di seluruh dunia umumnya serta menghidupkan suasana keramaian dalam kalangan anak-anak Perak agar menjiwai satiap pengorbanan yang dilakukan dan tidak dilupakan rasa kerinduan buat keluarga yang tercinta.

Objektif utama yang ingin dicapai adalah meraikan Sambutan Hari Raya Aidiladha bersama anak-anak Perak. Seterusnya, meningkatkan nilai thaqafah berkaitan ibadah korban dan haji . Objektif yang terakhir ialah mengeratkan tautan ukhuwah dalam kalangan anak Perak.

Pada malam 9 Zulhijah bersempena hari Arafah, peringkat program telah menyediakan Iftar Jamaie khusus buat anak-anak Perak. Tidak lengkap sesebuah program tanpa dihiasi dengan malam perutusan dan majlis perasmian. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada pengarah program AL-KAUTHAR ’24 iaitu Ustaz Muhammad Azib bin Azizan dan perutusan Aidiladha yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024, Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail. Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan perasmian yang telah disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Talhah bin Sharif selaku Anggota Lembaga Badan Penasihat KPKM sesi 2023/2024. Akhir sekali, majlis diserikan pula dengan gimik perasmian.

Pada keesokan harinya, pada tarikh 10 Zulhijah 1445H, 16 Jun 2024, anak-anak Perak telah menunaikan solat Aidiladha di sekitar Hayyu Sabik yang berhampiran dengan kediaman masing-masing seawal jam 5.30 pagi. Pada sebelah petang pula, pihak program telah mengadakan aktiviti Gotong Royong Perdana yang bertempat di Wisma Baitul Rahman, selepas itu, program membentangkan pelan tindakan kepada ahli KPIPM bagi bertujuan memberi pendedahan aktiviti yang akan dijalankan pada hari sembelihan diketuai oleh Ustaz Muhammad Safiuddin bin Shukri selaku Unit Sumbangan dan Sembelihan bagi melicinkan perjalanan pada hari sembelihan .

Pada hari Isnin, 17 Jun 2024 bersamaan 11 Zulhijah 1445H telah dijalankan aktiviti besar yang lazim dilaksanakan saban tahun di bawah program iaitu Hari Sembelihan dan Agihan. Sembelihan telah dilakukan oleh wakil yang akan menyembelih dan beberapa wakil  penggerak di peringkat KPIPM serta beberapa ahli KPIPM. Sembelihan tersebut telah dijalankan di kawasan penyembelihan di Suq Thamin manakala aktiviti menimbang, melapah dan  memotong daging telah dilaksanakan oleh ahli KPIPM di perkarangan Wisma Baitul Rahman. Aktiviti ini telah bermula jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengahari. Di sebelah petang pula, telah diadakan sesi agihan daging kepada wakil dan ahli-ahli KPIPM mengikut rumah sewa dan wisma. Setiap wakil rumah sewa diminta untuk mengambil daging di Baitul Rahman pada jam 3 petang. Bagi ahli yang tinggal di luar Hayyu Sabik, Unit Perhubungan dan Agihan telah menghantar daging kepada mereka.

Selepas solat asar bermulanya aktiviti merewang dan memasak daging hasil daripada sembelihan haiwan korban untuk disajikan buat anak-anak Perak dalam sebuah jamuan raya Aidiladha. Pihak program menyediakan sajian yang cukup menyelerakan kepada anak-anak Perak iaitu nasi, daging unta masak hitam, sup daging kambing, air asam, ayam masak merah dan air sirap.

Program diteruskan lagi dengan Majlis Penutup AL-KAUTHAR ’24. Dimulakan dengan Forum Zulhijah yang disampaikan oleh moderator dan barisan panel yang cukup hebat iaitu Ustaz Hafizuddin bin Taha selaku Unit Kesenian, Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 sebagai moderator, Ustaz Muhammad Umair bin Muhamad Zakuan selaku Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024 sebagai panel pertama dan Ustazah Sti Raudhotur Rahmah binti Ahmad Daud selaku Timbalan Setiausaha (Bendahari) HEWI KPIPM sesi 2023/2024 sebagai panel kedua. Kemudian diteruskan dengan ucapan penutup oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024, Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail dan Ustaz Muhammad Azib bin Azizan selaku Pengarah AL-KAUTHAR ‘24. Seterusnya, majlis telah dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah pertandingan kepada para pemenang dan disajikan dengan jamuan ringan.

Selepas selesainya Majlis Penutup AL-KAUTHAR ’24, maka berakhirlah Program Sambutan Raya Haji dan Ibadah Korban 2024 (AL-KAUTHAR ‘24). Alhamdulillah, program ini telah dijalankan selama seminggu dan berjalan dengan lancar. Semoga objektif yang telah dirancang ini dapat tercapai dengan sebaiknya. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan AL-KAUTHAR ‘24 secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah SWT membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Insya-Allah.
Sekian, terima kasih


" Aidiladha, Pengorbanan Menuju Ketaatan”.


#ALKAUTHAR24
#60TahunSetiaBersama
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Solihin bin Ahmad Azhari
Setiausaha (Promosi),
Program Sambutan Raya Haji dan Ibadah Korban 2024 (AL-KAUTHAR ‘24)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023.

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | JAULAH MATRUH & SIWA AKHAWAT SEMPENA SAMBUTAN JUBLI INTAN 60 TAHUN KPIPM SESI 2023/2024

LAPORAN | JAULAH MATRUH & SIWA AKHAWAT SEMPENA SAMBUTAN JUBLI INTAN 60 TAHUN KPIPM SESI 2023/2024 Keluarga Pelajar-pelajar I...