Tuesday, October 12, 2021

PENA AZHARI | SYURA DAN KEPENTINGANNYA


PENA AZHARI | SYURA DAN KEPENTINGANNYA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021

بسم الله الرحمن الرحيم

اَلْحَمْدُ لله الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالْهُدَى وَدِيْنِ الْحَـقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لَا اله إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله.اللهم صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أله وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ

Firman Allah S.W.T: 

وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.

-Surah Ash-Shura, Ayat 38

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah dan kurnianya dapat kita merasai dua nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam serta dua nikmat yang sering kita lupakan iaitu kesihatan dan masa lapang.

Syura dari sudut bahasa bermaksud meminta atau menuntut sesuatu pandangan dalam sesuatu perkara dan urusan. Manakala, dari sudut istilah pula berunding, berbincang, bermesyuarat dan bertukar pelbagai versi pandangan di antara kelompok tertentu dalam membincangkan sesuatu tajuk yang tertentu untuk mencapai pandangan yang tepat, lebih efisien, mencapai sasaran dan matlamat yang baik serta menghindari kesalahan atau kesilapan.

Seterusnya, syura juga merupakan satu dasar yang menyeru kepada penyelidikan, penyiasatan, dan pengkajian tentang kebenaran dan tepat. Syura juga membuka peluang untuk bersikap rasional dan bercanggah dengan sistem diktator atau kuku besi. Perkara ini mesti dititikberatkan oleh semua peringkat sama ada individu, organisasi, gerakan Islam dan pemimpin sesebuah negara.

Terdapat beberapa kepentingan dan tujuan syura dilaksanakan iaitu:

1. Berlemah lembut dan menyatukan hati-hati manusia serta menjadikan hati umat Islam lebih tenteram.

2. Menjadi ikutan dan contoh kepada orang-orang yang beriman sesudah daripada kewafatan Nabi S.A.W. 

3. Mempertimbangkan pandangan-pandangan kepada yang mendekatkan kepada kebenaran dan betul serta tidak cenderung kepada hawa nafsu.

4. Menyingkirkan pandangan orang yang keras kepala dengan pendapatnya dan tidak mahu menerima pendapat orang lain.

5. Syura medan penyelarasan dan keharmonian dalam melahirkan buah pemikiran yang bermutu tinggi dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

6. Tidak berlaku zalim kepada masyarakat dan orang sekeliling dalam menentukan sesuatu urusan berkaitan syura mengikut kesepadanan dan kemampuan yang berbeza.

7. Perisai dari terjerumus ke lautan penyesalan dengan mengambil kesimpulan pandangan yang benar.

Saidina Abu Hurairah R.A berkata, "Tidak pernah seorang pun yang aku lihat paling banyak melakukan musyawarah dengan para sahabat melainkan Nabi melakukan ia kepada para sahabat".

Justeru, terlalu banyak pengamalan dan pelaksanaan amali Nabi S.A.W yang boleh kita ambil iktibar untuk di aplikasi dalam kehidupan seharian seperti peristiwa Perang Ahzab di mana beberapa orang ketua Bani Nadhir datang ke Makkah mengajak dan mengapi-apikan Quraisy untuk memerangi Rasulullah SAW. Selepas itu, mereka pula mengajak Bani Fazzarah, Bani Murrah dan Asyjak dari Ghatafan dan menuju ke Madinah.

Apabila Baginda SAW mendengar kedatangan angkatan mereka, baginda SAW mengaturkan bermesyuarat dengan para sahabat. Maka, Salman al Farisi mencadangkan supaya Baginda SAW menggali parit di sekeliling kota Madinah yang mana pada akhirnya menatijahkan kemenangan yang besar kepada umat Islam.

Daripada tujuan syura dan sirah Nabi SAW dalam peperangan Ahzab, ada lima hikmah yang akan diperolehi apabila melaksanakan syura:

1. Keputusan yang akan diambil lebih sempurna berbanding tanpa musyawarah.

2. Setiap ahli mesyuarat akan merasai keterikatan terhadap keputusan musyawarah dan memiliki tanggungjawab untuk menggerakkannya secara bersama-sama.

3. Memperkukuhkan hubungan persaudaraan sesama muslim dan anggota jemaah yang harus saling kuat menguatkan.

4. Menghindari terjadinya dominasi majoriti dan tirani minoriti dalam musyawarah di mana hakikat pengambilan keputusan terletak kepada kebenaran.

5. Menjauhi hasutan, fitnah dan mengadu domba yang dapat memecah belah barisan perjuangan kaum muslimin.

Sementara itu, banyak kesan-kesan buruk akan berlaku apabila umat Islam meninggalkan syura seperti:

1. Kehilangan orang mukmin yang berpegang dengan sifat syura dan kehilangan sifat rakyat yang berpegang teguh dengan syura dan keputusannya.

2. Pemerintah mudah terjerumus ke kancah kesalahan dalam urusan pentadbiran dengan menindas dan menzalimi rakyat.

3. Mengundang kekecewaan perasaan dan hati rakyat dek kerana pemerintah menggunakan kuasa autokrat dalam pengurusan. Manakala, pendapat dan maslahah rakyat diabaikan dan di pandang sebelah mata sahaja.

4. Berlaku krisis antara pemimpin dan rakyat kerana pemimpin melakukan pengasingan kuasa secara pilih kasih dan rakyat akan mula menjauhi pemimpin.

Sahabat Azhari dan Azhariah sekalian, saban tahun KPIPM juga tidak terkecuali mengadakan syura atau Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) dan Majlis Tahunan HEWI (MTH) yang mana bukan semata-mata program dan acara tahunan bahkan menjadi suatu kewajipan untuk mendapatkan keputusan secara bersama dalam membawa bahtera yang besar sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam di sini.

Dengan ini diharapkan kepada semua anak-anak Perak di Mesir mengambil bahagian untuk mendaftar dan menyertai seterusnya menjayakan MAT dan MTH dengan memberikan buah pandangan dan fikiran supaya kesatuan ini dapat mengeluarkan suatu keputusan yang terbaik. 

Dalam pada itu, seruan juga buat ahli KPIPM untuk menyokong dan mendokong setiap aktiviti yang dianjurkan di bawah KPIPM pada sesi-sesi yang mendatang.

Jom sama-sama menjayakan program MAT-55 dan MTH-34.

والله أعلم.

"Syura Membentuk Legasi Berkaliber"

#MAT55MTH34
#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MENURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Nukilan daripada :
Ustaz Ahmad Amjad Fawwaz bin Ahmad Jazman
Unit Operasi Badan Hisbah, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...