Wednesday, September 18, 2024

LAPORAN | JAULAH MATRUH & SIWA AKHAWAT SEMPENA SAMBUTAN JUBLI INTAN 60 TAHUN KPIPM SESI 2023/2024



LAPORAN | JAULAH MATRUH & SIWA AKHAWAT SEMPENA SAMBUTAN JUBLI INTAN 60 TAHUN KPIPM SESI 2023/2024
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024

KAHERAH - 13, 14 & 15 Julai 2024, bersempena cuti semester penggal kedua Universiti Al-Azhar, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan Jaulah Matruh & Siwa sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun KPIPM khusus bagi ahli akhawat.

Sedikit laporan berkaitan tentatif perjalanan program pada hari pertama. Seawal jam 10 malam, semua peserta diminta berkumpul di Dewan Syeikh Sya'rawi, Wisma Baitul Rahman bagi semakan nama pendaftaran, beserta solat sunat Musafir secara berjemaah.Bilangan keseluruhan peserta jaulah ini seramai 32 orang termasuk penggerak, Musyrif Mutazawijin dan Musyrif AJKT.  Pada jam 12 malam, bas mula bertolak ke tempat yang dituju.

Pada jam 5 pagi, bas berhenti sebentar di perhentian R&R bagi memberi laluan kepada peserta untuk menunaikan solat fardu Subuh. Kemudian, meneruskan perjalanan dan para peserta menikmati pemandangan sepanjang perjalanan. Seterusnya di sepanjang perjalanan, Unit Pengisian dan Cenderahati telah mengadakan aktiviti perasmian Jaulah Matruh & Siwa yang telah dimulai dengan ucapan Pengarah iaitu Ustazah Norhafizah binti Ahmad Zanuri dan disempurnakan dengan ucapan Perasmi oleh Ketua Hewi KPIPM , Ustazah Iffah Zulaikha binti Arif Iskandar.

Seterusnya, para peserta diberikan sarapan pagi beserta beberapa pengisian iaitu sesi taaruf peserta dari peserta dan penerangan awal berkaitan lokasi jaulah yang bakal diziarahi oleh Ustazah Humaira' binti Mohd Hatta selaku Musyrifah Pemerangan.

Alhamdulillah sejurus tiba di Marsa Matruh pada jam 9 pagi, para peserta menziarahi destinasi yang pertama iaitu Hammam Cleopatra dan mengadakan sesi tangkap gambar untuk kenangan. Sedikit penerangan berkaitan destinasi tersebut, peserta dapat melihat batu besar yang terdapat lubang dimana air laut boleh masuk dan keluar tatkala ombak datang membadai, dan dikatakan disitu antara tempat mandi puteri Cleopatra.

Kemudian, diteruskan lagi dengan bergerak ke destinasi yang kedua iaitu Pantai Ajibah. Ia dianggap sebagai pantai yang tercantik di Mesir dengan pelbagai jenis warna biru yang berbeza pada air lautnya dan pemandangan yang cantik dan memukau para pengunjung yang melihatnya. Dikatakan pantai ini mempunyai 7 warna air laut yang berbeza saat tenggelamnya matahari. Para peserta melakukan aktiviti bebas iaitu bergambar dan bersiar-siar disekitar pantai tersebut.

Seusai itu, perjalanan diteruskan lagi dengan melawat Pantai Abyadh. Para peserta diberikan pengisian yang menarik dan aktiviti ukhuwah antaranya bergambar, mandi-manda, sedikit permainan ringkas dan makan tengahari. Kemudian, para peserta menunaikan solat jama’ taakhir zohor dan asar di masjid yang berdekatan sejurus selesai aktiviti di pantai.

Kemudian, jaulah ini diteruskan lagi dengan bermusafir ke tempat yang kedua iaitu Siwa  yang mengambil masa selama 6 jam jarak dari Marsa Matruh. Alhamdulillah, seluruh peserta selamat tiba di Siwa tanpa menghadapi sebarang permasalahan. Selepas itu, peserta dibahagikan penempatan, makan malam serta menyelesaikan solat jama’ taakhir di tempat penginapan masing-masing.

Keesokan paginya, perjalanan diteruskan ke Kota Siwa Lama yang juga dikenali sebagai Kota Sarang Semut. Para peserta diberi peluang untuk menaiki kota sarang semut tersebut dan dapat melihat pemandangan dari atas sekitar Siwa. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kolam Cleopatra. Jaulah diteruskan dengan bersiar-siar di kolam tersebut dan mendengar sejarah berkaitan destinasi tersebut dari Musyrifah Penerangan. Antaranya, kolam tersebut menjadi salah satu sumber air utama kepada masyarakat setempat sekitar Siwa dan pertanian di kawasan tersebut.

Seterusnya, perjalanan diteruskan lagi ke Jabal Dakrur dan bergambar di situ sebagai kenang-kenangan. Ia merupakan sebuah bukit yang besar yang mempunyai banyak sejarah tentang qabilah-qabilah disini. Sejurus selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Bahru Malah, sebuah tasik garam semulajadi yang cantik dan mempunyai keunikan tersendiri. Peserta diberi peluang untuk merasai pengalaman terapungkan diri dengan mandi-mandi disitu.  Dan kami kembali ke tempat penginapan untuk menunaikan solat jamak zohor dan asar serta makan tengahari.

Sebagai penutup pada hari yang kedua, peserta berpeluang mengikuti aktiviti Safari sejurus selesai menunaikan solat jama’ taqdim zohor dan asar. Antara aktiviti yang menarik ialah menelusuri padang pasir dengan menaiki jeep, melawat kawasan ***, minum teh serta melakukan aktiviti sandboarding. Alhamdulillah, aktiviti ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah dikalangan peserta dan melihat pemandangan semula jadi dan unik yang Allah ciptakan disini. Seusai maghrib, para peserta selamat kembali ke tempat penginapan dan makan malam yang disediakan oleh Unit Makanan. 
Pada malamnya, peserta berpeluang membeli cenderahati di sekitar Kota Siwa Lama sebelum kembali ke tempat penginapan untuk menunaikan solat dan  berehat.

Alhamdulillah pada hari ketiga,  kami meneruskan perjalanan yang terakhir iaitu pulang ke Marsa Matruh, sebelum keluar dari Siwa, kami telahpun singgah di jabal Maota untuk mengambil gambar dan diberikan sedikit penernagan dari Musyrifah penerangan. Seterusnya peserta diberikan peluang untuk membeli-belah di Souq Libya yang menjual pelbagai barangan, pakaian dan cenderahati sebagai kenangan sebelum pulang ke Kaherah. 

Dalam perjalanan pulang ke Kaherah, kami diberikan kesempatan untuk berhenti menunaikan solat jamak zohor dan asar serta makan tengahari di sebuah masjid. 

Sebelum sampai ke Kaherah, beberapa aktiviti telah dijalankan dibawah pengendalian Unit Pengisian iaitu acara tukar hadiah, dibawah pengendalian Unit Pendaftaran, Disiplin dan Keselamatan iaitu penyampaian hadiah kepada pemenang quiz, pemenang bagi aktiviti di pantai abyadh beserta cenderahati kepada Musyrif dan musyrifah Penerangan sebagai tanda penghargaan. Alhamdulillah, pada jam 12 malam, bas pun selamat tiba ke kawasan mahkamah Sabik, Kaherah. 

Akhir sekali, besarlah harapan diperingkat program agar para peserta dapat menjayakan Jaulah Matruh & Siwa, bersempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun KPIPM dapat mengeratkan ukhuwah sesama peserta dan memahami sejarah disebalik destinasi yang dikunjungi.

“Sejarah Dihayati, KPIPM Di Hati”

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh :
Amni A'rifah binti Ahmad Mokhlis
Setiausaha (Unit Cenderahati), Jaulah Matruh & Siwa, sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun KPIPM sesi 2023/2024
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...