MINDA PIMPINAN | KESATUAN LAMBANG KEUTUHAN
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021
Firman Allah SWT :
إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku).
[Surah Al-Anbiya’ : Ayat 92]
Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya : Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.
Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi
(1847), al-Nasa'ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadis ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah : Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud : Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.
Beliau berkata lagi : Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (10/439).
Sahabat-sahabat sekalian,
Menjadi tanggungjawab ke atas umat Islam untuk beriltizam (berpegang teguh) dengan agama mereka yang menghilangkan sebarang bentuk pemisah sesama manusia. Serta (agama) mengabaikan semua jenis pembahagian dan pembezaan yang terbina atas asas warna kulit, perbezaan bahasa, mahupun keturunan.Umat islam juga perlu sentiasa berwaspada akan hilangnya semangat ijtima’ (kesatuan dan kesepakatan) sesama kebanyakan umat Islam. Serta wujudnya sebahagian unsur-unsur negatif dari sudut perpecahan dan juga perbalahan.
Realiti sebenar perpaduan ummah pada hari ini sangat menyedihkan, mengecewakan dan memalukan ibarat bagai kaca terhempas ke batu. Perpecahan ummah di seluruh dunia berada pada tahap yang sangat kritikal dan kronik. Oleh sebab itulah, umat Islam dipandang hina, rendah dan mundur. Sewajarnya kita mengambil kecaknaan dan keprihatinan bersungguh-sungguh agar sifat berpecah belah yang menjadi virus dalam masyarakat dapat dihapuskan dengan digantikan sebuah masyarakat yang mempunyai kasih sayang dan membina tamadun baru melayakkan untuk meraih Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.
Mahasiswa/wi yang dirahmati Allah SWT,
KPIPM yang telah ditubuhkan pada tahun 1964 dibawah kepimpinan Ustaz Ahmad Jais. Kesatuan ini berusaha sedaya upaya meningkatkan kefahaman ahli bagi mengamati Islam secara syumul melalui penekanan menitikberatkan segala perintah Allah dan Rasul-Nya serta menggerakkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar sebagaimana firman Allah SWT :
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.
[Surah Ali Imran : Ayat 104 ]
Selain itu, KPIPM juga merupakan satu persatuan yang sudah lama terbina atas dasar dan konsep amal islami ini bukanlah persatuan yang hanya mementingkan kepentingan peribadi semata-mata, bahkan berkonsepkan kekeluargaan yang sangat menitikberatkan kebajikan anak-anak Perak yang menuntut ilmu di bumi Mesir, sama ada bidang Pengajian Islam atau Pengajian Sains Kesihatan. Hubungan yang terjalin ini secara sedar ibarat ukhuwah yang terbina atas dasar Islam amatlah penting bagi menyebarkan dakwah Islamiah itu sendiri.
Sahabat-sahabat sekalian,
Sudah terang lagi bersuluh, persatuan ini adalah amanah daripada Allah SWT. Jagalah ia sebagaimana perintah untuk ummah bersatu padu dan berpegang teguh pada tali Allah seperti firman-Nya, “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai. Dengan itu, sifat thabat dalam diri seorang ahli atau orang bawahan perlu disemat dan ditanam dengan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada keputusan pimpinan dan turut melaksanakan keputusan itu. Sebagai golongan atasan pula perlulah sentiasa menegakkan masyarakat Islam walau terpaksa menempuh 1001 dugaan dan cabaran.
Akhir sekali, KPIPM merupakan satu tunjang dan pasak utama untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan anak-anak Perak di bumi Mesir ini. Tidaklah KPIPM ini hanya tertumpu kepada aspek ukhuwah atau akademik semata-mata, bahkan lebih luas lagi iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan seorang muslim. Usaha dalam menjaga kesatuan ini telah lama dilakukan sejak dari generasi terdahulu sehingga generasi hari ini. Hal ini jelas, apabila kita lihat dalam matan usul YDP KPIPM sesi 2020/2021 iaitu “Mengoptimumkan peranan KPIPM sebagai persatuan induk anak-anak Perak dengan memperkasakan kebajikan dan sumber tenaga” dan Pembawaan KPIPM sesi 2020/2021 yang kelima iaitu “Menjadikan KPIPM sebagai wadah kesatuan yang bercirikan kekeluargaan bagi memperkasakan ukhuwah Islamiah”.
Justeru itu, harapan saya kepada seluruh mahasiswa/wi Islam Perak di Mesir khususnya, kita selaku umat Islam yang mendasari Al-Quran dan As-Sunnah haruslah berada di dalam kesatuan Islam yang syumul. Kesatuan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan menyakini tuhan yang maha esa. Teruskanlah berjuang demi kepentingan agama. Malulah dengan diri sendiri jika dibandingkan dengan anak-anak muda di gaza sana. Perjuangan mereka baru bermula dan ini bermakna perjuangan kita juga belum berakhir.
#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"
Nukilan daripada :
AMRU BIN ABDUL SAMAT
Ketua Biro Perumahan KPIPM sesi 2020/2021
No comments:
Post a Comment