Wednesday, December 23, 2015

BAGAIMANA RASULULLAH SAW MENYEMPURNAKAN AKHLAK YANG MULIA


BAGAIMANA RASULULLAH ﷺ MENYEMPURNAKAN AKHLAK YANG MULIA?

     Ramai orang menganggap akhlak yang baik, cantik, molek, mulia itu hanya dispesifikkan kepada berapa akhlak yang dipandang baik dan sejuk di pandangan orang lain. Seperti penyayang, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Namun kita tidak menerokai kesemua akhlak yang mulia di sisi Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran Al-Karim.

     Rasulullah ﷺ adalah role model utama kepada umat Islam yang mempunyai akhlak yang paling sempurna. Allah SWT memuji ketinggian akhlak Rasulullah ﷺ di dalam Al-Quran :

                                                                (وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ)
"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia."

[Surat Al-Qalam : 4]

     Para Nabi-nabi yang sebelumnya juga disifatkan dengan sifat-sifat akhlak yang terpuji, tetapi mengapa Allah SWT menggunakan kalimah 'azim satu-satunya kepada Nabi Muhammad ﷺ? Apakah rahsia disebaliknya?

     Perkataan 'azim menunjukan kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda. Bukan sahaja sempurna dengan sifat penyayang, pemurah, pemaaf , lemah lembut dan sewaktu dengannya, akan tetapi Rasulullah ﷺ juga seorang yang berani, tegas dalam menegakkan hak, sanggup berkorban, amanah, setia dengan janji dan banyak lagi kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda.

     Segala apa yang disifatkan dalam Al-Quran merupakan akhlak Rasulullah ﷺ sepertimana apa yang disebut di dalam hadis apabila Saiditina Aisyah RA apabila ditanya tentang akhlak baginda :

ﻛَﺎﻥَ ﺧُﻠُﻘُﻪُ ﺍﻟْﻘُﺮْﺁﻥَ
“Akhlak beliau adalah Al-Quran."
[HR Ibn Baz]

     Umat Islam perlu juga mengetahui bahawasanya akhlak baginda Nabi Muhammad ﷺ adalah akhlak yang menyempurnakan akhlak manusia yang telah sedia ada. Kerana manusia itu secara fitrahnya mempunyai naluri dan akhlak asasi yang baik. Cuma ia tidak diacukan dengan acuan yang sebenar. Sabda Rasulullah ﷺ :

إنما بعثت لأتمم مكارم اﻷخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
[HR at-Thabrani]

     Secara asasnya, manusia itu sifatnya penyayang dan pemaaf. Namun jika menurut Islam penyayang dan penyabar itu apabila terpesong daripada dasar Islam, maka nilai akhlak tersebut akan tertolak.

     Seperti seseorang lelaki menyayangi wanita yang bukan mahram sehingga bisa mencetuskan perbuatan zina. Juga memaafkan kafir harbi yang memerangi orang Islam.

     Seperti contoh seruan Rasulullah ﷺ untuk merotan anak yang tidak solat apabila masuk umur 10 tahun. Apa yang digagaskan dalam undang-undang hak asasi manusia bahawa orang dewasa tidak dibenarkan mencederakan kanak-kanak secara hakikat menghakis kefahaman umat Islam terhadap seruan Rasulullah ini.

     Akhlak seorang ibu atau bapa perlu tegas dalam mendidik lebih-lebih lagi dalam menyeru ke arah dasar Islam kepada anaknya iaitu solat. Maka perkara itu menyempurnakannya, kerana akhlak yang tidak mulia apabila membiarkan anak tidak mendirikan solat yang merupakan tiang agama.

     Oleh sebab itu, dalam mencontohi Rasulullah ﷺ perlu kita ambil keseluruhan akhlak baginda. Bukan mengambil sebahagian akhlak yang mudah diadaptasi dan meninggalkan akhlak yang sukar untuk dilaksanakan.

Moga-moga kecintaan kita pada Rasulullah ﷺ semakin menebal pada bulan "Maulidur Rasul" ini. Wallahua’lam.


Amar Arif bin Ahmad Po'aad
Mantan Timb. Yang Dipertua KPIPM sesi 2012/2013

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...