Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah SWT tuhan
sekalian alam, DIA-lah yang telah mengurniakan kepada kita dua nikmat terbesar
dalam kehidupan iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam dipanjatkan
kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah menginfaqkan seluruh
kehidupannya untuk meninggikan dan memperkasakan agama Allah SWT. Tidak
dilupakan juga, kepada para sahabat Nabi dan insan-insan yang meniti jalan
dakwah dan jejak langkah mereka di sepanjang zaman.
Firman Allah SWT:
"Allah SWT
tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Ia
mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari
kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): " Ya tuhan kami, jangan
Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada
orang-orang yang sebelum kami. Ya tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada
kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Berilah kemaafan kepada kami,
ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah
kami terhadap kaum yang kafir." - (Al Baqarah: 286).
Islam merupakan agama yang syumul
meliputi segenap aspek dalam kehidupan sama ada dari sudut pendidikan,
kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain. Allah SWT telah menciptakan
alam semesta dan melantik manusia
sebagai khalifah-Nya. Dari konotasi berikut, boleh difahami bahawa manusialah
yang selayaknya memikul dan menggalas amanah dalam merencana risalah dakwah
untuk disampaikan buat masyarakat pada hari ini. Melihat kepada pelbagai
masalah yang berlaku dewasa kini, tidak dapat tidak bagi setiap pencinta ilmu
agar melengkapkan diri dengan ilmu turathi dan kontemporari untuk menghadapi
rencam masyarakat pada masa akan datang. Bahkan tidak cukup setakat itu, hardskill
dan softskill juga perlu dikuasai.
Bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
" Katakanlah (wahai Muhammad): tiap-tiap seorang
beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri, maka tuhan kamu lebih mengetahui
siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya." – (Al-Isra’ : 84)
Lanjutan dari kefahaman berikut,
ilmu yang dituntut mestilah dipraktikkan dengan sebaiknya mengikut kemampuan
yang dimiliki. Ilmu yang dipelajari sewajarnya diterjemahkan dan dipraktikkan, KPIPM
adalah antara medium dan peluang terbaik bagi seluruh ahli untuk menterjemahkan
perkara tersebut.
Alhamdulillah, Mesyuarat Agung
Tahunan KPIPM kali ke-49 telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini, ahli KPIPM
telah sepakat dan sebulat suara akan menjayakan satu usul yang telah dibentang
dan diperbahaskan, iaitu ;
"Meningkatkan kualiti mahasiswa melalui penjanaan
sumber tenaga yang berkemahiran dalam pelbagai bidang."
Mesyuarat berlangsung dengan baik
dan lancar. Melihat kepada keterlibatan dan komitmen dari ahli KPIPM yang
prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM berharap agar sokongan dan
dokongan padu tersebut mampu dikekalkan.
Legasi kepimpinan sesi 2015/2016
akan berusaha untuk melaksanakan usul yang telah disepakati tersebut. Namun,
kebersamaan ahli dalam membumikan dan merealisasikan usul tersebut juga amatlah
diharapkan. Barisan kepimpinan sesi 2015/2016 juga ingin menekankan 5 item penting
yang menjadi pembawaan KPIPM iaitu:
Thaqafah : Meningkatkan penguasaan ilmu-ilmu asas
dan akademik dalam kalangan ahli.
Kemahiran
: Memperkasakan bidang pengurusan dan kemahiran untuk melahirkan tenaga mahir.
Ukhuwah : Menerapkan nilai sahsiah yang terpuji bagi
mengukuhkan ukhuwah islamiah.
Kebajikan : Mengutamakan kebajikan ahli dalam pelbagai
aspek serta mengukuhkan ekonomi KPIPM.
Fikrah : Memantapkan kefahaman Islam dalam
kalangan ahli mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.
Pihak kepimpinan pada sesi kali ini
menyeru kepada seluruh ahli KPIPM agar bersama-sama menjayakan kelima-lima item
tersebut bagi memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.
Semoga KPIPM terus utuh menjadi
wadah kesatuan Islam bagi anak-anak Perak di bumi Mesir ini. Didoakan agar
seluruh pejuang agama Allah SWT diberi ganjaran yang berlipatkali ganda di
dalam misi memburu redha Allah SWT ini.
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”
MOHAMMAD AINUDDIN BIN MOHD ISHAK
YANG DIPERTUA
KELUARGA PELAJAR-PELAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2015/2016