Sunday, January 6, 2013

Bacaan Hanya Untuk Peperiksaan??



Pendahuluan
Penurunan wahyu pertama Allah S.W.T kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W sudah jelas menggambarkan peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam permulaan sesuatu amalan atau pekerjaan hatta kepada misi kenabian itu sendiri. Apabila diperhatikan dalam sudut lain pula, wujud anjuran daripada Allah Taala supaya menambahkan ilmu pengetahuan dan Alllah akan melipatgandakannya. Dalam ayat lain S.W.T berfirman:

"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". ( Surah Taha, ayat 114)

Ibnu Qayyim Al-Jauziah Rahimahullah berkata:
“Cukuplah ayat ini menerangkan kemuliaan ilmu dan suruhan kepada nabiNya supaya menambahkan ilmu. Juga turut dikatakan, sesungguhnya Allah S.W.T tidak menyuruh para Rasulnya menambahkan sesuatu perkara kecuali dalam menambahkan ilmu. Sekiranya kita menyoroti perjalanan sirah-sirah Rasul terdahulu, wujudnya teladan dalam menuntut ilmu yang ditunjukkan oleh rasul-rasul sendiri, seperti yang dirakamkan dalam surah Al-Kahfi, kisah Nabi Musa A.S menuntut ilmu pengetahuan daripada Nabi Khaidir A.S.”

Nah, sekarang sudah jelas kepada kita akan kepentingan ilmu. Walaupun peperiksaan kita sudah bermula, jangan pula kita meninggalkan apa yang kita lakukan daya usaha kita dalam menuntut ilmu apabila peperiksaan sudah berakhir nanti. Banyak lagi yang kita tidak tahu kan?? Ataupun sahabat-sahabat dah merasa hebat dan mantap dengan tahap ilmu yang diperolehi sekarang? Tanyalah diri masing-masing. Nilailah dengan iman dan akal fikiran yang telah Allah S.W.T kurniakan. Marilah kita ambil iktibar daripada beberapa kisah ulama-ulama terbilang kita dalam usaha dan kesungguhan mereka dengan ilmu.

Kisah Ulama-Ulama Terbilang

1) Kisah pertama:
Suatu hari Ibnu Taimiyyah Rahimahullah terlantar sakit tenat lalu berkata seorang tabib kepadanya:

“Sesungguhnya ulangkajimu dan bacaanmu yang terlampau akan menambahkan sakit kamu,” maka Ibnu Taimiyyah Rahimahullah menjawab: “Sesungguhnya aku tidak boleh sabar dengan ilmu, dan aku mahu bertanyakan satu perkara kepadamu, berdasarkan kepada ilmu kamu, bukankah sakit seseorang akan berkurag apabila hati berasa senang dan gembira?? Jawab tabib tersebut: “Ya, bahkan benar sekali.” Lalu Ibnu Taimiyyah menjawab: “ Maka aku berasa senang dan gembira dengan ilmu.”

2) Kisah kedua:
Berkata Abu Syaamah Al-Maqdisi menceritakan mengenai Al-Hafiz Abdul Ghani Al-Maqdisi: “Sesungguhnya matanya telah kabur dan tidak jelas disebabkan terlalu banyak membaca dan menangis. Tidak ada orang setanding beliau dalam ilmu hadis pada zamannya.

3) Kisah ketiga:
Dikatakan bahawa Ibnu Mubarak Radhiallahu ‘ anhu tidak banyak bergaul dengan orang ramai maka ditanyakan kepadanya: “Kenapakah kamu selalu sendirian di rumahmu??” Beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak bersendirian sedangkan Baginda Nabi S.A.W dan para sahabatnya berada dirumahku.”(iaitu kitab-kitab dan tulisan ilmu)

Kisah-kisah Bacaan Para Ulama’


1) Khatib Baghdadi Rahimahullah membaca kitab Sahih Bukhari dalam 3 kali majlis.
2) Al-Imam Al-‘Iz Abdul Salam rahimahullah membaca kitab Nihayatul Mathlab dalam masa 3 hari.

3) Imam Zahabi rahimahullah membaca sirah Ibnu Hisyam dalam 6 hari sahaja.

4) Al-Hafiz Al-Mizzi rahimahullah membaca Al-Mu’jam Al-Kabir dalam 60 majlis.

5) Al-Hafiz Zainuddin Al-Iraqi rahimahullah membaca Sahih Muslim dalam 6 majlis. Membaca kitab Al-Musnad dalam 30 majlis.

6) Imam Sirajuddin Bulqini rahimahullah membaca kitab feqah dalam semua masalah dalam sehari.

7) Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolani rahimahullah:
- membaca Sahih Bukhari dan Sunan Kubra dalam masa 10 majlis dan Sahih Muslim dalam 5 majlis.
- membaca Sunan Ibnu Majah dalam masa 10 majlis.
- membaca Al-Mu’jam As-soghir dalam masa 1 majlis.

Kesimpulan
Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan pengajian dan pembacaan kita sehari-hari tanpa sebarang ikatan peperiksaan ataupun sebagainya. Sekiranya ingin menjadi ulama’ maka perlu kita mengikut cara ulama’. Secara keseluruhnnya, tujuan kita menuntut ilmu hanyalah semata-maa mencari redha Allah S.W.T. Ikhlaskan kembali niat asal kita semua ke bumi Mesir ini. Moga kita semua di bawah inayah dan nusrah Allah S.W.T.

Muhamad Nizamuddin Bin Muhamad Sabri
Ketua Biro Pelajaran Dan Ilmiah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2012/2013

“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”
“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”




No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...