Saturday, October 27, 2012

Falsafah Haji Sebelum Kedatangan Islam dan Hikmah Pensyariatannya Dalam Islam




HAJI SEBELUM KEDATANGAN ISLAM 

Haji dari sudut bahasa Arab sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Mahmud Syaltut (salah seorang Syeikhul Azhar : 1958-1963 yang lalu) bermaksud : 

“Ziarah kepada sesuatu tempat yang dikhususkan bagi mengharapkan dekat dengan Tuhan yang disembah sebagai satu gambaran symbol pengibadatan yang dilakukan oleh sesuatu bangsa dan puak bagi membesarkan dan mensucikan Tuhan yang mereka sembah”.[1] 

Takrifan tersebut bersesuaian dengan apa yang pernah diamalkan oleh bangsa-bangsa ketamadunan umat lampau yang terputus daripada agama wahyu daripada Nabi-nabi yang diutuskan. Kita boleh dapati pada sejarah pengamalan masyarakat Mesir Kuno, Yunani, Rome, Parsi dan lain-lain dengan menjadikan sesuatu binaan, kerangka, tugu, kuil dan seumpamanya sebagai satu tempat kegamaan dan simbolik bagi mensucikan Tuhan-tuhan mereka. 

Setiap bangsa yang lampau mempunyai khayalan dan gambaran tersendiri untuk menyembah Tuhan-tuhan mereka sedangkan apa yang mereka sembah itu bukanlah bertepatan dengan kehendak wahyu Allah lalu mereka gambarkan simbolik-simbolik tertentu untuk mendekatkan diri mereka kepada Tuhan-tuhan yang mereka cipta sendiri. Akan tetapi secara lumrah dan fitrah setiap individu manusia merasakan naluri mereka memerlukan Tuhan untuk disembah.[2] 

Benarlah Firman Allah taala : 

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ 

“ Sekiranya kamu bertanya : Siapakah yang menciptakan langit dan bumi lalu mereka akan mengatakan Allah”. (Surah al-Ankabut : 61) 

Perkara tersebut berterusan sekian lama sehinggalah Allah mengutuskan seorang Nabi yang bernama Ibrahim a.s. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Ibrahim a.s. dengan memerintahkannya untuk membina Baitullah al-Haram (Ka’abah) di Mekah bagi semua manusia untuk tawaf dan membesarkan Allah. 

Firman Allah taala : 

وَإِذۡ بَوَّأۡنَا لِإِبۡرَٲهِيمَ مَكَانَ ٱلۡبَيۡتِ أَن لَّا تُشۡرِكۡ بِى شَيۡـًٔ۬ا وَطَهِّرۡ بَيۡتِىَ لِلطَّآٮِٕفِينَ وَٱلۡقَآٮِٕمِينَ وَٱلرُّڪَّعِ ٱلسُّجُودِ (٢٦) وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالاً۬ وَعَلَىٰ ڪُلِّ ضَامِر
ٍ۬ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ۬ (٢٧) 

“Dan ingatlah (ketika) Kami tempatkan Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan) : Janganlah engkau mempersekutukan Aku dengan apa-apa pun dan sucikanlah Rumah-Ku bagi orang yang bertawaf dan orang yang beribadah dan orang yang rukuk dan sujud. Dan serulah manusia untuk melaksanakan haji nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki atau menaiki setiap unta yang kurus, mereka datang daripada segenap penjuru dunia yang jauh”. (Surah al-Hajj : 26-27) 

Namun ada juga ulama yang berpendapat bahawa Baitullah al-Haram (Ka'abah) itu diasaskan oleh Nabi Adam a.s. sejak dahulu lagi sebagaimana pendapat para ulama mufassirin dan dinaqalkan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam kitabnya.[3] 

NABI MUHAMMAD S.A.W. MEMBERI NAFAS BARU KEPADA AGAMA NABI IBRAHIM A.S. DALAM PELAKSANAAAN IBADAT HAJI 

Antara doa Nabi Ibrahim a.s. supaya keturunannya dijauhkan daripada penyembahan berhala sebagaimana Firman Allah taala : 

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِيمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا ٱلۡبَلَدَ ءَامِنً۬ا 

وَٱجۡنُبۡنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعۡبُدَ ٱلۡأَصۡنَامَ  

"Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata ; Ya Tuhanku ! jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku darpada menyembah berhala-berhala". (Surah Ibrahim : 35) 

Lalu, pada 22 April 571 Masihi bersamaan dengan Tahun Gajah pada bulan Rabi’ul Awwal,[4] Allah taala telah membangkitkan seorang Rasul akhir zaman iaitu Saidina Muhammad bin Abdullah disebuah negeri Arab iaitu Makkah. 

Baginda dibangkitkan dengan membawa Islam yang suci sebagai memberi nafas baru di Tanah Arab ketika itu bagi menyempurnakan sekalian agama-agama wahyu yang lain melalui seruan kepada yang hak dan ibadah yang sahih hanya semata-mata kepada Allah taala. 

Firman Allah taala : 

قُلۡ إِنَّنِى هَدَٮٰنِى رَبِّىٓ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬ دِينً۬ا قِيَمً۬ا 

مِّلَّةَ إِبۡرَٲهِيمَ حَنِيفً۬ا‌ۚ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ 

“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Sesungguhnya Tuhanku telah memberiku petunjuk ke jalan yang lurus, agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus. Dia (Ibrahim) termasuk orang-orang musyrik”. (Surah al-An’am : 161) 

Begitulah pengutusan Rasulullah s.a.w. sebagai pelengkap kepada agama-agama yang sebelum daripadanya. Lalu konsep haji yang pernah dilaksanakan pada zaman Nabi Ibrahim a.s. telah diberi nafas baru oleh pengutusan Rasul akhir zaman dengan mengembalikan tujuan sebenar daripada pensyariatan Haji di Baitullah al-Haram (Ka’abah) iaitu menyembah Allah yang Esa. 

Ini kerana setalah lama wahyu terputus di Tanah Arab menyebabkan ramai orang-orang yang mengerjakan haji sebelum kedatangan Islam terpesong kaifiat dan cara mengerjakannya sehingga konsep pengibadatan kepada Allah telah bertukar kepada menyembah berhala dan binaan yang direka dengan tangan sendiri. 

Mereka juga salah menanggapi konsep ibadah kepada Allah dengan menyatakan Tuhan mempunyai anak perempuan, Tuhan mempunyai tiga kompenan dan lain-lain lagi pemikiran logikal akal yang telah menguasai diri. 

Firman Allah taala : 

أَفَرَءَيۡتُمُ ٱللَّـٰتَ وَٱلۡعُزَّىٰ . وَمَنَوٰةَ ٱلثَّالِثَةَ ٱلۡأُخۡرَىٰٓ 

"Maka apakah patut kamu (wahai orang-orang musyrik) menganggap al-Laata dan al-Uzza serta al-Manah yang ketiga, yang paling terkemudian (sebagai anak perempuan Tuhan)". (Surah al-Najm : 19-20) 

PENSYARIATAN HAJI DALAM ISLAM 

Pensyariatan haji dalam Islam bermula pada tahun ke-6 hijrah sebagaimana masyhur dikalangan para ulama.[5] Disisi hukum melaksnakan ibadat haji, setiap individu muslim yang mempunyai kemampuan samada lelaki atau perempuan diwajibkan hanya sekali sahaja untuk melaksanakan tuntutan ini kerana Rasulullah s.a.w. hanya menunaikan haji hanya sekali sahaja selama kehidupan hayatnya (pada Haji Wida’ pada tahun 9 Hijrah). 

Sabda Nabi s.a.w : 

“Sesiapa yang menunaikan haji sekali sahaja maka sesungguhnya dia telah menunaikan kewajipannya”. (Hadis Riwayat Tirmizi) 

KELEBIHAN HAJI DALAM ISLAM 
(ANTARA IMAN, JIHAD DAN HAJI) 

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda : 

عن أبي هريرة عن النبي (ص) قال : أفضل الأعمال الإيمان بالله ورسوله 

ثم جهاد في سبيل الله ثم حج مبرور 

“Sebaik-baik amalan adalah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian berjihad di jalan Allah, kemudian haji diterima (oleh Allah)”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Dalam hadis diatas, kita boleh bahagikan kepada tiga kategori amalan yang paling utama disisi Allah taala iaitu : 

1. Iman kepada Allah dan Rasul 

2. Berjihad di jalan Allah 

3. Haji yang diterima (mabrur) 

Bagi yang pertama, para ulama sepakat mengatakan bahawa keimanan kepada Allah dan Rasul merupakan nadi utama kepada akidah seseorang muslim. Tanpa akidah tersebut maka segala bentuk amal soleh yang lain tiada nilaiannya kerana beriman kepada Allah bermaksud : “mengakui dan membenarkan setiap apa yang disampaikan melalui Rasulullah s.a.w.”[6] 

Adapun antara “jihad dijalan Allah” dan “ibadat haji yang diterima Allah (mabrur)”, terdapat sedikit perbahasan dan persoalan dikalangan ulama pada memberi keutamaan dari sudut kelebihan dan kedudukannya disisi Islam. 

Ibn Rejab al-Hanbali ada menyatakan dalam kitabnya[7] : “Jihad lebih afdhal (utama) daripada haji kerana haji disyariatkan selepas daripada jihad, namun ada pendapat ulama lain yang menyatakan : Jihad pada awal Islam adalah fardhu ain, maka tiada kesangsian bahawa jihad lebih utama daripada haji, namun apabila jihad berada pada tingkatan fardhu kifayah manakala haji pula disyariatkan dalam bentuk fardhu ain maka haji pula yang menjadi lebih utama daripada jihad.” 

Bahkan bagi wanita, haji yang mabrur menjadi keutamaan amalan bahkan itulah jihad sebenar bagi mereka. Ini bertepatan sebagaimana daripada sebuah hadis daripada Sayyidatina Aisyah r.a. berkata : 

عن عائشة قالت : يارسول الله نرى الجهاد أفضل الأعمال أفلا تجاهد ؟ 

فقال : لكن أفضل الجهاد حج مبرور 

“Wahai Rasulullah ! Kami melihat bahawa jihad itu amalan paling mulia, adakah tidak kami boleh berjihad sama? Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda : Akan tetapi semulia-mulia jihad adalah haji yang mabrur (bagi wanita)”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari) 

HIKMAH DAN PENGAJARAN PENSYARIATAN HAJI 

Menurut Dr. Umar Hasyim dalam tulisannya[8], terdapat beberapa pengajaran asas yang dapat diambil daripada konsep pensyariatan haji melalui pelaksanaannya : 

1. Konsep persamaan (sama-taraf) antara hamba : Ia digambarkan melalui pemakaian kain ihram yang sama, samada yang kaya atau miskin, arab atau ‘ajam, pemimpin atau rakyat. Pemakaian kain ihram menggambarkan bahawa semua manusia adalah sama taraf melainkan mereka yang lebih taqwanya kepada Allah. 

Ianya juga untuk memperingatkan manusia kepada kematian dengan pemakaian kain kapan apabila mereka akan menemui Tuhan kelak disaat kematian dan hari akhirat. 

2. Pengisytiharan pegangan Tauhid kepada Allah taala : Ianya sebagaimana ucapan seruan “Labbaikallahumma labbaik” 

Maksud yang hendak disampaikan daripada seruan kalimah tersebut adalah supaya kita menyahut tugasan dakwah untuk meninggikan kalimah Allah taala dan membenamkan kekufuran serta kesyirikan dalam kehidupan bermasyarakat. 

3. Kembali kepada kehidupan asal manusia dan menjauhkan diri daripada kemewahan dunia serta perhiasannya : Ia menggalakkan manusia sentiasa bermuhasabah (menghitung) terhadap keadaan diri mereka yang sebenarnya tanpa menjadikan perbezaan antara sesame mereka berdasarkan kemewahan. 

Konsep haji mengajar kita kembali kepada kehidupan kita yang sebenar yang fakir disisi Allah taala. 

4. Kepentingan “mengikut” jejak langkah Rasulullah s.aw. : Apa yang dilakukan dalam pelaksanaan haji adalah semata-mata mengikut jejak langkah Baginda s.a.w. 

Ini dibenarkan lagi oleh kalam Saidina Umar al-Khattab apabila beliau berkata : “Sesungguhnya aku mengetahui bahawasanya kamu adalah semata-mata batu (hajar aswad) yang tidak akan memberikan manfaat dan mudarat, kalaulah aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu maka aku tidak akan menciummu”. 

5. Menggambarkan kekuatan sebenar kaum muslimin : Apabila seluruh umat Islam berkumpul pada satu kiblat yang sama (ka’abah), pada satu tempat yang sama (makkah), pada satu masa yang sama (Dzulhijjah) dan pada satu tujuan yang sama (haji), maka disitulah kita dapat lihat kekuatan sebenar kaum muslimin disleuruh pelosok dunia. 

Kita sebenarnya ramai dan mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu untuk mengoncang alam anda I kita bersatu. Kerana itulah pensyariatan haji bermaksud untuk menyatukan seluruh umat Islam dariapda apa-apa perselisihan dalam masalah furu’ dengan bersatu dalam persoalan usul (haji). 

6. Haji sebagai perhimpunan umat islam secara universal dan global : Semua umat islam dapat berkumpul walaupun daripada kaum dan bangsa yang berlainan, berbeza warna kulit dan rupa paras, berbeda tempat dan destinasi masing-masing namun haji menyatukan seluruh umat Islam. 

Samada daripada Barat dan Timur, Selatan dan utara, semua umat islam akan menjalankan satu bentuk ubudiyyah yang sama sebagai satu simbolik keagamaan dalam Islam bagi menyatukan umat Islam seluruhnya. 

Mereka akan berhimpun untuk menyeru keampunan daripada Allah taala daripada dosa-dosa, supaya diterima amal soleh hasil daripada penat lelah dan wang ringgit yang dikeluarkan, Itulah tujuan terbesar daripada perhimpunan agung ini untuk memurnikan lagi matlamat perjuangan mereka dalam kehidupan didunia ini. 

7. Tulus ikhlas dan mendekatkan diri seorang hamba kepada Tuhannya : Dalam pelaksanaan haji bermula daripada miqat sehinggalah kepada ibadat-ibadat seterusnya, ia menggambarkan tentang betapa seorang hamba sentiasa bermuraqabah kepada Allah dalam mencapai hakikat taqwa. 

Disinilah kita akan melihat seorang hamba akan bertungkus lumus bermunajat dan memasang penuh harapan kepada Allah agar diterima keikhlasan perjuangan murni mereka dalam melaksanakan tuntutan haji tersebut. 

Lalu semua umat Islam ketika itu akan sentiasa memperbaharui niat, menyucikan hati daripada lalai mengingati Allah, menjernih pemikiran daripada sibuk kepada pekerjaan dunia, mengasingkan diri dan tingkah laku daripada sesuatu maksiat dan kejahatan. 

Maka mereka akan merasakan kenikmatan dan ketenangan dalam pelaksanaan haji dan inilah keamanan yang disediakan oleh Allah kepada hambanya untuk mengecapinya dalam pelayaran mereka didunia sebelum berpindah ke negeri syurga yang lebih abadi selamanya sebagaimana Firman Allah : “Sesiapa yang memasukinya maka akan didapatinya keamanan”. 

Wallahu a’alam 

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar" 

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan" 

Disediakan oleh : 

MUHAMMAD ZUHAIRI BIN ZAINAL ABIDIN 

Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...