Tuesday, March 29, 2011

Mahasiswi Diacukan Pisau, Telefon Dirampas

Gambar hiasan

KAHERAH, 29 Mac - Seorang mahasiswi telah diacukan sebilah pisau ketika sedang menunggu kawannya di luar rumah sewa yang berdekatan dengan Kompleks Haiyyu A'syir pagi tadi.

Kejadian berlaku diantara jam 8.00 sehingga 8.30 pagi ketika beliau sedang menelefon kawannya dan telah didatangi dua orang lelaki asing yang berada tidak jauh dengannya.

Ketika dihubungi wakil pelajar tersebut, mangsa telah menyedari yang lelaki terbabit sedang memegang sebilah pisau dan apabila mangsa menjerit meminta tolong mereka terus mengacukan pisau kepadanya, mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan kemudian telefonnya dirampas. Mangsa kini dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Berikutan kejadian ini, HEWI PMRAM Pusat menasihatkan agar mahasiswi agar lebih berhati-hati ketika berada di dalam mahupun diluar rumah. Diingatkan juga mengikuti pekeliling keselamatan yang telah dikeluarkan sebelum ini.

hewipmram55.blogspot.com


Ops Pulang : Majlis Malam Kesyukuran

Assalamualaikum kepada seluruh warga KPIPM

KPIPM akan mengadakan Majlis Malam Kesyukuran pada 30 Mac 2011 ( Rabu) bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi,Wisma Darul Ridzuan A pada jam 5.00 petang.

Anda semua dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan majlis.

TENTATIF :

5.30 petang

Ketibaan Para Pelajar

Ketibaan Dif-Dif Kehormat

6.05 malam

Solat Maghrib Berjemaah

Bacaan Yasin dan Tahlil

Ucapan Tuan Haji Jamil bin Mat Kasa (Pengurus Besar Yayasan Perak)

7.30 malam

Solat Isya’ Berjemaah

Jamuan Makan

Bersurai

PERHATIAN : Senarai Penerbangan Kesepuluh (29 Mac)


Monday, March 28, 2011

Yang Dipertua KPIPM Selamat Tiba Bersama Trip Kesembilan

KAHERAH,27 Mac – Satu lagi penerbangan telah selamat sampai semalam di lapangan terbang Kaherah. Penerbangan tersebut membawa 105 orang anak Perak yang juga merupakan trip kesembilan.

Rombongan ini diketuai oleh Tuan Haji Jamil Mat Kasa,Pengurus Besar Yayasan Perak dan beberapa ahli rombongan bersama. Yang Dipertua KPIPM,saudara Khairul Ashraf Mohd Khir dan beberapa orang AJKT juga turut bersama di dalam penerbangan semalam.

Majlis Ramah Mesra bersama ahli rombongan diadakan setelah selesai solat Maghrib secara berjemaah di Dewan Syeikh Sya’rawi. Tuan Haji Jamil Mat Kasa telah berucap di dalam majlis tersebut dan telah memberikan beberapa nasihat dan amanat kepada seluruh pelajar yang hadir semalam.

Tuan Haji Jamil bin Mat Kasa ketika sedang berucap semalam

“Kami dari Yayasan Perak telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Perak bagi menguruskan urusan penghantaran pulang anak-anak Perak ke Mesir ini”. Ucap beliau. “Kami membawa harapan kerajaan negeri yang mengharapkan anak-anak Perak yang menamatkan pengajian di sini akan berbakti di tanah air kelak”. Harap beliau kepada seluruh yang hadir.

Turut berucap semalam Y.B Dato' Haji Mohd Tarmizi Bin Haji Idris yang juga merupakan wakil kerajaan Negeri Perak. “Kami diperingkat negeri juga sentiasa mengambilberat tentang keadaan anak-anak Perak di sini di dalam memastikan tahap pendidikan terjamin dan baik”.

Majlis yang ringkas tersebut berakhir kira-kira jam 7.50 malam dan diakhiri oleh pengerusi majlis. “Kami dari tuan rumah mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan Negeri Perak di atas usaha menghantar pulang anak-anak Perak semula ke Mesir”. Ucap pengerusi juga mewakili pihak persatuan semalam.

Saturday, March 26, 2011

Pekeliling Keselamatan Terkini Di Mesir


PEKELILING KESELAMATAN

1. Sila patuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

2. Sila patuhi arahan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang bermula jam 12 malam hingga 6 pagi. Namun, diminta untuk berada di dalam kediaman masing-masing selewat-lewatnya jam 10 malam.

3. Sentiasa membawa pasport dan pengenalan diri lain ketika keluar rumah, dan digalakkan membawa kad PMRAM bersama-sama.

4. Dilarang menyertai sebarang perhimpunan atau aktiviti yang berbaur politik.

5. Elakkan mengulas sebarang isu politik yang berlaku di Mesir dengan warga Arab tempatan.

6. Tidak digalakkan keluar seorang diri samada siswa atau siswi.

7. Pastikan kediaman dikunci rapi sebelum keluar.

8. Jangan terpedaya dengan dakwaan warga Arab tempatan sebagai “mabahis”.

9. Sebarang aktiviti PMRAM Cawangan, hendaklah diadakan di premis masing-masing, selepas merujuk kepada Lajnah Perancang PMRAM dan tidak dibenarkan dibuat di luar buat masa ini.

10. Sebarang masalah, boleh terus menghubungi nombor telefon Presiden PMRAM di talian +20113771841.

PERHATIAN : Senarai Penerbangan Kesembilan (26 Mac)




Thursday, March 24, 2011

Program Ehya Al-Jumaah Berjalan Seperti Biasa

KAHERAH,24 Mac – Program Ehya Al-Jumaah di Wisma Darul Ridzuan A telah berjalan seperti biasa maghrib tadi.

Program yang bermula dengan alunan burdah dan selawat kepada Nabi junjungan S.A.W telah menggamat suasana maghrib tadi. Sejurus itu,diteruskan dengan bacaan Yasin berjemaah yang dipimpin oleh saudara Fareez Izhar Zainuddin,Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM.

Setelah selesai bacaan Yasin,program diteruskan dengan mendengar tazkirah ringkas yang telah disampaikan oleh saudara Ibnu Abbas Azizuddin,Setiausaha Agung KPIPM.

“Kita perlu bersyukur dengan peluang yang Allah berikan kepada kita dengan dapat melihat sendiri keadaan sebenar masyarakat di tanah air”. Ucap beliau kepada hadirin dalam mengimbau pengalaman berada di Malaysia.

Ustaz Ibnu Abbas Azizuddin berceramah di Dewan Syeikh Sya'rawi

“Kita perlu menyiapkan diri dengan ilmu di dada bagi persediaan turun ke dalam lautan masyarakat di sana (Malaysia) untuk menyebarkan dakwah Islam”. Tambah beliau lagi.

Program Ehya Al-Jumaah akan bersambung pada keesokan paginya,iaitu selesai Solat Subuh esok.

Pertemuan Rasmi Bersama Pegawai Khas Exco Pendidikan Negeri



IPOH 24 MAC - Pengurusan dan perbincangan berkaitan dengan persatuan berjalan lancar. Pada hari ini, Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir bersama Pemangku Pengerusi Badan Penasihat, Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, telah mengadakan pertemuan dengan Bahagian Exco Pendidikan Negeri Perak.

Pada jam 10.30 pagi, pertemuan yang dijadualkan bersama YB Dato Zahir, Exco Pendidikan Negeri, telah diwakili oleh En. Aswanuddin, Pegawai Khas Exco Pendidikan. Beberapa perbincangan yang diketengahkan antaranya berkaitan dengan kursus persediaan untuk ke Mesir, tajaan negeri dan beberapa program KPIPM yang akan dilaksanakan.




Di kesempatan itu, Yang Dipertua sempat mengadakan pertemuan singkat bersama dengan En. Rashidi bin Ibrahim, Setiausaha Sulit Khas, Menteri Besar Perak.

Ustaz Khairul Asyraf berkata bahawa KPIPM akan berusaha untuk meningkatkan prestasi akademi mahasiswa dengan menjalinkan hubungan ini, iaitu Exco Pendidikan Negeri.

"KPIPM juga telah banyak mengadakan pertemuan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk) untuk usaha kecemerlangan mahasiswa ini" Katanya.

Beliau berharap agar perbincangan yang dilontarkan oleh pihak KPIPM dapat dipanjangkan ke dalam perbincangan Exco Kerajaan Negeri.

"Saya optimis dengan apa yang kita usahakan ini" Katanya lagi.



Trip Ketujuh Dan Kelapan Selamat Tiba

KAHERAH,23 Mac – Semalam menyaksikan ketibaan 2 trip penerbangan serentak di lapangan terbang Kaherah iaitu trip ketujuh dan kelapan.

Mereka yang selamat tiba di Terminal 1 dan Terminal 3 bagi penerbangan Etihad Air dan Oman Air semalam. Kedua-dua penerbangan selamat mendarat kira-kira jam 12.30 petang dan 2.40 petang.

“Kami berasa lega setelah sampai di Mesir hari ini”. Luahan seorang anak Perak ketiga selamat sampai di Wisma Darul Ridzuan A setelah menempuh perjalanan yang panjang.

Sedikit masa diluangkan bagi Majlis Ramah Mesra bersama rombongan pertama kerajaan Negeri Perak yang diketuai oleh Prof. Madya Datuk Dr. Sharifuddin Zainuddin. Dan rombongan kedua diketuai oleh Y.B Datuk Ahamad Pakeh Adam.

Seluruh anak Perak yang menetap di cawangan telah disediakan pengangkutan oleh pihak pengurusan pada sebelah malamnya.

“Kami berterima kasih kepada pihak persatuan (KPIPM) dan para sahabat yang membantu kami ketika tiba di lapangan terbang”. Ucap seorang anak Perak yang menetap di cawangan Zaqaziq itu.

Wednesday, March 23, 2011

Trip Keenam Tiba Semalam

Y.B Dato' Hasbullah Osman di Wisma Darul Ridzuan A semalam

KAHERAH,22 Mac – Trip penerbangan keenam selamat tiba di lapangan terbang Kaherah Terminal 1 semalam.

Penerbangan yang membawa 35 orang Perak itu selamat tiba kira-kira jam 12.30 petang semalam.

Setelah itu,mereka dibawa terus ke Wisma Darul Ridzuan A untuk jamuan makan. Dan diteruskan dengan Majlis Ramah Mesra bersama Y.B Dato’ Hasbullah bin Osman dan Ustaz Harith Fadhilah bin Abd Halim.

“Kami cukup menghargai jasa yang diberikan oleh kerajaan Negeri Perak di dalam menghantar pulang pelajar-pelajar ke bumi Mesir”. Ujar saudara Firdaus Aznan,Bendahari Kehormat KPIPM.

Ustaz Harith Fadhilah ketika berucap

“Pihak kami difahamkan penerbangan terakhir adalah pada 29 Mac ini”. Ujar saudara Mohammad Omar Adam,Timbalan Yang Dipertua KPIPM ketika mengulas perkembangan semasa penghantaran anak-anak Perak.


Tuesday, March 22, 2011

Trip Kelima Selamat Tiba

Tuan Haji Nasir Ismail ketika berucap semalam

KAHERAH,21 Mac – Penerbangan yang dijadualkan sampai pada 21.3.2011 semalam,telah selamat tiba di lapangan terbang Kaherah.

Mereka telah selamat mendarat pada jam 2.40 petang di Terminbal Ketibaan 3. Ketibaan mereka disambut oleh wakil AJKT KPIPM dan wakil PMRAM yang telah sedia di lapangan terbang.

Setelah itu,Majlis Ramah Mesra bersama Dato’ Sa’arani bin Mohamad dan Tuan Haji Nasir bin Ismail berlangsung di Wisma Darul Ridzuan A sebelum membenarkan para pelajar pulang ke muhafazah masing-masing.

Setiausaha Agung KPIPM,saudara Ibnu Abbas Azizuddin melahirkan rasa syukur dengan ketibaan teramai buat setakat ini. “Saya sangat bersyukur dengan ketibaan anak-anak Perak teramai jika dibandingkan sebelum-sebelum ini”. Ujar beliau ketika ditemuramah.

Ustaz Ibnu Abbas Azizuddin

Sunday, March 20, 2011

PERHATIAN : Senarai Penerbangan Kelapan (22 Mac)





Istiqamah Dalam Menuntut Ilmu Dan Berpersatuan - YDP


TAIPING, 21 MAC - Sesi pengajian di universiti-universiti di Mesir akan bermula tidak lama lagi. Tidak kurang, ada juga yang akan menduduki peperiksaan dalam tempoh yang terdekat ini.

Mengulas perkara ini, Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir mengingatkan kepada pelajar supaya bersungguh-sungguh dalam pengajian dan kuliah.

"Semangat untuk kembali menuntut ilmu di bumi Mesir ini harus wujud bagi melihat kesinambungan ilmu itu dapat diteruskan" Katanya.

"Sekiranya kita lihat, perjuangan menuntut ilmu ini adalah salah satu istiqamah yang perlu bagi seseorang mahasiswa. Mahasiswa bukanlah pelajar sekolah rendah, yang perlu diajar dengan disiplin terlebih dahulu, sebaliknya mahasiswa sepatutnya sudah mempunyai motivasi diri dan disiplin yang teguh" Katanya lagi.

"Dalam masa yang sama, mahasiswa juga tidak boleh mengabaikan KPIPM yang menjadi tonggak kesatuan mahasiswa di bumi Mesir ini. Kita jangan terkesan dengan pemikiran sekularisme yang membezakan di antara menuntut ilmu dan berpersatuan" Katanya lagi.

Beliau berkata lagi "Sekularisme akan menimbulkan jurang perbezaan ini supaya mahasiswa hanya tahu menuntut ilmu semata-mata tanpa cuba mengaplikasikannya di dalam kesatuan sesama mereka. Akhirnya mahasiswa akan berjuang seorang diri untuk menegakkan Islam, sedangkan Islam itu hanya tertegak dengan kumpulan"

"Saya berharap agar pengajian dan persatuan ini dapat diseimbangkan oleh semua anak-anak Perak di bumi Mesir" Katanya lagi mengakhiri temubual tersebut.

PERHATIAN : Senarai Penerbangan Ketujuh (22 Mac)


Trip Keempat Selamat Tiba Semalam


KAHERAH, 19 Mac – Penerbangan keempat telah selamat tiba di lapangan terbang terminal 3 semalam.

Penerbangan tersebut selamat sampai awal 20 minit dari jadual asal. Dan semua mereka tiba di Wisma Darul Ridzuan A kira-kira 12.30 tengahari semalam.

Selesai makan tengahari bersama, semua sempat bersama mendengar kalam-kalam semangat yang disampaikan oleh Y.B Sham bin Mat Sahat. Beliau juga hadir bersama penerbangan keempat ini.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Negeri Perak dan pihak yang membantu di atas keprihatinan dalam memastikan keselamatan anak-anak Perak di sini”. Ujar Timbalan Yang Dipertua, Ustaza Mohammad Omar bin Adam semalam.

PERHATIAN : Senarai Penerbangan Keenam (21 Mac)


PERHATIAN : Senarai Penerbangan Kelima (21 Mac)




Pejabat PMRAM Mula Beroperasi Seperti Biasa


Sumber : PMRAM.org

Setiausaha Agung PMRAM, Saudara Ahmad Taufiq Mohd Dahlan mengumumkan bahawasanya waktu operasi Pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir secara rasminya akan bermula pada hari ini iaitu Ahad, 20 Mac 2011 bersamaan dengan 15 Rabiul Akhir 1432H. Tempoh operasi pejabat PMRAM hanya akan bermula pada jam 1 petang hingga jam 5 petang setiap hari kecuali hari Jumaat.

Waktu tersebut dikeluarkan selepas melihat keadaan semasa negara Mesir yang masih kurang stabil selepas proses Revolusi 25 Januari tempoh hari. Pejabat PMRAM kembali dibuka untuk urusan selepas proses evakuasi besar-besaran yang dibuat oleh pihak kerajaan pusat atas dasar keselamatan rakyat Malaysia ketika Revolusi 25 Januari yang lalu.

Sebarang permasalahan tentang waktu urusan pejabat PMRAM, bolehlah terus menghubungi Setiausaha Agung PMRAM, Saudara Ahmad Taufiq Mohd Dahlan di talian +20107158769 atau +20148546165.

Saturday, March 19, 2011

Terima Kasih Kepada Semua Pihak Yang Terlibat - PMRAM


Sumber : PMRAM.org

KAHERAH, 18 Mac – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada mahasiswa/wi Malaysia di Mesir semasa isu demonstrasi rakyat Mesir pada 25 Januari yang lepas.

Pihak PMRAM juga melahirkan rasa bersyukur atas keprihatinan yang telah ditunjukkan oleh pihak kerajaan Malaysia yang telah membawa pulang lebih 9000 mahasiswa Malaysia yang menuntut di Mesir atas dasar menjaga keselamatan dan kebajikan mereka daripada bahaya ekoran tercetusnya demonstrasi di Mesir.

Bahkan juga kepada kerajaan-kerajaan negeri yang telah membiayai tiket penerbangan pulang ke Mesir bagi mahasiswa/wi Malaysia mengikut negeri masing-masing serta kebajikan yang telah diperuntukkan sepanjang keberadaan mahasiswa/wi di Malaysia dengan beberapa pengisian dan program yang bermanfaat.

“Selain itu, kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak ILMAM (Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir) yang telah banyak membantu PMRAM secara langsung di peringkat Malaysia dalam isu ini. Tidak lupa juga kepada kepada Lembaga Zakat di peringkat negeri serta beberapa badan-badan dan NGO yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak,” ujar Saudara Muhamad Zuhaili Saiman, Timbalan Presiden PMRAM yang kini berada di Mesir bersama beberapa Badan Pengurus yang lain.

Maklumat terkini yang diterima di peringkat PMRAM, penghantaran pulang mahasiswa/wi Malaysia ke Mesir sedang giat dilakukan seawal 5 Mac yang lalu yang dimulai oleh kerajaan negeri Kedah.

Melalui PMRAM Cawangan di setiap peringkat, PMRAM turut menghulurkan bantuan penuh bagi memastikan kedatangan mahasiswa/wi Malaysia yang sampai di Mesir terjaga dengan kerjasama baik daripada pihak pegawai negeri. Dijangka trip terakhir mahasiswa/wi yang akan tiba di Mesir adalam pada bulan April ini.

Berhati-hati Dengan Isu Keselamatan Dan Kes Kecurian - PMRAM


Sumber : PMRAM.org

KAHERAH, 19 Mac - Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman mengingatkan agar semua mahasiswa/wi Malaysia yang sudah berada di Mesir, agar berhati-hati dengan isu keselamatan berkaitan demonstrasi yang dilancarkan oleh rakyat Mesir pada 25 Januari yang lepas, serta kes kecurian yang berlaku.

Jelas beliau, sehingga kini demonstrasi secara aman masih lagi berlaku di beberapa tempat seperti Dataran Tahrir dan dijangka akan berlarutan. Selain itu, mahasiswa/wi Malaysia juga diingatkan agar tidak berada berhampiran dengan lokasi-lokasi yang berdekatan dengan Kompleks Kerajaan Mesir.

Tambah beliau, pihak PMRAM sering berhubung dengan pihak kedutaan mengenai isu keselamatan yang melibatkan rakyat Malaysia di Mesir bagi mendapatkan maklumat semasa.

Berkaitan kes kecurian, beliau meminta mana-mana mahasiswa/wi Malaysia yang baru sampai di Mesir agar memeriksa barang-barang peribadi yang ditinggalkan semasa pulang ke Malaysia sebelum ini. Hal ini berikutan kadar kecurian yang berlaku sejak berlakunya demonstrasi semakin meningkat.

"Kita meminta agar semua mahasiswa/wi Malaysia mengambil perhatian 2 isu besar sekarang ini iaitu isu keselamatan dan kes kecurian. Kita minta agar semua mahasiswa/wi Malaysa mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan bagi menjamin keselamatan mereka sepanjang keberadaan mereka di Mesir serta mengambil berat akan keselamatan barang-barang kepunyaan mereka," tegas beliau.

Justeru, semua mahasiswa/wi Malaysia bolehlah mendapatkan maklumat terkini dengan merujuk kepada web rasmi PMRAM di www.pmram.org , atau terus menghubungi nombor telefon Presiden PMRAM di talian +20113771841.

Bagi kes kecurian, mahasiswa/wi Malaysia diminta untuk terus melaporkan kepada Presiden PMRAM di talian +20113771841 atau Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan, Saudara Farkhan Md Zain di talian +20142900215

Friday, March 18, 2011

Trip Ketiga Disambut Dengan Majlis Ramah Mesra


Kaherah,17 Mac – Penerbangan ketiga yang selamat sampai petang semalam telah tiba di lapangan terbang Kaherah kira-kira jam 2.45 petang.

Penerbangan yang membawa seramai 57 0rang anak-anak Perak itu turut disertai oleh ahli rombongan dari kerajaan Negeri Perak yang diketuai oleh Y.B Cik Nolee Ashilin binti Dato’ Muhammed Radzi.

Manakala pihak KPIPM telah diwakili oleh Ustaz Ismail bin Nardin dan Ustazah Nor Azlina binti Idris.



Disebelah malam pula,selesai solat Maghrib, telah berlangsungnya Majlis Ramah Mesra bersama Exco Kerajaan Negeri Perak. Turut hadir bersama di dalam majlis tersebut, Y.B Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Perak.

“Kami daripada Kerajaan Negeri Perak sangat berharap agar seluruh anak-anak Perak di sini akan pulang ke tanah air dan terus berbakti kepada negara amnya dan kepada Negeri Perak khususnya” kata Y.B Dato’ Mohammad Zahir di dalam ucapannya malam semalam.

Di dalam majlis tersebut juga, pemberian sumbangan oleh kerajaan Negeri Perak kepada pelajar-pelajar Perak yang belum menerima wang saku sebanyak RM500.00 pada 5 Mac lalu.

Ustaz Mohammad Omar Adam, Timbalan Yang Dipertua KPIPM beserta barisan pimpinan mengucapkan terima kasih di atas kerjasama tersebut.


“Kami daripada pihak persatuan dan wakil anak-anak Perak di sini mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli rombongan yang hadir kerana sudi meluangkan masa dalam memastikan tahap keselamatan anak-anak Perak berada di dalam keadaan yang baik” Katanya ketika berucap di dalam majlis tersebut.

Hubungan Kerjasama Ini Perlu Diteruskan - YDP

Pimpinan KPIPM bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Dr. Syed Omar bin Syed Sharifuddin selepas mesyuarat bersama pimpinan KPIPM pada 1 Mac lalu.

TAIPING, 18 MAC - KPIPM yang telah ditubuhkan pada 1964 hampir mencecah umurnya selama 50 tahun. Kerjasama yang diadakan bersama pihak Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam telah tercatat di dalam sejarah KPIPM begitu banyak.

Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir ketika ditemubual menyatakan bahawa KPIPM sudah lama mencatat sejarah ini dengan begitu gemilang.

"Antaranya ialah, KPIPM adalah Badan Kebajikan Anak Negeri yang pertama ditubuhkan di bumi Mesir, iaitu pada 1964" Katanya.

"Antara kenangan agung KPIPM ialah menerima kunjungan Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada tahun 2000" Katanya lagi

Selain itu, KPIPM telah mendapat kemudahan 2 buah bangunan. Bangunan Wisma A telah diusahakan oleh pimpinan KPIPM yang diketuai oleh Dato Syeikh Mohd Nor Mansur al Hafiz ketika itu memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Perak Kaherah (KPPK).

"Wisma A telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak ketika itu, Dato’ Seri Haji Wan Mohamad Wan Teh, pada tanggal 1 Julai 1981" Katanya

"Manakala Wisma B pula telah bermula usaha oleh pimpinan KPIPM untuk mendapatkannya seawal 2004/2005 lagi, dan akhirnya ia berjaya diselesaikan pada sesi 2008/2009, di bawah pimpinan Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, YDP KPIPM ketika itu" Katanya lagi.

Beliau berkata "Ia telah dirasmikan oleh Mufti Perak, Dato Seri Harussani Zakaria yang telah berkunjung ke KPIPM bersama Kerajaan Negeri Perak ketika itu"


Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir

Beliau berkata lagi "Pada saya, Ops Piramid juga merupakan sejarah ulung KPIPM apabila bekerjasama secara langsung dengan Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dalam memberi kebajikan kepada mahasiswa"

"Usaha yang dilakukan oleh KPIPM ini bukanlah hanya diletakkan di atas bahu pimpinan semata-mata, sebaliknya ia perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak, terutamanya ahli KPIPM sendiri" Katanya

"Nama keluarga yang digunakan di dalam Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir bukanlah hanya tertera pada nama sahaja, sebaliknya semua ahli KPIPM perlu merasai bahawa mereka itu adalah sebuah keluarga yang mempunyai hampir 700 ahli keluarga" Katanya lagi

Beliau berharap agar kerjasama sesama ahli, pimpinan KPIPM, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam dapat digarapkan, dan diteruskan.

"Janganlah kita hanya berkeluarga apabila memerlukan sahaja, sebaliknya berfikirlah untuk memberi. KPIPM memerlukan orang yang memberi.." Katanya mengakhiri temubual tersebut.

Selamat Kembali Ke Bumi Mesir - PMRAM


Sumber : PMRAM.org

PMRAM mengucapkan selamat kembali ke bumi anbiya' kepada seluruh mahasiswa Islam Mesir yang telah pulang ke Malaysia dalam Operasi Piramid baru-baru ini.

Ops Piramid bertujuan membawa pulang rakyat Malaysia yang menuntut atau menetap di Mesir. Operasi ini dilaksanakan bertujuan untuk mengelak sebarang kecelakaan berlaku kepada rakyat Malaysia disebabkan ketidakstabilan yang berlaku di Mesir.

Penghantaran semula pelajar ke Mesir pada bulan Mac dan April ini dijangka akan lebih ramai lagi setelah keadaan politik di Mesir kembali tenang dan stabil setelah pengunduran Presiden Mesir.

Ketika ini, beberapa buah kerajaan negeri telah menguruskan penghantaran kembali pelajar-pelajar ke Mesir. Pelajar juga diingatkan agar sentiasa merujuk kepada kerajaan negeri masing-masing dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Negeri untuk memudahkan sebarang urusan penghantaran.

PMRAM sekali lagi mengucapkan selamat meneruskan pengajian dan berjuang di bumi Mesir

Thursday, March 17, 2011

Tahniah Kepada Anak-anak Perak Yang Melangsungkan Perkahwinan - YDP


PARIT BUNTAR, 17 MAC - Pada jam 10 pagi tadi bermula majlis Akad Nikah Presiden PMRAM, Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime dan Ustazah Hurriyyah binti Abdul Mokti.

Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir yang turut hadir pada majlis tersebut mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut.



Beliau juga mewakili anak-anak Perak, khususnya barisan pimpinan KPIPM mengucapkan tahniah kepada beberapa pasangan lagi anak Perak yang sudah berkahwin, dan akan berkahwin, antaranya Mohd Afifi Abd Rahman, Muhammad Sayuti, Nurul Izzah Abdullah dan Masyitah binti Jaafar.

Di kesempatan itu, YDP bersama beberapa ahli KPIPM sempat menziarahi Ustaz Abdul Mokti, ayah kepada Ustazah Hurriyyah yang sedang mengalami sakit. Beliau antara individu yang banyak membantu dalam menjayakan Program Kem Remaja Luqman, hasil kerjasama KPIPM bersama Pejabat Pentadbiran Agama Daerah Gerik dan Pengkalan Hulu, pada akhir 2009 (berita di sini)



Dalam pada itu, Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, Pengerusi Unit Bait Muslim KPIPM, menyatakan bahawa di dalam tempoh terdekat ini, KPIPM meraikan 4 pasangan yang mendirikan rumahtangga.

"Antaranya Mohd Afifi bin Abd Rahman bersama Nurul Akmal binti Syed Ahmad Shah yang telah melangsungkan walimatul urus pada 13 Mac lalu di rumah perempuan dan 19 Mac nanti di rumah lelaki" Katanya.

Mohd Afifi bin Abd Rahman


"Pasangan Ustaz Shahrizan dan Hurriyyah melangsungkan walimatul urus pada hari ini di rumah perempuan, dan 20 Mac di rumah lelaki di Kedah" Katanya lagi.

"Pasangan seterusnya ialah Muhammad Sayuti bin Mohammad Zawahib dan Nurul Izzah binti Abdullah yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 2 dan 3 April ini" Katanya lagi.

"Pasangan Farizal bin Abdul Aziz dan Masyitah binti Jaafar pula akan mengadakan walimatul urus di rumahnya pada 3 April ini" Katanya mengakhiri perbualan.

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...