Friday, September 10, 2010

Ucapan Perutusan Hari Raya AidilFitri YDP KPIPM 2010/2011


Assalamualaikum

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.


( ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون )


“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.”

(Surah Al Baqarah : 185)


Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Allah S.W.T yang amat menyantuni kehidupan kita dengan rahmat dan kasih sayangnya yang tiada bernoktah. Perginya Ramadhan bukanlah bermakna berakhir sudah bulan untuk kita terus mendampingi Allah. Malah kehadiran Syawal adalah tanda-tanda betapa hampirnya kita kepada jalan menemui Allah.


Rasulullah S.A.W ketika menyambut Syawal telah membacakan Surah Al-Qaf dalam raka’at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka’at kedua solat Aidilfitri baginda. Adalah satu kehairanan bagi para sahabat baginda dan kita hari ini, kerana kedua-dua surah ini menceritakan tentang peristiwa hari kiamat itu dibacakan pada hari paling gembira buat umat Islam.


Namun disana Rasulullah mahu supaya kita tidak lupa diri dan sentiasa mengingati bahawa Hari Raya adalah hari yang paling hampir untuk kita menemui Allah. Keriuhan hari raya seharusnya digamatkan dengan takbir dan laungan selawat serta mempereratkan ikatan ukhuwah antara semua insan khususnya ahli KPIPM. Janganlah hari raya digamatkan dengan perkara-perkara atau aktiviti-aktiviti yang tidak bermanfaat untuk jiwa kita khususnya kalangan penuntut ilmu agama Allah dan pemegang amanah panji-panji Islam kelak.


Peristiwa kiamat dibacakan supaya kita tidak lupa, bahawa ada lagi peristiwa yang lebih besar untuk kita lalui selain hari raya dan Ramadhan. Dengan itu hati-hatilah kita tidak akan lalai untuk menghabiskan percutian raya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.


Barisan Pimpinan Keluarga Pelajar-Pelajar Perak Mesir KPIPM (PMRAM Cawangan Perak) berharap agar Aidilfitri tahun ini menjadi batu loncatan untuk umat Islam memahami tuntutan sebenar Islam yang bukan sahaja sebagai agama untuk beraya, tetapi ianya harus dilihat dari seluruh ruang lingkup kehidupan.


Jangan kuncikan Islam itu hanya di tempat-tempat ibadah sahaja contohnya Masjid,Musolla atau Surau, tapi bawalah Islam ke mana sahaja kita berada. Apa jua urusan harian kita sama ada urusan sosial, kemasyarakatan, ekonomi, pentabiran, organisasi dan peraturan serta perundangan hidup dalam waktu-waktu seharian haruslah ditegakkan atas nama Islam.


Tanpa mengira apa jua warna kulit, asal usul, peringkat umur dan bangsa, kita kembali bersama atas nama Islam untuk mengikat kekuatan ummah ini khususnya di dalam Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir. Islam yang ada dalam diri kita juga janganlah disimpan untuk kepentingan kita. Kongsikanlah dengan rakan-rakan, sahabat-sahabat yang jauh dari Islam yang kita kenali supaya mereka lebih memahami.


Ingatlah! Setiap umat Islam itu adalah duta penyelamat dan kasih sayang. Tidak akan dekat rahmat Allah itu dalam perjuangan kita melainkan jika adanya jambatan ukhuwah yang kuat di antara hamba-hambanya.


Barisan kepimpinan AJKT dan AJK HEWI KPIPM 2010/2011 mengucapkan Selamat Hari Raya buat seluruh ahli Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir dan seluruh anak-anak Perak yang berada di bumi mesir samada dalam jurusan Pengajian Islam, Perubatan, Ma’ahad dan penuntut mana-mana pengajian di Mesir. Semoga Hari Raya kali ini memberikan makna dan perubahan besar dalam hidup sahabat-sahabiah dengan Allah sentiasa di dalam hati.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.Walillahilhamd…

KHAIRUL ASHRAF BIN MOHD KHIR


Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir,

Sesi 2010/2011

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...