Wednesday, August 4, 2021

PENA AZHARI | MANFAATKAN MASA LAPANG

PENA AZHARI | MANFAATKAN MASA LAPANG
Unit Penerangan & Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021

بسم الله الرحمن الرحيم

Penulis : Ustazah Fatin Hakimah binti Marzlidin
Tajuk : Manfaatkan Masa Lapang

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد ألا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، صلى الله عليه و على آله و صحبه أجمعين

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat iman dan islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda dan para sahabatnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Asr :

 وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. 
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Imam as-Syafie berkata : "Seandainya manusia merenungi surah ini, nescaya surah ini telah mencukupkan mereka."

Merujuk Surah al-Asr di atas, apa yang dapat difahami ialah orang yang beruntung dalam kehidupan ialah orang yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Mereka inilah orang yang berada dalam jemaah dan melakukan amar makruf nahi mungkar.

Orang yang beruntung ialah orang yang menggunakan masa melakukan amalan soleh. Sebaliknya, orang yang rugi ialah orang yang menggunakan masa melakukan amalan batil.

Masa adalah nikmat kepada semua makhluk yang diberi oleh Tuhan. Tetapi tidak semua mampu menggunakannya ke arah jalan kebaikan.

Pelaburan kehidupan di dunia dan akhirat mencapai keuntungan jika masa yang dicarum ketika hidup sarat dengan kebaikan. Masa merupakan modal permulaan setiap insan dalam menentukan penghasilan, sama ada suatu aset ataupun liabiliti dalam kehidupan.

Hakikat di dunia modenisasi kini, pembaziran masa sudah sinonim dengan mahasiswa dek gemar memenuhi ruang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Keadaan ini menyuluh bahana yang besar kepada anak muda seperti kelemahan jati diri dan keruntuhan masa depan generasi.

Bagi menongkah arus tradisi pembaziran masa ini, punca budaya tradisi ini perlu di diagnosis terlebih dahulu dengan segera. Antaranya, lemah dalam pengurusan waktu, mabuk dengan kesenangan dunia, pengaruh biah dan kawan yang buruk, kurang merasakan muraqabah Allah dan minimum dalam mengingati kematian dan Hari Akhirat.

Dalam Surah ar Ra'd ayat 11, Allah SWT bersabda :

(...إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ )

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Walaupun perubahan itu bukanlah mudah, tetapi apa yang pasti ia bermula daripada diri sendiri. Budaya tidak sihat ini dapat dihakis jika puncanya dapat diperbaiki. Perubahan yang berperingkat dan berterusan adalah lebih baik daripada secara drastik.

Dalam sorotan sejarah Islam, Rasulullah SAW merupakan insan yang bijak dalam mengatur dan mengurus masa. Baginda SAW dapat mengasaskan sebuah negara madani dalam masa 23 tahun sahaja. 

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sekadar mampu membaca fakta kehebatan Baginda sahaja?

Selain itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah dan menjawat jawatan sebagai khalifah hanya 2 tahun sahaja. Tetapi beliau berjaya menghasilkan kejayaan yang amat luar biasa. 

Benarlah kalam Allah di dalam Surah al-Asr. Sungguh beruntung orang yang membawa Islam dan beramal dengan Islam.

Masa lapang sewajarnya dipenuhi dengan amalan kebaikan bukan amalan yang lahir dari hawa nafsu manusia. Ini kerana masa semakin singkat, jasad bakal menemui ajal, Hari Kiamat semakin dekat. Maka, dengarkanlah satu kalam masyhur sebagai halwa telinga sahabat sekalian.

الواجبات أكثر من الاوقات

Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang kita miliki.

Oleh itu, bagi seluruh mahasiswa, antara perkara yang dapat dilakukan ketika masa lapang ialah menuntut ilmu dan berkongsi ilmu kepada orang lain.

( وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ )

[Surah At Taubah : ayat 122]

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya. 

Di samping itu, antara aktiviti lain yang boleh dilakukan ketika masa lapang ialah menghafal ayat-ayat suci al-Quran, menghadiri majlis kerohanian, melakukan aktiviti sukan dan membantu barisan pimpinan melaksanakan gerak kerja.

Keluarga merupakan satu institusi yang bertanggungjawab memenuhi keperluan ahlinya. Di Mesir ini, keluarga kita KPIPM telah membentangkan pelbagai kebaikan agar diri kita semua menghala ke arah kebaikan.

Antaranya kelas pengajian Tafaqquh Fiddin, Ehya' Jum'ah, Program Riadah Bulanan, Street Dakwah, Rondaan Hisbah dan sebagainya.

Jadilah orang yang beruntung dengan mengambil peluang ini, bukan orang rugi yang hanya hidup berdalih.

Hal ini jelas menunjukkan keluarga kita membawa agenda Islam dan kesyumulannya. Oleh itu, sokongan dan dokongan yang jitu perlu diberikan kepada keluarga kita agar terus utuh dalam membawa Islam.

Dalam kitab Qimatu al-Zaman 'Inda al-Ulama, penulis ada menyebut : "Aku melihat ramai orang telah membazirkan masa dalam bentuk amat ajaib. Jika malam panjang, mereka bercakap yang tidak memberi manfaat atau mambaca kitab yang lagha. Jika siang hari pula panjang, mereka penuhi dengan tidur."

Secara ringkasnya, segala amalan yang baik dan dihadiri niat yang baik bukanlah silibus untuk dilakukan pada masa lapang sahaja bahkan perlu dilakukan di setiap masa.

Manfaatkanlah masa. Masa sekarang mencerminkan masa depan nanti, kehidupan hari ini mencorakkan kehidupan Akhirat nanti. 

As-Syahid Imam Hassan al-Banna berkata :

إذا لم تستطع أن تجد لنفسك حياة كريمة، 
فأصنع لنفسك موتا كريما.

Buat sahabat,
Masa lalu menjadi ilusi,
Masa depan sedang menanti,
Masa sekarang adalah realiti.

Hidup di dunia ini hanya sekali,
Berilah yang terbaik dalam meniti persinggahan ini,
Untuk dituai di Akhirat nanti.

Hidup ini adalah satu pengembaraan,
Penuh dugaan dan ranjau kehidupan,
Lakar hidup ini dengan keimanan,
Membawa kita menuju Tuhan.

Jangan lupa kita semua punya Tuhan, tempat pergantungan kita setiap masa, baik di saat kesusahan atau kesenangan.

Semoga coretan ini bermanfaat.
Segala kesilapan bermula daripada kelemahan diri penulis.

Sukalah agar coretan ini diakhiri suatu doa agar kita semua direzekikan keberkatan waktu di setiap amalan.

اللهم إنا نسألك سلامة في الدين وعافية في الجسد وزيادة في العلم وبركة في الرزق وتوبة قبل الموت ورحمة عند الموت ومغفرة بعد الموت... آمين.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلِّم

سيروا على بركة الله

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

1 comment:

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...