Thursday, August 26, 2021

LAPORAN | MINGGU KEMAHIRAN MEDIA 2021 (MEDIA'21)

LAPORAN | MINGGU KEMAHIRAN MEDIA 2021 (MEDIA'21) 

Kaherah - Minggu Kemahiran Media 2021 (MEDIA'21) anjuran Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021 telah berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Ogos 2021 bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman. Kelas kemahiran ini tidak terhad kepada ahli KPIPM sahaja, ia juga terbuka kepada seluruh Ahli BKAN Taakhi Zon C, yang terdiri daripada Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM), Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Mesir (BKPJM) dan Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP).

Program ini berlangsung seawal jam 7 pagi hingga 5 petang. Terdapat tiga slot kelas kemahiran yang dibuka penyertaannya secara terhad iaitu Kelas Grafik Adobe Photoshop, Kelas Videografi Adobe Premiere Pro, Kelas Penstriman Streamyard dan diakhiri dengan Ijtima’ Designer khusus buat pereka grafik di peringkat KPIPM.

Antara objektif kelas kemahiran ini adalah bertujuan bagi melahirkan pelapis bagi asas kemahiran media, memberi pendedahan asas kemahiran media dan meningkatkan kualiti pengurusan media rasmi KPIPM. Manakala penutupan program ini berakhir dengan Ijtima’ Designer bertujuan menyuntik dan menyuburkan semangat para pereka grafik di peringkat KPIPM.

Hari pertama, Selasa 17 Ogos 2021 program ini telah bermula dengan slot Kelas Grafik Adobe Photoshop di sebelah akhawat. Pada jam 7 pagi, para peserta telah menghadirkan diri dan membuat pendaftaran. Kelas ini telah disampaikan oleh pengisi yang berpengalaman iaitu Ustazah Asmaa Huwaina binti Mohamed Nasir, Setiausaha Unit Biah Solehah, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2020/2021. Kelas berlangsung dengan lancar secara teori dan praktikal selama lebih kurang tiga jam dan berakhir pada jam 10.30 pagi.

Seterusnya, pada jam 10.30 pagi diteruskan pula dengan slot Kelas Videografi Adobe Premiere Pro di sebelah ikhwah. Kelas ini telah disampaikan oleh Ustaz Mustaqim Nur Iman bin Haron, Unit Pengisian Pusat Sumber Tenaga (PESAT), Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021. Pengisi merupakan ahli KPIPM yang mahir dalam penyuntingan dan pembikinan video. Kelas ini telah berlangsung secara teori dan praktikal dan berakhir kira-kira jam 2 petang.

Pada jam 2 petang, slot seterusnya diteruskan dengan Kelas Grafik Adobe Photoshop di sebelah ikhwah. Kelas ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Izzuddin bin Fakri, Timbalan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021. Kelas ini telah berlangsung dengan lancar secara teori dan praktikal dan berakhir kira-kira jam 5 petang.

Pada hari kedua, Rabu 18 Ogos 2021, bermulanya slot yang seterusnya seawal jam 7 pagi iaitu Kelas Videografi Adobe Premiere Pro di sebelah akhawat. Kelas ini telah disampaikan oleh Ustazah Norsyuhada binti Mohamad Rais, Timbalan Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKAWM sesi 2020/2021. Pengisi merupakan pimpinan di peringkat BKAN Wilayah Persekutuan yang berpengalaman menggunakan aplikasi suntingan video Adobe Premiere Pro. Kelas telah berjalan dengan lancar secara teori dan praktikal dan berakhir pada jam 10.30 pagi.

Selepas itu, kelas seterusnya diteruskan dengan Kelas Penstriman Streamyard yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi. Kelas berlangsung bagi ikhwah dan akhawat yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Azri Fauzan bin Zoolcaphly, Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021. Kelas telah berlangsung dengan lancar secara teori dan praktikal. Kelas berakhir pada jam 2 petang.

Setiap kelas dibantu oleh beberapa orang mentor bagi memudahkan slot praktikal dan membantu pengisi mengajar peserta secara lebih dekat.

Kemudian, program ini diselai dengan Solat Zohor secara berjemaah dan diakhiri dengan Ijtima’ Designer dimana para pereka grafik KPIPM yang terpilih di sebelah ikhwah dan akhawat dijemput untuk menghadirkan diri bagi menyuntik dan menyuburkan semangat untuk terus bekerja dan memberi manfaat.

Pengisi istimewa dijemput daripada Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) iaitu Ustaz Habibullah bin Zulkarnain, Ketua Unit Perancang KPKM sesi 2020/2021. Beliau merupakan pereka grafik yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang reka grafik semenjak tahun 2014 hingga kini.

Antara pesanan yang disampaikan adalah berkenaan berorganisasi di dalam satu saff yang tersusun rapi seperti firman Allah SWT di dalam Surah as-Saff. Selain itu, pengisi juga berkongsi berkenaan penyakit-penyakit di dalam jalan dakwah dan cara-cara mengubatinya. Beliau turut berkongsi kenangan dan pengalaman-pengalaman sepanjang berada dalam bidang reka grafik ini. Banyak isi-isi yang memberi suntikan semangat kepada para pereka grafik yang hadir pada hari itu.

Seterusnya, Ijtima’ Designer ditutupi dengan ucapan pengarah program dan lontaran muhasabah dan cadangan daripada pereka grafik ikhwah dan akhawat yang hadir pada hari tersebut bagi menambah baik kualiti grafik di peringkat KPIPM. Kata-kata semangat dan pesanan juga turut dikongsikan buat seluruh yang hadir.

Sebelum berakhir, Ustaz Ammar Rushdi bin Jamaluddin, Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021 dijemput untuk memberikan sepatah dua kata dan menyampaikan cenderahati kepada pengisi.

Program berakhir pada jam 5.30 petang. Solat Asar dilakukan secara berjemaah sejurus sahaja selesai pengisian dan para hadirin dibekalkan dengan makanan ringan sebelum bersurai.

Mudah-mudahan objektif utama program yang dianjurkan iaitu melahirkan pelapis bagi asas kemahiran media tercapai. Semoga melalui pelaksanaan Minggu Kemahiran Media 2021 (MEDIA'21) pada kali ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwah antara ahli KPIPM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPIPM.

 

Disediakan oleh :

MUHAMMAD AL FATEH BIN FAIZAN

Setiausaha Minggu Kemahiran Media 2021 (MEDIA'21) ,

Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021.













No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...