Saturday, February 20, 2021

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN TUNJANG KESATUAN

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN TUNJANG KESATUAN

Firman Allah SWT: 
((يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ارْكَعُوْا وَاسْجُدُوْا وَاعْبُدُوْا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ ۚ۩))
                                            
Maksudnya: 
“Wahai orang yang beriman! Rukuklah, sujudlah dan sembahlah Tuhanmu dan berbuatlah kebaikan, agar kamu beruntung.”
(Surah al-Hajj : ayat 77)

  Kebajikan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi ke-4 bermaksud perbuatan yang mendatangkan kebaikan ataupun jasa. Berbuat kebajikan merupakan fitrah dalam diri setiap manusia yang perlu diselarikan dengan panduan Syariat Islam. Umat manusia dianugerahkan oleh Allah SWT satu naluri yang sangat mulia dan naluri ini tidak ada pada makhlukNya yang lain iaitu naluri keinginan berbuat baik terhadap orang lain. 

  Menjadi tabiat manusia hari ini ketika mana melihat seseorang individu itu ditimpa kesusahan atau berada dalam kesempitan pasti akan ada golongan-golongan yang akan tampil dan sukarela membantu dalam apa jua keadaan sekalipun. Mereka ini sangat beruntung kerana diberi kesempatan untuk berbuat kebajikan sebagaimana yang telah disebutkan dalam ayat al-Quran sebentar tadi iaitu ((…agar kamu beruntung)).

Sahabat-sahabat sekalian,

  Sikap berbuat baik ini perlu diterapkan dalam diri setiap generasi pada hari ini, lebih-lebih lagi golongan yang bergelar mahasiswa. Janganlah dijadikan alasan untuk tidak berbuat kebajikan dengan sebab sibuknya belajar sehinggakan tidak berpeluang untuk mengambil tahu dan cakna keadaan orang sekeliling. 

  Sudi untuk saya kongsikan beberapa kepentingan atau keperluan melaksanakan kebajikan ketika kita bergelar Tholibul Ilmi ini :
1. Menerapkan nilai kasih sayang dan simpati antara satu sama lain.
2. Melatih diri berkorban demi kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri.
3. Membantu dalam meringankan dan memudahkan urusan orang lain. Dalam makna kata lain, setiap manusia khususnya pelajar mempunyai masalah tersendiri, maka dengan bantuan kebajikan yang diberikan sedikit sebanyak mampu menolongnya.
4. Menunaikan hak orang lain ke atas diri kita. Setiap diri kita ini mempunyai hak terhadap orang lain yang perlu diselesaikan. Menjadi tanggungjawab ke atas kita untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

Mahasiswa/wi yang dirahmati Allah SWT,

  Akhir sekali, memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib : “Bahawa apabila kita dapat korbankan sesuatu yang paling berharga untuk orang lain, kelebihan yang akan kita peroleh nanti lebih daripada apa yang dikorbankan”.
Kita yang bergelar Tholibul Ilmi ini juga perlu faham konsep pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Islam kepada khalayak sejagat. Pengorbanan ini jelas ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW yang mengajarkan kita untuk sentiasa mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi atau dengan makna kata lain melebihkan kepentingan masyarakat dan jemaah daripada kepentingan diri sendiri sebagaimana pesanan Imam As-Syafie Rohimahullah Taala, “Jika terdapat banyak keperluan yang perlu dipenuhi, maka mulailah kepentingan yang terpenting dan mendesak”.

  Jadi, jelaslah bahawa kebajikan dan pengorbanan adalah dua elemen yang tidak boleh dipisahkan. Tanpa pengorbanan mustahil untuk kita melakukan kebajikan dan begitu juga sebaliknya. Antara bentuk pengorbanan yang boleh dilakukan oleh penuntut ilmu adalah berkorban tenaga dan masa dalam membantu gerak kerja dakwah Islam serta mengorbankan sebahagian harta pada jalan Islam secara umumnya atau membantu sahabat-sahabat di sekeliling kita khususnya.

  Dalam berbicara tentang kebajikan, sudah pasti akan timbul persoalan dalam pemikiran kita iaitu “Bagaimanakah mereka yang suka hidup bersendirian dan tidak turun terlibat dengan masyarakat mampu memberi kebajikan kepada orang lain?”. Jadi, jelas bahawa mereka yang tidak meletakkan diri mereka dalam masyarakat ataupun tidak bersosial tidak akan mampu untuk melaksanakan hak kebajikan terhadap orang lain. Hal ini kerana, untuk melaksanakan konsep kebajikan, tidak dapat tidak seseorang itu perlu terjun ke dalam masyarakat dan mestilah mencampuri dan bergaul dengan setiap jenis manusia.

Sahabat-sahabat sekalian,

  KPIPM merupakan satu wadah yang begitu luas dan mampu memberi peluang kepada seluruh pelajar khususnya yang berada di Mesir dalam merealisasikan aspek kebajikan. Tidaklah KPIPM ini hanya tertumpu kepada aspek kesatuan atau akademik semata-mata, bahkan lebih luas lagi iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan seorang muslim. Usaha dalam menjaga kebajikan ini telah lama dilakukan sejak dari generasi terdahulu sehingga generasi hari ini. Perjuangan dalam melaksanakan kebajikan yang dibawa oleh KPIPM bukanlah retorik semata-mata tetapi ada usaha yang jitu dalam merealisasikannya. Hal ini jelas, apabila kita lihat dalam matan usul YDP KPIPM sesi 2020/2021 iaitu “Mengoptimumkan peranan KPIPM sebagai persatuan induk anak-anak Perak dengan memperkasakan kebajikan dan sumber tenaga” dan Pembawaan KPIPM sesi 2020/2021 yang pertama iaitu “Memaksimumkan medium kebajikan serta menekankan aspek keselamatan dalam kalangan anak-anak Perak”. 

  Sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “ Sesiapa yang tidak mengambil berat diatas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredai Allah. ” (Riwayat at-Tabrani).

  Kesimpulannya, jadikanlah KPIPM ini batu loncatan buat kita untuk melaksanakan segala bentuk kebajikan yang digariskan Islam. Tanamkanlah sikap mendahulukan kepentingan umum daripada kepentingan diri sendiri. Jangan kita jadikan belajar sebagai satu alasan untuk tidak menunaikan hak diri ke atas orang lain. Contohilah semangat para pejuang Islam yang sanggup berkorban apa-apa sahaja dan sentiasa terkehadapan dalam usaha menjaga kepentingan dan kebajikan Islam. Sebagai seorang Tholibul Ilmi, tidak sepatutnya kita hanya memikirkan hal peribadi, bercampurlah dengan masyarakat dan bersosial kerana ia merupakan salah satu medan tarbiah untuk kita berhadapan dengan pelbagai jenis dan ragam masyarakat kelak.

#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Nukilan daripada :
Muhammad Nur Ilham bin Shamsuddin
Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2020/2021

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...