Sunday, July 13, 2025

MINDA PIMPINAN | THAQAFAH DIPERKASA, MAHASISWA BERWIBAWA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 202/2025


MINDA PIMPINAN | THAQAFAH DIPERKASA, MAHASISWA BERWIBAWA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025
 
السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Sabda Rasulullah SAW:
 "Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan untuknya jalan ke syurga."
(HR Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan betapa agungnya nilai ilmu dalam Islam. Terutamanya ilmu yang bukan sahaja membentuk minda, tetapi juga membentuk kefahaman dan hikmah dalam tindakan, ciri-ciri utama bagi seorang mahasiswa yang berwibawa.

Thaqafah, secara umumnya, merujuk kepada ilmu yang mendalam. Ia bukan hanya merangkumi ilmu asas agama seperti fiqh dan tauhid, tetapi turut merangkumi ilmu-ilmu semasa yang menyumbang kepada keluasan pemikiran dan kematangan bertindak.

Mahasiswa yang berthaqafah bukan sekadar tahu hukum, tetapi mampu membaca konteks, memahami realiti semasa, dan membuat keputusan berlandaskan neraca syarak. Inilah yang membezakan antara pemimpin masyarakat dan sekadar pengikut arus.

Kerana itu, thaqafah adalah benteng dan bekalan dalam perjuangan. Tanpa ilmu dan kefahaman yang kukuh, kita mudah terpengaruh dengan arus pemikiran asing seperti liberalisme, hedonisme, dan sekularisme, semuanya mencabar keutuhan jati diri seorang Muslim hari ini.

Maka jelaslah, menuntut ilmu itu fardhu, tetapi memperkasa ilmu sehingga menjadi kefahaman, itulah tanggungjawab kita semua.

Sebagai mahasiswa Islam, lebih-lebih lagi yang kini menuntut ilmu di bumi Mesir, bumi para ulama dan warisan keilmuan Islam, kita memegang satu amanah besar untuk memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin. Bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk disebarkan kembali kepada masyarakat.

Firman Allah SWT:
"Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat."
(Surah Al-Mujadalah: 11)

Dan sabda Nabi SAW:
 "Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi."
(HR Abu Dawud dan At-Tirmizi)

Ini membuktikan, ilmu bukan sekadar alat duniawi, tetapi wasilah menuju Allah, satu bentuk ibadah dan tanggungjawab yang mesti dipikul dengan kesedaran dan rasa cinta.

Seiring dengan itu, KPIPM sebagai badan induk mahasiswa Islam Perak di Mesir sentiasa berusaha menyediakan ruang dan peluang untuk ahli memperkasa thaqafah masing-masing.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah, Kelas Talaqqi Hadis, Tafaqquh Fiddin, Halaqah Ilmiah secara mingguan dan bulanan.
Program-program ini menjadi tunjang penting dalam membina asas kefahaman agama yang kukuh dalam kalangan ahli.

Menariknya, pengisian-pengisian yang dianjurkan KPIPM tidak hanya tertumpu kepada ilmu turathi semata-mata. KPIPM juga mengadakan program bersifat kontemporari, yang menyentuh pelbagai isu semasa dan ilmu realiti melalui Raudhatul Fatayat, Muzakarah Berkelompok dan lain-lain program yang bersifat interaktif dan membina.

Semua ini adalah ruang terbuka untuk ahli menambah ilmu dan memperluaskan thaqafah dalam suasana yang harmoni, sesuai dengan keperluan semasa mahasiswa Islam hari ini.

Semoga segala usaha dan pengisian ini menjadi galakan buat kita semua agar terus melibatkan diri dalam program-program ilmu yang dianjurkan. Ingatlah, ilmu tidak akan datang bergolek. Kitalah yang mesti mencari, menuntut, dan berkorban demi memilikinya.

Saya akhiri dengan kata-kata penuh makna daripada Imam Syafie:

“Jika kamu tidak sanggup menanggung penatnya belajar, maka kamu akan menanggung hinanya kejahilan.”


Ilmu tidak tumbuh tanpa usaha.
Thaqafah tidak subur tanpa minat dan pengorbanan.
Jadilah mahasiswa yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga berilmu, berakhlak dan berperanan dalam masyarakat.

Mari kita bina generasi mahasiswa yang berilmu, memiliki fikrah yang jelas, kefahaman yang mantap, dan jiwa yang besar.
Itulah mahasiswa berwibawa.
Itulah masa depan ummah.

Sekian.
وعليكم السلام ورحمة الله وبركة

"THAQAFAH DIPERKASA, MAHASISWA BERWIBAWA"

#KPIPMKeluargaKita 
#KeluargaKitaKitaJaga 
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM   

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Nukilan daripada:
Ustaz Ahmad Yamin bin Zainal Abidin
Yang dipertua (Biro Pelajaran & Ilmiah) Keluarga Pelajar-pelajar Islam Mesir sesi 2024/2025

 

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | THAQAFAH DIPERKASA, MAHASISWA BERWIBAWA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 202/2025

MINDA PIMPINAN | THAQAFAH DIPERKASA, MAHASISWA BERWIBAWA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025   السلام عليكم ورح...