KAHERAH- 19 Mac 2016 hingga 21 Mac 2016, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah mengadakan jaulah ke Semenanjung Sinai dengan jayanya. Jaulah yang diberi nama ‘Road to Sinai 2016’ (RISE’16) bertemakan “Rest Your Mind, Rise Your Knowledge” ini telah dianjurkan oleh Ketua HEWI KPIPM dan di bawah seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah HEWI KPIPM sesi kali ini. Jaulah yang berlangsung selama 3 hari ini berjaya mengumpulkan seramai 42 orang peserta dan terdiri daripada mahasiswi KPIPM sendiri yang hadir daripada pelbagai umur dan peringkat pengajian.
HARI PERTAMA
RISE’16 ini bermula dengan majlis perasmian pada jam 1.30 pagi yang bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman yang mana majlis ini diisi dengan ucapan daripada Pengarah RISE’16 serta ucapan perasmian daripada Ketua HEWI KPIPM diikuti dengan taklimat disiplin dan Solat Sunat Musafir secara berjemaah. Pengarah RISE’16, saudari Afifah Najihah binti Ahmad Khalil telah menekankan beberapa objektif RISE’16 di dalam ucapannya. Antara objektifnya tidak lain tidak bukan adalah untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peserta, mengambil ‘ibrah daripada kisah para anbiya’ dan kaum terdahulu, serta mempraktikkan sunnah mengembara yang dianjurkan Islam. Beliau berharap agar peserta dapat bersama-sama menjayakan objektif yang telah disebutkan. Majlis perasmian disempurnakan lagi dengan ucapan perasmian daripada Ketua HEWI KPIPM, saudari Syariza binti Ayub yang mana di dalam ucapannya beliau juga menekankan objektif RISE’16 yang telah disebutkan oleh pengarah dan berharap agar RISE’16 dapat berjalan dengan lancar dan dipermudahkan sekali gus merasmikan RISE’16. Seterusnya, majlis diserahkan kepada Ad hoc Disiplin, Kebajikan dan Pendaftaran RISE’16, saudari Nur Farhana binti Ali bagi menyampaikan taklimat disiplin dan sesi semakan nama peserta. Kemudian, Solat Sunat Musafir dilakukan secara berjemaah.
Setelah selesai majlis perasmian, peserta berkumpul di perkarangan Baitul Rahman dan memulakan perjalanan tepat jam 3.30 pagi dengan menaiki bas dan doa permusafiran dibacakan oleh Musyrif Penerangan RISE’16, iaitu saudara Abdul Rahman bin Sarwani. Tepat jam 5.30 pagi, bas tiba di sebuah perhentian berdekatan dengan Nokhtah Hasanah bagi menunaikan Solat Subuh di situ. Selesai Solat Subuh, perjalanan diteruskan lagi dengan melalui Terowong Ahmad Hamdi bagi melintasi Terusan Suez. Mengikut kepada penerangan yang telah diberikan oleh musyrif penerangan, terowong ini adalah penyambung di antara benua Afrika dan Asia yang terbina dengan panjang 1.63 kilometer. Terowong ini dibina sebagai jalan pintas penduduk Mesir dari Kaherah ke Semenanjung Sinai selepas Sinai berjaya ditawan Mesir.
Tepat jam 7.00 pagi, peserta tiba di Kubu Bar Lev. Kubu ini merupakan kubu perang Israel terakhir yang berjaya ditawan Mesir. Peserta diberi penerangan oleh askar yang mengawasi bekas tapak kubu tersebut. Kubu Bar Lev ini dikatakan kubu terakhir yang berjaya ditawan oleh kerana binaannya tidak disedari orang sekeliling dan tidak dapat dikesan keberadaannya disebabkan binaannya dari bawah tanah.
Selepas itu, perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya iaitu ‘Uyun Musa A.S. (Telaga Nabi Musa) yang terletak kira-kira 500 meter dari Kubu Bar Lev dan berada di sebelah Teluk Suez Laut Merah. Dan di sinilah 12 telaga yang digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani Israel yang mana diperintahkan oleh Nabi Musa A.S. apabila mereka selamat daripada tentera Firaun yang mengejar mereka ketika menyeberangi Laut Merah. Akan tetapi hanya 3 telaga sahaja yang ditemui di situ. Di sekitar kawasan ‘Uyun Musa itu juga, terdapat beberapa pohon yang besar dan rendang, dan dikatakan pohon tersebut adalah salah satu tempat persinggahan Maryam, ibu Nabi Isa A.S. tumpang berteduh. Sambil mendengar penerangan tentang ‘Uyun Musa A.S. , peserta bersarapan pagi roti berlaukkan sardin bersama teh panas. Setelah selesai bersarapan, peserta bergerak ke destinasi seterusnya iaitu ‘Uyun Ayyub A.S. (Telaga Nabi Ayub). Telaga ini terletak kira-kira 300 meter dari ‘Uyun Musa A.S. dan masih mengeluarkan air yang mencurah-curah sehingga ke hari ini.
Tepat jam 9.30 pagi, bas mula bertolak menuju ke Jabal Musa A.S. dan jangkaan tiba di Jabal Musa selama 5 jam perjalanan. Sepanjang perjalanan, Ustaz Abdul Rahman selaku musyrif penerangan telah berperanan menerangkan tentang beberapa buah tempat bersejarah yang bakal dilawati. Perjalanan ini juga diselang-selikan dengan aktiviti yang telah disusun oleh Unit Pengisian RISE’16, saudari Siti Hajar binti Ahmad Daud iaitu sesi kuiz soal jawab dan juga sesi cabutan bertuah. Hadiah cabutan bertuah. Kesemua peserta memberi respon yang amat baik, menggamat suasana sepanjang perjalanan.
Setelah mengharungi perjalanan selama 5 jam lamanya, bas tiba di kawasan penginapan yang bernama Moon Land Camp yang terletak di kawasan Jabal Musa (St.Catherina) pada jam 2.30 petang. Seterusnya peserta diagihkan bilik penginapan dan berkumpul bagi menunaikan Solat Jamak Zohor dan Asar seterusnya menikmati juadah makanan tengah hari yang telah disediakan oleh Ad hoc Unit Makanan, saudara Ahmad Haziq Muqri bin Ahmad Azhar dan AJK beliau. Setelah selesai makan tengah hari, peserta diminta untuk bersiap sedia bagi aktiviti seterusnya iaitu aktiviti mendaki Wadi Arba’ien.
Tepat jam 4.00 petang, aktiviti pendakian Wadi Arba’ien bermula. Menurut satu riwayat, Wadi Arba’ien ini adalah lembah tempat berkumpulnya 40 orang nabi dan para wali untuk bermusyawarah. Di sini juga terdapat Batu 12 Mata Air yang diketuk oleh Nabi Musa A.S. menggunakan tongkatnya. Maka hal ini bertepatan dengan firman Allah yang berbunyi ;
“Dan ingatlah ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu kami berfirman : Pukullah batu itu dengan tongkatmu, lalu terpancarlah daripadanya 12 mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku kaum kamu telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing) makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi ini dengan membuat kerosakan.” (Al-Baqarah : 60) .
Setelah selesai aktiviti pendakian, peserta bergerak pulang ke tempat penginapan dan bersiap sedia untuk menunaikan Solat Jamak Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta makan malam.
Setelah selesai makan malam, peserta diminta berkumpul untuk sesi taklimat dan pembahagian kumpulan bagi aktiviti pendakian ke Jabal Musa bagi keesokan harinya. Peserta juga diselang-selikan dengan sesi kuiz dan soal jawab. Selepas itu, peserta diberi rehat dan diminta berkumpul semula pada jam 12.00 tengah malam itu bagi aktiviti pendakian Jabal Musa.
HARI KEDUA
Keesokan harinya, pada jam 1.00 pagi, peserta mula bergerak ke kaki Jabal Musa dengan menaiki bas. Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan dan bergerak secara berkumpulan diketuai oleh ketua kumpulan masing-masing. Peserta mula bergerak mendaki mengikut kumpulan demi kumpulan. Lebih kurang 5 jam selepas itu, kesemua peserta berjaya menjejaki puncak Jabal Musa dan Solat Subuh di sana.
Peserta juga dapat menikmati keindahan matahari terbit dan bergambar kenangan bersama. Terpancar kegembiraan pada wajah peserta masing-masing sesudah berjaya sampai ke puncak setelah tabah menempuhi penat lelah mendaki ke puncak. Setelah selesai Solat Subuh, peserta mendengar penerangan yang disampaikan oleh musyrif penerangan berkenaan kisah Nabi Musa A.S. menerima wahyu, bermunajat dan beruzlah di puncak bukit tersebut.
Setelah itu, peserta mula menuruni bukit dan bergerak pula ke kawasan peninggalan perkampungan Nabi Ilyas A.S.. Di sana masih terdapat beberapa buah peninggalan rumah dan sebuah telaga. Kemudian, peserta menyambung perjalanan menuruni hingga ke kaki bukit. Tepat jam 11.00 pagi, semua peserta berkumpul di tempat bus parking dan terus bergerak ke Moon Land Camp bagi urusan check-out dari tempat penginapan dan Solat Jamak Zohor dan Asar secara berjemaah. Setelah selesai urusan solat dan pemindahan barang, bas bertolak ke destinasi yang seterusnya iaitu Pantai Dahab. Di sini, peserta makan tengah hari bersama dan diberi peluang sepenuhnya untuk bergambar, bermain bola, akitiviti BBQ di tepi pantai.
Tepat jam 6.30 petang, peserta berkumpul untuk ke tempat penginapan, Hotel Octopus. Sesampainya di tempat penginapan, peserta diagihkan bilik penginapan, makan malam dan Solat Jamak Maghrib dan Isyak secara berjemaah di bilik masing-masing. Selesai solat, peserta dibawa berjalan ke Pasar Dahab berdekatan hotel penginapan bagi membeli barang dan hadiah kenang-kenangan.
HARI KETIGA
Keesokan harinya, tepat jam 7.30 pagi setelah selesai kendiri dan sarapan pagi, peserta berkumpul dan dibahagikan secara berpasangan bagi aktiviti sukan ATV Quard Bike. Pagi itu, peserta dibawa berjalan menaiki ATV Quard Bike menikmati pemandangan laut, bergambar kenangan dan singgah berehat di satu kawasan perhentian.
Pada jam 10.50 pagi, peserta pulang ke hotel penginapan dan berkumpul bagi aktiviti glass boat di Pantai Dahab. Di pantai, peserta dibawa menaiki bot yang mempunyai bahagian lantai yang diperbuat daripada kaca. Dari permukaan yang berkaca tersebut, peserta dapat melihat hidupan dan keindahan dasar laut secara langsung. Peserta mengambil kesempatan yang ada untuk merakam pemandangan dan mengambil gambar kenang-kenangan.
Tepat jam 1.00 petang, peserta bergerak pulang ke hotel penginapan untuk solat, makan tengah hari dan urusan check-out dari hotel penginapan. Setelah selesai urusan, bas mula bertolak pulang ke Kaherah pada jam 3.00 petang. Semasa perjalanan pulang, peserta diajukan soalan kuiz serta beberapa cabutan bertuah. Suasana menjadi gamat apabila peserta begitu semangat untuk menjawab soalan. Terpalit kegembiraan pada wajah mereka yang berjaya menjawab soalan dan yang bertuah. Sekitar jam 7.15 petang, bas berhenti di sebuah masjid bagi menunaikan Solat Jamak Maghrib dan Isyak. Seusai perjalanan, sekitar jam 11.45 malam, rombongan tiba di Baitul Rahman Wisma Darul Ridzuan.
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"