Friday, October 31, 2014

Hijrah Mahasiswa


     Sudah hampir seminggu kita berada di tahun 1436 Hijrah ini. Teringat ketika mana ia menjelang, seluruh umat Islam menyambut perayaan tahun baru dengan penuh penghayatan dengan mengikut garis panduan Islam itu sendiri seperti yang disunatkan untuk dimulai dengan bacaan doa menjelang akhir tahun dan juga doa menjelang awal tahun, diikuti bacaan surah Yaasin dan solat hajat, sebagai persiapan untuk menyambut tahun baru ini.

     Secara zahirnya, ketibaan tahun baru itu menandakan peralihan masa yang menjadikan hari ini kepada semalam dan peristiwa semalam yang telah berlaku itu akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah. Namun apa yang lebih signifikan dari itu adalah persediaan diri kita untuk memperbaiki keadaan diri sebagai seorang insan, seorang mahasiswa dan lebih-lebih lagi sebagai seorang makhluk Allah Ta’ala.

     Oleh itu sebagai seorang mahasiswa, rasa tidak bermakna jika tahun baru tidak diiringi dengan semangat, azam dan minda yang baru. Sama ada azam tahun yang lalu tercapai atau tidak, itu bukan kisahnya. Tetapi perlulah diingat bahawa azam baru itu perlu bertitik tolak daripada perancangan yang rapi dan realistik dan diikuti dengan perlaksanaan yang sistematik dan bersungguh-sungguh.

    Azam merupakan matlamat yang menjadi impian seseorang. Impian ini bukan angan-angan kosong,   tetapi seharusnya keinginan yang realistik. Hasrat yang realistik ini pula bergantung kepada sikap yang optimistik serta perancangan dan perlaksaan yang rapi. Ada di antara mereka yang berazam, namun disudahi dengan kegagalan kerana gagal merancang walaupun sebenarnya tiada sesiapa yang mahukan kegagalan. Namun pada asasnya, individu yang berjaya adalah mereka yang bukan semata-mata merancang, tetapi juga melaksanakan apa yang telah mereka rancangkan. Tujuannya ialah agar memperolehi hasilnya dalam jangkamasa yang tertentu, di samping sentiasa memperbetulkan strategi sekiranya terdapat gangguan yang boleh mencetuskan kegagalan.

     Mahu atau tidak, kita sebagai penuntut ilmu perlu mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.  Oleh itu, dalam memenuhi matlamat untuk berubah, terdapat beberapa perkara asas yang perlu dihayati.

Pertamanya, kesedaran. Seseorang itu perlu menyedari mengapa ia perlu berubah. Contoh paling mudah, mengapa saya datang ke Mesir? Untuk menuntut ilmu dan mencapai keputusan cemerlang. Maka seseorang pelajar itu perlu meninggalkan keseronokannya seketika sekiranya pelajar itu menyedari tujuan utamanya ke Mesir.

Kedua, kesanggupan untuk berubah. Ramai pelajar telah sedar tetapi tidak atau belum sanggup lagi untuk berhenti meninggalkan keseronokan tersebut kerana pelbagai faktor, antaranya tiada keikhlasan .

Ketiga, berniat tegas untuk berubah dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Keempat adalah tindakan pematuhan kepada niat atau azam yang diikuti dengan proses tindakan bagi membuktikan bahawa perubahan itu dilakukan dalam tempohnya dan perubahan itu dilihat benar-benar berlaku.

Tindakan terakhir pula merupakan muhasabah terhadap tindakan pematuhan bagi memastikan sama ada pematuhan itu berlaku, diabaikan, ditangguhkan, dituruti atau sebagainya, agar tidak menyeleweng dari azam sebenar iaitu untuk berubah menuju kebaikan. Ayuh!

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"Satu Fikrah Satu Amal"

SUMBER: Risalah Warkah Da'ie (Bil.06), Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM Sesi 2014/2015

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...