Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala pujian dan rasa syukur dipanjatkan kehadrat Illahi Pemilik dan Pengurnia segala nikmat. Selawat dan salam yang berpanjangan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, para sahabat, serta pembantu dan pengikutnya yang setia yang telah bersama-sama susah dan senang dalam siri-siri perjuangan untuk mendaulatkan Islam dan menjadikannya sebagai Ad-Deen bagi seluruh pelusuk dunia ini.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Maaidah, ayat ketiga yang bermaksud:
" Pada hari ini telah-Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah-Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah-Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barangsiapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf, yang mempunyai sistem yang menyeluruh lagi mencakupi segenap aspek kehidupan adalah suatu kenyataan yang tidak boleh disanggah dan dipertikaikan lagi, akan tetapi perkara yang penting perlu diberikan perhatian adalah bagaimana kita sebagai penganutnya dapat mengekspresi dan mengadaptasikan kesempurnaannya itu kepada umum. Berlandaskan persoalan ini perkara teras yang perlu ditekankan adalah kefahaman tentang Islam itu sendiri. Kefahaman itu wujud dengan adanya ilmu, dan ilmu itu perlu dikumpul dan dicari gali dari sumber-sumber yang murni, maka pada akhirnya ia akan menatijahkan cahaya realiti yang cemerlang.
Kecemerlangan cahaya Islam yang kita harapkan itu dapat kita realisasikannya dengan penguasaan akademik dan thaqafah yang baik. Hal ini telah termaktub melalui arahan " Bacalah! " dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Rasul S.A.W yang mana arahan dari wahyu pertama itu menunjukkan betapa penguasaan ilmu itu adalah suatu teras untuk membuahkan amal yang berterusan berlandaskan tunjang kefahaman yang jelas.
Melalui perbincangan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir kali ke-48 yang telah berjaya dilangsungkan baru-baru ini, ahli KPIPM telah sepakat dan sebulat suara akan menjayakan usul yang telah dibentang dan diperbahaskan, iaitu ;
" Mengupayakan mahasiswa dan mahasiswi Perak untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik dan thaqafah. "
Mesyuarat berlangsung dengan baik dan ia juga melihatkan komitmen dari ahli KPIPM yang prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM berharap agar segala komitmen tersebut berkekalan dan meningkat dari satu masa ke satu masa yang lain.
Barisan pimpinan sesi 2014/2015 dengan dokongan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli seluruhnya akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan satu usul yang telah disepakati tersebut, juga 5 item penting yang sudah menjadi pegangan KPIPM iaitu :
1. Thaqafah : Meningkatkan tahap penguasaan ilmu dari sudut akademik dan kemahiran.
2. Fikrah : Memperkasakan tarbiah Islamiah bagi memantapkan kefahaman Islam yang syumul.
3. Ukhuwah :Menerapkan nilai sahsiah Islamiah bagi mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli
4. Kebajikan : Mengutamakan kebajikan ahli dalam pelbagai aspek.
5. Ekonomi : Mengukuhkan ekonomi untuk kelangsungan KPIPM.
Berdasarkan suasana perbincangan yang wujud dalam Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-48 yang lepas, pihak pimpinan pada sesi kali ini cukup optimis bahawa seluruh ahli KPIPM akan bersama-sama menjayakan kelima-lima item tersebut bagi memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.
Mari kita sama-sama panjatkan doa semoga KPIPM yang kita sedang naungi ini berkekalan menjadi medium kesatuan Islam bagi anak-anak Perak di bumi Mesir. Tidak dilupakan juga semoga seluruh pembantu agama Allah S.W.T ini diberikan ganjaran berupa Rahmat dan RedhaNya yang berpanjangan.
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MUHAMMAD 'ASRI BIN MOHD SALIM
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015
No comments:
Post a Comment