IPOH, 17 JULAI – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
(KPIPM) sentiasa peka dan prihatin dalam melahirkan golongan agamawan demi
mengisi keperluan semasa kepada masyarakat. Kelangsungan persatuan anak Perak yang bergerak di bawah lembayung KPIPM sentiasa merentasi masa seiring dengan
usianya hampir 50 tahun.
Oleh yang demikian, satu perjumpaan telah diadakan antara
pihak Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dan Majlis Agama Islam
dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bertempat di Pejabat Pentadbiran MAIPk di Ipoh.
Pihak KPIPM telah menghantar dua wakil iaitu Saudara
Muhammad ‘Asri Bin Mohd Salim selaku Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2014 dan
Saudara Zulhafeez Bin Ahmad Zahidi selaku Pengarah Program Bakti Siswa Al-Azhar
2014.
Pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr
Amiruddin Bin Muhamed yang mula berkhidmat untuk menerajui institusi agama
Negeri Perak itu pada awal tahun ini telah membincangkan beberapa perkara yang
merangkumi kebajikan anak-anak Perak, kerjasama antara dua pihak dan
penganjuran Program Bakti Siswa yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Pihak KPIPM sangat optimis dengan kerjasama MAIPk sepanjang
menguruskan dermasiswa dan menyalurkan bantuan kepada anak-anak Perak yang
memerlukan.
“Harapan saya agar anak-anak Perak dapat mengekalkan
prestasi kecemerlangan dalam pengajian yang di ambil sama ada Pengajian Islam
dan Sains Kesihatan”, ujar beliau di akhir pertemuan itu.
Semoga kerjasama dan hubungan ini dapat dilestarikan dengan
sebaiknya demi menjana tenaga dan memastikan bakti anak Perak di Mesir
dimanfaatkan untuk masyarakat kelak.