Tuesday, April 22, 2014

UKHUWAH TUNJANG KESATUAN


               
  Hakikat ukhuwah islamiah adalah ikatan pada hati dan jiwa berlandaskan aqidah yang satu. Hubungan yang dijalin atas dasar ini merupakan ikatan yang paling kuat dan sangat berharga. Ianya meliputi rasa saling mengasihi, menyayangi dan saling memerlukan antara satu sama lain sesama muslim tanpa mengira pangkat, keturunan dan warna kulit.

                Islam telah meletakkan antara salah satu kesempurnaan akhlak seorang muslim ialah mencintai kebaikan yang dilakukan oleh saudaranya sebagaimana dia mencintai melakukan perkara-perkara kebaikan untuk dirinya sendiri. Demikianlah juga membenci keburukan yang dilakukan oleh saudaranya sepertimana dia membenci untuk melakukan keburukan. Dalam menjalinkan hubungan silaturahim  sikap berlapang dada dan kesejahteraan hati sesama muslim merupakan serendah-rendah ukhuwah manakala yang paling tinggi pula ialah ithar ataupun sikap mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri dalam segala hal. Demikianlah konsep bersaudara yang dianjurkan dalam islam yang sebenar-benarnya.

                Dalam hadis Rasulullah saw ada menyebut bahawasanya, dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radhiallahu  anhu, dari Nabi saw bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian hingga ia menncintai untuk saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

                Terdapat beberapa perkara yang menjadi landasan dalam menguatkan hubungan persaudaraan ialah menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam keadaan kesempitan, sering bertanya khabar serta saling menziarahi dan memenuhi hak ukhuwah saudaranya. Sebelum tercipta ukhuwah islamiah yang benar-benar utuh terdapat empat tahap (marahil) yang perlu dilalui sebagai asas dalam penyatuan.

Pertama : saling kenal-mengenal (taaruf). Pada tahap ini seorang muslim tidak hanya mengenal saudaranya sekadar sahaja. Namun, ianya harus pergi dengan lebih jauh dan cuba untuk mengenali saudaranya melalui cara penampilan, sifat-sifat, serta pemikiran. Pengenalan tahap ini mencakupi aspek ‘jasadi’ iaiti fizikal, ‘fikri’ pemikirannya dan ‘nafsi’ jiwa.

Kedua :  saling memahami (tafaahum). Tahap kedua merupakan kompenen yang sangat penting kerana ia merupakan proses penyatuan. Pada tahap ini kita dituntut untuk memahami perkara yang menjadi kebiasaan saudaranya, kesukaan, karakter, ciri-ciri khas dan cara berfikir. Dengan tindakan yang demikian, perasaan-perasaan seperti “tidak sesuai”, “tidak serasi” dan sebagainya dapat dielakkan dengan cara saling menasihati antara satu sama lain.

Ketiga : saling tolong-menolong (ta’awun). Dalam proses penyatuan perlunya ada sikap saling tolong-menolong antara satu sama lain bagi memudahkan dan meringankan bebanan yang ditanggung. Sikap ini penting untuk saling tampung-menampung dengan kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap individu.

Keempat : saling memikul bebanan (takaaful). Tahap ini merupakan puncak untuk mencapai ukhuwah islamiah. Sikap saling memikul bebanan ini sangat penting kerana setiap individu mempunyai tanggungjawab dan peranan yang berbeza dan memerlukan sokongan dan bantuan antara satu sama lain.


                Dalam menjalinkan hubungan silaturahim sesama muslim kita akan dapat merasakan indahnya persaudaraan serta mendapat pahala kerana menyambung tali silaturrahim.Mengeratkan tali persaudaraan sesama muslim.

                Firman Allah swt : “ Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.
(surah Al-Hujurat ayat-10)

                Ukhuwah adalah saudara bagi iman manakala perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan dan perpaduan manakala kelemahan yang meruntuhkan ialah perpecahan. Kemahuan menjalinkan ukhuwah islamiah ataupun tidak, islam akan tetap kekal hingga ke akhirnya dan dakwah akan tetap terus berjalan namun tanpanya kita sebagai umat islam tidak mampu untuk hidup. Ibarat sekelompok kambing biri-biri di dalam hutan, seekor serigala akan mudah menerkam sesekor kambing biri-biri yang keluar dari kelompoknya.

Wallahua’lam.

Oleh :
Nuraimi Jalwati Binti |Mohd Rani
Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN.
KEUNGGULAN SYAKHSIAH TUNJANG WAHDAH



No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...