Hakikat
ukhuwah islamiah adalah ikatan pada hati dan jiwa berlandaskan aqidah yang satu.
Hubungan yang dijalin atas dasar ini merupakan ikatan yang paling kuat dan sangat
berharga. Ianya meliputi rasa saling mengasihi, menyayangi dan saling
memerlukan antara satu sama lain sesama muslim tanpa mengira pangkat, keturunan
dan warna kulit.
Islam telah
meletakkan antara salah satu kesempurnaan akhlak seorang muslim ialah mencintai
kebaikan yang dilakukan oleh saudaranya sebagaimana dia mencintai melakukan perkara-perkara
kebaikan untuk dirinya sendiri. Demikianlah juga membenci keburukan yang
dilakukan oleh saudaranya sepertimana dia membenci untuk melakukan keburukan.
Dalam menjalinkan hubungan silaturahim
sikap berlapang dada dan kesejahteraan hati sesama muslim merupakan
serendah-rendah ukhuwah manakala yang paling tinggi pula ialah ithar ataupun
sikap mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri dalam segala hal.
Demikianlah konsep bersaudara yang dianjurkan dalam islam yang
sebenar-benarnya.
Dalam
hadis Rasulullah saw ada menyebut bahawasanya, dari Abu Hamzah, Anas bin
Malik radhiallahu anhu, dari Nabi saw
bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian hingga ia menncintai
untuk saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri”.
(Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim)
Terdapat
beberapa perkara yang menjadi landasan dalam menguatkan hubungan persaudaraan
ialah menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam keadaan
kesempitan, sering bertanya khabar serta saling menziarahi dan memenuhi hak
ukhuwah saudaranya. Sebelum tercipta ukhuwah islamiah yang benar-benar utuh
terdapat empat tahap (marahil) yang perlu dilalui sebagai asas
dalam penyatuan.
Pertama : saling kenal-mengenal (taaruf).
Pada tahap ini seorang muslim tidak hanya mengenal saudaranya sekadar sahaja.
Namun, ianya harus pergi dengan lebih jauh dan cuba untuk mengenali saudaranya
melalui cara penampilan, sifat-sifat, serta pemikiran. Pengenalan tahap ini
mencakupi aspek ‘jasadi’ iaiti fizikal, ‘fikri’
pemikirannya dan ‘nafsi’ jiwa.
Kedua : saling
memahami (tafaahum). Tahap kedua merupakan kompenen yang sangat
penting kerana ia merupakan proses penyatuan. Pada tahap ini kita dituntut
untuk memahami perkara yang menjadi kebiasaan saudaranya, kesukaan, karakter, ciri-ciri
khas dan cara berfikir. Dengan tindakan yang demikian, perasaan-perasaan
seperti “tidak sesuai”, “tidak serasi” dan sebagainya dapat
dielakkan dengan cara saling menasihati antara satu sama lain.
Ketiga : saling tolong-menolong (ta’awun).
Dalam proses penyatuan perlunya ada sikap saling tolong-menolong antara satu
sama lain bagi memudahkan dan meringankan bebanan yang ditanggung. Sikap ini
penting untuk saling tampung-menampung dengan kelebihan dan kekurangan yang ada
pada setiap individu.
Keempat : saling memikul bebanan (takaaful).
Tahap ini merupakan puncak untuk mencapai ukhuwah islamiah. Sikap saling
memikul bebanan ini sangat penting kerana setiap individu mempunyai
tanggungjawab dan peranan yang berbeza dan memerlukan sokongan dan bantuan
antara satu sama lain.
Dalam
menjalinkan hubungan silaturahim sesama muslim kita akan dapat merasakan
indahnya persaudaraan serta mendapat pahala kerana menyambung tali silaturrahim.Mengeratkan
tali persaudaraan sesama muslim.
Firman
Allah swt : “ Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka
damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertakwalah
kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.
(surah Al-Hujurat ayat-10)
Ukhuwah adalah saudara bagi iman
manakala perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh
ialah kekuatan kesatuan dan perpaduan manakala kelemahan yang meruntuhkan ialah
perpecahan. Kemahuan menjalinkan ukhuwah islamiah ataupun tidak, islam akan
tetap kekal hingga ke akhirnya dan dakwah akan tetap terus berjalan namun
tanpanya kita sebagai umat islam tidak mampu untuk hidup. Ibarat sekelompok
kambing biri-biri di dalam hutan, seekor serigala akan mudah menerkam sesekor
kambing biri-biri yang keluar dari kelompoknya.
Wallahua’lam.
Oleh :
Nuraimi Jalwati Binti |Mohd Rani
Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN.
KEUNGGULAN SYAKHSIAH TUNJANG WAHDAH