Wednesday, February 5, 2014

Kewajipan Muslim Terhadap Masa


Masa amat penting di dalam sepanjang kehidupan manusia. Oleh itu, setiap muslim berkewajipan menjaganya dengan penuh teliti, supaya masa-masanya dapat dipertingkatkan lagi prestasi keimanan, amalan dan pelaksanaan. Melihat kepada kepentingan masa, Allah SWT telah bersumpah di permulaan Al-Quran dalam surah Al-Asr:

والعصر* إن اﻹنسان لفي خسر*
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian.”
(Surah Al-Asr: 1-2)

Tugas utama yang dipikul oleh setiap umat Islam adalah menjaga masa. Masa perlu diberi perhatian lebih daripada harta benda. Setiap detik-detik perjalanan masa, setiap muslim wajib mengawasinya supaya dapat dimanfaatkan untuk agama dan dunianya, untuk kebaikan ummah, di sudut pembangunan rohani dan kebendaan.

Para salafussoleh sangat menjaga masa dan menghargainya sepertimana kata-kata Imam Hassan Al-Basri:

"Aku melihat suatu kaum yang sangat menjaga masa hingga melebihi dari kamu menjaga wang ringgit kamu itu!"

Lantaran ini, para generasi sahabat terlalu berwaspada tentang masa. Setiap masa mereka dipenuhi dengan amal dan gerak kerja yang berguna. Tidak sedikitpun masa yang mereka lepaskan secara percuma.

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz berkata:

"Sesungguhnya pertukaran malam dan siang adalah untuk kamu. Oleh itu bekerjalah di waktu siang dan malam!"

Orang yang mengsia-siakan waktu sangat dibenci oleh Allah Taala. Oleh itu pepatah Arab ada menyebut:

"Waktu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia pula memotong kamu!"

Justeru, generasi para sahabat sentiasa bekerja demi mempertingkatkan lagi prestasi hidup mereka dari masa ke semasa samada dari sudut prestasi ilmu yang berguna, beramal salih, memperbaiki diri atau membantu orang lain. Sepertimana kata-kata Ibnu Mas'ud:

ما ندمت على شيء ندمي على يوم غربت شمسه نقص فيه أجلى ولم يزد فيه عملي
"Belum pernah aku menyesal. Melainkan penyesalanku di setiap hari apabila terbenam matahari, semakin singkat umurku ini, sedangkan amalanku takut-takut tidak bertambah."


Oleh itu, memanfaatkan masa dengan sebaiknya merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Moga kita dikalangan mereka yang menjaga masa dengan baik demi menunaikan kewajipan yang digariskan oleh Allah Taala. 

Nama penulis adalah Ustaz Muhammad Hanif Bin Abdullah, Mahasiswa Kuliah Syariah Islamiah Tahun 2, Al-Azhar, Kaherah. Beliau juga memegang amanah sebagai Yang Dipertua KPIPM bagi sesi 2012/2013.

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...