Friday, July 22, 2011

ILMAM KESAL : Tindakan Pegawai JPMK Dan Kedutaan Terhadap Pelajar Tidak Berasas

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) mengecam tindakan pegawai JPMK dan Kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir yang didakwa menjadi dalang di sebalik kes seorang mahasiswa Mesir yang menuntut di IPT di Mesir dibuang daripada pusat pengajian tersebut kerana mengetuai perhimpunan aman BERSIH pada 9 Julai lalu di kawasan penempatan pelajar sekitar Kaherah.

Turut terkilan, selain itu, para mahasiswa yang menyertai perhimpunan tersebut juga diugut dengan pelbagai perkara seperti akan ditarik zakat yang menjadi hak mereka, disekat pinjaman walaupun pelajar hanya meminjam dan pelbagai lagi ancaman yang diberikan oleh pegawai yang tidak bertanggungjawab tersebut.

ILMAM melihat tindakan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana para mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka dan mereka tidak melakukan sebarang perkara yang dapat mengancam keselamatan negara lebih-lebih lagi mereka berada di luar Malaysia.

Tindakan pegawai yang langsung tidak mahu berbincang dengan mahasiswa tersebut seperti yang dilaporkan juga menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak beretika kerana tugas mereka sebenarnya adalah untuk memudahkan urusan para pelajar dan bukannya menyusahkan mereka hanya untuk kepentingan keduniaan semata-mata.

Apakah ini demokrasi dan keterbukaan kerajaan Malaysia? Walhal di Mesir, atau pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sama sekali tidak terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkannya untuk dikenakan tindakan yang terkandung didalam akta tersebut. Amat malang dan menyedihkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia sekarang ini.

ILMAM turut mempersoalkan mengapa hanya di Mesir diambil tindakan? Bukankah Bersih 2.0 dianjurkan di seluruh dunia? Di Australia, Jepun, Taiwan, United Kingdom, US dan lain-lain lagi? Jika kerajaan Malaysia ingin mengenakan tindakan sebegitu, biarlah adil, hukum semua penganjur atau mereka yang terlibat dengan tindakan yang sama di tempat-tempat lain.

Jadi, ILMAM Malaysia menaruh sepenuh pengharapan kepada Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir agar membuat pertimbangan yang sewajarnya, iaitulah dengan menarik balik sebarang tindakan yang dikenakan ke atas semua pelajar Malaysia tersebut untuk mendapat haknya yang sepatutnya diperolehi. Terutama memberi peluang kepada Saudara Firdaus bin Mazlan yang mengambil kursus lanjutan untuk menjadi mufti di Darul Ifta' Misriyyah yang sepatutnya telah tamat pengajiannya pada 25 Julai, kelmarin untuk menghabiskan dan melayakkan dirinya untuk mendapat sijil tersebut.

ILMAM Malaysia ingin mengakhiri dengan sedikit peringatan dan panduan hidup yang telah direncanakan oleh Nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad saw:

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam pernah bersabda: "Barangsiapa yang memudahkan jalan orang yang ingin menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke Syurga."

Sabda Rasulullah SAW: "Bantulah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi". Para sahabat lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi, tetapi bagaimana pula kita membantu mereka bilamana mereka melakukan kezaliman?”. Maka Rasulullah SAW menjawab : “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim.” (H.R. Al-Bukhari)

Sekian, Wassalam.

Yang Benar,

USTAZ MOHD AZIZUL HISHAM BIN ZULKIFLI

PRESIDEN,

PERTUBUHAN LEPASAN MAHASISWA MESIR (ILMAM) MALAYSIA

24 SYAABAN 1432H @ 26 JULAI 2011

ilmampusat.blogspot.com



No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...