Sunday, May 17, 2009

Persediaan Sebagai Da'ie

Mewujudkan kepimpinan yang diredhoi oleh Allah SWT dituntut oleh syara', sebagaimana yang telah terakam dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
.
"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada kemungkaran, merekalah orang-orang yang beruntung" (Surah Al-Imran:104)

Berdasarkan firman Allah tersebut, telah jelas kepada kita bahawa tugas menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar adalah satu tugas yang pasti disoal oleh Allah di akhirat nanti. Namun persediaan adalah diantara perkara yang terpenting untuk menegakkan kembali Islam di dalam kehidupan ummah. Rasulullah SAW terlebih dahulu disediakan oleh Allah SWT sebelum baginda SAW ditugaskan dengan kerja-kerja dakwah yang berat.

Firman Allah di dalam surah al- Anfal, ayat 60 yang bermaksud:
.
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui sedang Allah mengetahuinya."

Rasulullah SAW telah diutuskan untuk menyeru manusia kembali mengabdikan diri mereka sepenuhnya kepada Allah. Dengan bimbingan wahyu, Rasulullah SAW telah berjuang selama 23 tahun untuk membentuk sebuah ummah dan kemudiannya membina sebuah daulah yang matlamat utamanya ialah untuk mendapat mardhotillah. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah meletakkan iman kepada Allah sebagai teras utama dalam pembentukan ummah muslimin dan sirah Rasullulah SAW ini perlulah diambil iktibar dan diaplikasikan dalam kehidupan umat islam masa kini, bak kata pepatah "di mana bumi dipijak di situ langit di junjung".

Majoriti mahasiswa yang bermastautin di bumi mesir ini berada di bawah naungan satu organisasi induk iaitu Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan KPIPM khususnya, semestinya fungsi persatuan ini dibentuk adalah untuk melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada ahli-ahlinya dan yang lebih utama memandu ahli ke arah kebenaran dan menghapus kebatilan dan kemungkaran . Allah SWT memerintahkan agar kaum muslimin mentaati ‘Ulil Amri’ iaitu pemimpin yang ingin membentuk ahlinya ke arah kejayaan dunia dan akhirat dan selagi mana ianya tidak menyuruh kepada kemaksiatan.

Keutuhan persatuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah sekiranya tidak mendapat sokongan,maka akan jadilah seperti zaman kerajaan uthmaniah yang mana Islam dihancurkan bukan kerana peperangan tetapi hanya dengan serangan pemikiran dan budaya. Jika kita lihat, baginda SAW juga telah menjadikan daulah sebagai alat utama dalam melaksanakan segala yang terkandung di dalam tuntutan –tuntutan iman kepada Allah. Pimpinan iman dan kenegaraan ummah muslimin di bawah Rasulullah SAW adalah merupakan kemuncak pengabdiaan manusia terhadap khaliqNya. Pimpinan ini jugalah yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai panduan yang mesti dicontohi oleh seluruh manusia hingga kini dan selamanya.

Maka perlunya pentarbiahan rohani dan jasmani yang secukupnya, untuk memahami konsep iman dan taqwa, amar ma'ruf dan nahi mungkar. As-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan 10 ciri-ciri yang perlu ada pada setiap individu dan seseorang pimpinan iaitu faham, ikhlas, amal, tadhiyah, jihad, taat, thabat, tajarrud, ukhuwah, dan thiqah. Oleh itu persediaan adalah amat penting, kerana terkadang-kadang kita perlu menjadi "ad da'ie" dan juga kadang-kadang menjadi "mad'u" untuk mengelakkan daripada sifat riya' dan takabbur.

Semoga dengan kerjasama yang bersepadu dan erat diantara pimpinan dan ahli KPIPM khususnya, dapat melahirkan generasi pelapis kepimpinan yang mantap dalam segala aspek. Di samping sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing, bukan hanya mencari kesalahan dan menunding jari kepada kepimpinan yang ada tanpa memberi sebarang input yang baik untuk digunapakai oleh persatuan yang didokongi ini. Apabila kita tekad bersama, usaha di letak, dan tawakal di hati, akan dimudahkan jalan untuk kita dalam meneruskan perjuangan Islam ini insyaAllah.
Oleh :
Asma binti Mohammad Aziz

Lepasan Syariah Islamiah,
Universiti al Azhar,
Iskandariah

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...