Monday, March 27, 2023

LAPORAN | PROGRAM FAMILY DAY AND WINTER TRIP 2023 (FAMILY '23)

LAPORAN | PROGRAM FAMILY DAY AND WINTER TRIP 2023 (FAMILY ’23)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 

KAHERAH – Program Family Day And Winter Trip 2023 (FAMILY ‘23) anjuran Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 telah dijalankan selama 14 hari dengan bertemakan “Family Creates Memories”.

Family Day And Winter Trip 2023 (FAMILY ‘23) ini bermula pada 9 Februari 2023 bersamaan 18 Rejab 1444H sehingga 23 Februari 2023 03 Syaaban 1444H. Objektif utama yang ingin dicapai ialah mengukuhkan tautan ukhuwah antara satu sama lain, mewujudkan semangat berpasukan melalui persaingan yang sihat dan melahirkan mahasiswa/wi yang cakna akan sirah-sirah nabi terdahulu. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, FAMILY ‘23  telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang bagi semua mahasiswa dan mahasiswi.

9 Februari 2023 bersamaan 18 Rejab 1444H Family Day And Winter Trip 2023 (FAMILY ‘23) dimulakan dengan Malam Perasmian. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Asmaul Husna, lagu PMRAM serta lagu tema. Seterusnya diteruskan dengan ucapan daripada pengarah program Ustaz Alif Farhan bin Shuib dan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan perasmian yang telah disempurnakan oleh Ustaz Najib bin Abd Ghafar, Yang Dipertua BKPJM sesi 2022/2023. Majlis ini diadakan secara langsung di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi pada jam 8.00 malam dan selesai pada jam 9.30 malam. 

Pada tarikh 12 Februari hingga 14 Februari 2023, program telah diteruskan dengan mengadakan jaulah ikhwah ke Sinai dan Dahab manakala jaulah akhawat berlangsung pada 13 Februari hingga 15 Februari 2023 . Jaulah ini adalah hasil kerjasama antara BKAN Taakhi Zon C iaitu Johor, Perak dan Perlis yang mana dianjurkan bersempena dengan cuti semestar penggal pertama selepas imtihan fasa 1 baru-baru ini.
 
Pada tarikh 12 Februari bagi jaulah ikhwah manakala 13 Februari bagi jaulah akhawat, semua peserta telah berkumpul di Dewan Baitul Rahman untuk sesi taklimat sebelum bertolak ke destinasi. Antara yang ditekankan adalah berkenaan tentang etika dan keselamatan sepanjang aktiviti jaulah dilaksanakan. Sebelum memulakan perjalanan, semua peserta digalakkan untuk menunaikan solat sunat musafir. Bilangan keseluruhan peserta ikhwah dan akhawat yang menyertai jaulah ini ialah seramai 122 orang.

   Pada jam 2.30 pagi, para peserta sudah memulakan perjalanan ke Sinai. Dalam pejalanan, bas peserta telah berhenti singgah sebentar  di Nokhtah Hasanah sekitar jam 6.00 pagi bagi menunaikan Solat Subuh. Sejurus selesai menunaikan solat, perjalanan diteruskan. Setelah selesai solat Subuh secara berjemaah, FAMILY ‘23 meneruskan perjalanan ke destinasi pertama yang dituju adalah Kubu Bar Lev yang merupakan tapak peninggalan kubu Israel yang datang menjajah Sinai pada tahun 1967. Sebenarnya Semenanjung Sinai ini tidak kurang daripada 15 kali cubaan bagi kuasa-kuasa luar bagi menguasainya.  

      Kemudian pada jam 8.30 pagi, perjalanan diteruskan lagi melalui Uyun Nabi Musa yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari Kubu Bar Lev. Di sinilah terdapat 12 telaga yang telah digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani Israel. Tetapi kini hanya tinggal 3 sahaja yang ditemui. Seterusnya, peserta bertolak ke Jabal Nabi Musa A.S (St.Catherina) pada jam 3.00 petang. Di sini, para peserta mengambil peluang berdoa dan bertawassul di Maqam Nabi Harun A.S di samping mengambil gambar kenangan di bukit Batu Kesan Lembu Samiri.
Setelah itu, FAMILY ‘23 ke penginapan dan solat. Para peserta berkumpul di halaman tempat penginapan bagi taklimat penginapan. Seterusnya peserta diberi masa untuk berehat, melaksanakan solat makan malam dan BBQ. Turut dijalankan taklimat keselamatan sebelum mendaki Jabal Musa dan membahagikan peserta kepada beberapa kumpulan. Setelah selesai taklimat, peserta diberi masa untuk berehat dan membuat persediaan mendaki Jabal Musa.

     Ekspedisi mendaki bermula jam 1.00 pagi dan mengambil masa selama 4 jam untuk sampai ke puncak bukit. Sejurus selepas sampai di puncak, para peserta menunaikan solat subuh secara berjemaah di puncak bukit serta menikmati pemandangan matahari terbit. Setelah selesai aktiviti pendakian, peserta pulang ke tempat penginapan bagi bersiap-siaga untuk ke destinasi seterusnya iaitu Dahab.

      Apabila tiba di Dahab, para peserta jaulah terus menuju ke Hotel Octopus yang merupakan tempat penginapan semasa di sana. Di sana adalah tempat untuk kami menunaikan solat , berehat dan menjamu selera. Peringkat jaulah telah memberi ruang kepada para peserta bagi mengisi masa lapang pada waktu petang dengan aktiviti menaiki ATV Quard Bike di kawasan berdekatan tempat penginapan. Pada waktu malam pula, para peserta diberi masa berehat dan melakukan aktiviti bebas.
Pada hari ketiga, seusai menunaikan solat Subuh, semua peserta mengambil sarapan dan bersiap ke aktiviti yang terakhir iaitu aktiviti Glass Boat. Dengan melaksanakan aktiviti ini, kami dapat melihat hidupan-hidupan di dalam laut secara terus dalam masa yang sama menikmati keindahan ciptaan Allah dan mengambil gambar kenang-kenangan.   
           
      Akhir sekali, setelah bersiap untuk check-out, kami memulakan perjalanan pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan pulang, FAMILY ’23 diteruskan dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah di dalam bas yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari kepada musyrif penerangan dan unit makanan sebagai tanda penghargaan di atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang jaulah berlangsung. 
FAMILY ‘23 diteruskan pada hari berikutnya 16 Februari 2023, dengan pengisian oneman show yang bertajuk “Piala Dunia Qatar 202: Persepsi vs Realiti” yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Azib bin Azizan, Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2022/2023. Aktiviti ini dilaksanakan selepas bacaan Yaasin dan Ehya' al-Jum’ah
Pada 18 Februari 2023, FAMILY ‘23 dihangatkan lagi dengan aktiviti outdoor bagi ikhwah di Istad Abbasiah, Kaherah. Aktiviti outdoor ikhwah dimulakan dengan perasmian dan acara perarakan semua kontinjen daripada 3 buah rumah sukan iaitu red crescent, blue helmet dan green berets. Aktiviti diteruskan dengan ucapan alu-aluan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari. Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan acara larian 100 meter, 200 meter, 4x100 meter, 4x200 meter. Antara aktiviti lain adalah lari ikat kaki berpasangan, sukaneka, tarik tali, bola baling, bola tampar dan lain-lain. 

     FAMILY ‘23 diteruskan pada hari berikutnya 19 Februari 2023, dengan aktviti outdoor akhawat  dijalankan di Hadiqah Atfal dimulai dengan perarakan seluruh kontinjen rumah sukan. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan majlis perasmian dan ucapan alu-aluan Ketua HEWI KPIPM sesi 2022/2023, Ustazah Noor Raihana Zawani binti Johari. Antara aktiviti yang diadakan adalah acara balapan iaitu 100 meter, 4x100 meter. Terdapat juga acara sukaneka seperti kerusi muzik, teka-teki sirah, pecahkan belon, ball pass back, bola beracun dan lain-lain turut dipertandingkan.

    Pada 19 Februari 2023, Piala KPIPM dan Piala An-Nisa’ mewarnai FAMILY ‘23 dan ia merupakan perlawanan yang dinanti-nantikan oleh mahasiswa dan mahasiswi Perak di Lembah Nil ini. Piala KPIPM berlangsung di Padang Zahra, Hayyu Asyir sementara di peringkat akhawat berlangsung di Padang Alsun, Hayyu Thamin. Sebanyak 16 pasukan bertanding untuk memenangi Piala KPIPM. Perlawanan akhir menyaksikan pertembungan di antara pasukan An-Nasr dan Swordfish 1. Akhirnya, pasukan An-Nasr telah berjaya menjadi juara pada sesi kali ini. Bagi anugerah pemain terbaik Piala KPIPM ialah saudara Muhamad Hafizul Akmal bin N Rodzi dan penjaring gol terbanyak, saudara Azizul Haniff bin Abdul Aziz manakala Piala An-Nisa’ pula telah menyaksikan pertempuran sengit antara kumpulan Jauhar wakil BKPJM dan Queen Gaurus daripada wakil KPIPM. Hasil perlawanan bola baling ini telah dimenangi oleh Queen Gaurus dan penjaring gol terbanyak ialah saudari Nurhafizah binti Mohd Basri manakala pemain terbaik ialah saudari Nur Nazifa binti Abdul Rahim. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

      Majlis Penutupan FAMILY ‘23 telah diadakan di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Baitul Ridzuan pada 23 Februari 2023. Program bermula pada jam 5.30 malam dimulai dengan Ehya' al-Jum’ah sehingga 6.00 malam. Sejurus Solat Isyak berjemaah dan bacaan Yaasin, Majlis Penutupan FAMILY ‘23 dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis. Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan pengarah, Ustaz Muhammad Alif Farhan bin Shuib dan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari.

      Seterusnya majlis diserikan lagi dengan persembahan daripada wakil setiap rumah-rumah sukan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sajak, nasyid dan lakonan. Seterusnya, majlis diteruskan dengan acara yang ditungggu-tunggu iaitu penyampaian hadiah bagi setiap pemenang rumah sukan dan pengumuman pemenang rumah sukan bagi keseluruhan. Rumah merah iaitu rumah Red Crescent telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan FAMILY ‘23. Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh ahli rumah sukan atas kejayaan yang diperolehi. Majlis diakhiri dengan tayangan video penutup FAMILY ‘23 dan santapan jamuan serta sesi bergambar sebagai kenang-kenangan. Majlis ini telah berakhir pada jam 10.00 malam.

    Maka, berakhirlah sudah program FAMILY ‘23 Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023. Diharapkan agar program ini dapat mengeratkan tautan ukhuwah sesama anak-anak Perak di Mesir serta mengukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program FAMILY ‘23 dan semoga program Hari Keluarga akan datang dapat dianjurkan dengan lebih gemilang dan berjaya kelak. Sekian, terima kasih.

“Family Creates Memories”

#FAMILY23
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
 
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Izzuddin Yassin bin Rizalman
Setiausaha Family Day And Winter Trip 2023 (FAMILY ‘23)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023

Saturday, December 31, 2022

LAPORAN | PROGRAM URUS SETIA SAMBUTAN MAHASISWA BAHARU 2022 (USMB ’22)


LAPORAN | PROGRAM URUS SETIA SAMBUTAN MAHSAISWA BAHARU 2022 (USMB ’22) 
Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2022/2023

Rasulullah S.A.W bersabda: 

               "من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة " ، رواه مسلم ، وأصحاب السنن عن أبي هريرة.           
Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kehadiran mahasiswa/wi baharu ke Pelembahan Nil ini merupakan satu perkara yang menjadi kelaziman pada setiap tahun. Oleh itu, di peringkat Biro Pelajaran dan Ilmiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 telah menganjurkan satu program khas iaitu Program Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baharu 2022 (USMB ’22) yang bermula daripada 20 September 2022 sehingga 16 Disember 2022.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyambut kedatangan mereka ke bumi Mesir ini sekaligus menguruskan segala hal ehwal berkaitan dengan pengurusan tempat penginapan, kuliah, barang kendiri dan sebagainya. Dengan hadirnya bakal Azhari/ah ini, maka tema program iaitu “Mahasiswa Rabbani Penerus Legasi Azhari’ dijulang sebagai tema yang bakal menempat di hati dan jiwa mereka selaku penuntut ilmu di bumi Ardhil Kinanah ini.

Terdapat 5 objektif utama yang menjadi tunjang sepanjang perjalanan program ini. Pertama sekali, membentuk mahasiswa berthaqafah melalui penguasaan  ilmu turathi dan kontemporari. Seterusnya, mengukuhkan kesatuan KPIPM melalui pemerkasaan kebajikan mahasiswa baharu. Seterusnya, mengeratkan silaturahim antara mahasiswa baharu dan mahasiswa lama berkonsepkan ukhuwah islamiah. Selain itu, menerapkan serta mempraktikkan kefahaman Islam yang syumul berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Dan yang terakhir, meningkatkan kualiti pengurusan terhadap mahasiswa baharu.

Terbukanya tirai program setelah diadakan satu taklimat pengisian yang berbentuk secara maya iaitu Borak-Borak Santai bersama Pengerusi Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia Cawangan Perak iaitu Ustaz Zulhafeez bin Ahmad Zahidi. Taklimat pengisian ini telah diadakan pada 13 September 2022, jam 2:15 petang waktu Malaysia melalui aplikasi Google Meet. Antara pengisian yang diberi ialah taklimat persediaan ke Mesir, isu keselamatan dan kos sara hidup.

Pada 20 September 2022, hari yang dinanti-nantikan telah tiba setelah ketibaan mahasiswa baharu ke Ardhil Kinanah ini telah memecah suasana yang sunyi. Dengan kuantiti seramai 7 orang mahasiswa dan 4 orang mahasiswi baharu telah selamat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Seterusnya, perjalanan mereka diteruskan ke Wisma Baitul Rahman sebagai tempat penempatan bagi mahasiswa baharu dan Wisma Baitul Ridzuan bagi mahasiswi baharu.

Pada 23 September 2022 hari Jumaat, peringkat program USMB ’22 telah mencorakkan langkahnya dengan melaksanakan Senat Fakulti bagi memberikan gambaran awal kepada mahasiswa baharu mengenai urusan-urusan di kuliah dan yang seumpama dengannya. Selain itu, turut dilaksanakan Kembara Talaqqi di sekitar kota pedalaman di Darasah yang terkenal dengan pusat-pusat pengajian yang dibimbing oleh para masyeikh yang terkemuka. Antara yang diperkenalkan ialah Mudhoyafah Syeikh Ismail Sodiq Adhawi dan Mudhoyafah Syeikh Imran Dah. Setelah itu, turut dilaksanakan iaitu pengenalan dan pembahagian muzakarah berkelompok di Masjid al-Azhar seterusnya menyempurnakan solat jumaat di sana.

Pada 27 September 2022, telah diadakan Hari Taklimat dan Silaturahim 2022 (RAHIM ’22). Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari selaku YDP KPIPM sesi 2022/2023 yang berlangsung selama 2 hari. Antara pengisian yang dijalankan adalah:
-Peranan al-Azhar dan Manhajnya
-Jom Belajar Dialek Mesir ! 
- Forum Kewajipan Pemuda Muslim
- Pengenalan KPIPM

Esoknya diadakan sukaneka di Hadiqah al-Dawliyah seterusnya disambung pada malam hari dengan majlis penutupan RAHIM ’22.

Pada27  Oktober 2022, telah diadakan Hubbul Quran : Pengenalan Tahsin al-Quran selepas Ehya al-Jum’ah dengan kerjasama Biro Dakwah dan Tarbiah. Pengisi yang dijemput bukanlah calang-calang orang, beliau ialah Syeikh Muhammad Ali al-Azhari yang terkenal dengan ketokohan dan keilmuannya terhadap Ulum al-Quran.Seterusnya, pada 30 Oktober 2022, telah dilaksanakan Ziarah Syeikh  di maktabah Syeikh Rifaat Fauzi. 

Bagi bulan November pula,  pada 1 November 2022 di peringkat akhawat  seramai 3 orang dalam kalangan penggerak telah turun membantu mahasiswi USMB melakukan urusan ke kuliah bagi memudahkan urusan kuliah pada tahun tersebut. Seterusnya, telah dianjurkan juga Forum Mahasiswa dengan kerjasama Jabatan Fasilitator (JATA) pada 10 November 2022. Seterusnya, Mimbar Ilmu USMB ’22 diadakan selama 5 hari iaitu pada 12, 13, 16, 19, 20 November 2022 dan Winter Rush Jaulah Abou Ila untuk mahasiswi pada 14 November 2022 manakala mahasiswa pada 15 November 2022.

Pada bulan Disember 2022, telah diadakan Ziarah Maqam pada 9 Disember 2022 di sekitar Kaherah dan 16 Disember 2022, telah berlangsungnya  Majlis Malam Penutupan USMB ’22 di Wafa El-Amal dengan kerjasama JATA dan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2022/2023.

Akhir kalam, bersyukur ke hadrat Ilahi di atas nikmatNya yang tidak terhitung terutamanya nikmat ukhuwah dan nikmat kesatuan yang dikecapi. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program USMB ’22 secara langsung atau tidak langsung. Diharapkan setiap gerak kerja dan bantuan yang dihulurkan menjadi bekalan untuk dibawa di akhirat kelak dan diterima olehNya. Insya-Allah.

“Mahasiswa Rabbani Penerus Legasi Azhari”

#USMB ‘22
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Basyir bin Nazri 
Setiausaha (Promosi),
Program Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baharu 2022 (USMB ’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023.

Wednesday, December 14, 2022

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR 
Lembaga Tabung Ithar, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023 

Firman Allah SWT:

اِنَّ الْمُصَّدِّقِيْنَ وَالْمُصَّدِّقٰتِ وَاَقْرَضُوا اللّٰهَ قَرْضًا حَسَنًا يُّضٰعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ اَجْرٌ كَرِيْمٌ

Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang membenarkan (Allah dan Rasul-Nya) baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah peminjaman yang baik, nescaya akan dilipat gandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak". 

(Surah al-Hadid : ayat 18)

Ithar bermaksud melebihkan orang lain di saat diri memerlukan dan juga merupakan tingkatan tertinggi di dalam ukhuwah islamiah. Ithar juga merupakan tingkatan tertinggi di dalam tingkatan ukhuwah islamiah yang merupakan tingkatan yang sukar untuk dicapai.

Sifat ithar telah dipuji oleh Allah SWT di dalam Al-Quran pada surah al-Hashr ayat ke sembilan. 
Firman Allah SWT :

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡهِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمۡ حَاجَةٗ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ 

Maksudnya:"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

Sejarah telah menceritakan kisah yang begitu indah dan menakjubkan pada zaman dahulu ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Penghijrahan kaum Muhajirin ke bumi Madinah telah disambut baik oleh kaum Ansar. Kaum Ansar saling berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan terhadap saudara baharu yang hadir ke kota Madinah. Ada yang mampu menghadiahkan rumah. Ada juga yang sanggup menghadiahkan ladang kurma dan banyak lagi yang ingin disumbangkan atas dasar jalinan ukhuwah islamiah yang diterapkan di dalam diri kaum Ansar. Ini adalah perkara yang menakjubkan. Walaupun ada antara kaum Ansar yang serba kekurangan, mereka tetap berusaha untuk memberikan apa sahaja yang mereka ada demi kebaikan kaum Muhajirin.

Tanpa iman di hati, mana mungkin pengorbanan akan dapat dilakukan. Iman dan ukhuwah ada kaitan yang sangat rapat. Ukhuwah itu terjalin kerana akidah yang satu. Tanpa akidah, apakah akan wujudnya ukhuwah?

Ithar bukanlah suatu perkara yang muncul dan akan kekal dengan tiba-tiba, ithar perlu dilatih secara berterusan dan pengorbanan adalah natijah daripada ithar tanpa sedar. Bermula dari paksaan lalu berubah kepada sebuah kerelaan yang akhirnya diri sendiri tidak mengapa susah, jangan saudara yang lain merasai susah.

Sikap cakna terhadap saudara yang lain perlu diterapkan di dalam diri sebagain umat Islam. Diciptakan Allah SWT golongan yang susah supaya adanya medan bagi golongan yang senang untuk beribadah dengan cara membantu saudara yang susah. Hal ini tidak disedari oleh sebahagian masyarakat kini, asalkan diri sendiri sudah senang, saudara yang lain tak perlu diendahkan. Jangan sampai kesenagan ditarik oleh Allah SWT asbab ketidakcaknaan terhadap saudara seislam yang lain.

Oleh itu, sukacita dimaklumkan Lembaga Tabung Ithar KPIPM sesi 2022/2023 membuka ruang seluas-luasnya kepada seluruh ahli KPIPM untuk menghulurkan bayaran wang ithar sebanyak LE100.00 atau sebarang sumbangan semampunya pada sesi ini.

KPIPM sebagai sebuah Badan Kebajikan Anak Negeri mengambil ruang dan inisiatif untuk memupuk sifat Ithar yang digalakkan oleh Islam dalam kalangan ahli KPIPM.

Maka diwujudkan satu dana yang dinamakan Tabung Ithar dan diuruskan oleh ahli lembaga yang telah dilantik. Secara rasminya tabung ini telah dilancarkan pada tanggal 20 Februari, tahun 1998 oleh Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Ustaz Ahmad Bukhori Ghazali.

Saya selaku pengerusi Lembaga Tabung Ithar KPIPM sesi 2022/2023 menyeru dan mengajak seluruh ahli KPIPM untuk menyumbang kepada Tabung Ithar pada sesi ini demi memudahkan dan menggembirakan sahabat-sahabat kita yang ditimpa kesusahan dan kesulitan sekaligus dapat membenihkan Ithar di dalam diri kita, insya-Allah.

Segaris senyuman, semanis harapan.

Bayaran dan sumbangan boleh disalurkan kepada Bendahari Lembaga Tabung Ithar :

[IKHWAH]
🤵🏻‍♂ Ustaz Amir Hamzah bin Abdul Talib
🌐 http://www.wasap.my/+201144169109
📞 +201144169109

[AKHAWAT]
🧕🏻 Ustazah Ainun Fathiah binti Ahmad Kemunchak
🌐 http://www.wasap.my/+201554278245
📞 +201554278245

Semoga Allah SWT menerima segala amal kebaikan kita.

"Ithar Menyemai Keikhlasan"

Ustaz Abdul Muiz bin Mohamad Razali
Pengerusi Lembaga Tabung Ithar, 
Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023

#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
 
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Friday, December 9, 2022

کڽاتاءن راسمي | معلومن ڤنڠݢوهن ڤروݢرم KPIPM فاسا ١

کڽاتاءن راسمي | معلومن ڤنڠݢوهن ڤروݢرم KPIPM فاسا  ١ 
اونيت ڤنرڠن دان ڤنربيتن کلوارݢ ڤلاجر٢ إسلام ڤيرق مصر سيسي ٢٠٢٢/٢٠٢٣

فرمان الله تعالى : 
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

مقصودڽ : “دان اورڠ٢ يڠ برسوڠݢوه٢ (برجواڠ) د (جالن) کامي٫ کامي اکن بنر٢ منونجوقکن جالن کامي. دان سسوڠݢوهڽ الله برسام اورڠ٢ يڠ بربوات کباءيقن”. 

 (سورة العنكبوت : ايات ٩٦)

سڤرتي سديا معلوم ٫سيسي ڤڠاجين فاسا ساتو باݢي سيسي ٢٠٢٢/٢٠٢٣ کيني براد دالم ڤرسدياءن منوجو ک موسيم ڤڤريقساءن. سموا مهاسيسوا/وي سدڠ برسياڤ سديا ممبوات ڤرسدياءن امتحان باݢي ممڤراوليهي کجاياءن يڠ چمرلڠ دالم ڤڤريقساءن اکن داتڠ اين.  

سهوبوڠن ايت٫ کلوارݢ ڤلاجر٢ إسلام ڤيرق مصر سيسي ٢٠٢٢/٢٠٢٣ دڠن اين ممعلومکن بهاوا برمولا  ٩  دسمبير  ٢٠٢٢ سباݢاي تاريخ ڤنڠݢوهن ڤروݢرم ميݢ دڠن ڤڠچوالين ڤروݢرم يڠ بربنتوق علميه٫ موتيۏاسي دان تربيه سهاج .ايا برتوجوان ممبري ڤرسدياءن دان سماڠت يڠ جيتو کڤد مهاسيسوا/وي دالم مڠهادڤي ڤڤريقساءن يڠ اکن تيبا تيدق لاما لاݢي. 

اوليه يڠ دمکين، کلوارݢ ڤلاجر٢ إسلام ڤيرق مصر مڠهارڤکن سلوروه مهاسيسوا/وي داڤت ممنفعتکن ستياڤ ڤلواڠ يڠ اد دان ممبريکن سڤنوه ڤرهاتين دالم ڤلاجرن. ڤريڠکت کلوارݢ ڤلاجر٢ إسلام ڤيرق مصر جوݢ مندعاءکن اݢر سموا مهاسيسوا/وي مراءيه کجاياءن دالم ڤڤريقساءن ستروسڽ داڤت ممنفعتکن علمو يڠ دميليقي کڤد مشارکت. إنشاءالله.

#KPIPM_کلوارݢ_كيت
#KPIPMجاݢ_کلوارݢ_كيت_كيت
#برسامبرساتوجاياكن_ڤمباواءن_KPIPM 

برعلمو، برعمل، إخلاص
"ممورنيكن ڤميكيرن، مليستاريكن كساتوان"

Tuesday, November 22, 2022

MAKLUMAN | DIREKTORI BARISAN AHLI JAWATANKUASA

MAKLUMAN | DIREKTORI BARISAN AHLI JAWATANKUASA BIRO KPIPM SESI 2022/2023
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2022/2023

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلْأَبْرَارَ لَفِى نَعِيمٍ

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti  benar-benar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan". 
(Surah al-Infitar : ayat 13)

Makluman kepada seluruh ahli, berikut merupakan direktori barisan ahli jawatankuasa biro-biro di bawah KPIPM sesi 2022/2023. Semoga dengan amanah dan tanggungjawab yang ditaklifkan dapat disempurnakan dengan baik.

#KPIPMKeluargaKita 
#KeluargaKitaKitaJaga 
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"










Sunday, October 30, 2022

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-56 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-35 DAN MALAM KESYUKURAN AKADEMIK (MUNAWWAR ‘22)


LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-56 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-35 DAN MALAM KESYUKURAN AKADEMIK (MUNAWWAR ‘22)
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2022/2023.
 
KAHERAH - Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-56 & Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke-35 dan Malam Kesyukuran Akademik (MUNAWWAR '22) ini di bawah anjuran Jabatan Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022 dengan bertemakan "Syura Disepakati, Kejayaan Dirai".
 
Program MUNAWWAR '22 pada kali ini telah berlangsung selama 5 hari bermula pada 16 Oktober 2022 sehingga 20 Oktober 2022 bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Tema yang dibawa pada program ini adalah berkonsepkan kesenian dan kebudayaan.
 
Antara objektif utama MUNAWWAR '22 pada kali ini adalah untuk menambahbaik penyusunan gerak kerja Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM. Selain itu, medium ini dapat mengukuhkan ukhuwah islamiah antara pimpinan dan ahli KPIPM. Seterusnya, ia juga merupakan medium kepada seluruh anak-anak Perak di bumi Mesir untuk mengetahui perjalanan KPIPM sepanjang satu sesi. Tidak dilupakan juga, antara yang menjadi tarikan MUNAWWAR '22 pada kali ini adalah untuk meraikan kejayaan anak-anak Perak dalam pencapaian akademik masing-masing.
 
Tirai program MUNAWWAR '22 dibuka dengan Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke-35 yang mana ianya merupakan medium khusus bagi akhawat melontarkan muhasabah dan cadangan demi penambahbaikan keluarga KPIPM akan datang. Seterusnya, Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke-35 juga telah dirasmikan oleh AJK Badan Penasihat BKPPPM sesi 2021/2022, Ustazah Nur Syamsina binti Zahid.
 
Program diteruskan pada hari kedua dengan pembentangan Kertas Kerja Fiqh Ikhtilaf yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Syamsuzzaman Ikmal bin Mohd Shahrul Rizal dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-56 yang telah dirasmikan oleh Encik Hashim bin Zaini selaku Setiausaha Pertama (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.
 
Seterusnya, kemuncak bagi program MUNAWWAR '22 adalah pada 18 Oktober 2022 & 19 Oktober 2022 di mana telah berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-56. Antara agenda besar mesyuarat yang dibawakan adalah pembentangan & pengesahan minit Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-55, pembentangan gerak kerja sepanjang satu sesi oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2021/2022, pembentangan laporan kewangan KPIPM sepanjang satu sesi dan ucapan dasar oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari yang diterima pada sesi kali ini dan diakhiri dengan sebuah aktiviti menarik iaitu pelancaran Lagu KPIPM dan persembahan nasyid daripada Usrah al-Muhazzirun.
 
MUNAWWAR '22 melabuhkan tirainya pada hari Khamis bersamaan 20 Oktober 2022 iaitu dengan berlangsungnya Malam Kesyukuran Akademik bagi meraikan seluruh anak Perak di bumi Mesir yang telah berjaya dalam peperiksaan baru-baru ini.
 
Setinggi-tinggi harapan pihak program agar objektif utama program yang dianjurkan pada kali ini tercapai. Semoga melalui pelaksanaan mesyuarat pada kali ini menatijahkan satu keputusan yang baik dan diberkati serta melicinkan segala gerak kerja KPIPM di masa akan datang.
 
"Syura Disepakati, Kejayaan Dirai"
 
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
 
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"
 
Disediakan oleh :
Ustaz Danial Iskandar bin Zaini,
Setiausaha (Unit Promosi) Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-56 & Mesyuarat Tahunan HEWI Kali ke-35 dan Malam Kesyukuran Akademik (MUNAWWAR '22),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023.

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2022/2023

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2022/2023
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2022/2023

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam & Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2022/2023.

Siruu 'Ala Barakatillah.

#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"





MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN BERTERUSAN, PEMANGKIN KESATUAN Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN BERTERUSAN, PEMANGKIN KESATUAN Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025 Dalam sebuah komun...