Saturday, December 31, 2022

LAPORAN | PROGRAM URUS SETIA SAMBUTAN MAHASISWA BAHARU 2022 (USMB ’22)


LAPORAN | PROGRAM URUS SETIA SAMBUTAN MAHSAISWA BAHARU 2022 (USMB ’22) 
Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2022/2023

Rasulullah S.A.W bersabda: 

               "من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة " ، رواه مسلم ، وأصحاب السنن عن أبي هريرة.           
Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kehadiran mahasiswa/wi baharu ke Pelembahan Nil ini merupakan satu perkara yang menjadi kelaziman pada setiap tahun. Oleh itu, di peringkat Biro Pelajaran dan Ilmiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 telah menganjurkan satu program khas iaitu Program Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baharu 2022 (USMB ’22) yang bermula daripada 20 September 2022 sehingga 16 Disember 2022.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyambut kedatangan mereka ke bumi Mesir ini sekaligus menguruskan segala hal ehwal berkaitan dengan pengurusan tempat penginapan, kuliah, barang kendiri dan sebagainya. Dengan hadirnya bakal Azhari/ah ini, maka tema program iaitu “Mahasiswa Rabbani Penerus Legasi Azhari’ dijulang sebagai tema yang bakal menempat di hati dan jiwa mereka selaku penuntut ilmu di bumi Ardhil Kinanah ini.

Terdapat 5 objektif utama yang menjadi tunjang sepanjang perjalanan program ini. Pertama sekali, membentuk mahasiswa berthaqafah melalui penguasaan  ilmu turathi dan kontemporari. Seterusnya, mengukuhkan kesatuan KPIPM melalui pemerkasaan kebajikan mahasiswa baharu. Seterusnya, mengeratkan silaturahim antara mahasiswa baharu dan mahasiswa lama berkonsepkan ukhuwah islamiah. Selain itu, menerapkan serta mempraktikkan kefahaman Islam yang syumul berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Dan yang terakhir, meningkatkan kualiti pengurusan terhadap mahasiswa baharu.

Terbukanya tirai program setelah diadakan satu taklimat pengisian yang berbentuk secara maya iaitu Borak-Borak Santai bersama Pengerusi Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia Cawangan Perak iaitu Ustaz Zulhafeez bin Ahmad Zahidi. Taklimat pengisian ini telah diadakan pada 13 September 2022, jam 2:15 petang waktu Malaysia melalui aplikasi Google Meet. Antara pengisian yang diberi ialah taklimat persediaan ke Mesir, isu keselamatan dan kos sara hidup.

Pada 20 September 2022, hari yang dinanti-nantikan telah tiba setelah ketibaan mahasiswa baharu ke Ardhil Kinanah ini telah memecah suasana yang sunyi. Dengan kuantiti seramai 7 orang mahasiswa dan 4 orang mahasiswi baharu telah selamat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Seterusnya, perjalanan mereka diteruskan ke Wisma Baitul Rahman sebagai tempat penempatan bagi mahasiswa baharu dan Wisma Baitul Ridzuan bagi mahasiswi baharu.

Pada 23 September 2022 hari Jumaat, peringkat program USMB ’22 telah mencorakkan langkahnya dengan melaksanakan Senat Fakulti bagi memberikan gambaran awal kepada mahasiswa baharu mengenai urusan-urusan di kuliah dan yang seumpama dengannya. Selain itu, turut dilaksanakan Kembara Talaqqi di sekitar kota pedalaman di Darasah yang terkenal dengan pusat-pusat pengajian yang dibimbing oleh para masyeikh yang terkemuka. Antara yang diperkenalkan ialah Mudhoyafah Syeikh Ismail Sodiq Adhawi dan Mudhoyafah Syeikh Imran Dah. Setelah itu, turut dilaksanakan iaitu pengenalan dan pembahagian muzakarah berkelompok di Masjid al-Azhar seterusnya menyempurnakan solat jumaat di sana.

Pada 27 September 2022, telah diadakan Hari Taklimat dan Silaturahim 2022 (RAHIM ’22). Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari selaku YDP KPIPM sesi 2022/2023 yang berlangsung selama 2 hari. Antara pengisian yang dijalankan adalah:
-Peranan al-Azhar dan Manhajnya
-Jom Belajar Dialek Mesir ! 
- Forum Kewajipan Pemuda Muslim
- Pengenalan KPIPM

Esoknya diadakan sukaneka di Hadiqah al-Dawliyah seterusnya disambung pada malam hari dengan majlis penutupan RAHIM ’22.

Pada27  Oktober 2022, telah diadakan Hubbul Quran : Pengenalan Tahsin al-Quran selepas Ehya al-Jum’ah dengan kerjasama Biro Dakwah dan Tarbiah. Pengisi yang dijemput bukanlah calang-calang orang, beliau ialah Syeikh Muhammad Ali al-Azhari yang terkenal dengan ketokohan dan keilmuannya terhadap Ulum al-Quran.Seterusnya, pada 30 Oktober 2022, telah dilaksanakan Ziarah Syeikh  di maktabah Syeikh Rifaat Fauzi. 

Bagi bulan November pula,  pada 1 November 2022 di peringkat akhawat  seramai 3 orang dalam kalangan penggerak telah turun membantu mahasiswi USMB melakukan urusan ke kuliah bagi memudahkan urusan kuliah pada tahun tersebut. Seterusnya, telah dianjurkan juga Forum Mahasiswa dengan kerjasama Jabatan Fasilitator (JATA) pada 10 November 2022. Seterusnya, Mimbar Ilmu USMB ’22 diadakan selama 5 hari iaitu pada 12, 13, 16, 19, 20 November 2022 dan Winter Rush Jaulah Abou Ila untuk mahasiswi pada 14 November 2022 manakala mahasiswa pada 15 November 2022.

Pada bulan Disember 2022, telah diadakan Ziarah Maqam pada 9 Disember 2022 di sekitar Kaherah dan 16 Disember 2022, telah berlangsungnya  Majlis Malam Penutupan USMB ’22 di Wafa El-Amal dengan kerjasama JATA dan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2022/2023.

Akhir kalam, bersyukur ke hadrat Ilahi di atas nikmatNya yang tidak terhitung terutamanya nikmat ukhuwah dan nikmat kesatuan yang dikecapi. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program USMB ’22 secara langsung atau tidak langsung. Diharapkan setiap gerak kerja dan bantuan yang dihulurkan menjadi bekalan untuk dibawa di akhirat kelak dan diterima olehNya. Insya-Allah.

“Mahasiswa Rabbani Penerus Legasi Azhari”

#USMB ‘22
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Basyir bin Nazri 
Setiausaha (Promosi),
Program Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baharu 2022 (USMB ’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023.

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...