LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-59 DAN HARI AKTIVIS 2025 (MAHA '25) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2024/2025
LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-59 DAN HARI AKTIVIS 2025 (MAHA '25) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2024/2025
KAHERAH:- Program Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke-59 & Hari Aktivis 2025 (MAHA '25) sesi 2024/2025 anjuran Jabatan Setiausaha Agung dengan kerjasama Jabatan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2024/2025 dengan bertemakan "Keluarga Kita, Bersama Bersatu". Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-59 & Hari Aktivis 2025 telah mengadakan pertandingan mencipta logo MAHA '25 bagi kategori ikhwah dan akhwat. Pertandingan ini telah dipromosikan melalui platform Facebook Laman KPIPM dan sebaran di status Whatsapp pada 13 Oktober 2025.
Pada 14 Oktober 2025, peringkat Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2024/2025 telah membuka usul bagi Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-59. Pembukaan usul ini berlangsung selama tiga hari iaitu hari Selasa, Rabu dan Khamis, bermula 14 hingga 16 Oktober 2025 tanpa menerima sebarang usul bertulis untuk dibahaskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-59.
Pada 16 Oktober 2025 bersamaan hari Khamis telah diadakan Ehya' al-Jum'ah dan Diskusi Kitab Syura yang bertajuk "Antara Realistik dan Retorik" sempena MAHA '25. Majlis telah bermula dengan bacaan Surah Yāsin yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Zahir Ihsan bin Imam Subuki dan diteruskan lagi dengan alunan qasidah. Ustaz Hafizh Nurhaziq bin Husin, Ketua Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah KPIPM sesi 2024/2025 telah dijemput sebagai pengisi bagi program ini. Majlis ini diakhiri dengan malam pengenalan calon bagi Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPIPM sesi 2025/2026 dan tayangan video pengenalan calon.
Roadshow Muzakarah Berkelompok (MB) juga telah diadakan pada 17 Oktober 2025 bersamaan hari Jumaat. Sewaktu roadshow MB ini, telah disebarkan plakad "ROAD TO MAHA '25 " dan "KAMI HADIR" ke setiap group MB.
Pendaftaran Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-59 & Hari Aktivis 2025 telah dibuka pada 17 Oktober 2025 melalui platform Google form yang disebarkan di iklan poster. Yuran yang dikenakan bagi perwakilan dan pemerhati ialah sebanyak RM 14.00 atau LE 150.00 bagi setiap ahli. Pendaftaran MAHA '25 telah ditutup pada 19 Oktober 2025 dengan bilangan pendaftar seramai 99 orang.
Pada 20 Oktober 2025 bersamaan hari Isnin, telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM Kali ke-59 & Hari Aktivis 2025 (MAHA '25) bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Program tersebut bermula pada jam 3.00 petang dengan ucapan pengerusi majlis dan nyanyian lagu. Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan Pengarah MAHA '25 yang disampaikan oleh Ustaz Arif bin Tito, diikuti oleh ucapan perasmian MAHA '25 yang telah disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Mahasiswa Ulum Islamiah sesi 2025, Ustaz Muhammad Amin bin Zulyusra. Gimik perasmian MAHA '25 juga telah disempurnakan oleh perasmi. Program kemudiannya berhenti seketika bagi memberi laluan pelaksanaan solat fadhu Asar secara berjemaah.
Program diteruskan lagi dengan perarakan masuk pimpinan diteruskan lagi dengan ucapan aluan Yang Dipertua KPIPM sesi 2024/2025 dan pelantikkan pengerusi sidang, setiausaha sidang dan pengira undi. Kemudian, penyampaian taklimat Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-58 telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Azib bin Azizan, Setiausaha Agung KPIPM sesi 2024/2025.
Agenda mesyuarat diteruskan lagi dengan pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-59 serta perkara-perkara berbangkit. Seterusnya, mesyuarat diteruskan dengan pembentangan laporan aktiviti biro dan jabatan serta sesi soal jawab berkaitan laporan jabatan dan biro. Selepas itu, majlis ditangguhkan seketika untuk memberi ruang pada perwakilan dan pemerhati bagi menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dan makan.
Program diteruskan lagi dengan pembentangan dan pengesahan laporan kewangan, perlantikan juruaudit KPIPM sesi 2025/2026, serta pembentangan dan perbahasan usul KPIPM sesi 2025/2026. Terdapat juga slot cabutan bertuah semasa program. Program seterusnya beralih kepada slot muhasabah dan cadangan umum KPIPM. Seterusnya, majlis diteruskan dengan perarakan keluar pimpinan sesi 2024/2025 dan diakhiri dengan solat Isyak secara berjemaah.
Pada keesokkan hari, 21 Oktober 2025 bersamaan hari Selasa, Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM Kali ke-59 & Hari Aktivis 2025 (MAHA '25) diteruskan di Dewan Company Club, Hayyu Asyir pada jam 5 petang. Program bermula dengan ucapan aluan pengerusi majlis dan perarakan masuk Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2024/2025 serta penyerahan sijil anugerah setiap biro. Program diteruskan lagi dengan penyampaian Anugerah Tokoh Aktivis dan Anugerah Emas. Kemudian program berhenti seketika untuk memberi ruang bagi para perwakilan dan pemerhati menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah. Program disambung semula dengan ucapan wakil badan penasihat serta serahan Ithar, ucapan Ketua HEWI KPIPM sesi 2024/2025, Ustazah Nur Najiah binti Mohd Azhar dan ucapan penangguhan daripada Yang Dipertua KPIPM sesi 2024/2025, Ahmad Yamin bin Zainal Abidin.
Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan perarakan keluar pimpinan sesi 2024/2025 dan pengisytiharan Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPIPM sesi 2025/2026 oleh Jawatankuasa Khas Pilihanraya. Kemudian, majlis diakhiri dengan ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2025/2026, Ustaz Ahmad Yamin bin Zainal Abidin dan sesi jamuan. Halwa telinga juga disajikan kepada perwakilan dan pemerhati ketika jamuan berlangsung dengan menjemput kumpulan nasyid Usrah al- Muhazzirun untuk membuat persembahan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan oleh kepada para perwakilan, pemerhati serta seluruh barisan kepimpinan yang bantu melancarkan perjalanan program. Tiada daya dan tiada upaya melainkan Allah SWT yang menggerakkan hati-hati kita semua agar bersatu menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan. Pihak program sangat berharap pelaksanaan mesyuarat pada kali ini dapat menuaikan hasil yang terbaik dan membuahkan natijah yang sempurna di mata sisi Islam. Di samping itu, kami juga mendoakan semoga pelayaran kapal yang akan dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPIPM sesi 2025/2026 akan datang agar dapat berlayar dengan baik.
"Keluarga Kita, Bersama Bersatu"
#MAHA25 #KPIPMKeluargaKita #KeluargaKitaKitaJaga #BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"



Comments
Post a Comment