Monday, May 6, 2024

LAPORAN | PROGRAM TARBIAH RAMADAN DAN KEAGUNGAN SYAWAL 2024 (FARHAH ‘24)

LAPORAN | PROGRAM TARBIAH  RAMADAN DAN KEAGUNGAN SYAWAL 2024 (FARHAH ‘24)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024

KAHERAH – Program Tarbiah  Ramadan dan Keagungan  Syawal 2024 (FARHAH ‘24) dengan bertemakan “Tarbiah Ramadan Dihayati, Kemenangan Syawal Dirai" pada kali ini bermula pada 29 Syaaban 1445 Hijrah bersamaan 10 Mac 2024. Walaubagaimanapun, FARHAH ‘24 pada kali ini dijalankan sama seperti tahun sebelumnya iaitu dengan menggabungkan program merangkumi bulan Ramadan dan Syawal dibawah satu program.

Antara objektif yang telah digariskan dalam program ini adalah untuk memperkukuhkan kefahaman Islam melalui tarbiah ramadan dalam diri mahasiswa/wi. Selain itu, menghidupkan aktiviti kerohanian melalui penghayatan tarbiah dalam bulan kebesaran islam. Seterusnya, mengeratkan tautan ukhuwah dalam kalangan anak-anak Perak dalam bulan ramadan dan bulan syawal. 

FARHAH ‘24 telah dibuka dengan Majlis Perasmian Program Tarbiah  Ramadan dan Keagungan Syawal 2024 (FARHAH ‘24) yang bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan dengan ucapan daripada Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024 Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail. Majlis telah dirasmikan oleh Ybhg Dato’ Haji Mohd Yusop bin Haji Husin, Mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Seterusnya, majlis juga telah diserikan lagi dengan gimik perasmian dan tayangan video pengenalan FARHAH ‘24.

Antara aktiviti-aktiviti FARHAH ‘24 yang dapat dilaksanakan pada kali ini ialah Syantah Ramadan, Sahur Jamaie, Iftar Jamaie, Solat Tarawih Berjemaah dan sebagainya. Selain itu, FARHAH ‘24 juga telah berjaya melaksanakan beberapa aktiviti mingguan seperti Raudhatul Muttaqin dan Kembara Dari Masjid Ke Masjid.

Pengisian Raudhatul Muttaqin pada FARHAH ‘24  ini telah membentangkan sebuah kitab iaitu kitab Maqasid As-Saum yang disampaikan oleh Ustaz Muhamad Aiman bin Zahari, Fasilitator KPKM sesi 2023/2024. Selain itu, telah diadakan juga Bengkel Tajwid dan Tahsin Bersanad Surah Al-Fatihah yang telah disampaikan oleh Al-Fadil Syeikh Muhammad Ali Al-Azhari, Pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Syukbah Hadis Universiti Al-Azhar. 

Di samping itu, FARHAH ‘24 juga juga telah menjelajah beberapa buah masjid tempatan bagi aktiviti Kembara Dari Masjid Ke Masjid sebanyak dua kali khusus bagi akhawat. Antara masjid yang telah dijelajah untuk solat tarawih adalah Masjid Amru bin al-Asr dan Masjid Hassan El-Sharbatly yang bertempat disekitar Kaherah, Mesir.

Seterusnya, FARHAH ‘24 telah melaksanakan Iftar Jamaie pada setiap minggu hari Khamis dan Sahur Jamaie pada setiap minggu hari Jumaat dengan menjemput seluruh anak Perak untuk iftar dan sahur jamaie bersama-sama di perkarangan Wisma Baitul Rahman dan beberapa rumah sewa yang dikhususkan. Ini bertujuan untuk mengukuhkan tali silaturrahim antara anak-anak Perak serta mengambil peluang mengeratkan lagi ukhuwah bersama adik-adik USMB yang baharu.

Alhamdulillah, solat tarawih berjemaah juga dapat dilaksanakan di Wisma Baitul Rahman dan Wisma Baitul Ridzuan serta dimeriahkan lagi dengan jemputan Imam Tarawih dari Shoubra pada setiap hari Khamis.
 
Program Tarbiah Ramadan dan Keagungan Syawal 2023 (FARHAH  ‘24) diteruskan lagi  dengan Majlis Khatam Al-Quran dan iftar jamaie. Keesokan harinya, bersambung pula dengan  Malam Perutusan Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi pada 9 April 2024 selepas solat Asar. Majlis telah diserikan dengan sedikit ucapan perutusan Aidilfitri daripada Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024, Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail.

Pada Hari Raya Pertama, 10 April 2024 seawal 7 pagi, seluruh mahasiwa/wi menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Dataran Hayyu Asyir yang telah ditetapkan sebagai tempat pengumpulan anak-anak Malaysia tahun ini. Setelah selesai solat, ahli KPIPM menyambut Hari Lebaran dengan saling menziarahi antara rumah-rumah sewa untuk mengeratkan silaturahim.

 Hari Raya Kedua, 11 April 2024 telah diadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Majlis Penutupan FARHAH ‘24 bermula jam 10 pagi sehingga jam 3.00 petang.  Majlis dimeriahkan lagi dengan slot ucapan pengarah dan ucapan Yang Dipertua KPIPM. Kemudian, diadakan juga penyampaian hadiah dan pengumuman tokoh FAWWAZ ’23. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid daripada Usrah al-Muhazzirun dan tayangan video penutup. Seterusnya, majlis diteruskan dengan aktiviti rumah terbuka bagi ikhwah dan akhawat di Dewan Masjid Al-Ansar, Akhir Sabik, Ikhwah ditempatkan di tingkat 2, manakala akhawat pula di tingkat 3. Terdapat  aktiviti yang menarik turut diadakan seperti cabutan bertuah, pertandingan kuiz dan tidak dilupakan juga penyampaian ucapan hari raya daripada ahli kepada ahli . Ketika majlis berlangsung, para DJ telah memainkan peranan yang besar dalam memeriahkan suasana hari raya.

Program FARHAH ‘24 telah pun berakhir dengan majlis rumah terbuka aidilfitri pada hari tersebut. 

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan FARHAH ‘24 secara langsung atau tidak langsung. Semoga setiap gerak kerja yang dilakukan dicatat sebagai satu amalan kebaikan dan digandakan pahala disisiNya. Insya-Allah.

“Tarbiah Ramadan Dihayati, Kemenangan Syawal Dirai"

#FARHAH ‘24
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Hanzalah bin Md Yusoff
Setiausaha (Unit Promosi) Program Tarbiah Ramadan & Keagungan Syawal 2024 (FARHAH ‘24)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024.

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | PROGRAM TARBIAH RAMADAN DAN KEAGUNGAN SYAWAL 2024 (FARHAH ‘24)

LAPORAN | PROGRAM TARBIAH  RAMADAN DAN KEAGUNGAN SYAWAL 2024 (FARHAH ‘24) Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024 KAHERAH ...