MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024
Firman Allah SWT :
{ فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَیۡرࣰا یَرَهُۥ (٧) وَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةࣲ شَرࣰّا یَرَهُۥ (٨) }
Maksudnya:
“Barangsiapa yang melakukan kebaikan sebesar zarah maka akan diperlihatkan kelak (7) Dan barangsiapa yang melakukan keburukkan sebesar zarah akan diperlihatkan kelak (8)
(Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)
Menurut Kamus Pelajar Edisi ke-2 kebajikan membawa maksud perbuatan yang mendatangkan kebaikan dan jasa kepada masyarakat. Kebajikan ialah komponen utama yang seharusnya diterapkan dalam setiap keperibadian insan dalam membentuk sahsiah terpuji dan melahirkan masyarakat harmoni. Hal yang demikian kerana kebajikan merupakan salah satu sifat mahmudah yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran sebagai satu penekanan terhadap manusia akan kepentingannya.
Seperti yang kita sedia maklum bahawa kebajikan merupakan tuntutan agama yang bukan sahaja memberi faedah kepada diri sendiri, faedah tersebut dapat dirasai oleh masyarakat sekeliling. Antara fitrah seorang manusia itu apabila saudaranya ditimpa sebarang musibah maka akan timbulnya belas kasihan dan rasa ingin membantu sesama mereka. Dengan demikian, maka beruntunglah kita sebagai manusia kerana dianugerahkan satu sifat yang mana tidak diberikan kepada makhluk lain.
Sahabat dan sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,
Menjadi kewajipan terhadap kita semua yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi untuk menitikberatkan serta menjaga kebajikan diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Jika dilihat dari sudut yang lain tidak wajar bagi seorang mahasiswa itu mengambil enteng terhadap isu kebajikan kerana perbuatan tersebut akan melahirkan sifat pentingkan diri sendiri dan tidak mahu untuk membantu saudara mereka. Janganlah kita mencari alasan yang tidak munasabah seperti sibuk terhadap pembelajaran sebagai satu sebab kita tidak mahu mengambil berat terhadap kebajikan orang lain.
Oleh itu, izinkan saya untuk berkongsi sedikit tentang kepentingan terhadap penjagaan kebajikan sepanjang kita bergelar sebagai mahasiswa dan mahasiswi:
1. Menyemai perasaan cinta dan kasih sayang sesama kita.
2. Meningkatkan tahap kecaknaan individu terhadap keadaan seseorang.
3. Meringkan beban sahabat kita yang ditimpa musibah dan kesusahan. Natijahnya, kita dapat memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan dan membina kesefahaman.
4. Menunaikan hak kita terhadap orang lain iaitu tolong-menolong antara satu sama lain. Setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan agar dapat membangunkan keharmonian dan keutuhan sesebuah masyarakat atau kesatuan.
Ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian,
Maka yang demikian saya berbesar hati untuk mengutarakan satu kalam daripada Nabi S.A.W :
“Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang kesusahan, Allah akan mudahkan urusannya di dunia dan akhirat” (H.R. Muslim).
Sehubungan dengan itu, maka jelaslah di sini bahawa Baginda S.A.W sangat menggalakkan umatnya untuk membantu saudaranya dalam meringkan bebanan dan kesusahan. Jika diteliti dengan lebih mendalam, kalam Baginda tersebut amat berkait rapat dengan soal kebajikan kerana dengan asbab kita menjaga kebajikan orang lain maka secara tidak langsung kita dapat memudahkan urusan mereka.
Walau bagaimanapun, hal tersebut bersangkutan dengan soal pengorbanan kita terhadap orang lain. Cuba kita fikirkan sejenak sejauh mana pengorbanan yang telah kita curahkan kepada sahabat-sahabat demi keselesaan mereka?
Sekiranya tidak wujud dalam jiwa seorang insan itu rasa ingin berkorban untuk orang lain maka tidak terhasil kebaikan individu tersebut dan kebajikan tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya. Justeru, saya ingin menegaskan bahawa setiap mahasiswa mestilah mendalami erti pengorbanan yang sebenar sebelum ditanam ke dalam hati setiap insan.
Lantaran itu, pengorbanan dan kebajikan merupakan dua elemen utama yang wajib bergerak seiring dalam diri mahasiswa. Setiap daripada kita haruslah berkorban dalam setiap aspek seperti masa, tenaga dan harta kerana hal tersebut tidak lain dan tidak bukan untuk memelihara kesejahteraan kita dan kebajikan mahasiswa akan lebih terjamin.
Mahasiswa dan mahasiswi yang disegani sekalian,
KPIPM merupakan wadah kesatuan anak perak yang bertanggungjawab dalam mengekalkan penjagaan kebajikan seluruh anak Perak khususnya yang sedang menuntut ilmu di bumi Mesir ini. Di samping itu, kita juga mestilah memahami bahawa KPIPM tidak tertumpu kepada aspek akedemik dan kesatuan semata-mata, akan tetapi di sini juga adalah medan untuk kita membina sahsiah keperibadian yang mulia dan melahirkan seorang pendakwah yang berkualiti dalam seluruh aspek. Setiap usaha dan gerak kerja yang dipraktikkan dalam kesatuan ini merupakan satu rantaian yang berhubung dengan gerak kerja dakwah islam yang pernah dibawa oleh Baginda Nabi S.A.W bersama para sahabat suatu ketika dahulu. Maka yang demikian, dengan wujudnya kesatuan ini dapat memberi peluang sebesarnya-besarnya kepada seluruh anak Perak untuk menaburkan bakti dan jasa dalam memastikan kebajikan anak-anak Perak terus berkekalan. Tidak dilupakan juga, KPIPM pada sesi kali ini akan berusaha sedaya upaya dalam menjayakan pembawaan YDP KPIPM sesi 2023/2024 iaitu “Kebajikan Agenda Utama”.
Berdasarkan sabda Nabi S.A.W yang membawa maksud: “Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin lain maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada hari itu mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah.” (Riwayat At-Tabrani).
Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam melaksanakan gerak kerja Islam yang telah diperjuangkan oleh para asatizah terdahulu. Jadikanlah KPIPM sebagai batu loncatan dalam meneruskan perjuangan dakwah baginda. Sehubungan dengan perkara tersebut, janganlah kita menjadikan soal pembelajaran sebagai alasan untuk kita tidak mengambil berat tentang kebajikan orang di sekeliling kita. Selain itu, tanamkanlah dalam hati dan nurani kita akan sifat keprihatinan terhadap orang lain supaya kita dapat menghindarkan diri daripada sifat pentingkan diri sendiri serta mengutamakan kebajikan umum berbanding kebajikan diri sendiri.
'Kebajikan Agenda Utama'
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
Nukilan daripada:
Ustaz Hafizh Nurhaziq bin Husin
Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024