Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023
KAHERAH – Program Tarbawi Ramadan dan Semarak Syawal (FAWWAZ ‘23) dengan bertemakan “Madrasah Ramadan Dihayati, Kemenangan Syawal Dirai" pada kali ini bermula pada 29 Syaaban 1444 Hijrah bersamaan 21 Mac 2023. Walaubagaimanapun, FAWWAZ ’23 pada kali ini dijalankan berbeza berbanding tahun sebelumnya iaitu dengan menggabungkan program merangkumi bulan Ramadan dan Syawal dibawah satu program.
Antara objektif yang telah digariskan dalam program ini adalah untuk memperkukuhkan kefahaman Islam dalam diri mahasiswa/wi. Selain itu, mengeratkan tautan ukhuwah dalam kalangan anak Perak melalui sambutan bulan kebesaran Islam. Seterusnya, menghidupkan aktiviti kerohanian mahasiwa/wi melalui penghayatan tarbiah Ramadan dan kemenangan Syawal.
FAWWAZ ‘23 telah dibuka dengan Majlis Perasmian Program Tarbawi Ramadan dan Semarak Syawal 2023 (FAWWAZ ‘23) yang bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan dengan ucapan daripada Pengarah, Ustaz Muhammad Ahmad Yamin bin Zainal Abidin dan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari. Majlis telah dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Baihaki bin Rashid, Ahli Jawatankuasa Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Pusat. Seterusnya, majlis juga telah diserikan lagi dengan gimik perasmian dan tayangan video pengenalan FAWWAZ ‘23.
Antara aktiviti-aktiviti FAWWAZ ‘23 yang dapat dilaksanakan pada kali ini ialah Syantah Ramadan, Sahur Jamaie, Iftar Jamaie, Solat Tarawih Berjemaah, dan Tazkirah Ramadan. Selain itu, FAWWAZ ‘23 juga telah berjaya melaksanakan beberapa aktiviti mingguan seperti Raudhatul Muttaqin dan Kembara Dari Masjid Ke Masjid.
Pengisian Raudhatul Muttaqin pada FAWWAZ ‘23 ini telah membentangkan dua buah kitab iaitu kitab Setangkai Padi yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Rusydi bin Rozali, Pengarah Akademi Tok Guru, Lajnah Pengetahuan KPKM sesi 2022/2023 dan Kelas Ilmu Falak bertajuk Hisab dan Hilal Ramadan dan Syawal yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak.
Di samping itu, FAWWAZ ‘23 juga telah menjelajah beberapa buah masjid tempatan bagi aktiviti Kembara Dari Masjid Ke Masjid sebanyak dua kali khusus bagi akhawat. Antara masjid yang telah dijelajah untuk solat tarawih adalah Masjid Amru bin al-Asr dan Masjid Hassan El-Sharbatly yang bertempat disekitar Kaherah, Mesir.
Seterusnya, FAWWAZ ‘23 melaksanakan Iftar Jamaie pada setiap minggu hari Khamis dan Sahur Jamaie pada setiap minggu hari Jumaat dengan menjemput seluruh anak Perak untuk iftar dan sahur jamaie bersama-sama di perkarangan Wisma Baitul Rahman dan beberapa rumah sewa yang dikhususkan. Ini bertujuan untuk mengukuhkan tali silaturrahim antara anak-anak Perak serta mengambil peluang mengeratkan lagi ukhuwah bersama adik-adik USMB yang baharu.
Alhamdulillah, solat tarawih berjemaah juga dapat dilaksanakan di Wisma Baitul Rahman serta dimeriahkan lagi dengan jemputan Imam Tarawih dari Shoubra pada setiap hari Khamis.
Program Tarbawi Ramadan dan Semarak Syawal 2023 (FAWWAZ ‘23) diteruskan lagi dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Malam Perutusan Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi pada 20 April 2023 selepas solat Asar. Majlis telah diserikan dengan sedikit ucapan perutusan Aidilfitri daripada Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari.
Pada Hari Raya Pertama, 21 April 2023 seawal 5.30 pagi, ahli KPIPM dan mahasiwam/wi menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di masjid yang telah ditetapkan sebagai tempat pengumpulan anak-anak Malaysia iaitu di Masjid Tontowi secara beramai-ramai. Setelah selesai solat, ahli KPIPM menyambut Hari Lebaran dengan saling menziarahi antara rumah-rumah sewa untuk mengeratkan silaturahim.
Pada Hari Raya Keempat, 24 April 2023 telah diadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bagi peringkat akhawat iaitu pada sebelah pagi bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 3.00 petang. Ketika majlis berlangsung, terdapat aktiviti yang menarik turut diadakan seperti kuiz Aidilfitri, cabutan bertuah dan tidak dilupakan juga pertandingan teka lagu raya. Kemudian, pada jam 4.00 petang sehingga jam 7.00 malam adalah waktu bagi peringkat ikhwah. Ketika majlis berlangsung, para DJ telah memainkan peranan yang besar dalam memeriahkan suasana hari raya.
Pada Hari Raya Kelima, 25 April 2023 telah berlangsungnya Forum Raya Aidilfitri yang bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Majlis bermula pada pukul 6.30 malam. Forum tersebut telah membawakan dua orang panel yang cukup hebat iaitu Ustaz Mohd Faqrulrazi Nuqman bin Ramli, Pengerusi Lembaga Penasihat MKKK sesi 2022/2023 dan Ustazah Adibah Khairina Huda binti Redzuan, Ketua HEWI (Lajnah Perancang HEWI) BKPJM sesi 2022/2023. Setelah itu, majlis tersebut diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan oleh peringkat program.
FAWWAZ ‘23 kian melabuhkan tirainya seusai solat Asar secara berjemaah, program diteruskan lagi dengan Riang Ria Keluarga Kita dan Malam Penutupan FAWWAZ ‘23 bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan sebagai aktiviti terakhir pada jam 4.00 petang 27 April 2023. Majlis dimeriahkan lagi dengan slot ucapan Raya, tayangan video sketsa Raya dan penyampaian hadiah serta pengumuman tokoh FAWWAZ ’23. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid daripada Usrah al-Muhazzirun dan tayangan video penutup.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan FAWWAZ ‘23 secara langsung atau tidak langsung. Semoga setiap gerak kerja yang dilakukan dicatat sebagai satu amalan kebaikan dan digandakan pahala disisiNya. Insya-Allah.
“Madrasah Ramadan Dihayati, Kemenangan Syawal Dirai"
#FAWWAZ23
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”
Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Zuhairi bin Kharuddin,
Setiausaha (Promosi),
Program Tarbawi Ramadan dan Semarak Syawal (FAWWAZ ‘23),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023.