Saturday, September 24, 2022

LAPORAN | JELAJAH MATRUH SIWA 2022 (JELAJAH ’22)

 


LAPORAN | JELAJAH MATRUH SIWA 2022 (JELAJAH ’22)
Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah KPIPM sesi 2021/2022 

KAHERAH – 21, 22 dan 23 Ogos 2022 bersamaan 23, 24 dan 25 Muharam 1444 Hijrah, bersempena cuti semester penggal kedua Universiti Al-Azhar, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan jaulah yang dinamakan sebagai Jelajah Matruh Siwa 2022 (JELAJAH ’22) khusus bagi ahli ikhwah dibawah seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah KPIPM sesi 2021/2022.

Sedikit laporan berkaitan tentatif perjalanan program pada hari pertama. Seawal jam 2 pagi, semua peserta diminta berkumpul di perkarangan Baitul Rahman bagi semakan nama pendaftaran, taklimat oleh Unit Pendaftaran, Disiplin dan Keselamatan. Antara yang dititik beratkan ialah mengenai etika, maklumat peribadi dan keselamatan sepanjang jaulah berlangsung. Bilangan keseluruhan peserta jaulah ini seramai 29 orang. Pada jam 3 pagi, coaster mula bertolak ke tempat yang dituju.

Pada jam 5.00 pagi, coaster berhenti sebentar di perhentian R&R bagi memberi laluan kepada peserta untuk menunaikan solat fardu Subuh. Kemudian, meneruskan perjalanan sambil para peserta menikmati pemandangan sepanjang perjalanan. Seterusnya di sepanjang perjalanan, Unit Pengisian dan Cenderahati telah mengadakan aktiviti perasmian JELAJAH ’22 yang telah dimulai dengan ucapan Pengarah iaitu Ustaz Amir Hamzah bin Abdul Talib dan disempurnakan dengan ucapan Perasmi oleh Yang Di-pertua KPIPM , Ustaz Meor Amin Nurrasyid bin Meor Azhar.

Seterusnya, para peserta diberikan sarapan pagi beserta beberapa pengisian iaitu sesi taaruf peserta dari BKAN lain dan kuiz yang mencuit hati serta penerangan awal berkaitan lokasi jaulah yang bakal diziarahi oleh Ustaz Abdul Latif bin Abdullah.

Alhamdulillah sejurus tiba di Marsa Matruh pada jam 9 pagi, para peserta menziarahi destinasi yang pertama iaitu Hammam Cleopatra dan mengadakan sesi tangkap gambar untuk kenangan. Sedikit penerangan berkaitan destinasi tersebut, peserta dapat melihat suatu batu yang besar yang terdapatnya lubang dimana air laut boleh masuk dan keluar tatkala ombak datang membadai, dan dikatakan disitu antara tempat mandi puteri Cleopatra.

Kemudian, JELAJAH ’22 diteruskan lagi dengan berkunjung ke destinasi yang kedua iaitu Pantai Ajibah. Ia dianggap sebagai pantai yang tercantik di Mesir dengan pelbagai jenis warna biru yang berbeza pada air lautnya dan pemandangan yang cantik dan memukau para pengunjung yang melihatnya. Dikatakan pantai ini mempunyai 7 warna air laut yang berbeza saat tenggelamnya matahari. Para peserta melakukan aktiviti iaitu bergambar dan bersiar-siar disekitar pantai tersebut.

Seusai itu, perjalanan diteruskan lagi dengan melawat  Pantai Abyadh. Para peserta diberikan pengisian yang menarik dan aktiviti ukhuwah antaranya bergambar, mandi-manda, bola beracun dan makan tengahari. Kemudian, para peserta menunaikan solat jama’ taakhir zohor dan asar di masjid yang berdekatan sejurus selesai aktiviti di pantai.

Kemudian, jaulah ini diteruskan lagi dengan bermusafir ke tempat yang kedua iaitu Siwa  yang mengambil masa selama 6 jam jarak dari Marsa Matruh. Alhamdulillah, seluruh peserta selamat tiba di Siwa tanpa menghadapi sebarang permasalahan sama ada di setiap checkpoint polis ataupun kesesakan lalu lintas. Selepas itu, peserta dibahagikan penempatan, makan malam serta menyelesaikan solat jama’ taakhir di tempat penginapan masing-masing.

Keesokan paginya, sejurus selepas solat fardu Subuh, JELAJAH ’22 meneruskan perjalanan ke Jabal Dakrur dan bergambar disitu sebagai kenangan. Ia merupakan sebuah bukit yang besar yang mempunyai banyak sejarah tentang qabilah-qabilah disini. Seterusnya, perjalanan diteruskan lagi ke Bahru Malah, sebuah tasik garam semulajadi yang cantik dan mempunyai keunikan tersendiri. Peserta diberi peluang untuk merasai pengalaman terapungkan diri dengan mandi-mandi disitu.

Kemudian, peserta kembali ke tempat penginapan untuk sarapan dan kendiri sebelum meneruskan perjalanan ke Kolam Cleopatra. Jaulah diteruskan dengan bersiar-siar di kolam tersebut dan mendengar sejarah berkaitan destinasi tersebut dari Musyrif Penerangan. Antaranya, kolam tersebut menjadi salah satu sumber air utama kepada masyarakat setempat sekitar Siwa dan pertanian di kawasan tersebut. Selepas itu, perjalanan diteruskan ke Kota Siwa Lama yang juga dikenali sebagai Kota Sarang Semut. Para peserta diberi peluang untuk menaiki kota sarang tersebut dan dapat melihat pemandangan dari atas sekitar Siwa. 

Sebagai penutup pada hari yang kedua, peserta berpeluang mengikuti aktiviti Safari sekembali ke tempat penginapan sejurus selesai menunaikan solat jama’ taqdim zohor dan asar. Antara aktiviti yang menarik ialah menelusuri padang pasir dengan menaiki jeep, melawat kawasan oasis semula jadi, minum teh serta melakukan aktiviti sandboarding. Alhamdulillah, aktiviti ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah dikalangan peserta dan melihat pemandangan semula jadi dan unik yang Allah ciptakan disini. Sebelum maghrib, para peserta selamat kembali ke tempat penginapan dan makan malam yang disediakan oleh Unit Makanan. Pada malamnya selepas melakukan solat jama’ taqdim, peserta berpeluang membeli cenderahati di sekitar Kota Siwa Lama sebelum kembali ke tempat penginapan untuk berehat.

Alhamdulillah pada hari ketiga, JELAJAH ’22 diteruskan dengan perjalanan pulang ke Marsa Matruh. Peserta menunaikan solat jama’ taqdim di R&R sebelum tiba Souq Libya. Sekembalinya, peserta berpeluang untuk membeli-belah di Souq Libya yang mana menjual pelbagai barangan, pakaian dan cenderahati sebagai kenangan sebelum pulang ke Kaherah. 

Sebelum sampai ke Kaherah, beberapa aktiviti telah dijalankan dibawah pengendalian Unit Pengisian & Cenderahati iaitu acara tukar hadiah dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan caption dan gambar yang menarik beserta pemberian cenderhati kepada Musyrif Penerangan dan Tukang masak selaku tulang belakang program sebagai tanda penghargaan. 

Alhamdulillah, pada jam 11.00 malam, coaster pun selamat tiba ke kawasan mahkamah Sabik, Kaherah. Akhir sekali, besarlah harapan diperingkat program agar para peserta dapat menjayakan tema yang dibawa dalam JELAJAH ’22 iaitu bertemakan ukhuwah sesama peserta dan memahami sejarah disebalik destinasi yang dikunjungi.

“Eksplorasi Sejarah, Ekspedisi Ukhuwah”

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh :
Muhammad Haziq bin Hussin 
Setiausaha (Unit Promosi) JELAJAH ‘22
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022



No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...