Monday, August 8, 2022

LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2022 (SAADAH ’22)


LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2022 (SAADAH ’22) 
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah & Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2021/2022 

KAHERAH - Sambutan Hari Raya Aidiladha 2022 (SAADAH ’22) ini di bawah seliaan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022 dengan bertemakan “Ibrah Tadhiah, Manifestasi Ubudiah". 

Program SAADAH ’22 pada kali ini bermula pada 8 Zulhijjah sehingga 15 Zulhijjah 1443 Hijriah bersamaan 7 Julai sehingga 14 Julai 2022 Masihi. Program SAADAH ’22 pada kali ini dijalankan berbeza berbanding tahun sebelumnya iaitu secara fizikal ataupun nama lainnya secara bersemuka. 

Objektif utama SAADAH ’22 dianjurkan adalah bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha bersama anak-anak Perak, meningkatkan thaqafah mahasiswa/wi melalui penghayatan Aidiladha dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan anak Perak di Mesir. Alhamdulillah dengan izin Ilahi, SAADAH ’22 pada kali ini telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik khususnya buat semua anak Perak yang berada di Mesir bersesuaian mengikut landasan syariat yang telah ditetapkan oleh syara'. 

Tirai program sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 (SAADAH ’22) dibuka dengan Pembentangan Fiqh Akikah dan Korban dan diteruskan Majlis Perasmian Aidiladha yang berlangsung di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan pada 7 Julai 2022, khamis jam 8.00 malam. Program bermula dengan ucapan pembukaan daripada Pengarah SAADAH ’22 iaitu Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2021/2022, Ustaz Meor Amin Nurrasyid bin Meor Azhar.

Program ini dimeriahkan lagi dengan sesi perasmian Aidiladha yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Abdul Hadi bin Abd Razak, Setiausaha Pertama Hal Ehwal Agama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan disertakan juga dengan gimik perasmian. Majlis diakhiri dengan solat Isyak secara berjemaah di dewan.

Pada malam raya Aidiladha, telah diadakan Majlis Malam Perutusan Aidiladha 1443H (SAADAH '22) bertempat di Markas Sementara KPIPM. Majlis bermula dengan solat maghrib secara berjemaah dan disusuli Takbir Raya Aidiladha. Ucapan perutusan Aidiladha telah disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2021/2022, Ustaz Meor Amin Nurrasyid bin Meor Azhar. Majlis diakhiri dengan solat Isyak secara berjemaah dan takbir raya.

Pada hari raya pertama, 09 Julai 2022 seawal 5.30 pagi, anak-anak Malaysia menunaikan solat sunat Aidiladha di dataran Hayyu Asyir yang telah ditetapkan sebagai tempat pengumpulan anak-anak Malaysia iaitu di perkarangan dataran Hayyu Asyir secara beramai-ramai. Khutbah raya telah disampaikan oleh Ustaz Ku Abdul Muhaimin bin Ku Mat, Koordinator Pembangun Insan, Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri (MG BKAN). 

Pada hari raya kedua, 10 Julai 2022 telah diadakan aktiviti sembelihan dan melapah daging korban. Aktiviti tersebut bermula jam 8.00 pagi yang dihadiri oleh anak-anak Perak bagi membantu bergotong-royong melapah, memotong dan menimbang daging korban. Sebanyak 52 ekor kambing dan 16 ekor kambing biri-biri yang berjumlah 68 binatang korban secara keseluruhannya. Proses agihan daging bermula jam 1.30 petang dihantar sekitar kawasan Hayyu Sabiek, Darrasah dan Hayyu Asyir. Aktiviti gotong-royong memasak bagi jamuan Rumah Terbuka Aidiladha diadakan sekitar jam 10 malam yang dihadiri sebahagian anak Perak di Markas Sementara KPIPM.  

Pada hari raya ketiga, 11 Julai 2022 telah diadakan Majlis Rumah Terbuka Aidiladha bagi peringkat akhawat iaitu pada sebelah pagi bermula jam 12.00 tengahari sehingga jam 4.30 petang. Ketika majlis berlangsung, terdapat aktiviti yang menarik turut diadakan seperti tayangan video Pengenalan SAADAH `22 dan tayangan gambar aktiviti sepanjang program. Kemudian pada jam 5.00 petang sehingga jam 8.00 malam adalah waktu bagi peringkat ikhwah. Ketika majlis berlangsung, para DJ telah memainkan peranan yang besar dalam memeriahkan suasana hari raya. Majlis Rumah Terbuka Aidiladha telah dihadiri oleh Duta TYT, beberapa orang VIP dan seluruh anak Perak di Mesir.

Pada hari raya Kelima, 13 Julai 2022 telah berlangsungnya Kursus & Praktikal Sembelihan khusus akhawat sahaja. Kursus tersebut telah disampaikan oleh Ustazah Nur Aisyah binti Mustafa selaku aktivis KPKM. Program tersebut telah diadakan bermula jam 7.00 pagi di Markas Sementara KPIPM dan disertai seramai 30 orang akhawat. Binatang sembelihan yang digunakan adalah ayam. Kursus diakhiri dengan solat Zohor secara berjemaah.   

Pada Hari Raya Keenam, 14 Julai 2022 telah diadakan Kursus Haji & Umrah yang disampaikan oleh Ustaz Majdi bin Zakaria sebagai Manager Tourism & Ticketing Travel Pegasus Egypt. Kursus tersebut bermula jam 8 pagi di Dewan Syeikh Idris Al- Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan.

SAADAH ’22 kian melabuhkan tirainya seusai solat Maghrib secara berjemaah, program diteruskan lagi dengan Majlis Penutupan SAADAH '22 bertempat di Dewan Syeikh Idris Al- Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Majlis dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah bagi setiap pemenang. Antaranya, pemenang bagi pertandingan gambar dan caption yang menarik, pemenang bagi video reels Instagram, pemenang bagi pertandingan replika binatang dan pemenang bagi pertandingan mewarna . Majlis dikendalikan oleh dua orang host iaitu Ustaz Akmal Azri bin Abdul Wahab dan Ustaz Azib bin Azizan dan diakhiri dengan tayangan video Penutup SAADAH `22. 

Setinggi-tinggi harapan pihak program agar objektif utama program yang dianjurkan iaitu mengeratkan ukhuwah anak-anak Perak di Mesir dan meraikan kemeriahan Hari Raya Aidiladha dalam kalangan anak Perak serta meningkatkan thaqafah mahasiswa/wi melalui penghayatan Aidiladha tercapai. Semoga melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti SAADAH ’22 pada kali ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli KPIPM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPIPM, insya Allah. 
#RayaBersamaBKAN

" Ibrah Tadhiah, Manifestasi Ubudiah "

#KPIPMKeluargaKita 
#Keluargakitakitajaga
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP 
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Khairul Naim bin Mohd Razali,
Setiausaha Program Sambutan Hari Raya Aidiladha 2022 (SAADAH '22),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...