LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2022 (FAIZIN’22)
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah & Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2021/2022
KAHERAH - Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 (FAIZIN’22) ini di bawah seliaan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022 dengan bertemakan “Laungan Takbir Mensyukuri Kemenangan".
Program FAIZIN’22 pada kali ini bermula pada 30 Ramadan sehingga 3 Syawal 1443 Hijriah bersamaan 1 Mei sehingga 4 Mei 2022 Masihi. Walau bagaimanapun, FAIZIN’22 pada kali ini dijalankan berbeza berbanding tahun sebelumnya iaitu secara fizikal ataupun nama lainya secara bersemuka.
Objektif utama FAIZIN’22 dianjurkan adalah bagi mengeratkan ukhuwah anak-anak Perak di Mesir, meraikan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan anak Perak dan menghidupkan aktiviti kebudayaan dan kesenian Islam. Alhamdulillah dengan izin Ilahi, FAIZIN’22 pada kali ini telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik khususnya buat semua anak Perak yang berada di Mesir bersesuaian mengikut landasan syariat yang telah ditetapkan oleh syara'.
Tirai program sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 (FAIZIN’22) dibuka dengan Majlis Perutusan Aidilfitri dan Majlis Perasmian Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan pada 1 Mei 2022, Ahad jam 8.00 malam. Program bermula dengan ucapan pembukaan daripada Pengarah FAIZIN’22 iaitu Ustaz Muhammad Nazreen Faris bin Zaini. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan ucapan perutusan raya Aidilfitri yang telah disampaikan oleh Ustaz Meor Amin Nurrasyid bin Meor Azhar selaku Yang Dipertua KPIPM sesi 2021/2022. Setelah selesai sesi perutusan raya Aidilfitri, program ini dimeriahkan lagi dengan sesi perasmian Aidilfitri yang dirasmikan oleh Ustaz Abdul Wafi bin Ralib, Penyelaras Utama Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri sesi 2022 dan disertakan juga dengan gimik perasmian.
Majlis ditutup dengan tayangan video pengenalan FAIZIN’22 dan taklimat pergerakan kembara takbir raya bagi ikhwah dan juga akhawat. Bagi ikhwah, mereka akan bergerak ke rumah-rumah sewa yang telah ditetapkan dan bagi akhawat pula dilaksanakan di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan.
Pada Hari Raya Pertama, 2 Mei 2022 seawal 6.30 pagi, ahli KPIPM dan lain-lain menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid yang telah ditetapkan sebagai tempat pengumpulan anak-anak Malaysia iaitu di Masjid Tontowi secara beramai-ramai. Setelah selesai solat, FAIZIN’22 diteruskan dengan aktiviti Potluck Anak Perak bagi peringkat ikhwah pada jam 8.00 pagi bertempat di Hadiqah Lotus. Aktiviti berlangsung sehingga jam 12.00 petang dan kemudiannya diteruskan pula bagi peringkat akhawat bermula jam 12.30 petang sehingga jam 4.00 petang. Pada jam 6.00 petang aktiviti diteruskan lagi dengan program pengisian kesihatan yang bertajuk “Lets Talk About Addiction” bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Pengisian menarik ini telah disampaikan oleh Dr. Amin bin Abdul Rahman yang merupakan pelajar PERUBATAN tahun 4 cawangan Azhar. Setelah habis pengisian, peringkat program telah menyediakan hadiah kepada pengisi sebagai cenderahati di atas ilmu-ilmu yang dicurahkan.
Pada Hari Raya Kedua, 3 Mei 2022 telah diadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bagi peringkat akhawat iaitu pada sebelah pagi bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 12.30 petang. Ketika majlis berlangsung, terdapat aktiviti yang menarik turut diadakan seperti persembahan nasyid daripada usrah Khairatun Hisan, kuiz Aidilfitri, pertandingan teka bilangan kuih raya, cabutan bertuah dan tak dilupakan juga pertandingan teka lagu raya. Kemudian pada jam 1.00 petang sehingga jam 5.00 petang adalah waktu bagi peringkat ikhwah. Ketika majlis berlangsung, para DJ telah memainkan peranan yang besar dalam memeriahkan suasana hari raya. Di samping hadir ramainya tetamu ke rumah terbuka ini, terselit juga aktiviti-aktiviti menarik untuk memeriahkan lagi suasana majlis sepertimana yang berlangsung di peringkat akhawat. Di akhir majlis, para tetamu telah disajikan dengan tayangan video sketsa raya.
Pada Hari Raya Ketiga, 4 Mei 2022 telah berlangsungnya Hari Kebudayaan dan Kesenian Islam Aildifitri yang bertempat di Markas Sementara KPIPM bagi akhawat dan bagi ikhwah adalah di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Majlis bermula pada pukul 8.00 pagi sehinggalah pukul 12.00 tengahari. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ialah persembahan tilawah al-Quran, qasidah, tarian dabus dan silat serta diselitkan dengan aktiviti pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh mahasiswa/wi PERUBATAN. Tak lupa juga terdapat pula beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh peringkat program iaitu pertandingan pantun dan tazkirah berantai. Di peringkat akhawat, tayangan video sketsa raya ditayangkan di akhir majlis sebagai penutup Hari Kebudayaan dan Kesenian Islam. Setelah itu, majlis tersebut diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan oleh peringkat program.
FAIZIN’22 kian melabuhkan tirainya seusai solat Zohor secara berjemaah, program diteruskan lagi dengan Majlis Penutupan Program bertempat di Dewan Syeikh Idris Al- Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan sebagai aktiviti terakhir pada jam 1.00 petang 4 Mei 2022. Majlis dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah bagi setiap pemenang. Antaranya, pemenang bagi pertandingan lelaki melayu terakhir, pemenang bagi pertandingan teka bilangan kuih raya, pemenang bagi pertandingan raya sedondon dan sebagainya. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid daripada usrah al-Muhazzirun dan tayangan video penutup.
Mudah-mudahan objektif utama program yang dianjurkan iaitu mengeratkan ukhuwah anak-anak Perak di Mesir dan meraikan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan anak Perak tercapai. Semoga melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti FAIZIN’22 pada kali ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli KPIPM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPIPM, insya Allah.
#RayaBersamaBKAN
"Laungan Takbir Mensyukuri Kemenangan"
#KPIPMKeluargaKita
#Keluargakitakitajaga
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"
Disediakan oleh :
Muhammad Basyir bin Nazri,
Setiausaha Program Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 (FAIZIN'22),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022.