Thursday, February 17, 2022

LAPORAN PROGRAM SERAMBI UKHUWAH ANAK PERAK 2022 (SUPER’22)


LAPORAN PROGRAM SERAMBI UKHUWAH ANAK PERAK 2022 (SUPER’22)

KAHERAH, 15 FEBRUARI 2022- Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022 telah berjaya mengadakan Program Serambi Ukhuwah Anak Perak 2022 (SUPER’22) di bawah anjuran Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2021/2022. 

Objektif program ini adalah untuk menerapkan nilai ukhuwah Islamiah dalam kalangan anak Perak. Seterusnya, mewujudkan persaingan yang sihat dan semangat berpasukan dalam kalangan anak Perak dan meningkatkan thaqafah ahli bagi membentuk mahasiswa berpengetahuan luas. Program ini bertemakan “Ukhuwah Terbina, Memori Tercipta”.

Program SUPER’22 telah bermula dengan slot pengisian Tafsir Surah as-Saff pada 9 Februari 2022. Pengisian ini disampaikan oleh Ustaz Muhammad Harith bin Osman, Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM sesi 2021/2022 dengan tajuk kitabnya Tafsir Surah as-Saff. Pengisian ini telah diadakan di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan dan juga secara siaran langsung bermula jam 6.00 petang. Kemudian, bermulanya majlis Perasmian SUPER’22 pada jam 7.30 malam. Majlis dimulakan dengan nyanyian nasyid Asma’ al-Husna, lagu PMRAM dan lagu tema SUPER’22 iaitu Jalinan daripada kumpulan UNIC. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah SUPER’22, Ustaz Ahmad Amjad Fawwaz bin Ahmad Jazman, ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2021/2022, Ustaz Meor Amin Nurrasyid bin Meor Azhar dan ucapan perasmi oleh Yang Dipertua (Pengerusi HEWI) Keluarga Pelajar-pelajar Perlis Mesir sesi 2021/2022, Ustaz Muhammad Salman bin Shafri. Majlis diserikan lagi dengan gimik perasmian dan tayangan video pengenalan SUPER’22 serta persembahan pantun daripada Usrah al-Muhazirun. 

Pada hari berikutnya, telah berlangsung hari Explorace Ikhwah dan Akhawat. Explorace ini bertempat di Hadiqah Dauli bagi Ikhwah dan Hadiqah Atfal bagi Akhawat. Semua peserta berkumpul di mahkamah sebelum bertolak ke tempat Explorace pada jam 7.30 pagi. Hari Explorace dimulakan dengan slot Speaker Corner yang berfokuskan tajuk “Pluralisme” yang disampaikan oleh Ustaz Amar bin omar bagi sebelah ikhwah dan Ustazah Amal Syahida binti Rijaluddin bagi sebelah akhawat. Kemudian, pada jam 9.30 pagi aktiviti Explorace pun bermula. Seramai 10 kumpulan ikhwah dan 8 kumpulan akhawat yang telah terlibat dalam aktiviti Explorace. Hari Explorace tamat pada jam 1.00 petang (akhawat) jam 3.00 petang (ikhwah) dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan Explorace dan sesi fotografi. Selain itu, telah berlangsung forum sejarah BKAN yang bertajuk “Our Journey, Our Responsibility” pada jam 6.30 petang di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Forum ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Faiz bin Mohd Salim, Penyelaras Utama Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri sebagai panel 1, Ustazah Nur Syuadah binti Mohd Salleh, Penasihat BKPJM sesi 2021/2022 sebagai panel 2 dan Ustaz Muhammad Haziq bin Hussin, Aktivis KPIPM sebagai moderator. Melalui forum ini ahli dapat mengetahui sejarah penubuhan MGBKAN dengan lebih jelas serta kepentingan BKAN taakhi dan lain-lain.

Berikutnya, telah berlangsung Hari Piala KPIPM dan Piala an-Nisa’ pada hari Sabtu, 12 Februari 2022. Perlawanan futsal diadakan di Sport Arena, az-Zahra’, Hayyu Asyir bagi ikhwah dan perlawanan bola jaring diadakan di Padang el-Wafa’ el-Amal bagi akhawat. Sebanyak 16 pasukan futsal telah bertanding dan dua daripadanya merupakan kumpulan dari BKAN taakhi iaitu Johor dan Perlis. Terdapat 6 pasukan bola jaring telah bertanding dan turut disertai sebuah pasukan dari BKAN taakhi Perlis. Perlawanan futsal telah dijuarai al-Ahly FC manakala perlawanan bola jaring dijuarai oleh pasukan Kluster. Hari Piala KPIPM selesai pada waktu petang dan Piala an-Nisa’ diakhiri dengan sesi fotografi dan bersurai pada sebelah petang.

Pada keesokan harinya, telah berjalan slot pengisian Tafsir Surah as-Saff pada jam 7.00 pagi di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Slot ini merupakan sambungan daripada pengisian Tafsir Surah as-Saff yang telah berlangsung pada 9 Februari 2022 yang juga disampaikan oleh Ustaz Muhammad Harith bin Osman, Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM sesi 2021/2022. Antara pengisian yang disampaikan adalah berkaitan wajib mengotakan janji dan melaksanakan apa yang dikata serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar secara berjemaah.


Seterusnya, forum kesihatan yang bertajuk “Anxiety and Depression: Sudut Pandang Sains dan Perubatan Islam” telah diadakan di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan dan juga secara siaran langsung pada jam 3.30 petang iaitu pada 14 Februari 2022. Forum ini telah disampaikan oleh Dr. Aimi Syuhada binti Mizam, Naib Presiden 2 merangkap Timbalan Ketua Jabatan Sukan dan Aktiviti Luar PERUBATAN sesi 2021/2022 sebagai panel 1, Ustaz Muhammad Khairul Hafiz bin Abd Razak, Fasilitator KPIPM sesi 2021/2022 sebagai panel 2 dan Ustaz Abdul Muiz bin Mohamad Razali, Bendahari Kehormat KPIPM sesi 2021/2022 sebagai moderator. Hasil daripada forum tersebut ialah ahli dapat mengetahui faktor-faktor dan gejala- gejala anxiety dan depression serta cara rawatannya. Ahli juga didedahkan serba sedikit mengenai asas-asas perubatan Islam. Setelah itu, bermulanya malis penutup SUPER’22 pada jam 6.30 petang. Majlis dimulakan dengan nyanyian nasyid Asma’ al-Husna, lagu PMRAM dan lagu tema SUPER’22 dan bacaan doa dari Ustaz Muhammad Hafizul Akmal bin N Rodzi. Majlis diteruskan dengan ucapan pengarah SUPER’22, Ustaz Ahmad Amjad Fawwaz bin Ahmad Jazman dan ucapan YDP KPIPM sesi 2021/2022, Ustaz Meor Amin Nurrasyid bin Meor Azhar sekaligus merasmikan penutupan program SUPER’22. Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah, persembahan sajak dan video penutup. Alhamdulillah program berakhir pada jam 10 malam dan diakhiri dengan sesi fotografi dan jamuan sebelum bersurai. Diharapkan agar program ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara anak Perak tidak kira yang muda atau tua, lama atau baru serta antara pimpinan dan ahli.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program Serambi Ukhuwah Anak Perak 2022 (SUPER’22) secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran .


“UKHUWAH TERBINA, MEMORI TERCIPTA”

#SUPER’22
#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Solihin bin Ahmad Azhari,
Setiausaha (Promosi), 
Program Serambi Ukhuwah Anak Perak 2022 (SUPER’22),
Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022.

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...