Monday, July 26, 2021

LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN IBADAH KORBAN 2021 (QANITIN’21)

KAHERAH – Program Sambutan Ibadah Korban 2021 (QANITIN’21) anjuran Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah & Jabatan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021 dengan bertemakan “Ketaatan Pencetus Pengorbanan”.

   Program Sambutan Ibadah Korban 2021 (QANITIN’21) ini bermula pada 19 Julai 2021 bersamaan 9 Zulhijah 1442H sehingga 22 Julai 2021, 12 Zulhijah 1442H. Program kali ini tidak dapat dijalankan seperti tahun-tahun sebelumnya berikutan pandemik wabak COVID-19 yang masih tersebar di seluruh dunia. Oleh hal yang demikian, aktiviti pada tahun ini menjadi sedikit terbatas bagi mematuhi etika yang telah ditetapkan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan kerajaan Mesir. Walaubagaimanapun, program masih dapat dijalankan melalui keluasan teknologi masa kini dengan menjadikan media sosial sebagai medium untuk melaksanakannya.

   Objektif utama yang ingin dicapai di peringkat Program Sambutan Ibadah Korban 2021 (QANITIN'21) ini adalah menghidupkan suasana sambutan hari kebesaran Islam bersama anak-anak Perak dan mengukuhkan thaqafah mahasiswa dan mahasiswi melalui penghayatan Hari Raya Aidiladha. Seterusnya, menyalurkan kebajikan bagi mengukuhkan kesatuan sesama ahli. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, QANITIN’21  telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi semua mahasiswa dan mahasiswi mengikut norma baharu.

   Kemeriahan Hari Raya Aidiladha dimulai dengan aktiviti gotong-royong pada 19 Julai 2021 jam 7.00 pagi di kediaman masing-masing. Pada malamnya bersamaan 10 Zulhijah 1442H, Program Sambutan Ibadah Korban 2021 KPIPM sesi 2020/2021 (QANITIN’21) dimulai dengan Malam Perasmian dan Perutusan Hari Raya Aidiladha. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Saudara Abdul Muiez Bin Abd Farid. Seterusnya diteruskan dengan ucapan daripada pengarah program Ustaz Amru bin Abdul Samat dan Perutusan Aidiladha oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021, Ustaz Ammar Rushdi bin Jamaluddin. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan perasmian yang telah disempurnakan oleh Ustaz Aiman bin Mohd Yusoff, Setiausaha Badan Penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021. Majlis ini diadakan secara siaran langsung di laman rasmi Facebook Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir pada jam 7.45 malam dan selesai pada jam 10.00 malam. 
Selepas Malam Perasmian QANITIN’21 yang diadakan secara langsung, semua anak-anak Perak bersama-sama mengumandangkan takbir raya sempena Aidiladha. Di sebelah ikhwah telah dijalankan baraan ke rumah-rumah sewa yang terpilih dan bertakbir di sana secara berzon. Adapun, di sebelah akhawat takbir raya Aidiladha dijalankan secara langsung di facebook group Fatayat Perak.

   Pada 20 Julai 2021 bersamaan 10 Zulhijah 1442H, ahli-ahli KPIPM telah menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berhampiran kediaman masing-masing seawal jam 5.30 pagi. Seterusnya, QANITIN’21 mensajikan Tazkirah Dhuha yang bertajuk “Ibrah Korban di Sebalik Surah As-Saffat” disampaikan oleh pengisi daripada Malaysia iaitu Ustaz Muhammad Mujahid bin IR Fadzil, Pegawai Khas Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak & Mantan Yang Dipertua KPIPM sesi 2008/2009 bagi menggantikan pengisi asal yang tidak bersama atas sebab-sebab tertentu. Program QANITIN’21 diteruskan lagi dengan pembacaan Hadis Musalsal Hari Raya Aidiladha pada jam 1.00 petang daripada Sheikh Dr. Rifaat Fauzi bin Abdul Muthalib, Pensyarah hadis Universiti Darul Ulum, Kaherah. Pada sebelah petang pula, telah dijalankan Pertandingan Citarasa Aidiladha di peringkat akhawat yang berpusat di Silvernet, Baitul Rahman. Di sebelah ikhwah pula telah berjalan taklimat dan gotong-royong membersihkan kawasan halaman Wisma Baitul Rahman bagi kegunaan aktiviti melapah pada keesokan harinya.

   Pada hari raya kedua, 11 Zulhijah 1442H Program Sambutan Ibadah Korban 2021 (QANITIN’21) diteruskan dengan aktiviti sembelihan haiwan korban. Seperti tahun lalu, sembelihan telah dilakukan oleh warga arab Mesir dan beberapa wakil penggerak di peringkat KPIPM. Sembelihan tersebut dijalankan di kawasan penyembelihan di Hayyu Thamin. Kemudian, aktiviti menimbang dan memotong daging telah dilaksanakan oleh ahli KPIPM di Hayyu Sabiek. Proses melapah telah dijalankan di halaman Wisma Baitul Rahman bermula jam 7.30 pagi sehingga jam 2.30 petang. Disebelah petang pula, telah diadakan sesi agihan daging kepada wakil dan ahli-ahli KPIPM mengikut rumah sewa. Setiap wakil rumah sewa diminta untuk mengambil daging di Baitul Rahman bermula jam 3.00 petang. Bagi ahli yang tinggal di luar Kawasan Hayyu Sabiek, Hayyu Safarat dan Hayyu Asyir agihan daging mereka telah dihantar oleh Unit Perhubungan dan Agihan QANITIN’21.

   Pada jam 9.00 malam 21 Julai 2021, program diserikan lagi dengan aktiviti pengisian Forum Perdana yang bertajuk “Sesuci Aidiladha : Ibrah di sebalik Korban dan Aqiqah.” Forum ini diadakan secara siaran langsung di Facebook rasmi Laman KPIPM dan telah disampaikan oleh gandingan dua panel hebat iaitu Ustazah Siti Suriah binti Dahari, Timbalan Setiausaha (Bendahari) HEWI KPIPM sesi 2020/2021 dan Saudari Aimi Syuhada binti Mizam, Naib Presiden II merangkap Timbalan Ketua Jabatan Sukan dan Aktiviti Luar PERUBATAN sesi 2021/2022. Forum dengan pengisian menarik ini juga telah dikelolakan oleh moderator yang tidak kurang hebatnya iaitu Ustazah Siti Raudhotur Rahmah binti Ahmad Daud, Timbalan Pengarah Unit Kesenian, Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2020/2021.

   Pada hari terakhir, 22 Julai 2021 bersamaan 12 Zulhijah 1442H, peringkat program telah bersama-sama menyediakan sajian Hari Raya Aidilaha iaitu Nasi Minyak, daging masak kurma dan sayur jelatah untuk diagihkan kepada ahli-ahli KPIPM. Pada jam 3.00 petang, telah bermula sesi edaran jamuan Aidiladha di halaman Wisma Baitul Rahman bagi yang menetap di Hayyu Sabie dan Hayyu Safarat manakala yang menetap di Hayyu Asyir, Rabaah, Tabbah, Darasah, ARMA, Medan Geish dan Saidah Zainab makanan tersebut telah dihantar oleh penggerak di peringkat QANITIN’21.

   Pada jam 9.00 malam, telah berlangsung Malam Penutupan Program Sambutan Ibadah Korban 2021 (QANITIN’21) juga secara langsung di facebook rasmi Laman KPIPM. Malam Penutupan ini dimeriahkan dengan pembawaan majlis secara santai oleh dua hos khas Ustaz Sayed Mohd Muaz bin Sayed Zamzuri dan Ustaz Muhammad Ikhwan Firdaus bin Tohari. Antara pengisian Malam Penutupan QANITIN’21 ialah ucapan daripada Pengarah Program QANITIN’21, Adhoc Unit Sumbangan dan Sembelihan, Yang Dipertua KPIPM dan tetamu khas yang dijemput, Ustaz Muhammad Mustaqim Nur Iman bin Haron. Seterusnya, majlis disajikan dengan persembahan nasyid yang mantap oleh Usrah Al-Muhazzirun yang telah mendendangkan sebanyak 3 buah lagu. Kemudian, majlis disempurnakan lagi dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan yang dianjurkan sepanjang program QANITIN’21.

   Dengan selesainya Majlis Malam Penutupan (QANITIN’21), maka berakhirlah sudah Program Sambutan Ibadah Korban 2021 (QANITIN'21). Alhamdulillah, program yang telah dijalankan selama 4 hari ini telah berjalan dengan lancar dan diharapkan semua objektif yang telah dirancang dapat tercapai dengan sebaiknya. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan QANITIN’21 secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. 
Sekian, terima kasih.

“Ketaatan Pencetus Pengorbanan”

Disediakan oleh :
Mohamad Arshad bin Mohd Nazri
Setiausaha (Promosi) Program Sambutan Ibadah Korban 2021 (QANITIN’21)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...