PENA AZHARI | DAULAH KECIL
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020
ان الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله
من شرور أنفسنا ومن سيئات أعالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ,
وأشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله –صلى الله
عليه وعلى آله وأصحابه وسلم تسليما كثيرا. اللهم ثبتنا, واجعلنا هاديا مهديا.
Firman
Allah SWT :
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ
فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ
إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ
تَعۡمَلُونَ ١٠٥
Maksudnya :”Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan
segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang
beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada
(Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia
menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
(Surah at-Taubah: ayat 105)
Sebuah ungkapan yang sangat signifikan
dengan pemuda dan dai’ sebagai tunas baru Islam tidak sempurna jika tidak
dihiasi dengan ilmu, amal dan sebar. Kini, kita berada dalam lingkungan sebuah
masyarakat di bawah satu payung yang sudah lama menaungi anak-anak Melayu di
bumi Mesir iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Namun setelah
PMRAM dibekukan bukanlah suatu alasan untuk tidak meneruskan usaha dan jerih
payah mereka terdahulu dalam menjaga kesatuan ini. Medan Keluarga
Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir(KPIPM) merupakan sebuah daulah kecil khusus
untuk anak-anak Perak di bumi Mesir demi menjaga kelangsungan survival PMRAM.
Acapkali pasti terlintas dalam fikiran kita, adakah nilai dan
kepentingan Islam yang dijaga dan diperjuangkan oleh PMRAM suatu ketika dahulu
seiring dengan perjuangan Rasulullah dan para sahabat suatu ketika dahulu juga? Pasti menjadi
persoalan di minda mahasiswa dan mahasiswi kini, bagaimanakah Rasulullah SAW
memposisikan para penolong agama lebih dikenali dengan as-Sabiqun al-Awwalun dalam membangunkan para
intelektual dari kalangan umat Islam pada ketika itu? Adakah mereka terdiri
dari golongan buta huruf, mundur, miskin, pelarian dan seangkatan dengannya
seperti yang digembar-gemburkan oleh para pengkritik dan penentang agama Islam?
Mari sama-sama kita renungi kebijaksaan Rasulullah SAW dalam
memposisikan para sahabat pada ketika itu untuk menjaga umat Islam dan
kepentingannya demi kemaslahatan ummah.
Para Muhajirin dan Ansar pada ketika itu telah dibahagikan kepada 8 golongan. Mereka diklasifikasikan mengikut kemampuan, kebijaksanaan, kemahiran, ketokohan dan keteladanan dalam berperanan penting mengikut posisi yang telah disusun oleh Rasulullah SAW. Antaranya ialah:
- Kebijaksanaan para pemimpin
- Ilmu para ulama’
- Kewibawaan para amilin
- Darah para syuhada (Para prajurit)
- Doa para solihin (Ahli Suffah)
- Kehebatan para da’I (Para pendakwah)
- Harta para aghniya’ (Orang kaya yang dermawan)
- Rahim wanita solehah
Antara para sahabat yang dilatih oleh Rasulullah SAW untuk golongan yang
pertama ialah empat Khulafa ar-Rasyidin. Jika kita menyelak lembaran-lembaran
periwayatan hadis, jarang kita akan dengari hadis yang diriwayatkan oleh
mereka.
Golongan kedua, mereka ini merupakan golongan yang berpotensi dengan
ilmu dan sesuai dengan karakter sebagai seorang ulama, sebagai contoh
Abdullah bin Umar. Suatu ketika saat berlakunya peperangan dan beliau menginjak
umur 16 tahun, beliau meminta izin Rasulullah untuk menyertai peperangan namun
tidak diizinkan. Setelah dipinta oleh ayahandanya Umar al-Khattab maka
Rasulullah mengizinkan tetapi berada sebaris dengan posisi paling belakang bersama-sama
para wanita yang merawat.
Antara sahabat nabi bagi golongan ketiga ialah Hassan bin Thabit. Beliau
berperanan untuk mengajarkan anak-anak orang Islam untuk membaca dan menulis.
Selain itu golongan ini berperanan penting dalam mewujudkan kesenian Islam,
pendidikan Islam dan bidang-bidang fardu kifayah dalam Islam. Sahabat gagah
perkasa seperti Usamah bin Zaid, Khalid bin al-Walid dan lain-lain berada dalam
golongan keempat. Mereka sangat berperanan penting dalam mempertahankan Islam
di medan peperangan.
Golongan kelima kebanyakan mereka ini terdiri dari kalangan ahli Suffah.
Selain itu, kehebatan golongan keenam juga tidak disangkal kerana mereka
merupakan pendakwah yang meredah daratan dan lautan untuk menyebarkan agama
Islam. Maka tidak hairanlah jika jasad mereka disemadikan di China, India dan
sebagainya.
Seterusnya golongan ketujuh merupakan sahabat kaya dan pemurah seperti
Abdul Rahman bin Auf merupakan antara millionaire yang banyak berkorban
dalam perjuangan agama Islam. Manakala golongan terakhir ialah wanita solehah
yang menjaga keturunan dan kemuliannya sehingga terlahirlah generasi hebat dari
kalangan para sahabat,tabiin, tabi tabiin dan seterusnya. Tidak dinafikan
kehebatan para sahabat kerana ramai yang memegang dua hingga tiga peranan dalam menjaga kemurnian Islam.
Sejarah kebangkitan dan kemenangan Islam sehingga berjaya menawan 2/3
dunia suatu ketika dahulu membuktikan Islam megah di persada dunia kerana 8
golongan ini berjaya memainkan peranan penting natijah daripada kebijaksanaan
Rasulullah SAW. Kerajaan Rom dan Parsi pada ketika itu berdiri gah mendabik
dada dengan kekuatan, kekuasaan, kezaliman serta kemegahan ketamadunan mereka.
Namun, benang kebatilan mereka berjaya diruntuhkan oleh kewibawaan dan
kecekalan tentera Islam pada ketika itu. Disebalik kemenangan itu jangan pernah
kita terleka kerana pada tahun 132 hijrah sejarah mencatatkan kejatuhan
kerajaan Islam pada ketika itu. Faktor kelemahan dan perpecahan yang dihadapi
ialah pemimpin yang tidak bijaksana, ulama kaki pengampu, amilin yang pemalas,
syuhada yang pengecut, dai’ yang tidak hebat, para solihin yang terpisah dari
bukit-bukit, orang kaya yang bakhil dan bersikap nafsi-nafsi dan para
wanita yang rosak.
Kemenangan mereka bukanlah untuk dibangga-banggakan sahaja, namun perlu
usaha dan istiqamah dalam meneruskan perjuangan sehingga Islam kembali
menyinari dunia dengan keadilan dan syariatnya. Sebuah pepatah arab berbunyi (كلت يوم أكل الثور الأبيض) yang bermaksud ”Sejak aku izinkan engkau memangsa lembu putih, maka
sebenarnya semenjak itu pula aku mengizinkan diriku dimangsai…”. Peribahasa
arab ini menekankan mengenai pentingnya persatuan dan kesatuan. Apabila sesama saudara membiarkan saudaranya
“diterkam” oleh musuh, maka tunggulah giliran, suatu hari terkaman itu juga menimpa dirinya juga.
Perpecahan merupakan sifat manusia maka sewajarnya pembinaan aspek
kesatuan ini harus dijaga dan dipelihara. Asas sebuah kesatuan dibina di atas dasar
akidah dan keimanan kerana ia merupakan benteng utama umat Islam dalam membela
dan menjaga saudaranya yang lain. Dalam
daulah kecil inilah kita diajar mengenal dan
mempelajari erti pengobanan, Ithar, sabar, saling melindungi dan sebagainya. Hayatilah firman Allah SWT :
وَٱعۡتَصِمُواْ
بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ
عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم
بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ
فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ
لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣
Bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu
sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan
kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa
jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu
bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu
orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang
Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu
dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan
kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk
hidayah-Nya”.
Siiru ala barakatillah