LAPORAN SIMPOSIUM ILMUAN MUDA 2018 (SOLUSI'18)
KAHERAH – Simposium Ilmuwan Muda 2018 (SOLUSI'18) anjuran Badan Kebajikan Anak Negeri sesi 2017/2018 telah berlangsung dengan jayanya selama 2 hari bermula pada 24 Februari dan 25 Februari 2018. Antara objektif program ini diadakan adalah untuk melahirkan Ilmuwan muda yang memahami keperluan masyarakat di tanah air, mengukuhkan kefahaman tentang kepentingan kesatuan umat Islam serta memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang kepentingan ilmu thurathi dan pengetahuan kontemporari dengan bertemakan "Generasi Ilmuwan Pewaris Nubuwwah". Program ini telah disertai seramai 41 orang mahasiswi dan 42 mahasiswa Perak dan mendapat sambutan yang baik daripada anak-anak Perak sendiri dan juga dari BKAN-BKAN yang lain.
SOLUSI'18 membuka tirainya dengan Slot pertama iaitu "Eskatologi Menurut Hadis Akhir Zaman", yang disampaikan oleh Syeikh Ali Abdul Basit bin Muzid, Pensyarah Jabatan Hadis dan Ilmu Hadis, Kuliah Banat, Universiti Al-Azhar. Kemudian majlis diteruskan dengan slot kedua iaitu slot "Siasah Syar'iyyah Dalam Pemerintahan Negara Dengan Aplikasi Maqasid Syar'iyyah" yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Azhar bin Yahya, Penolong Rektor(2) Hal Ehwal Pelajar, KUIZM. Pada sebelah petangnya pula majlis diteruskan lagi dengan slot ketiga yang bertajuk "Kuasa Pemerintahan Islam" yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Zaharudin bin Muhammad yang merupakan Penasihat Syariah Alliance Islamic Bank.
Seterusnya pada hari kedua, SOLUSI'18 diteruskan lagi dengan slot yang keempat iaitu slot "Muslimat Dan Non-Muslim Dalam Gerakan Islam : Peranan Dan Memperanankan Mereka Dalam Memenangkan Islam Melalui Sistem Demokrasi" pada sesi pagi yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Azhar bin Yahya kemudian diteruskan lagi dengan slot yang kelima, yang merupakan slot terakhir yang bertajuk "Sistem Ekonomi Islam", slot ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Zaharudin bin Muhammad.
SOLUSI'18 melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutupan yang telah disampaikan oleh dua orang pengisi iaitu Ustaz Azhar bin Yahya dan Ustaz Zaharuddin bin Muhammad. Menerusi SOLUSI'18 ini, banyak sisipan ilmu yang sangat bermanfaat telah disampaikan kepada peserta dan diharapkan seluruh mahasiswa/wi Perak yang berpeluang menyertai Progran SOLUSI'18 ini dapat membuka minda dan memainkan peranan kita selaku agen pengubah masyarakat pada masa akan datang.
"Generasi Ilmuwan Pewaris Nubuwwah"
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"
No comments:
Post a Comment