Monday, February 29, 2016

MESRA'16 | Keberjayaan Tema "Pumpunan Kasih, Cerminan Ukhwah"


KAHERAH - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program yang dinamakan Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA'16). MESRA'16 yang berkonsepkan "retro"  telah berlangsung dengan jayanya selama enam hari bermula dari 9 sehingga 14 Februari 2016 bertempat di Wisma Darul Ridzuan. Program yang bertemakan "Pumpunan Kasih, Cerminan Ukhuwah"  ini melibatkan seluruh ahli KPIPM selari dengan objektif yang digariskan pada kali ini iaitu memupuk semangat kesukanan dalam kalangan ahli, meluaskan capaian thaqafah anak-anak Perak dalam ilmu kontemporari, mencungkil bakat anak-anak Perak dalam pelbagai bidang dan kemahiran serta mengukuhkan silaturrahim dan semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa/wi Pengajian Islam dan Sains Kesihatan.

     MESRA'16 bermula pada hari Selasa, 9 Februari 2016 bersamaan 29 Rabi'ul Akhir 1437 H jam 9.00 pagi dengan aktiviti explorace akhawat dan perjumpaan rumah sukan ikhwah dan akhawat. Pada sebelah malamnya seawal jam 7.00 malam, KPIPM mengadakan Malam Pelancaran program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA'16). Program ini dirasmikan oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Ustaz Munawir bin Mohamed Noh selepas sahaja Ucapan Aluan dari Pengarah MESRA'16 Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak serta Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016 Ustaz Muhamad Ainuddin bin Mohd Ishak. Majlis diteruskan lagi dengan slot Bual Bicara bertajuk "The Hidden Truth Behind Science and al-Quran"  yang menampilkan dua orang pengisi yang tidak asing lagi di Bumi Anbia iaitu Ustaz Hanifulfuad bin Hussien, Graduan Lughah al-Azhar dan Saudara Muhammad Hanif bin Mahamad, Ahli Majlis Tertinggi Perubatan (MTP) dan moderator .

     Pada hari kedua program MESRA'16 diteruskan dengan aktiviti-aktiviti outdoor ikhwah dan akhawat. Antara aktiviti outdoor ikhwah iaitu sukan Bola Tampar dan Sukaneka yang bertempat di Istad Abbasiah manakala aktiviti outdoor akhawat berbentuk sukaneka bertempat di Hadiqah Atfal.

     MESRA'16 ini bersambung pada keesokan harinya dengan acara indoor ikhwah dan indoor akhawat seperti khutbah, khat, poster, hafazan, gubahan buah, debat mahasiswi, pantun dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh mengilap bakat-bakat terpendam dalam kalangan anak-anak Perak. Pada sebelah malam hari ketiga MESRA16 diadakan Talkshow Care Line yang bertajuk "Vaksin Antara Tanggapan dan Hakikat"   Talkshow tersebut telah dikupas oleh dua orang ahli panel iaitu Dr Muhammad Zofir Wajdi dan Dr Nihal Tarmizi dan moderator Dr Ahmad Azhan Fahimi, kesemua mereka adalah pelajar Sains Kesihatan dari Perak sendiri.

     Kemesraan MESRA'16 diteruskan lagi pada hari keempat dengan pertandingan Piala KPIPM dan Piala an-Nisa' di sebelah ikhwah yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Hazim bin Mohd Halim AJK Penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 bertempat di Nadi Zahra Sahah II. Di sebelah akhawat pertandingan Piala an-Nisa' bagi sukan bola jaring yang dimulakan dengan perlawanan permukaan antara HEWI KPIPM vs HEWI BKPJM.

     Setelah berlangsung selama enam hari, kini tibalah majlis penutupan program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA'16). Sebelum perasmian penutupan majlis MESRA'16, majlis dimulakan dengan Malam Kesenian Islam. Pada malam ini persembahan adalah mengikut wakil-wakil rumah sukan masing-masing. Antara persembahan yang telah diadakan adalah persembahan Dabus, lakonan, nasyid dan Dikir Barat. Majlis Penutupan MESRA'16 telah dirasmikan oleh Pengerusi Badan Penasihat KPIPM sesi 2015\2016, saudara Muhammad Hanif bin Abdullah diikuti juga dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang sepanjang program MESRA'16. Kumpulan rumah sukan terbaik pada sesi ini telah disandang oleh rumah sukan merah iaitu Doremi. Majlis berakhir sekitar jam 11.30 malam dengan jamuan ringan.

     Besarlah harapan dari pihak kami Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015\2016 agar program-program sebegini dapat mengeratkan lagi ikatan kasih sayang yang padu serta jalinan ukhuwah yang kukuh di antara semua ahli Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik dari semua peringkat kami ucapkan ribuan terima kasih.






"Pumpunan Kasih, Cerminan Ukhuwah"
BERILMU,BERAMAL,IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...