EKSPEDISI SINAI ‘15
15 FEBRUARI 2015: Keluarga Pelajar-pelajar
Islam Perak Mesir (KPIPM) di bawah kelolaan Biro Perhubungan, Sambutan dan
Rehlah telah berjaya menganjurkan satu rehlah ke Semenanjung Sinai sempena cuti
musim sejuk pada 15 hingga 17 Februari 2015. Rehlah ini yang diberi nama
Ekspedisi Sinai ’15 bertujuan bagi mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli KPIPM
selain daripada mengambil ‘ibrah daripada kisah-kisah para anbiya dan kaum-kaum
terdahulu serta dapat mempraktikkan sunnah mengembara. Firman Allah SWT dalam
Surah Ar-Rum ayat ke 42:
42. Katakanlah:
"Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah Bagaimana kesudahan
orang-orang Yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah
orang-orang musyrik".
Ekspedisi Sinai ’15 ini
telah berjaya mengumpulkan ahli KPIPM seramai 48 orang bagi menjayakannya yang
terdiri daripada semua peringkat ahli sama ada mahasiswa baru mahupun mahasiswa
yang lama.
Ekspedisi ini memulakan perjalanan tepat jam 3.00
pagi pada 15 Februari 2015. Doa menaiki kenderaan dibaca oleh Ustaz Abdul
Rahman bin Sarwani selaku Adhoc Disiplin dalam ekspedisi kali ini. Bertolak
dari mahkamah yang berhampiran dengan Baitul Rahman (Wisma A) seterusnya
singgah menunaikan solat Subuh di Noktah Hasanah. Ekspedisi tiba di Noktah
Hasanah sekitar jam 4.30 pagi. Noktah Hasanah ini merupakan perhentian rehat
untuk kenderaan yang mahu memasuki Terowong Ahmad Hamdi bagi melintasi Terusan
Suez. Semua peserta diberikan penerangan oleh mushrif penerangan iaitu Ustaz
Muhammad Nadzir bin Jamaluddin.
Terowong ini dibina bagi menyambung bumi Mesir yang
terpisah kepada dua benua iaitu Benua Afrika di sebelah Barat dan Benua Asia
Barat di sebelah Timur. Terowong ini dibina pada tahun 1981 setelah Mesir
berjaya menguasai semula bumi Semenanjung Sinai daripada jajahan Israel.
Terowong ini bertujuan bagi mengangkut kereta kebal dan lain-lain ke
Semenanjung Sinai bagi memudahkan Mesir menghadapi sebarang kemungkinan
serangan daripada Israel. Nama terowong ini diambil bersempena dengan nama
Panglima Perang yang mencetuskan idea penggalian terowong ini.
Setelah selesai solat Subuh secara berjemaah,
ekspedisi diteruskan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Yang
Dipertua KPIPM sesi 2014/2015, Ustaz Muhammad ‘Asri bin Mohd Salim. Yang
Dipertua menekankan tentang ekspedisi ini adalah bagi sama-sama menambah
thaqafah terhadap perjalanan sirah nabi-nabi terdahulu bertepatan dengan usul
yang telah disepakati bersama iaitu “ Mengupayakan mahasiswa/mahasiswi Perak
untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik dan thaqafah.” Sebelum ucapan
perasmian, majlis diserikan dengan ucapan oleh Pengarah Ekspedisi Sinai ’15
iaitu Ustaz Muhamad Saiful bin Ahmad Padli selaku Ketua Biro Perhubungan,
Sambutan dan Rehlah sesi 2014/2015.
Seusai majlis perasmian, ekspedisi meneruskan
perjalanan ke Semenanjung Sinai pada jam 6.30 pagi menerusi Terowong Ahmad
Hamdi. Rata-rata peserta berasa teruja apabila melalui terowong yang berada di
bawah dasar laut Terusan Suez. Peserta difahamkan panjang keseluruhan Terusan
Suez adalah 163 KM yang menghubungkan Teluk Suez di bahagian Selatan dan Laut
Tengah di bahagian Utara. Manakala lebar terusan ini adalah antara 120 meter
sehingga 200 meter. Terusan Suez ini telah dibina pada tahun 1859 dan siap 10
tahun kemudian dan mula digunakan secara rasmi pada tahun 1870. Terusan Suez
dibina bagi memudahkan kapal-kapal membawa barang dagangan dari Eropah di Utara
ke Asia di bahagian Selatan. Terusan ini telah dibina oleh Ferdinand Vicomte de
Lesseps seorang Insiniur daripada Perancis.
Selesai melintasi terowong, kesemua peserta ekspedisi
telah berada di Semenanjung Sinai yang terletak di Benua Asia. Destinasi
pertama yang dituju adalah Kubu Barliev yang merupakan tapak peninggalan kubu
Israel yang datang menjajah Sinai pada tahun 1967. Sebenarnya Semenanjung Sinai
ini tidak kurang daripada 15 kali cubaan kuasa-kuasa luar bagi menguasainya.
Jadi pada tahun 1967, Israel telah berjaya menawan Semenanjung Sinai dalam
Perang 6 Hari. Setelah berlalu tempoh beberapa tahun, Mesir akhirnya di bawah
pemerintahan Presiden Anwar Sadat telah bergabung kekuatan dengan Syria yang
dipimpin oleh Hafiz Asad. Serangan bagi mengembalikan semula maruah Mesir ke
atas Sinai telah dilancarkan pada 6 Oktober 1973. Peperangan ini dilancarkan
pada bulan Ramadhan yang jatuh tepat pada hari perayaan kaum Yahudi yang
dikenali sebagai Yom Kippur. Justeru, peperangan ini dinamakan sebagai
Peperangan 6 Oktober atau Perang Yom Kippur. Setelah bertaruh nyawa bagi
mengembalikan kedaulatan Mesir ke atas bumi Sinai, akhirnya peperangan ini
berakhir setelah lebih kurang 20 hari tercetus. Dan Kubu Barliev ini merupakan
kubu terakhir yang berjaya ditawan oleh tentera Mesir setelah teknik serangan
diubah apabila Syeikh al-Azhar pada ketika itu Syeikh Abdul Halim Mahmud
mendapat ilham daripada Allah SWT. Tentera Mesir yang dipimpin oleh Anwar Sadat
pada waktu itu diarahkan untuk menyembur air ke kawasan padang pasir tersebut
sehinggalah tersingkap semua kubu yang berada di bawahnya. Jadi peluang ini
diambil oleh tentera Mesir bagi menyerang kubu ini yang diberi nama Kubu
Barliev yang diambil semperna nama Panglima Israel yang mengawasi kawasan ini.
Kemudian
tepat jam 8.15 pagi, ekspedisi diteruskan ke ‘Uyun Musa yang terletak hanya
kira-kira 500 meter dari Kubu Barliev. Peserta ekspedisi diberitahu bahawasanya
di sinilah terdapat 12 telaga yang digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani
Israel. Tetapi kini hanya tinggal 3 sahaja. Menurut kisah perjalanan Nabi Musa
a.s, setelah selamat daripada buruan Firaun yang akhirnya ditenggelamkan oleh
Allah di dalam Laut Merah, semua pengikut Nabi Musa a.s kehabisan sumber air
bersih bagi dijadikan minuman. Lalu Nabi Musa a.s memerintahkan setiap satu
puak daripada kaumnya menggali telaga sendiri. Kawasan ‘Uyun Musa ini terletak
betul-betul di sebelah Teluk Suez di Laut Merah dan dikhabarkan di sinilah
tempat terbelahnya laut apabila Nabi Musa menunjukkan mukjizatnya dengan
menghayunkan tongkatnya ke Laut Merah. Kisah ini Allah sematkan dalam Al-Quran di
dalam Surah Asy-Syu’araa ayat ke 60-68:
60. Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka
ketika matahari terbit.
61. Setelah kedua-dua
kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa:
"Sesungguhnya kita akan dapat
ditawan".
62. Nabi Musa menjawab:
"Tidak! jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku
sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), ia
akan menunjuk jalan kepadaku".
63. Lalu Kami wahyukan
kepada Nabi Musa: "Pukulah laut itu dengan tongkatmu". (setelah
dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah
air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.
64. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke
situ.
65. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta
orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.
66. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain
(yang mengejarnya).
67. Sesungguhnya pada
peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan
Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.
68. Dan Sesungguhnya Tuhanmu
(Wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
Seterusnya ekspedisi diteruskan dengan melawat ‘Uyun
Ayyub a.s yang terletak hanya 300 meter dari ‘Uyun Musa. Telaga ini masih lagi
mengeluarkan air mata air yang mencurah-curah keluar dari bumi. Kesahihan
telaga ini yang dikatakan milik Nabi Ayyub a.s masih lagi menjadi perbincangan.
Ada yang mengatakan ianya adalah milik kaum Bani Israel dan ada pendapat yang
mengatakan ianya adalah kepunyaan Nabi Ayyub a.s sepertimana diceritakan oleh
Allah SWT di dalam Al-Quran dalam Surah Sod ayat 41-42:
41. Dan
(ingatkanlah peristiwa) hamba kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada
Tuhannya Dengan berkata: " Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan
(hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)".
42. (maka Kami kabulkan
permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): " Hentakkanlah (bumi)
dengan kakimu " (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami
berfirman kepadanya): " ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum
(bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin) ".
Namun, peserta diingatkan
ianya hanyalah perbezaan dalam cabang sejarah yang tidak melibatkan kepada
penyelewengan aqidah.
Tepat jam 9.30 pagi, ekspedisi diteruskan lagi dengan
iringan daripada konvoi pihak berkuasa tempatan iaitu pihak polis. Kesemua
kenderaan yang melibatkan kewarganegaraan selain Mesir pasti akan diiring dalam
satu konvoi untuk ke selatan Sinai. Tindakan ini dibuat hanyalah semata-mata
mahu memastikan keselamatan pelancong ketika dalam perjalanan ke destinasi
pelancongan. Setelah hampir setengah jam perjalanan, Ekspedisi Sinai ’15 KPIPM
terpaksa berpatah balik dan menuju ke Hammam Firaun setelah terpisah daripada
bas yang lain yang singgah di Hammam Firaun. Peluang yang amat jarang didapati
ini tidak disia-siakan begitu sahaja. Semua peserta turun dari bas dan berjalan
kaki sejauh 200 meter untuk sampai kepada Hammam Firaun yang terletak
berhampiran Laut Teluk Suez. Hammam Firaun ini adalah tempat mandi wap Firaun
pada waktu pemerintahannya dahulu. Ianya adalah sebuah gua batu yang
mengeluarkan haba sauna yang amat baik untuk kesihatan kulit badan manusia.
Menurut cerita, Firaun akan datang ke gua ini bagi mengubati penyakitnya.
Peserta ekspedisi terpaksa merangkak ketika memasuki gua ini sedalam 20 meter
sebelum sampai ke dasar gua ini yang dipenuhi dengan haba wap yang dihasilkan
di dalam gua ini. Rata-rata peserta ekspedisi hanya mampu bertahan selama 10
minit ketika berada di dalam gua ini kerana wapnya yang begitu panas
menyukarkan pernafasan. Bagi peserta yang cukup stamina bagi menyusur gua ini
untuk sampai di dasarnya, mereka terpaksa menggunakan lampu suluh kerana
keadaan gua yang gelap gelita. Alhamdulillah, semua peserta berasa amat teruja
kerana dapat menikmati mandian wap yang sepatutnya hanya boleh dirasai di
pusat-pusat spa di Malaysia.
Setelah selesai bergambar di sekitar Hammam Firaun,
ekspedisi diteruskan lagi bagi perjalanan ke Dahab yang merupakan destinasi
seterusnya. Masa yang terluang di dalam bas diisi dengan beberapa aktiviti yang
diatur oleh Adhoc Pengisian iaitu Ustaz Mohd Amilrol Anua bin Osman. Antara
aktiviti yang dijalankan di dalam bas adalah ta’aruf kesemua peserta ekspedisi,
tazkirah ringkas daripada peserta, kuiz berdasarkan sejarah tempat yang
dilawati, kuiz umum, teka-teki, penerangan sejarah dan beberapa bentuk
pengisian lain lagi yang bertujuan bagi merapatkan ukhuwah di kalangan peserta
di samping menambah thaqafah peserta. Kesemua peserta memberikan respon yang
begitu baik dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Modul ukhuwah dan kerjasama
juga berjalan dengan amat baik. Bagi modul ini, peserta yang berjaya dalam
memberi respon yang baik samada ketika menjawab soalan kuiz atau apa sahaja
akan diberikan kupon berupa pakej menunggang ATV atau pakej menaiki Glass Boat.
Suasana di dalam bas ketika modul ini berlangsung amat meriah sekali. Peserta
ekspedisi bersemangat dalam memberikan respon bagi memenangi kupon-kupon ini.
Beberapa jam di dalam bas, akhirnya ekspedisi ini
singgah di sebuah masjid bagi menunaikan Solat Zohor dan ‘Asar secara jama’
seterusnya mengisi perut yang telah kosong. Sekali lagi, aspek pengukuhan
ukhuwah diambil berat oleh Adhoc Makanan dalam ekspedisi ini iaitu Ustaz
Muhammad Hanif bin Abdullah. Kesemua peserta menjamu selera dengan menggunakan
talam bagi memberikan peluang peserta memperkukuhkan lagi ikatan ukhuwah
Islamiah.
Selesai makan dan solat, perjalanan Ekspedisi Sinai
’15 diteruskan ke Dahab. Alhamdulillah setelah beberapa jam berada di dalam
bas, akhirnya pada jam 7.30 malam ekspedisi ini tiba di Dahab yang merupakan
tempat persinggahan pertama untuk bermalam. Ekspedisi bermalam di Hotel Octopus
yang terletak berhampiran dengan pantai Dahab. Kesemua peserta ditempatkan di
dalam bilik yang memuatkan seramai 4 hingga 6 orang peserta. Dahab adalah salah
satu pantai yang menjadi tumpuan mahasiswa Malaysia untuk mengadakan aktiviti
pantai antaranya sukan ATV dan pelayaran dengan Glass Boat bagi melihat batu
karang dan ikan yang memenuhi pantai Dahab. Dahab ini adalah berasal daripada
perkataan bahasa Arab iaitu (zahab) yang bermaksud emas. Seluruh pantai Dahab
akan kelihatan kekuning-kuningan seperti keemasan pada sebelah petang apabila
matahari mula melabuhkan tirainya.
Seusai mendirikan Solat
Jama’ Maghrib dan ‘Isya, kesemua peserta mengambil peluang berjalan-jalan di
Pasar Dahab yang banyak menjual baju-baju sejuk bertuliskan perkataan Dahab.
Hampir separuh daripada peserta mencuba seafood
yang banyak dijual di pesisir pantai Dahab. Setelah habis berjalan-jalan di
pantai, kesemua peserta pulang ke penginapan untuk berehat dan makan malam.
Namun ada juga peserta yang mengambil peluang bagi berenang-renang di dalam
kolam yang berada di hadapan hotel.
HARI KEDUA:
Pada
keesokan harinya, selesai menunaikan Solat Subuh, kesemua peserta ekspedisi
meneruskan aktiviti seawal jam 7.30 pagi. Semua peserta berpeluang menunggang motorsikal
tayar empat (ATV) secara berpasangan bagi satu motor. Perjalanan dimulakan
tepat jam 8.00 pagi dengan melalui beberapa checkpoint. Checkpoint pertama
berhenti bergambar di kawasan yang dipanggil panorama Dahab kemudian meneruskan
perjalanan dengan menunggang ke kawasan bukit dan berehat hampir 15 minit di
khemah yang disediakan. Setelah menikmati air teh yang disediakan oleh pemilik
kawasan tersebut, peserta ekspedisi mengambil peluang mendaki bukit yang berada
di situ bagi melihat pemandangan laut dari puncak bukit. Perjalanan diteruskan
dengan menyelusuri kawasan berhampiran pantai dan berhenti seketika di pantai
Dahab bagi bergambar kenangan di situ. Akhirnya kesemua peserta menunggang
pulang ke hotel dengan selamat. Aktiviti menunggang ATV ini membuatkan
rata-rata peserta pengalaman yang sukar dilupakan lebih-lebih lagi ianya
merupakan pakej dalam Ekspedisi Sinai ’15 pada tahun ini.
Aktiviti riadhah diteruskan lagi dengan aktiviti
belayar menaiki Glass Boat bagi melihat pelbagai spesis batu karang dan ikan
yang menghuni Laut Dahab. Pelayaran ini mengambil masa selama satu jam.
Pelbagai reaksi boleh dilihat daripada peserta ekspedisi sepanjang pelayaran
ini yang seterusnya mengikat lagi ikatan ukhuwah antara satu sama lain.
Seterusnya, selesai pulang ke hotel pada jam 12.30
tengahari dan membawa barang keluar dari hotel. Ekspedisi diteruskan lagi
dengan perjalanan menuju ke tempat penginapan kedua. Tepat jam 5.00 petang, ekspedisi tiba di MoonLand yang
akan dihuni pada malam harinya. Kesemua peserta diminta untuk segera berkumpul
di luar bas bagi meneruskan aktiviti dengan memanjat Wadi Arbaien. Wadi Arbaien
ini adalah banjaran bukit yang bersambung dengan Jabal Nabi Musa a.s.
Diceritakan Wadi Arbaien ini adalah tempat berkumpulnya 40 orang nabi dan para
wali bagi bermusyawarah. Di sini juga terdapat seketul batu yang besar yang
merupakan batu yang diketuk oleh Nabi Musa a.s sehingga terpancar 12 mata air.
Setiap satu rekahan air tersebut untuk setiap puak daripada Bani Israel yang
menjadi pengikut Nabi Musa a.s. Kisah ini dapat dibaca dalam Al-Quran di dalam
Surah Al-Baqarah ayat 60 yang berbunyi:
60. Dan (ingatlah) ketika
Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman:
"Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu
terpancarlah dari batu itu dua belas mata air; Sesungguhnya tiap-tiap satu puak
(di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (dan Kami
berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan
janganlah kamu membuat bencana kerosakan di muka bumi".
Setelah hampir setengah jam
mendaki, akhirnya semua peserta ekspedisi sampai di Batu 12 Mata Air Nabi Musa
a.s. Selesai bergambar dan berdoa di tempat yang berkat itu, kesemua peserta
kembali menuruni banjaran bukit tersebut.
Memandangkan waktu Maghrib telah masuk, maka
perjalanan menuruni Wadi Arbaien dilencongkan ke Masjid Wadi Muqaddas bagi
menunaikan Solat Jama’ sebelum berjalan pulang ke tempat penginapan. Selesai
solat dan membeli barang keperluan bagi mendaki Jabal Musa pada malam harinya,
kesemua peserta berjalan pulang ke tempat penginapan. Selesai menjamu selera
dengan makanan yang disediakan, kesemua peserta diberi taklimat tentang
aktiviti mendaki Jabal Tur Sina’ pada awal pagi keesokan harinya. Kemudian
peserta ekspedisi diberi peluang bagi berehat di bilik yang disediakan mengikut
kumpulan yang telah dibahagikan.
HARI KETIGA:
Tepat jam 12.00 pagi, kesemua peserta ekspedisi
bangun dan bersiap sedia bagi menaiki bas untuk ke kaki Jabal Musa a.s. Setelah
semua peserta bersedia dengan baju sejuk yang tebal dan pakaian sukan untuk
mendaki, bas bergerak ke kaki Jabal Musa yang terletak tidak berapa jauh dari
tempat penginapan. Setelah selesai membuat pendaftaran kepada polis yang
menjaga Jabal Musa a.s, semua peserta melakukan senaman ringan mengikut
kumpulan sebelum memulakan pendakian. Peserta ekspedisi dibahagikan kepada
empat kumpulan yang diketuai oleh Ustaz Mohamad Hazim bin Mohd Halim, Ustaz
Muhammad Hakimi bin Abdul Hamid, Ustaz Muhammad ‘Asri bin Mohd Salim dan Ustaz
Muhammad ‘Ariff bin Yaaziz. Tepat jam 12.45, semua ekspedisi telah memulakan
pendakian Jabal Musa yang dikenali juga sebagai Tur Sina’. Jabal ini mencapai
ketinggian sehingga 2 285 meter dari paras laut. Di dalam Al-Quran Allah telah
menyebut mengenai jabal ini sebanyak dua kali iaitu dalam Surah Al-Mukminun
ayat ke 20:
20. Dan
(Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung
Tursina, yang mengeluarkan minyak dan bahan pembangkit selera bagi orang-orang
yang makan.
Dan dalam dan Surah At-Tin
ayat kedua:
1. Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun,
2. Dan Gunung Tursina,
Di Tur Sina’ inilah tempat
Nabi Musa a.s bermunajat kepada Allah SWT selama 40 hari dan menerima menerima
wahyu berupa Kitab Taurat. Kisah ini dirakamkan dalam firman Allah SWT dalam
Surah Al-A’raaf ayat ke 142:
142. Dan Kami telah janjikan
masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta
Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang
telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. dan berkatalah Nabi Musa
kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah
aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku),
dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan".
Pendakian pada pagi ini
mencabar minda dan fizikal semua peserta ekspedisi memandangkan cuaca yang
begitu sejuk dan bulan langsung tidak kelihatan seperti kebiasaan. Peserta
ekspedisi terpaksa menggunakan lampu suluh bagi mendaki bukit dengan selamat
kerana keadaan track yang gelap.
Pendakian akan berhenti rehat seketika di checkpoint-checkpoint
yang terdapat di sepanjang laluan pendakian bagi menghilangkan sebentar
kepenatan sebelum meneruskan pendakian. Alhamdulillah sekitar sebelum azan
Subuh pada jam 4.30 pagi, kesemua peserta telah selamat tiba di puncak Jabal
Musa a.s walaupun ada peserta yang telah sampai lebih awal. Kesempatan sampai
awal di puncak Jabal Musa diisi dengan sebaiknya dengan menunaikan solat
Tahajjud dan sujud syukur di Musolla yang terdapat di puncak tersebut. Selesai
Solat Subuh berjemaah bersama-sama dengan pendaki lain yang beragama Islam
secara bergilir-gilir, rata-rata peserta mengambil kesempatan dengan membaca zikir
Ma’thurat secara beramai-ramai di luar Musolla. Memandangkan keadaan cuaca yang
teramat sejuk dan angin yang begitu kuat, peserta ekspedisi duduk secara
berhimpit bagi mengekalkan haba untuk memanaskan badan masing-masing sementara
menunggu matahari terbit. Setelah menunggu sehingga waktu syuruk, matahari
masih lagi tidak kelihatan kerana cuaca sedikit mendung terdapat awan yang
tebal. Peserta ekspedisi mengambil kesempatan bergambar beramai-ramai di puncak
Jabal Musa tersebut. Setelah puas bergambar, kesemua peserta dihimpunkan dan
diberi sedikit penerangan.
Di puncak tersebut terdapat
beberapa tanda kebesaran Allah SWT. Antaranya adalah tapak gunung yang hancur
apabila Allah menunjukkan zatNya setelah diminta oleh Nabi Musa a.s untuk
melihat Allah. Kisah ini Allah rakamkan di dalam Surah Al-A’raaf ayat yang ke
143:
143. Dan
ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya
berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai
Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya Aku dapat
melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu,
tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya,
nescaya engkau akan dapat melihatKu", setelah Tuhannya "Tajalla"
(menzahirkan kebesarannya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya"
menjadikan Gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. setelah ia
sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku
bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang pertama beriman (pada zamanku)
Kemudian, di puncak
tersebut terdapat satu lubang yang merupakan tempat Nabi Musa a.s bermunajat
kepada Allah SWT ketika peristiwa menerima wahyu berupa Kitab Taurat. Selain
itu, terdapat satu batu besar yang menyelamatkan (asbab) Nabi Musa a.s daripada
impak letupan besar gunung yang meletup itu.
Di atas itu juga terdapat
batu yang mempunyai kesan tapak kaki Buraq yang menjadi tunggangan Nabi
Muhammad SAW ketika peristiwa isra’. Selesai mendengar sedikit penerangan itu,
peserta ekspedisi mula menuruni Jabal Musa dengan melalui tapak perkampungan
Nabi Ilyas. Laluan turun ini tidak menggunakan track asal yang dilalui ketika waktu mendaki pada awal paginya.
Laluan ini menggunakan hampir 90 peratus track
bertangga. Hal ini memberi peluang kepada semua peserta menikmati pemandangan
bukit-bukau yang lebih menarik di samping dapat menghirup udara yang begitu
nyaman. Sebaik tiba di tapak perkampungan Nabi Ilyas a.s, peserta ekspedisi
dikejutkan pula dengan turunnya salji yang halus. Pengalaman ini terlalu
istimewa dan menarik buat semua peserta memandangkan ianya merupakan pengalaman
pertama bermain dengan salji. Hajat mahu melihat matahari terbit yang tidak
kesampaian di puncak Jabal Musa diganti oleh Allah dengan dapat melihat salji
turun. Setelah hampir 2 jam lebih menuruni Jabal Musa a.s, maka kesemua peserta
selamat tiba di kaki Jabal Musa pada jam 9.30 pagi dan menaiki bas semula.
Dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, ekspedisi
telah berhenti di Makam Nabi Harun a.s yang bersebelahan dengan bukit Batu
Kesan Lembu Samiri. Peserta sekali lagi mengambil peluang berdoa bertawassul di
Maqam Nabi Harun a.s di samping bergambar kenangan di bukit Batu Kesan Lembu
Samiri. Bukit batu kesan Lembu Samiri ini merupakan kesan pancaran cahaya
matahari terhadap patung emas Samiri yang dicipta oleh kaum Bani Israel yang
telah hilang pedoman imannya apabila ditinggalkan seketika oleh Nabi Musa a.s
dalam peristiwa Nabi Musa bermunajat kepada Allah di Tur Sina’ bagi menerima
wahyu berupa Kitab Taurat. Hal ini Allah ceritakan di dalam Al-Quran di dalam
Surah Thaha ayat ke 90 dan 91:
90. Dan demi sesungguhnya,
Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku,
Sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan
kamu ialah Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, Ikutlah daku dan taatlah
akan perintahku".
91. Mereka menjawab:
"Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan)
kami akan tetap menyembahNya hingga Nabi Musa kembali kepada kami".
Setelah itu, ekspedisi
terus pulang ke tempat penginapan bagi menikmati sarapan pagi seterusnya
berehat dan bersiap-siap untuk pulang ke Kaherah.
Tepat jam 1.00 petang, ekspedisi telah memulakan
perjalanan pulang ke Kaherah dan singgah sebentar di Masjid Mustafa di pinggir
bandar Sharm El-Sheikh bagi menunaikan solat jama’ dan menikmati makan
tengahari. Setelah itu perjalanan diteruskan sehinggalah tiba di Wisma Baitul Rahman
sekitar jam 3.00 pagi. Alhamdulillah sepanjang ekspedisi berjalan, tiada
sebarang masalah yang timbul dan tema ekspedisi kali ini juga berjaya
diterapkan kepada seluruh peserta. Semoga ukhuwah ini terus berkekalan hingga
ke akhirnya. “More Fun, More Love”.
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"