Thursday, March 13, 2014

Kalam Rasmi Yang Dipertua KPIPM sesi 2014




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kesempatan untuk sama-sama kita terus menghirup udara di muka bumi Allah S.W.T Selawat dan salam kita panjatkan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW , barisan pimpinan khulafa’ Ar-Rasyidin, serta ahli keluarga dan kaum kerabat yang telah bersama-sama dalam mendaulatkan Islam sehingga pada hari ini ia diteruskan oleh generasi–generasi pelapis kepada perjuangan yang penuh suci ini.

Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) disisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya;(perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.”

Islam merupakan sebuah sistem yang menyeluruh mencakupi segenap aspek kehidupan manusia dari sudut akidah, ibadah, siasah, ekonomi dan sebagainya. Kepentingan manusia pada hari ini dalam memahami islam itu adalah menjadi satu kewajipan bagi setiap orang yang beriman dengan Allah taala dan rasulNya. Ini kerana dengan kefahaman yang jelas ini akan menatijahkan amal yang baik mengikut landasan yang digariskan oleh syarak. Telah berkata Umar Abdul Aziz r.a: “Siapa yang beramal dengan tanpa ada ilmu maka kerosakan lebih banyak daripada kebaikan”.

Kecelaruan pemikiran pada zaman moden ini telah menatijahkan pandangan yang buruk terhadap islam. Pelbagai aliran pemikiran yang pada zahirnya dilihat untuk meluaskan pandangan islam tetapi hakikatnya ia semakin jauh daripada landasannya yang sebenar. Islam bukanlah agama yang jumud sebaliknya ia merupakan agama yang memberikan kebebasan kepada umatnya untuk bebas berfikir. Ianya merupakan anjuran daripada Allah taala sendiri yang tersebut didalam firmanNya : “Katakanlah (wahai Muhammad) “Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi. Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul dalam memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman.” Surah yunus:101. Tetapi kebebasan yang diberikan oleh Islam ini mestilah didalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak.

Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-47 yang telah berjaya dilangsungkan baru-baru ini, ahli KPIPM telah berjaya melakukan perbincangan dalam memutuskan keputusan yang berjaya disepakati. Terdapat satu usul yang disepakati melalui perbincangan ini iaitu:

“Melahirkan mahasiswa dan mahasisiwi yang berketerampilan melalui :
      1.       Pemerkasaan kefahaman Islam yang menyeluruh
      2.      Pemantapan sahsiah dan akhlak Islamiah
      3.      Penguasaan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang

Manakala satu pindaan usul telah disepakati iaitu:
“Membenarkan penggunaan komputer di Wisma Darul Ridzuan dengan syarat tertentu dan penggunaan internet pada komputer di tempat yang dikhususkan.”

Hasil daripada pindaan usul tersebut, maka terbatallah matan usul Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-44 yang berbunyi:
“ Membenarkan penggunaan komputer di Wisma Darul Ridzuan dengan syarat tertentu dan penggunaan internet di tempat yang dikhususkan.”

Mesyuarat berlangsung dengan baik dan ia juga melihatkan komitmen dari ahli KPIPM yang prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM berharap agar segala komitmen tersebut berkekalan dan meningkat dari satu masa ke satu masa yang lain.

Pihak kepimpinan sesi 2014 akan berusaha sedaya upaya untuk menjayakn satu usul yang telah disepakati tersebut. Namun kebersamaan ahli di dalam merealisasikan usul tersebut juga amat dihargai bersama.

Pimpinan sesi 2014 juga ingin menekankan kepada 5 item penting yang sudah menjadi pegangan KPIPM iaitu :
1. Fikrah      : Membentuk kefahaman Islam yang menyeluruh mengikut acuan Al-Quran    dan As- Sunnah.
2. Thaqafah  : Meningkatkan tahap penguasaan ilmu dari sudut akademik dan kemahiran.
3.  Ukhuwah : Meribatkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli bagi membentuk sahsiah yang terpuji.
4.  Kebajikan : Mengoptimumkan kebajikan terhadap ahli dalam pelbagai aspek.
5.  Ekonomi   : Meningkatkan ekonomi demi meneruskan survival KPIPM.

Pihak kepimpinan pada sesi kali ini cukup optimis kepada seluruh ahli KPIPM akan bersama-sama menjayakan kelima-lima item tersebut bagi memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.

Semoga KPIPM berkekalan menjadi medium kesatuan Islam bagi anak-anak Perak di bumi Mesir ini. Didoakan agar seluruh pembantu agama Allah S.W.T akan diberikan ganjaran olehNya iaitu redha Allah S.W.T.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

MOHAMAD HAZIM BIN MOHD HALIM
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014.


No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...