Friday, July 26, 2013

MAK ’13: “Suara Disepakati, Kepimpinan Berintegriti”



Kaherah, 24 Julai 2013 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir baru-baru ini telah mengadakan sebuah mesyuarat agung khas tergempar bagi membincangkan hala tuju KPIPM pada masa akan datang. Perbincangan yang bertujuan utama untuk meminda perlembagaan KPIPM itu dihadiri seramai 103 orang ahli KPIPM yang terdiri daripada 53 orang ikhwah dan 50 orang akhawat.

Mesyuarat Agung Khas 2013 dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Hanif Bin Abdullah. Di dalam ucapan tersebut, beliau telah mengulas serba sedikit berkenaan dengan objektif pelaksanaan mesyuarat tersebut diadakan. Seusai sahaja ucapan tersebut, sidang mesyuarat melantik beberapa pelaksana mesyuarat yang terdiri daripada pengerusi sidang, setiausaha sidang dan pengira undi.

Sidang perbahasan dibahagikan kepada empat slot iaitu slot perkara yang dipinda, slot perkara yang ditambah, slot perkara yang dibuang dan slot perkara yang ditambah selepas dibuang. Ahli mesyuarat saling bertukar-tukar pandangan dan memberi komitmen yang baik sepanjang mesuarat tersebut dijalankan. Akhirnya seluruh ahli mesyuarat sebulat suara bersetuju akan kesemua usul pindaan perlembagaan.

Sidang perbahasan yang mengambil masa kira-kira 5 jam itu diakhiri dengan ucapan penggulungan daripada Ustaz Ibnu Abbas Bin Azizuddin selaku anggota Badan Penasihat KPIPM bagi sesi ini. Di dalam ucapan penggulungan tersebut, beliau telah mengulas serba sedikit resolusi mesyuarat yang telah disepakati oleh ahli KPIPM.

“Keputusan yang telah diputuskan oleh ahli KPIPM di dalam mesyuarat ini perlu disandang bersama bagi menentukan hala tuju KPIPM yang lebih baik.” Ulas beliau di dalam ucapan penggulungan. Mesyuarat Agung Khas KPIPM 2013 disudahi dengan bacaan doa rabithah yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Shazwan Bin Khalid selaku Pengerusi Badan Penasihat KPIPM bagi sesi ini.

“Suara Disepakati, Kepimpinan Berintegriti”

“Berilmu, Beramal, Ikhlas”
“Memartabat Keilmuan, Memimpin Kesatuan”

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...