Kaherah 24 Mei 2013 - Program Ribat
Perdana KPIPM pada kali ini telah bermula pada jam 2.30 pagi dengan bacaan
zikir dan diteruskan dengan qiamullail bulanan secara berjemaah.
Seperti kebiasaan, seusai solat subuh
berjemaah program diteruskan lagi dengan pengisian tazkirah. Santapan minda
pada pagi ini telah disampaikan oleh tetamu yang didatangkan khas daripada HEWI
PMRAM 2013, iaitu Ustazah Salsabila binti Hashim, Naib Setiausaha HEWI PMRAM
2013 merangkap HEWI Angkat KPIPM pada sesi ini.
Antara pengisian yang telah beliau
sampaikan adalah berkenaan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika bulan Rejab.
Antaranya seperti Perang Tabuk, Pembebasan Kota Al-Quds dan Israk Mikraj.
Beliau telah menyentuh beberapa perkara mengenai perang Tabuk yang mana perang
ini telah berlaku semasa musim panas dan di mana ketika itu ekonomi menjulang
tinggi dan buah-buahan masak ranum. Namun, apabila tiba seruan jihad untuk
berperang, para mukmin telah bersiap sedia untuk menyahut seruan itu kecuali
beberapa golongan munafik.
Beliau telah menekankan sebab utama
golongan islam malas untuk menyahut seruan jihad itu adalah disebabkan NAFSU
yang menguasai dan mengaburi hati para mukmin untuk pergi berjihad. Dengan
kisah ini, beliau mengaitkan dengan kehidupan kita selaku mahasiswa terutama
dalam fatrah imtihan agar melawan nafsu-nafsu jahat yang menyebabkan kita malas
untuk berusaha.
Selain itu, konsep muhasabah diri
juga turut ditekankan agar mahasiswa sedar akan tanggungjawab dan tahap
keikhlasan diri dalam beramal.
Sebelum mengakhiri tazkirah, pesanan
beliau pada para hadirin supaya meningkatkan kecintaan terhadap Rasulullah
S.A.W dan membuat sedikit tayangan video mengenai Rasulullah yang sungguh
menyayat hati.
No comments:
Post a Comment