Monday, March 5, 2012

Ehya al-Jum'ah : Matan Arba'in Dan Angka 4



KAHERAH, 1 Mac – Telah menjadi rutin mingguan Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM mengadakan Program Ehya’ Al-Jum’ah setiap minggu. Pada minggu ini KPIPM menampilkan pentazkirah yang tidak asing lagi dalam kalangan ahli KPIPM sebelah akhawat iaitu Ustazah Siti Salamah binti Hamzah untuk menyampaikan tazkirah pada malam itu.

Pentazkirah telah memetik firman Allah SWT yang berbunyi : “Dan tidaklah manusia memerhatikan bahawa Kami menciptakannya dari setitis air mani, ternyata dia menjadi musuh yang nyata!” Tegasnya berpandukan ayat itu Allah mengherdik golongan yang tidak sedar akan asal-usul penciptaannya dan dengan bangganya menjadi musuh kepada agama Allah.

Itulah kezaliman yang besar yang dilihat akhir-akhir ini semakin jelas dalam kalangan pemimpin-pemimpin di Negara-negara Islam yang tidak segan silu menggunakan kuasa mereka untuk menindas dan berlaku zalim kepada rakyat. Ustazah Siti Salamah telah memilih salah satu hadis baginda SAW, Rasulullah telah bersabda : “ Takutlah kamu kepada kezaliman,kerana ianya membawa kamu kepada kegelapan pada hari kiamat kelak”.

Pada paginya program diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan di kedua-dua buah Wisma Darul Ridzuan A dan B. Sejurus selepas selesainya solat subuh berjemaah dan bacaan mathurat pada pagi itu, warga KPIPM terus dihidangkan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Ariff Shah bin Abdullah Sani selaku pentazkirah di Wisma Darul Ridzuan A pada pagi itu.

Beliau telah menyeru kepada semua pentazkirah untuk mengambil berat dengan apa yang bakal dikatakan kerana besar murka Allah kepada mereka yang pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan apa yang dikatakannya.

Beliau telah memilih salah satu hadis daripada kitab Matan Arbain iaitu hadis yang ke 38.Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya,bahawasanya telah bersabda Rasulallah SAW: Sesungguhnya firman Allah Ta’ala: Barang siapa berbuat aniaya terhadap wali Allah nescaya Aku isytiharkan perang baginya : Dan tiadalah seorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai melainkan dari apa-apa yang Aku fardukan di atasnya.Sentiasa hamba-Ku menghampirkan diri kepada-Ku dengan pekerjaan yang sunnah-sunnah hingga Aku mengasihinya.

Apabila Aku kasih kepadanya,maka Aku akan  menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Aku adalah penglihatannya yang dengannya ia melihat dan tangannya dengannya ia memegang dan kakinya dengannya ia berjalan.Demi diri-Ku,sekiranya ia meminta apa-apa kepada Aku nescaya Aku berilah permintaannya,dan sekiranya ia menuntut berselindung daripada apa-apa kepada Aku nescaya Aku akan selindungi ia daripadanya.” Pengajaran yang ditekankan dalam hadis itu berkenaan perlunya kita ‘taqarrub ilallah’ dan pentazkirah telah mengingatkan agar kita semua berusaha untuk mendapatkan cinta Allah bukan menunjuk-nunjuk dalam amal yang dilakukan. Dan kita semua mestilah ber’itiqad untuk mendapatkan halawatul iman semata-mata tanpa meminta dipuji atau dibangga-banggakan.

Berlainan pula corak tazkirah yang disampaikan di Wisma Darul Ridzuan B yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohamed Farezul Fuad Mohd Aziz. Beliau telah membicarakan berkenaan angka 4. Yang mana menjadi tanda tanya kepada pendengar berkenaan apakah maksud angka 4 itu.


Pentazkirah menjelaskan bahawa angka 4 itu bukanlah membawa maksud apa-apa. Dalam tazkirahnya, beliau telah mengemukakan 4 isi dalam setiap topik dan perkara dalam tazkirahnya. Antaranya 4 yang lebih baik daripada 4, 4 yang lebih buruk daripada 4, 4 yang akan jadi sempurna kerana 4, 4 alamat orang cerdik, 4 alamat orang beriman, 4 alamat orang berakal, dan yang terakhirnya 4 perkara yang mesti dijaga.

Banyak pengajaran dan nasihat yang dapat diambil dari tazkirah yang beliau sampaikan. Amat berguna dan sangat-sangat berguna dalam kehidupan seharian kita terutamanya seorang penuntut ilmu. Didoakan semoga program Ehya’ Al-jum’ah ini dapat diteruskan dan tidak akan terhapus kerana ia bukan sahaja melatih bakal-bakal da’ie tetapi ia juga meningkatkan thaqafah dalam kalangan semua ahli.

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...