Tuesday, March 30, 2010

Wisma Darul Ridzuan A, Tempat Calon BP PMRAM Berkempen


30 MAC – Pada jam 8.50 malam, bermulanya satu majlis kempen calon-calon BP PMRAM, di Wisma Darul Ridzuan A. Antara yang hadir dalam majlis ini ialah Ustaz al Hidayat bin Khalid, Ustaz Mohd Faizuddin bin Ghazali, Ustaz Firdauz bin Noh dan Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar.

Program telah dikendalikan oleh Ustaz Abdul Hadi bin AB Rahman, dan dimulakan dengan ucapan setiap calon BP dan diselangi dengan ucapan penyokong setiap calon.

Turut menghadiri majlis ini, Pegawai Pendaftaran SPR PMRAM, Ustaz Muntazimuddin bin Zulkifli, dan Ustaz Amaluddin, yang merupakan salah seorang Badan Pengurus PMRAM.

Majlis tamat pada jam 10 malam, dengan beberapa pesanan untuk ahli PMRAM supaya turun mengundi.

Monday, March 29, 2010

Makluman : Tarikh Semakan Daftar Pemilih


Makluman kepada semua ahli KPIPM, berikut ialah jadual semakan daftar pemilih :

Bermula 28 Mac hingga 1 April
jam 3 petang hingga 9 malam
Bilik Mesyuarat, Wisma Darul Ridzuan A

Jalankan tanggungjawab anda sebagai pengundi.

Fenomena Kelemahan Jiwa


Oleh :
Ustazah Suriaty binti Nayan
Mahasiswi Tahun 4, Syariah Islamiah
Universiti al Azhar, Iskandariah

Dipetik daripada :
Fanomena Kelemahan Jiwa
dan Kaedah Rawatannya,
karangan Dr Majdi Hilali

BAHAGIAN 1

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakannya (Allah). Lalu diilhamkan oleh Allah kepadanya mana yang buruknya dan mana yang baiknya. Surah As-Syams : 7-10.

Dalam ayat ini dengan jelas telah Allah terangkan bahawa manusia dijadikan bersama nafsu ammarah yang cenderung kepada kejahatan. Pastinya setiap yang berlaku ada sebabnya. Mengapa? Kerana Allah ingin menguji sejauh mana tulusnya pengabdian manusia terhadap Allah SWT. Antara sifat-sifat tersebut adalah berlaku zalim, kejahilan, bersifat bakhil dan pelbagai lagi sifat mazmumah yang ada dalam diri.

Allah telah mencipta sifat ini sebagai satu medium untuk menguji kejujuran pengabdian hambanya kepada Allah SWT. Sungguh, harus kita ketahui bahawa andai manusia tanpa nafsu sebegini seumpama malaikat yang tidak pernah menderhaka kepada Allah SWT.

Manusia ini dapat kita bahagikan kepada 3 golongan :

GOLONGAN PERTAMA

Mereka yang beriman kepada Allah SWT, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat serta qada dan qadar Allah SWT. Menjadikan syariat sebagai panduan hidup dan sangat percaya bahawa nafsu boleh menghalang mereka dari mendapat halawatul iman. Nafsu tersebut berada di antara 2 tulang rusuk manusia dan menjadi salah satu dari musuh-musuh manusia.

Manusia diseru supaya kuat untuk menentang hawa nafsu dan syahwat. Menggadaikan jiwa raganya semata-mata kerana ingin menyahut seruan Allah SWT. Sentiasa mentauhid dan membesarkan Allah SWT. Menjauhi segala larangan, sentiasa hidup besederhana, tawakkal serta redha dengan apa yang telah berlaku, berterus terang dengan kebenaran, tidak mendedahkan diri kepada cinta dunia, sentiasa beriltizam dengan sunnah nabi serta banyak lagi sifat mahmudah yang telah di ajar oleh baginda nabi.

GOLONGAN KEDUA

Golongan kedua ialah mereka yang mengikut hawa nafsu dan langsung tidak berbantah dengan segala tuntutannya. Mereka ini sedang menuju kepada kehancuran. Mereka telah berpaling daripada menyembah Allah kepada menyembah hawa nafsu dan syahwat. Mereka telah dikekangkan dengan segala yang haram. Tidak menjaga solat yang lima serta kefardhuan yang lainnya. Telah banyak hukum-hukum Allah yang telah mereka ejek dan sendakan. Bersikap riak juga banyak berbohong untuk melepaskan diri dari segala maksiat yang telah mereka lakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Adakah engkau melihat orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan? Adakah engkau menjadi wakil penjaga untuknya?. Bahkan adakah engkau kira bahawa kebanyakkan mereka mendengar atau memikirkannya? Mereka tidak lain hanya seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat jalannya". Al-Furqan : 43.

GOLONGAN KETIGA

Golongan ini adakalanya tunduk dengan hawa nafsu dan adakala menghalangnya. Kadang-kadang mereka mengabdikan diri kepada nafsu dan kadang-kadang kepada Allah SWT. Golongan inilah yang sangat ramai dewasa ini. Suatu ketika mereka menumpaskan hawa nafsu namun terkadang nafsu pula yang menjadi raja dalam beberapa perkara lain.

Saudara-saudariku,

Pertarungan melawan hawa nafsu adalah pertarungan yang getir dan hebat. Hanya mati penyudahnya. Oleh itu, wajib bagi kita untuk sentiasa koreksi diri dan memeriksa hati agar tidak mudah tewas kepada hawa nafsu. Pohonkan kepada Allah SWT agar kekuatan itu kita miliki.

BAHAGIAN 2

Sesiapa yang ingin merawat sesuatu penyakit, maka terlebih dahulu hendaklah mengenalpasti jenis penyakit yang dihadapi. Jika kita menghidap penyakit insyaAllah pasti ada ubatnya. Namun apabila penyakit yang kita hadapi itu mungkin penyakit dalaman, adakah mampu untuk kita mencari pelbagai penawar untuk memutihkan semula jiwa kita?. Antara contoh-contoh kelemahan jiwa yang banyak dihidapi oleh manusia zaman ini adalah :

-TAASUB DENGAN PANDANGAN PERIBADI
Tidak kira samada pandangan ini besar ataupun sebaliknya. Apabila pendapatnya disanggah maka dia akan cuba untuk mempertahankannya.

-TIDAK MAHU MENGAKUI KESILAPAN DIRI SENDIRI
Melakukan apa sahaja untuk mengelakkan diri dari melakukan kesilapan dan adakalanya memaksa diri untuk melakukan pendustaan.

-MERASA SEMPIT DADA BILA DIKRITIK DAN DINASIHAT
Merasakan kepahitan dan kesakitan yang teramat sangat apabila dikritik dan diberi nasihat. Lebih-lebih lagi jika yang memberi nasihat itu lebih muda daripadanya.

-BAHAGIA DAN SERONOK DENGAN PUJIAN
Pengidap penyakit ini terlalu ramai. Mereka akan merasa sukacita dan seronok bila mendapat pujian, lebih-lebih lagi jika yang memuji tersebut adalah orang yang memiliki kedudukan dan pangkat.

-GEMBIRA DAN SERONOK APABILA MENDAPAT PERHATIAN

-GILA KUASA, GHAIRAH UNTUK MENONJOLKAN DIRI DAN MAHU SENTIASA DIPILIH
Golongan ini biasanya merasa gah dengan tanggungjawab dan sentiasa bergelut untuk merebut suatu jawatan walau dengan apa cara sekalipun. Masakan tidak, ini semua adalah jalan untuk kemegahan dan meraih pangkat.

-TIDAK MENGAKUI KESILAPAN DAN KEKURANGAN DIRI
Golongan ini sentiasa ingin lari daripada mengingati kepincangan diri dan cuba untuk menyembunyikannya agar orang lain tidak akan menganggap bahawa dirinya lemah.

-TIDAK MENUNAIKAN HAK ORANG LAIN
Sentiasa merasa berat untuk melaksanakan hak orang lain seperti menziarahi orang sakit, melepaskan kesusahan orang lain, menolong orang yang dizalimi dan sebagainya.

-MENGUNGKIT-UNGKIT SEGALA KHIDMAT BAKTI DAN AMAL KEBAIKAN
Golongan ini tidak jemu-jemu menyebut segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dilakukannya. Sentiasa mengharapkan ucapan terima kasih dan penghargaan dari sesiapa yang telah mendapat khidmatnya. Bahkan mengkehendaki orang lain segera menunaikan hajatnya, memulakan salam, berhenti ketika terserempak dengannya dan lain-lain lagi.

-TERPEDAYA DENGAN KEBOLEHAN DAN KELEBIHAN SENDIRI
Mereka ini tidak menyandarkan segala kelebihan dan kenikmatan kepada Allah SWT sebaliknya menyandarkan kepada diri semata-mata.

-TIDAK SUKA ORANG LAIN MEMPEROLEHI KEBAIKAN
Berasa sedih dan sempit hati jika melihat orang lain mendapat nikmat serta mengharapkan nikmat itu tidak kekal. Sebaliknya seronok dan gembira bila melihat orang lain ditimpa musibah.

-MERASAKAN DIRINYA SAHAJA YANG BERHAK UNTUK BERCAKAP DI DALAM MANA-MANA MAJLIS YANG DIHADIRINYA
Anda melihat orang ini sentiasa memintas percakapan orang lain, menjawab apa sahaja yang diperkatakan, suka memperkatakan tentang hal diri sendiri, meninggi diri dengan tujuan untuk berbangga dengan pencapaian sendiri dan kehandalannya.

-MENGHEBAHKAN AMAL KEBAJIKAN SENDIRI
Berusaha untuk menyandarkan segala usaha yang telah dilakukannya adalah hasil titik peluhnya sendiri, bukan hasil usaha orang lain. Golongan ini amat marah apabila hasil kerja dan kebajikannya disandarkan kepada orang lain dan jiwanya menjadi tidak tenteram.

-SENTIASA TAKUTKAN KEMISKINAN
Terlalu bakhil, takut ditimpa kemiskinan dan kesempitan hidup adalah antara identiti mereka.

-TIDAK MAMPU UNTUK BERHADAPAN DENGAN ORANG LAIN KERANA MERASA LEMAH DIRI
Tidak terdaya menerima hakikat kesalahan diri sendiri dan cuba lari daripadanya.

-MUDAH BERUBAH PENDAPAT DAN GOYAH PENDIRIAN
Apa yang menyedihkan ialah dia telah tewas dihadapan orang lain dan diri sendiri tanpa disedari. Dia seringkali mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tetapi tidak berani untuk dia nyatakn kerana takut kepada celaan dan dipersendakan.

BAHAGIAN 3

SEBAB-SEBAB YANG MEMBAWA KEPADA KELEMAHAN JIWA :

-SIKAP IBUBAPA YANG TIDAK MENGAMBIL BERAT TENTANG PENDIDIKAN ANAK-ANAK SEJAK KECIL.
Tanpa disedari, keadaan tersebut membawa kepada penyerapan nilai-nilai yang negatif ke dalam jiwa anak-anak. Umpamanya mengatakan bahawa :

"Kamu lebih baik dan mulia daripada orang lain. Kamu adalah keturunan yang baik. Kamulah golongan yang berharta banyak jika dibandingkan dengan orang lain".

Sentiasa memuji dan menyanjung mereka tanpa sebab. Memenuhi tuntutan anak-anak samada mendatangkan manfaat atau tidak, enggan mengenakan hukuman ataupun memberikan tunjuk ajar sekiranya mereka melakukan kesilapan sebaliknya dengan mudah membebaskan mereka merupakan antara perkara yang menjadikan mereka terbiasa dengan kesilapan.

-CARA TARBIYYAH YANG TERLALU KERAS, KASAR DAN BERBENTUK PAKSAAN.
Ini menjadikan anak-anak terperangkap dengan dirinya sendiri dan menjadikan jiwa mereka pasif. Akhirnya, mereka cuba untuk meneguhkan diri sendiri dan menjadi hero di hadapan orang lain. Mendakwa dirinya hebat dan handal malah seorang jaguh. Pada hakikatnya, semua itu adalah sangkaan yang meragukan dan palsu semata-mata. Dengan itu, leburlah keperibadian, tewas dengan diri sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan pandangan serta pegangannya di hadapan orang lain. Alangkah mudahnya tewas meskipun dalam pertarungan yang terlalu remeh.

-LEMAH DALAM MEMBINA JIWA ANAK-ANAK DAN SUASANA PERSEKITARAN YANG TIDAK MENGGALAKKAN.
Anak-anak tidak sempat menamatkan pengajian dan tidak mampu menguasai ilmu serta rapuhnya hubungan kekeluargaan dan lain-lain lagi. Dengan itu, anak-anak akan menjadikan suasana luaran sebagai alternatif bagi meneguhkan diri dan menampung segala kekurangan diri. Ini semua akan menjadikan mereka ta'sub pada pandangan peribadi dan menggesa orang lain supaya menerima pandangannya. Cuba menampilkan diri sebagai seorang yang mengetahui segala perkara tersirat. Golongan ini tidak jemu bercakap tentang perkara yang boleh membersihkan imej sendiri dan mengangkat martabatnya di sisi orang lain.

-BAKAT DAN KEUPAYAAN TERTENTU YANG TIDAK DIPUPUK SEJAK KECIL DENGAN NORMA-NORMA KEHIDUPAN YANG MENGIKTIRAF BAHAWA SEGALA ANUGERAH TERSEBUT ADALAH DARI ALLAH.
Sepatutnya mereka sentiasa bersyukur kepada Allah SWT yang Maha Pencipta. Hal yang sedemikian perlu dititikberatkan, jika tidak mereka akan membesar dengan rasa tinggi dari orang lain. Kadang-kadang bakat serta kebolehan sendiri menyebabkan kehancuran sekiranya ia tidak digunakan dengan bijaksana. Kisah Qarun boleh dijadikan sebagai pengajaran yang terbaik.

-TIDAK ADA SIFAT SALING NASIHAT MENASIHATI SESAMA MANUSIA.
Nasihat merupakan suatu perkara yang amat pahit untuk diterima. Lantaran itu, ramai yang enggan memberi nasihat dan mermuka-muka kerana bimbang orang yang dinasihati akan berubah hati terhadapnya dan menimbulkan kemarahan. Sentimen itu, boleh mencetuskan anggapan pada sesetengah pihak bahawa kesilapan adalah kebenaran. Maka mereka yang bersalah terus bergelumang dengan kesalahannya.

-TIDAK MENITIKBERATKAN PEMBINAAN DALAMAN.
Peringkat usia 30-an dihabiskan tanpa sebarang usaha untuk menyempurnakan segala kekurangan yang ada. Lantas menyebabkan gejala lemah jiwa sebati dalam diri dan keperibadiannya. Mendidik anak-anak diwaktu kecil umpama mengukir di atas batu. Seperti mana yang telah kita ketahui dalam kisah Ashabul Ukhdud, kita melihat apa yang diminta oleh tukang sihir daripada raja adalah seorang anal kecil.

Daripada Suhaib RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : "Ada seorang raja sebelum zamanku yang memiliki seorang sihir apabila tukang sihirnya tua, dia berkata kepada si raja :"Sesungguhnya aku telah tua, utuskan kepadaku seorang budak agar aku boleh mengajarnya ilmu sihir". Maka raja tersebut mengutuskan seorang budak kepadanya untuk diajarkan sihir...". Riwayat Muslim.

-TIDAK MEMUHASABAH DIRI SECARA BERTERUSAN. BERPUAS HATI DENGAN AMAL IBADAT TANPA MELIHAT KEPADA PERCUBAAN HAWA NAFSU UNTUK MENGUASAINYA.
Apabila seseorang itu mampu menilik diri dan amalan lahiriah, sebaliknya mengabaikan amalan hati seperti ikhlas, membenarkan Allah, bertawakkal kepada Allah dan mengembalikan dirinya kepadanya. Takut akan berlakunya riya', takabbur, ujub, terpedaya dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan kecatatan amal, maka sifat tercela tersebut bermaharajalela di dalam diri tanpa disedari lantas dia menyangka bahawa dia sudah beruntung. Merasa dirinya tergolong dikalangan orang-orang yang soleh dan ahli syurga sedangkan itu bukanlah ciri-ciri orang soleh yang sebenar. Hakikatnya orang yang soleh sepertimana yang disifatkan oleh Al-Quran :

Maksudnya : "Dan orang-orang yang telah memberikan apa-apa yang telah diberikannya (sedekah, zakat dan sebagainya) sedang hati mereka itu takut kerana mereka akan kembali kepada tuhanNya". Al-Mukminun : 60

-MENONJOL DAN MENAMPILKAN DIRI TANPA PERSEDIAAN DAN PEMBENTUKAN AWAL.
Mereka yang tampil kehadapan dan terdedah kepada kemahsyuran sebelum sampai waktunya akan mudah tergelincir dalam banyak perkara seperti mana yang disebut oleh Imam As-Syafie yang bermaksud : "Apabila terkehadapan orang muda yang belum mantap ilmunya hilanglah darinya ilmu yang banyak".

Ini akan membantutkan usaha mencari ilmu, membentuk diri, mendidik jiwa dan menghidupkan hati. Sesetengah manusia apabila disuluh dengan cahaya kemahsyuran sedangkan dia masih belum ada persediaan diri yang mantap maka samalah keadaanya sepeti orang yang menghampiri cahaya dan mendapati dirnya terlalu besar sedangkan itu hanyalah bayang-bayang. Sedangkan dirinya tetap tidak berubah.

BAHAGIAN 4

RAWATAN

Rawatan tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu berbentuk umum dan khusus.

RAWATAN UMUM

Rawatan umum ialah apa yang dikatakan sebagai 'tarbiyyah pencegahan' yang membawa erti penyerapan secara meluas roh tarbiyah di kalangan masyarakat kita. Jika ini dapat dilaksanakan nescaya penyakit jiwa hari ini akan berkurangan. Antara rawatan yang perlu ialah :

-SALING NASIHAT MENASIHATI DENGAN ADAB YANG BAIK.
Orang tua menasihati orang muda secara lembut dengan penuh rasa kasih sayang. Orang muda menasihati orang tua dengan beradab dan penuh rasa hormat. Tidak mahu memberi nasihat adalah suatu perkara yang tidak baik dan ia berpunca dari lemahnya keazaman dan kemahuan dalam diri. Takut merupakan salah satu daripada halangan untuk seseorang memberi nasihat. Justeru, kumpulkan keazaman dan kuatkan kemahuan untuk menyatakan kepada orang yang membuat kejahatan 'engkau telah melakukan kesilapan'.

-TIDAK MEMUJI ORANG LAIN SECARA TERANG-TERANGAN.
Ini bertujuan agar kita tidak menghentam seseorang dari belakang. Rasulullah SAW telah banyak memberi amaran terhadap perkara ini. Seorang lelaki telah memuji sahabatnya di hadapan Rasulullah SAW lantas baginda bersabda, maksudnya :"Jika kamu melihat orang memuji maka lumurkan mukanya dengan tanah".

-JANGAN MELANTIK ORANG YANG TIDAK BERKELAYAKAN UNTUK MEMIMPIN.
Dalam mengarah dan memimpin manusia tanpa persediaan adalah amat berbahaya kerana mereka ini belum lagi menjalani tempoh pembentukan diri yang sempurna terlebih dahulu. Tidak digilap cermin hatinya dengan wirid, tidak disuburkan mindanya dengan ilmu yang bermanfaat dan tidak dilatih jiwanya dengan mujahadah. Sekiranya mereka telah melalui semua ini, barulah dapat melahirkan pemimpin yang benar-benar menghayati syariat Allah SWT.

-CINTAKAN SEMANGAT KEPERWIRAAN DAN BENCIKAN 'JAWATAN' (HUBBUR RI'ASAH).
Perasaan cintakan semangat keperwiraan dan bencikan jawatan perlulah disemai di dalam diri setiap sanubari manusia dan menghindarinya sedaya mungkin. Dalam masa itu, perlu juga diawasi diri dari rasa cinta untuk memimpin. Masakan tidak? tamak dan gila kuasa adalah salah satu tanda cintakan dunia. Orang yang inginkan akhirat tidak begitu meminta-minta kuasa dan mengidamkannya kerana mereka mengetahui tentang bahayanya.

Manakala orang yang suka diberi jawatan, akan lebih mengikut hawa nafsu, merasa mulia dengan tanggungjawab dan menagih jawatan. Keinginan terhadap tugas tersebut hanyalah untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya.. Ini semua akan terserlah melalui tingkah laku dan sikapnya terhadap orang lain. dia tidak mahu bermesyuarat dan berbincang. Tindak tanduknya membabi-buta dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tanpa mengira risiko.

-SENTIASA MENGIKTIRAF NIKMAT ALLAH.
Janganlah sesiapapun menyangka bahawa dengan ilmu, penonjolan, pengorbanan atau jihad yang telah dilakukannya akan berhak mengecapi nikmat Allah?. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Allah sahajalah yang berhak membangkit-bangkitkan kurnianya kepadamu kerana Dia menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu orang yang benar beriman". Surah Al-Hujjurat : 17.

-TIDAK BERPUAS HATI DENGAN DIRI SENDIRI.
Berpuas hati dengan pencapaian diri dan mengikut hawa nafsu adalah penyebab bagi segala bencana dan punca segala keaiban. Berkaitan dengan perkara ini Allah SWT berfirman dengan apa yang diucapkan oleh nabi Yusuf AS maksudnya : "Aku tidak berani membersihkan diriku kerana nafsu manusia sangat menyuruh membuat kejahatan. Kecuali sesiapa yang disayangi TuhanNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Kita hendaklah menanam dalam diri sikap tidak berpuas hati dengan diri sendiri dan seterusnya tidak cenderung kepada kehendak hawa nafsu. Ini semua tidak akan terhasil melainkan kita sentiasa menganggap tahap ketaatan kita terhadap perintah Allah SWT sentiasa rendah dan tidak memuaskan. Hendaklah kita sentiasa melihat kepada diri sendiri dengan pandangan yang serba kekurangan dan sentiasa merasa diri kerdil meskipun kita memiliki bakat, kemampuan kekuasaaan dan kedudukan di sisi masyarakat sekalipun banyak melakukan ibadat dan ketaatan kepada Allah SWT.

RAWATAN KHUSUS

-PERKARA YANG PALING UTAMA IALAH KEMAHUAN UNTUK MENGUBAH DIRI. MENGAKUI KELEMAHAN YANG ADA DALAM JIWA. SENTIASA BERUSAHA UNTUK MENENTUKAN JENIS PENYAKIT KERANA DENGAN ITU AKAN MELAHIRKAN KEAZAMAN DAN KEMAHUAN UNTUK MENGUBATI PENYAKIT JIWANYA.

-MEMBUAT RESOLUSI DIRI SENDIRI BAHAWA MELAKUKAN PERUBAHAN HANYA KERANA ALLAH SWT. SEGALA URUSAN BERMULA DAN BERAKHIR DENGAN IZIN ALLAH SWT DAN DENGAN KEAGUNGAN RAHMATNYA.

-MENGGANDAKAN USAHA DALAM MELERAI KEMELUT JIWA.

-MENBINA DIRI.

-SENTIASA BERMUHASABAH DAN MENGHUKUM DRI KETIKA PERLU. IANYA TIDAK SEMPURNA MELAINKAN KITA MENJADIKANNYA SEBAGAI WIRID UNTUK MUHASABAH HARIAN.

-BERDAMPING DENGAN ORANG-ORANG YANG BAIK DAN MULIA SERTA SESIAPA YANG LEBIH ISTIMEWA DARIPADANYA DI SEGI BAKAT DAN KEMAMPUAN YANG SAMA. TERUTAMANYA BAKAT YANG IA SANGKAKAN DIRINYA MENGATASI ORANG LAIN.

-SENTIASA MENGIKUTI KISAH PERJALANAN HIDUP PARA SOLEHIN DAN ORANG-ORANG YANG TAWADHU'.

Sunday, March 28, 2010

Yahudi Bangsa Yang Kejam


oleh :
Mohd Faizal Jaafar
redqalbi.blogspot.com

Semalam telah berlangsungnya kemuncak persidangan negara-negara arab di Libya. persidangan tanpa dihadiri 10 pemimpinnya termasuklah presiden mesir kerana sakit.

Apa yang hendak saya ulaskan bukan persidangan itu. tetapi apa yang berlaku di Palestin dan sensitiviti umat Islam. saya agak terkejut apabila membacakan berita tentang masjid al-aqsa yang terapung diawangan dan menunggu masa untuk runtuh. sedih bercampur geram. keadaan masjid ke-3 tersuci umat Islam ini telah terancam. bila-bila masa sahaja akan runtuh.

Inilah gambaran terkini umat Islam sebenarnya. retak menanti belah dan runtuh. tiada lagi kesatuan atas nama persaudaraan seakidah.

Telah berjaya Artarturk dan yahudi mengasing-asingkan benua dan negara Islam dari disatukan dalam satu khalifah.

Negara yang lemah akan ditindas, yang kuat akan terus berkuasa. yang miskin terus miskin, yang kaya terus kaya. perpecahan inilah penyebab beraninya musuh-musuh Allah mengancam umat Islam, terutamanya Palestin dan rakyatnya.

Tiada siapa hari ini layak digelar pembela Palestin. mereka bangun dan melawan menggunakan kudrat mereka sendiri.

Sekarang ini sudah 1600 tempat kediaman yahudi didirikan di sana. cuba bayangkan jika ini berterusan. pasti negara Yahudi yang mereka impikan akan terdiri.nauzzubillah.

Saya pelik dengan sikap pemimpin-pemimpin arab sekarang.terlalu pengecut. tak habis habis, rundingan rundingan rundingan. sampai bila. kalau dasar namanya yahudi laknatullah. sampai hari kiamat pun takkan tahu menghormati orang. mereka ini kaum yang degil. sebab itu para Nabi ramai diutuskan dari kalangan bangsa mereka. tetapi, apa yang terjadi selepas itu. habis nabi-nabi ini dibunuh, disembelih dan apa bahasanya lagi. mereka ini bangsa yang tiada bumi dan tanah. sebab itu mereka mahukan Palestin.

Fikir-fikirkan Wahai sahabat2ku!!

Saturday, March 27, 2010

Manisnya Sebagai Pesakit


oleh :
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
ibnuirfadzil.blogspot.com

Khas buat mereka yang mengalami penyakit, atau sedang sakit terlantar dihospital, dan sebagainya. Bagaimana? Betulkan minda anda, supaya minda anda tidak sakit sepertimana badan anda sedang mengalami kesakitan. Ingat, kesakitan yang paling serius ialah sakit minda, atau lebih dikenali sebagai “sakit otak”.

Ramai orang yang mampu untuk melakukan kerja berat-berat, tetapi berapa ramaikah yang mampu menjadi pemikir yang hebat? Ini kerana mereka yang kuat berfikir sering mengatakan “sakit otak”, apabila mengalami tension dalam bertugas dan sebagainya. Maka, bagi mereka yang “hanya” sakit pada badan, pastikan minda anda tidak turut sakit sama.

Petua untuk menghilangkan sakit pada badan, melalui minda ialah :

1. Sakit itu bukanlah satu penghinaan daripada Allah. Tetapi ia adalah ujian daripada Allah untuk meningkatkan iman kamu sekiranya kamu bersabar. Maka beruntunglah orang yang sakit.

2. Sakit itu menunjukkan bahawa Allah menyayangi kamu. Ini kerana Allah ingin tingkatkan kesabaran kamu. Allah tidak akan biarkan orang yang disayanginya sihat sentiasa, kerana ia akan mengurangkan “kesabaran” di dalam diri. Alhamdulillah, sakit membuatkan aku merasa sabar.

3. Orang yang sakit ada peluang untuk berehat, dan mengatur kembali perancangan. Ya, asyik sibuk dengan kerja, sehinggakan tidak sempat untuk merancang. Maka, waktu untuk merancang itu ialah ketika sakit! Sakit adalah waktu rehat anda, dan peluang anda untuk merancang.

4. Sakit boleh menghapuskan dosa, sekiranya kita bersabar dengan penyakit tersebut. Cukup dengan bersabar, dan berehat. Dosa akan terhapus, disebabkan kesabaran yang percuma itu. Tidak perlu bersusah payah untuk bekerja keras.

5. Ingat, Nabi-nabi Allah, wali-waliNya dan para ulama, kesemuanya mengalami sakit. Mereka “diberi” kesakitan kerana ketinggian darjat mereka. Bagaimana pula kita? Orang yang sentiasa sihat, akan sukar bersabar apabila ditimpa sakit, walaupun jarang terkena.

6. Orang yang tidak mengalami sakit, sebenarnya dia ada penyakit. Orang yang normal, akan sakit. Orang yang sentiasa sihat, itulah orang yang kurang normal. Ini kerana ia adalah fitrah. Sememangnya kesakitan itu ada pada semua manusia. Paling kurang, sakit hati.

7. Gunakan peluang ini untuk beramal dan berzikir mengingati Allah. Apabila kita sibuk bekerja untuk dunia, apa salahnya diberi sedikit sakit untuk memberi peluang kita mengingati Allah, dan mengingati mati.

8. Apabila sakit, bersangka baiklah dengan Allah. Gunakanlah waktu sakit itu untuk rehat daripada sebarang masalah kerja, dan tenangkan fikiran daripada kecamuk sibuk warga kota. Sekiranya kita menganggap bahawa penyakit itu adalah azab, maka ia akan jadi azab. Fikirlah bahawa ia adalah ujian daripada Allah untuk melihat kesabaran kita.

Dipetik daripada :

Risalah Ila Kulli Maridh
Dr Abdul Mahdi Abdul Qadir,
PhD Universiti al Azhar
Cetakan Maktabah Iman

Ringkasan Oleh :

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
ibnuirfadzil.blogspot.com

Perkahwinan Ustaz Hafizul Akbar


27 MAC - KPIPM hari ini menerima berita gembira apabila dimaklumkan bahawa salah seorang ahli KPIPM bakal mendirikan rumahtangga. Beliau yang dimaksudkan ialah Ustaz Hafizul Akhbar bin Abdul Rahman.

Beliau adalah mahasiswa tahun 1, Qiraat al Azhar cawangan Tanta, yang telah menamatkan pengajian di peringkat Maahad Qiraat Syoubra tahun lepas. Beliau juga pernah menjawat sebagai Bendahari Kehormat KPIPM bagi sesi 2007/2008.

Beliau akan melangsungkan perkahwinan tersebut pada hari ini, iaitu 1 April di rumah pengantin perempuan, dan akan mengadakan walimah di rumah pengantin lelaki pada 4 April akan datang.

Beliau bakal mendirikan rumahtangga bersama seorang mahasiswi cawangan Iskandariah, dari Negeri Johor. Beliau yang dimaksudkan ialah Ustazah Hidayah binti Abd Rahman.

Pengerusi Unit Bait Muslim dan Hisbah, Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil memberitahu bahawa pasangan pengantin baru ini adalah yang kedua belas pada sesi ini, yang mendapat makluman di peringkat KPIPM.

Beliau juga mengucapkan tahniah di atas perkahwinan beliau ini.

Friday, March 26, 2010

Masjid al Aqsa Terapung Di Awangan


sumber : http://map2street.blogspot.com (Mini Pavilion PMRAM)

Laporan Palestin: Masjid Al-Aqsa tergantung di awangan

Sebuah laporan yang disediakan oleh Hal-Ehwal Luar Palestin telah dibentangkan dalam perjumpaan awal(persediaan) bagi peringkat Menteri-menteri luar Arab semalam di bandar Sirt, Libya sebelum berlangsung Persidangan Kemuncak Negara-negara Arab pada esok hari, 27-03-2010 di Sirt, Libya.

Laporan tersebut memperincikan tentang penggalian Israel di bawah Masjid Al-Aqsa serta perancangan Israel bagi meyahudikan bandar Al-Quds.

Rentetan beberapa kajian khusus yang telah dibuat menjelaskan bahawa Masjid Al-Aqsa seolah-olah tergantung di awangan jika binaan asas itu menjadi reput kesan penggalian yang dilakukan Israel. Tambahan pula, wujud terowong-terowong bawah tanah di bawah Al-Aqsa sehingga menemui di bawah bandar kecil Silwan yang terletak berdekatan tembok di sebelah barat Masjid al-Aqsa.

Berikutan itu, kejadian runtuh pasti berlaku di jalan-jalan utama yang meliputi kawasan penggalian.

Menurut laporan itu, bahawa pendedahan terbaru mengenai terowong bawah tanah yang baru dibina bersambungan dari kawasan El-Magharibah ke Ain Silwan sekaligus mengikat bandar Silwan Palestin dengan tembok buraq. Maka, penyambungan terowong bawah tanah dari bawah bandar Ain Silwan turut bersambungan dengan terowong bawah tanah yang lain sehingga merangkumi sekeliling bandar Al-Quds. Jelas laporan itu,usaha Israel adalah untuk menguasai bandar Al-Quds kerana mendakwa ia adalah bandar Nabi Daud A.S.

Selain itu dijelaskan, bahawa kumpulan-kumpulan Yahudi telah menguasai hampir 70 hartanah di bandar Al-Quds, di antaranya rumah-rumah dan tanah-tanah.

Berhubung dengan penjelasan tersebut, Israel telah melakukan penggalian terbaru dalam beberapa minggu yang lalu berhampiran pintu El-Magharibah. Tujuan usaha giat itu adalah untuk membina sebuah kawasan yang luas bagi letak kereta, trak-trak dan bas-bas.

Demikian itu, Israel juga sedang berusaha bagi membina hotel-hotel dan taman-taman di bawah pintu El-Magharibah sehingga mencapai tembok Al-Quds. Tidak lain adalah untuk mengubah kawasan tersebut menjadi tempat perkumpulan Yahudi yang terbesar. Kesan usaha tersebut, jumlah penduduk Israel akan meningkat lebih tinggi berbanding jumlah penduduk Arab Palestin yang sedia ada. Sumber 26/03/2010, suratkhabar Shourouk(Mesir)

Ketua Biro Ekonomi Mengumumkan Pemboikotan Barangan Sweeden


26 MAC – Ketua Biro Ekonomi, Ustaz Omar bin Adam hari ini memberitahu media bahawa KPIPM akan mengadakan boikot barangan Sweeden sepertimana yang telah dilakukan sebelum ini terhadap mana-mana badan yang menghina Islam.

Ia adalah susulan daripada 3 buah akhbar Sweeden telah menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pada hari ini, di Malaysia sendiri, beberapa NGO dan parti sedang mengadakan demo dihadapan kedutaan Sweeden bagi membantah tindakan Sweeden ini.

Kempen Boikot yang telah dilaksanakan oleh Biro Ekonomi telah memberi kesan positif sebanyak 70 % semenjak awal sesi kenaikan, sehinggalah sekarang, katanya.

Beliau juga menyarankan kepada semua ahli KPIPM supaya tidak lagi membeli barangan keluaran Sweeden, sebagai usaha untuk melumpuhkan ekonomi mereka.

Beliau berkata, KPIPM akan mengeluarkan artikel khas yang menyenaraikan semua barangan Sweeden yang perlu diboikot, selain barangan keluaran Israel, barangan syubhat dan sebagainya

Mesyuarat Muhasabah Mesra 10 Diadakan


24 MAC – Pada 24 Mac lalu, KPIPM telah mengadakan mesyuarat muhasabah bagi program Mesra 10 yang diadakan di Dewan Syeikh Sya’rawi, Wisma Darul Ridzuan A.

Mesyuarat dihadiri seramai 9 orang akhawat, dan 10 orang yang ikhwah dari kalangan Adhoc. Mesyuarat bermula pada jam 9 malam dan berakhir pada jam 12 malam.

Antara perkara yang dibincangkan ialah muhasabah gerak kerja adhoc sepanjang program Mesra 10 berlangsung. Mudah-mudahan dengan muhasabah ini dapat memperbaiki kekurangan yang ada dan meningkatkan mutu gerak kerja di masa akan datang.

Selain itu, para Adhoc melontarkan beberapa cadangan bernas untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Mesyuarat diakhiri dengan ucapan daripada Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Mohd Khairul Asyraf bin Mohd Khir, yang menekankan aspek kebersamaan dalam gerak kerja dan beliau mengucapkan terima kasih di atas sumbangan semua adhoc dalam menjayakan program ini.

Youth Talkshow Menarik Minat Ahli




25 MAC – Dijangka melebihi 60 orang ahli KPIPM menghadiri Youth Talkshow sempena Program Pemantapan DUAT (PEMANDU 10) yang diadakan pada malam tadi.

Program bermula pada jam 8.30 malam di Wisma Darul Ridzuan dengan membawa tajuk “Mahu 1000 Adam, Perlu Seorang Hawa”.

Panelis yang ditampilkan ialah Ustaz Abdul Hadi bin AB Rahman, Ustaz Ismail bin Nardin dan Ustazah Zahidah binti Abd Wafir yang menggantikan Ustazah Mazilah binti Mohd Nor.

Talkshow telah dikendalikan oleh Ustaz Mohd Atiq bin Johari, mahasiswa tahun 1 Universiti al Azhar, dan Dr Nasibah binti Abu Bakar, mahasiswi perubatan Ain Syams.

Antara yang ditekankan oleh ahli panel ialah tanggungjawab pemuda dan pemudi dalam membawa masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Program tamat pada jam 10.45 malam.

Wednesday, March 24, 2010

Program Pemantapan DUAT Bermula Rentak


24 MAC – Hari ini telah diedarkan iklan ke rumah-rumah sewa dan Wisma Darul Ridzuan tentang Program Pemantapan DUAT siri pertama yang bakal menjadi pembuka tirai bagi program ini.

Program Pemantapan DUAT (PEMANDU) adalah program anjuran bersama Biro Dakwah dan Tarbiah dan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM.

Ia bakal dilaksanakan kali pertama pada esok hari, 25 Mac dengan slot yang dinamakan “Youth Talkshow” dengan bertajuk “Mahu 1000 Adam, Perlu Seorang Hawa”.

Program akan diadakan selepas Isya, di Wisma Darul Ridzuan A, dengan menampilkan beberapa panelis yang dikenali ramai di kalangan ahli KPIPM sendiri.

Mereka ialah, Ustaz Abdul Hadi bin AB Rahman, mahasiswa tahun 4, Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al Azhar Kaherah, Ustaz Ismail bin Nardin, mahasiswa tahun 3, Kuliah Usuluddin Jabatan Tafsir, Universiti al Azhar Kaherah dan Ustazah Mazilah binti Mohd Nor, Graduanita Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al Azhar Iskandariah.

Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin, Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah menggalakkan kepada semua ahli KPIPM untuk turut hadir dalam program ini.

AJKT Menziarahi Ustaz Luqman Hakim Yang Mengalami Sakit Teruk



24 MAC – Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar, Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah bersama Ustaz Muhammad Amin bin Abdul Rahman, Timbalan Yang Dipertua hari ini telah menziarahi seorang ahli KPIPM yang mengalami sakit teruk.

Beliau yang dimaksudkan ialah Ustaz Luqman Hakim bin Abaidillah, mahasiswa tahun 3, Kuliah Syariah, Universiti al Azhar, Kaherah.

Beliau yang sedang terlantar di rumah beliau di Hayyu Asyir semenjak 3 minggu lalu setelah disyaki mengidap penyakit demam kuning, dan beberapa penyakit lain.

Beliau ketika ditanya, memberitahu akan pulang ke Malaysia pada hari Jumaat ini, pada jam 12 tengahari untuk mendapatkan rawatan lanjut di Malaysia.

Ustaz Mohd Zahid memberitahu bahawa BTKKR akan membuat kutipan dari rumah ke rumah, bagi mendapatkan sumbangan untuk beliau.

Pengumuman Pilihanraya Badan Pengurus PMRAM Sesi 2010


Dengan ini pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PMRAM 2009 secara rasmi mengumumkan, pencalonan semula bagi Badan Pengurus PMRAM telah ditutup pada 5 Mac yang lalu. Sehingga tempoh tersebut, pihak SPR telah menerima 3 calon lebihan sekaligus mengumumkan pilihanraya Badan Pengurus PMRAM sesi 2010 akan diadakan.

Bagi memilih 9 calon Badan Pengurus tersebut, Suruhanjaya Pilihanraya PMRAM memutuskan beberapa ketetapan berikut :

1. Malam Ta`ruf Calon Kepimpinan PMRAM 2010 (MTC `10) : 29 Mac 2010 ( Isnin ) bertempat di Rumah Selangor jam 7.45 malam.
2. Hari semakan daftar pemilih : 28 Mac hingga 1 April 2010 ( Rabu – Sabtu )
3. Hari calon berkempen : 29 Mac hingga 8 April 2010 ( Isnin – Khamis )
4. Hari dan tempat mengundi : Akan dimaklumkan kemudian

Maklumat lanjut tentang perjalanan aktiviti SPR PMRAM akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi Saudara Rafzan Razak selaku Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya PMRAM 2009 ditalian +20114527822.

Tuesday, March 23, 2010

Sifat Seorang Muslim

Oleh :
Ustazah Suriaty Nayan
Tahun 4, Kuliah Syariah,
al Azhar, Iskandariah
telantiputri.blogspot.com



Dalam kitab Risalah Ta'lim karangan Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah digarispandukan tentang 10 sifat baik yang perlu ada dalam membentuk diri ke arah yang lebih positif. 10 sifat ini merupakan nadi penggerak para daei dalam meneruskan usaha untuk menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi ini. Point-point penting ini terdapat di dalam rukun yang ketiga iaitu rukun AMAL. Sebagai manusia biasa yang serba-serbinya kurang, kita harus berusaha supaya sifat-sifat positif ini mesra dengan jiwa dan jasad kita.

Mari kita koreksi diri, adakah 10 sifat ini kita miliki. Jika tidak, usahakan dari sekarang agar anggota badan kita mula terbit rasa cinta untuk berubah ke arah yang lebih baik.

-KUAT TUBUH BADAN

Allah lebih menyayangi muslim yang kuat dari yang lemah. Tubuh badan yang kuat, antara faktor keberjayaan sesuatu dakwah. Usahakan sesuatu agar rohani dan jasmani kita kuat. Carilah punca dan cuba rawat secepat mungkin andai kita diserang penyakit. Seteruk-teruk sakit zahir...lebih teruk sakit batin.

-AMPUH BUDI PEKERTI

Budi bahasa budaya kita. Muslim harus punya akhlak yang kukuh. Jika akhlak luntur tiada siapa yang akan pandang kita. Contohi akhlak Rasulullah SAW. Sentiasa bercakap benar dan berani menyatakan kebenaran walaupun di hadapan penguasa yang zalim. Jangan ketawa berdekah-dekah, menepati janji, lemah-lembut, selalu memaafkan,tunaikan hak-hak manusia dengan sempurna, sentiasa senyum dan bermanis muka, kurangkan marah dan banyak lagi sifat-sifat baik yang telah diajar oelh Rasulullah SAW.

-TAJAM DAN BERPENDIDIKAN FIKIRANNYA

Cuba untuk menambah ilmu setiap hari. Samada dari sudut pembacaan ataupun pengalaman.

-MAMPU BEKERJA DAN BERUSAHA

Bukan menjadi muslim yang banyak meminta. Islam melarang sifat malas dan lemah. Usahakanlah apa juga pekerjaan yang halal untuk menyara keluarga kita. Jangan benarkan makanan yang masuk ke dalam mulut keluarga kita itu dari sumber yang syubhah dan haram. Mendidik hati untuk qanaah(berpada-pada). Infaqkan harta ke jalan yang halal.

-SEJAHTERA AQIDAH

Punyai kefahaman yang jelas tentang Islam.

-SOHEH IBADAH

Tunaikan perintah Allah dengan betul. Perelokkan bacaan Quran dan tadabbur. Al-Quran dan As-Sunnah jangan diambil separuh-separuh. Hadirkan niat di dalam setiap amalan. Sebolehnya jagalah sunnah, perbanyakkan membaca buku tentang penyucian jiwa. sentiasa bermuhasabah dan solat di awal waktu.

-MUJAHADAH DIRI

Menahan diri dari melakukan segala sesuatu yang haram. Kekangkan nafsumu dengan banyak ingatkan Allah. Jihad melawan musuh sama tahapnya dengan jihad untuk melawan hawa nafsu yang buas. Jika tidak, masakan Rasulullah SAW berkata kepada seluruh sahabat setelah selesai berperang agar nafsu-nafsu semua dilawan.

-MENJAGA WAKTU

Muslim sejati, muslim yang menjaga waktunya. Waktu adalah kehidupan. Lazimilah taubat dan istighfar, zikir dan sentiasa membaca Al-Quran. Tepati janji.

-BERSISTEMATIK DALAM URUSAN

Bersih dalam setiap perkara samada tempat tinggal ataupun tubuh badan. Usaha untuk amalkan apa yang termampu dalam kehidupan.

-BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN

Usaha agar diri menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah SAW. Usaha untuk menyampaikan ilmu walaupun sepatah perkataan.

Pengumuman : Tarikh Tutup Pertandingan Cerpen Dilanjutkan


Assalamualaikum,

Makluman kepada semua ahli KPIPM, pertandingan menulis cerpen dilanjutkan sehingga tarikh 31 Mac. Diharap dapat menghantar cerpen sebelum atau pada tarikh tersebut kepada

Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman

atau

Timbalan Ketua HEWI, Ustazah Dzulyalyna binti Ahmad Zahidi

Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2009/2010

Ralat Dalam Aspirasi Edisi Mesra 10


PERHATIAN :

Terdapat beberapa ralat di dalam Aspirasi Edisi Mesra 10 yang perlu diubah :

m/s 5 : Saidatina Khadijah wafat pada umurnya 65 tahun, bukan 50 tahun. Sila betulkan.

Terima kasih

Timbalan Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2009/2010

Monday, March 22, 2010

Terima Kasih Kepada Semua Adhoc Mesra 10


22 MAC – Yang Dipertua, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir hari ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Adhoc Mesra 10, yang banyak bertungkus lumus dalam menjayakan program mega ini.

Beliau berkata bahawa Mesra 10 adala program yang pertama dibuat di dalam KPIPM, bagi merealisasikan kelainan dan pembaharuan dalam KPIPM.

Beliau mengharapkan agar usaha untuk menggiatkan KPIPM berterusan dan sama-sama dapat menolak unsur pecah belah dalam KPIPM.

Beberapa ahli kita mengatakan KPIPM sudah tidak meriah seperti dahulu, kerana dihiasi dengan kegembiraan ahli-ahli yang mendapat kerjasama dari semua pihak. Tetapi saya kesal kerana kemesraan tersebut telah hilang disebabkan unsur pecah belah dan beberapa ahli yang tidak mahu memberikan komitmen, katanya.

Beliau mengharapkan agar sebarang ketidakpuasan hati, boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Janganlah disebabkan perkara yang kecil, sehinggakan program KPIPM diboikot, sedangkan ia begitu sukar diusahakan, terutamanya di peringkat Adhoc sendiri.

Aspirasi Edisi Mesra 10 Berjaya Diedarkan


22 MAC – Aspirasi Edisi Mesra 10 akhirnya berjaya diedarkan kepada ahli untuk menggiatkan ekonomi KPIPM. Aspirasi edisi kali ini lebih menarik dengan memuatkan artikel, perancangan, info dan sebagainya di dalam 16 muka surat.

Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman, Timbalan Yang Dipertua, memberitahu bahawa Aspirasi bukanlah edaran secara percuma kepada ahli, tetapi ia dijual dengan harga yang tertentu. Kali ini harganya sebanyak LE 2.

Namun, untuk edisi percuma, boleh mendapatkannya di dalam blog KPIPM, katanya semasa Jaulah AJKT ke Iskandariah sempena Mesra 10 baru-baru ini.

Beliau berharap agar edaran ini dapat dihabiskan jualannya di peringkat ahli.

Khazanah Nabi Muhammad SAW

Kiriman :
Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
ibnuirfadzil.blogspot.com































LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...