Showing posts with label Karya. Show all posts
Showing posts with label Karya. Show all posts

Saturday, August 29, 2020

ARTIKEL KEMERDEKAAN | KEMERDEKAAN YANG DIIMPIKAN

 

ARTIKEL KEMERDEKAAN | KEMERDEKAAN YANG DIIMPIKAN
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2019/2020

        
     Menurut perspektif Islam, kemerdekaan bermakna kebebasan manusia dalam menikmati kehidupan sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman,mafhumnya:“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Al-Dzariyat: 56)

        Hidup merdeka ialah hak asasi setiap manusia di dunia ini. Hak asasi sebagai manusia berakal waras dan bebas melaksanakan keyakinan dengan fitrah di bawah landasan perintah dan larangan Allah SWT. Pada zaman kini, pemahaman tentang hak asasi manusia telah disalah tafsir oleh kebanyakan orang Islam. Kefahaman mereka bahawa hak asasi ini adalah menurut kehendak hati dan nafsu hingga menghalalkan sesuatu yang haram dan mengharamkan perkara halal. Kemerdekaan yang difahami mereka termasuk bebas berfikir, berkehendak dan bertindak melakukan sesuatu tanpa dibatasi sebarang peraturan, nilai atau undang-undang termasuk hukum syarak.

        Namun, disebalik istilah kemerdekaan ini ada makna yang jauh lebih penting untuk sama-sama kita hayati dan renungi, iaitu sebuah kemerdekaan atau kebebasan yang bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal semata, tetapi merdeka dari sudut Islam yang sebenarnya adalah mengeluarkan manusia daripada memperhambakan diri sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah SWT serta bermatlamat untuk meruntuhkan jahiliah yang merantai pemikiran umat Islam kini seperti mana yang diungkapkan oleh Rubaie bin Amir ketika menghadap panglima perang Parsi yang bernama Rustum:
 "Kami merupakan kaum yang diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu memperhambakan diri kepada manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah yang Esa.."

        Maka marilah sama-sama kita merenung sejenak, adakah kita benar-benar merdeka mengikut Islam atau hanya atas kertas sahaja. Dalam surah Al-Maidah ayat 51, Allah SWT berfirman, mafhumnya:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim". (Al Maidah:51)

        Ayat di atas merupakan larangan mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin. Hal ini kerana, sedalam manapun pertentangan dan permusuhan sesama mereka seperti British, Portugis dan Belanda tetapi dalam menghadapi Islam, mereka bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain serta tidak akan rela sehingga umat Islam mengikut jejak langkah mereka seperti yang disebut dalam firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 10, yang mafhumnya:

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad )sebelum engkau mengikuti agama mereka.." (Al Baqarah:120)

        Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani akan sentiasa berusaha mencari jalan untuk menyesatkan umat Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari kiamat. Dendam terhadap agama ini telah membakar semangat mereka untuk mencengkam umat Islam pada ketika itu dengan bermatlamatkan 3G iaitu 'God, Gold, Glory'. Frasa 'God' dijadikan sebagai matlamat utama menunjukan bahawa cita-cita utama mereka adalah dengan menyebarkan kefahaman agama Kristian.

        Strategi demi strategi disusun demi menghancurkan umat Nabi Muhammad SAW. Antaranya adalah apabila mereka mendapat tahu bahwa negara Malaysia merupakan sebuah negara yang dipimpin oleh sultan yang berpegang dengan agama Islam dan melaksanakan perintah Allah SWT, maka mereka mula mencari jalan dalam menghantar agen-agen Yahudi dan Nasrani.

        Pada tahun 1511, mereka menghantar agen Yahudi dan Nasrani yang pertama iaitu Portugis bagi merebut kuasa pemerintahan negara Malaysia, kemudian diganti pula oleh penjajah Belanda pada tahun 1641, sehingga mereka berjaya mengaut segala kekayaan dan hasil bumi negara seterusnya menghancurkan dan memporak-perandakan umat Islam sendiri. Seorang demi seorang ulama’ dibunuh dalam memperjuangkan agama dan tanah air. Pada tahun 1824, pemerintahan diambil alih pula oleh penjajah British. Mereka memerangi pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdiri daripada para alim ulama antaranya Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Rentap dan senarainya begitu panjang sekali. Pada tahun 1941, negara kita dijajah pula oleh penjajah Jepun sehingga berakhirnya penjajahan ini dengan berlakunya peristiwa pengeboman di Nagasaki dan Hiroshima. Kemudian diambil alih semula kuasa penjajahan oleh British. Selama 446 tahun bumi Malaysia dijajah, diperintah dan diserang habis-habisan oleh puak Yahudi dan Nasrani.

        Kedatangan mereka bukan semata-mata ingin meluaskan tanah jajahan dan mengaut segala kekayaan dan hasil bumi, tetapi mereka turut memasukkan ideologi-ideologi atau pegangan dan cara hidup mereka iaitu ideologi Kristianisasi dalam negara kita dengan cara berusaha mengkristiankan umat Islam seramai yang mugkin. Namun pegangan agama umat Islam yang kuat menyebabkan mereka gagal dalam usaha memurtadkan umat Melayu Islam pada ketika itu. Inilah hasil daripada pentarbiahan para alim ulama yang sangat memainkan peranan dalam menanamkan aqidah yang kuat dalam jiwa umat Islam. Namun sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan umat Islam pada hari ini, yang tidak ubah seperti buih-buih di lautan. Jumlah umat Islam kini semakin ramai tetapi sangat lemah iman dan pengangan aqidahnya.

        Selama 446 tahun dijajah dan diperintah, Yahudi dan Nasrani menggunakan modus operandi  mereka iaitu cara hidup mereka dan kemudian ditanam dalam pemikiran orang Melayu Islam iaitu kefahaman Sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan. Kefahaman inilah yang disebut dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 85, di mana mereka hanya berpegang dan beriman kepada sebahagian isi kitab Taurat dan mengingkari sebahagian yang lain. Itulah kefahaman yang ditanam oleh fahaman sekular.

        Tanpa disedari, akhirnya mereka telah berjaya memasukkan kefahaman dan budaya hidup mereka dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam ketika ini, antaranya adalah dengan menggunakan 5F iaitu Family, Funny, Fashion, Film, Food. Mereka akan berusaha agar agenda ini berjaya dengan memastikan bahawa setiap rumah tangga Muslim itu porak peranda, kemudian diperkenalkan hiburan demi hiburan yang melalaikan, pakaian yang tidak patuh syariah, cerita-cerita yang penuh dengan agenda yang tersurat dan tersirat serta makanan-makanan yang terdiri daripada unsur yang haram dan syubhah sehingga memberi kesan kepada kesucian hati dan pembentukan individu Muslim itu sendiri.

        Sabda Nabi Muhammad SAW "Kamu akan mengikut umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga mereka masuk kedalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka, kami berkata kepada Rasulullah SAW,"Adakah orang Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?", sabda Nabi SAW "Siapa lagi kalau bukan mereka".

        Sesungguhnya dendam mereka terhadap agama Islam yang suci ini akan terus membara sehingga ke hari kiamat. Dendam inilah yang membuatkan mereka tidak akan pernah berdiam diri sehingga kita benar-benar mengikuti jejak langkah agama mereka. Oleh itu, sama-samalah kita renungi, adakah kita benar-benar mencapai definisi kemerdekaan yang sebenar? Adakah kita benar-benar merdeka dari sudut penjajahan pemikiran dan kefahaman yang telah ditanam oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?

        Justeru, jika kita hari ini sebagai seorang mahasiswa Islam yang merupakan ejen pembangunan sebuah negara haruslah kita bersama-sama berusaha mengambil peluang serta memainkan peranan dalam menyumbang pelbagai idea yang kreatif, kritis dan analitis untuk masa depan negara bagi mencapai kemerdekaan yang sebenar.

        Antara peranan mahasiswa dalam mencapai kemerdekaan sebenar adalah dengan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Ini adalah kerana penguasaan ilmu dalam sesuatu bidang akan mengangkat martabat sesuatu bangsa dan negara. Dengan ilmu yang diamalkan sebaik mungkin, ia boleh mengubah kehidupan dan nasib sesuatu negara bangsa untuk mendepani cabaran hidup dan zaman.

        Selain itu, mahasiswa juga dituntut bijak memilih pemimpin yang ideal menurut perspektif Islam. Pentingnya memilih pemimpin yang betul supaya terwujudnya sebuah negara yang makmur dan rakyat sejahtera. Contoh kriteria pemimpin ideal, hendaklah merujuk kepada Rasulullah SAW. Setidaknya ada empat sifat yang ditunjukkan Rasulullah SAW sebagai pemimpin, yakni siddiq (jujur), amanah, fathanah (cerdas), dan tabligh (aktif mengajak pada kebaikan).

        Seterusnya, mahasiswa berkewajipan dalam memahami Islam secara keseluruhan yakni memaknai hidup Islam dengan sebenar-benarnya. Sebagaimana Allah SWT berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan..." (Al-Baqarah : Ayat 208).

Dalam tafsir Ibnu Katsir ayat ini diterjemahkan bahwa Allah memerintahkan kepada hamba-Nya yang beriman kepada-Nya dan membenarkan Rasul-Nya agar berpegang kepada tali Islam dan semua syariatnya serta mengamalkan semua perintahnya dan meninggalkan semua larangannya dengan segala kemampuan yang dimiliki. Untuk melaksanakan hal ini tentu kita harus memiliki pemahaman akan Islam secara benar. 

        Akhirnya, mahasiswa haruslah memainkan peranan serta bangkit dan mengkaji sejarah Islam supaya tidak mudah tertipu. Ini kerana di zaman yang serba canggih ini semua informasi dengan mudah boleh diperoleh melalui media sosial tetapi perlu berhati-hati kerana tidak semua informasi dan fakta yang kita dapat itu tepat jika sumbernya hanya dari internet. Maka, menjadi tugas mahasiswa untuk mengkaji semula sejarah Islam yang sebenar. Sejarah yang benar ini penting dalam mengobarkan semangat anak cucu untuk kembali mencari kebenaran. Dari situlah akan datangnya semangat untuk menjadi pendokong agama, bangsa dan negara.


Disediakan oleh :
Nirmin Wardah binti Mohd Ali Piah
Nuralya Faqihah binti Abdul Rahim
(Peserta Kelas Penulisan Pusat Sumber Tenaga (PESAT) KPIPM sesi 2019/2020)

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Friday, August 28, 2020

ARTIKEL KEMERDEKAAN | KEMERDEKAAN ERA PANDEMIK

 

ARTIKEL KEMERDEKAAN | KEMERDEKAAN ERA PANDEMIK
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2019/2020

Tahukah anda, sudah hampir 63 tahun Malaysia meraikan sambutan Hari Kemerdekaan? Saban tahun rakyat Malaysia menyambut hari yang penuh bersejarah ini. Semangat dan kemeriahan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia amat berbeza daripada hari-hari lainnya. Seluruh rakyat Malaysia menyambut hari gemilang ini dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang mampu memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
 
Memandangkan tahun ini, tahun yang getir khasnya apabila segala kegiatan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya terjejas, kemerdekaan kali ini menjadi kemerdekaan paling bersejarah buat kita semua kerana mengalami norma baharu. Apakah itu norma baharu? Norma baharu atau dikenali sebagai 'new norm' adalah peraturan baharu yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit.
 
Antara peraturan baharu yang ditetapkan oleh kerajaan ketika musim COVID-19 ini ialah Perintah Kawalan Pegerakan (PKP). Sebelum menyelam lebih dalam, marilah kita bersama-sama menghayati, apakah makna sebenar kemerdekaan dari segenap aspek kehidupan.
 
Kemerdekaan menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ialah keadaan bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan, berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.
 
Erti sebuah kemerdekaan bukan hanya bebas daripada cengkaman fizikal penjajah, malah lebih daripada itu. Kemerdekaan yang telah kita kecapi ini hanyalah pada lahiriah sahaja. Adapun, serangan pemikiran dan budaya yang dilancarkan oleh penjajah sedikit sebanyak masih memberi kesan mendalam terhadap sebilangan rakyat Malaysia.
 
Kemerdekaan daripada perspektif Islam pula ialah kebebasan manusia untuk dapat menikmati kehidupan sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT. Allah Taala berfirman :
 
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
 
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” [ Al-Dzariyat : 56 ]
 
Manusia yang merdeka hidup dalam keadaan fitrah, ketentuan dan pedoman penciptanya, sekaligus sesuai hak asasi sebagai manusia berakal waras dan bebas melaksanakan apa yang diyakininya dengan fitrah di bawah landasan perintah dan larangan Allah SWT. Malah hidup merdeka adalah hak asasi setiap penghuni alam semesta keseluruhannya.
 
Jika hanya sekadar mengenal akan makna kemerdekaan semata-mata, ianya tidaklah memadai bagi seorang anak merdeka melainkan didorong dengan semangat dalam menyambutnya. Maka, bagaimanakah cara menyuburkan rasa semangat dalam menyambut kemerdekaan kali ini dengan adanya norma baharu?
 
Antara cara bagi anak merdeka untuk menyambut kemerdekaan era pandemik adalah dengan mengukuhkan penghayatan sejarah asas kenegaraan serta perjuangan kemerdekaan tanah air. Sejarah-sejarah ini boleh didapati melalui pembacaan daripada pelbagai sumber seperti buku-buku atau penulisan ilmiah berkaitan asas bernegara serta tokoh-tokoh kemerdekaan tanah air. Melalui pembacaan yang beraneka sumber, kita boleh mengembangkan lagi idea, info atau trivia dengan menukilkan penulisan yang bermanfaat.
 
"Cintai aku dengan membaca, aku akan mencintaimu dengan menulis".
 
Selain penulisan, semangat cinta akan negara dapat dipupuk dengan menghasilkan karya-karya kreatif seperti pembikinan video, puisi, poster dan sebagainya. Ini secara tidak langsung membangkitkan semangat patriotisme dalam diri semua lapisan masyarakat.
 
Tambahan pula, era langit terbuka ini menyaksikan limpahan kemahiran yang berpotensi untuk dikomersialkan antaranya karya-karya kreatif anak-anak tempatan. Sebahagian penggiatnya terdiri daripada anak muda yang mahir dalam bidang masing-masing. Ini sekaligus dapat melahirkan modal insan yang bermutu dan berwawasan. Lebih-lebih lagi era pandemik ini, kita diarahkan untuk meminimumkan pergerakan serta sentiasa melakukan aktiviti berfaedah. Maka, tiada salahnya kita manfaatkan masa yang banyak terluang ketika COVID-19 ini dengan memberi pencerahan kepada dunia tentang kemerdekaan Malaysia.
 
Dalam pada itu, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) amat penting bagi kita semua dalam membantu memutuskan rantaian virus ini. Tanggungjawab ini terpundak di atas bahu seluruh rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang agama, bangsa mahupun politik. Tuntasnya, kebiasaan baharu inilah yang mengajar kita bagaimana membuktikan kecintaan kepada kesejahteraan negara. Kerjasama dan interaksi yang baik di antara kita mampu mengekang wabak ini daripada terus menular.
 
Zahirnya, pandemik yang melanda kini telah merencatkan pergerakan institusi di kebanyakan negara termasuk negara kita sendiri, Malaysia. Pelbagai institusi berdepan halangan untuk melaksanakan perancangan yang telah dirangka. Institusi pendidikan tinggi menghadapi kesulitan untuk meneruskan pembelajaran akibat PKP yang telah dikuatkuasakan. Begitu juga dengan agensi-agensi perdagangan yang terlibat dalam pertumbuhan ekonomi negara turut terjejas akibat pandemik COVID-19.
 
Walaupun demikian, semangat cinta akan negara di dalam diri warga Malaysia tidak seharusnya luntur bahkan harus sentiasa mekar bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Generasi muda khususnya mahasiswa telah menunjukkan sikap yang positif dan berwibawa. Pelbagai inisiatif yang telah diusahakan oleh para mahasiswa ketika masih berada di universiti dalam tempoh PKP. Tamsilnya, fakulti-fakulti di kebanyakan universiti di Malaysia bekerjasama menghasilkan alat pelindung muka (face sheild) bagi kegunaan barisan hadapan yang merawat pesakit COVID-19.
 
Prakarsa ini telah mempamerkan sikap yang perlu dicontohi oleh golongan mahasiswa. Jika tidak cinta akan negara, mana mungkin jasad mereka mahu mengerah wang, masa dan tenaga untuk membasmi penyebaran wabak yang berlaku. Maka jelaslah bahawa mahasiswa sememangnya nadi kepada sesebuah negara.
         
Dek kerana COVID-19 yang melanda ini, banyak hikmah dan pengajaran yang dapat kita singkapi antaranya, para pemimpin bersatu dalam memainkan peranan yang sangat penting dalam melawan virus ini. Pelbagai bantuan dan pelan yang diwartakan oleh kerajaan sebagai inisiatif kebajikan bagi mereka yang terkandas rentetan virus durjana ini. Tidak sekadar itu, rakyat yang cakna juga berperanan meringankan beban sesama kita. Ikhtiar ini bagi membantu mereka yang amat memerlukan di samping merealisasikan tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu "Malaysia Prihatin".
 
Seterusnya, sumbangan keringat barisan hadapan Malaysia seperti petugas kesihatan dan keselamatan yang terdiri daripda KKM, ATM, PDRM, sukarelawan tanah air dan ramai lagi yang tidak mampu diungkap. Mereka adalah sosok yang hebat dalam memastikan Malaysia terputus dari belenggu virus COVID-19. Tanpa mereka, mungkin ramai lagi nyawa yang akan terancam akibat jangkitan virus ini. Terima kasih kami ucapkan!
 
Pengajaran yang sangat penting di sini adalah kita dapat melihat bagaimana interaksi yang jitu di antara rakyat dengan kepimpinan negara. Berganding bahu, saling membantu mencurahkan kerjasama dalam mengekang kemaraan pandemik COVID-19 dari terus merebak. Allah menegaskan melalui firman-Nya :
 
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)." [ Al-Ma'idah : 2 ]
 
Inilah cara kita mengekalkan keharmonian dan semangat kenegaraan di dalam diri setiap lapisan masyarakat. Jika dulu kita berjuang menentang penjajah yang menjarah watan, kini kita berjuang memelihara negara daripada penularan wabak demi kesejahteraan bersama!
 

Biar dirobek jiwa dan hati,
Takku endah walau dicalarkan,
Aku bertahan demi pertiwi,
Moga tak tergadai maruah watan.

Tugu negara jadi kebanggaan,
54 tahun usia dicipta,
Malaysia Prihatin tema kebangsaan,
Bersatu hati elakkan sengketa.

 

Disediakan oleh :
Muhammad Muiz bin Abdul Malek
Abdul Muiz bin Mohamad Razali
(Peserta Kelas Penulisan Pusat Sumber Tenaga (PESAT) KPIPM sesi 2019/2020)

 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

 

Monday, August 28, 2017

KARYA AHLI | MERDEKA HARI INI SUDAH BERBEZA


[ MERDEKA HARI INI SUDAH BERBEZA ]

...................................................................................................................................................................

"Murid-murid semua, minggu depan 31 Ogos. Hari apa ya?" Bersemangat guru besar kami bertanya.

"Hari Kemerdekaan, cikgu!"

"Ok, baik. Jadi, minggu depan kita akan buat marching sekitar sekolah kita sambil menyanyikan lagu-lagu bersempena merdeka. Semua diminta bersedia ok?" Pengumuman yang dibuat menimbulkan tanda tanya kepada kami. Bagaimana nak marching ramai-ramai ini?

"Ok, cikgu." Balas kami tanpa bertanya lanjut.

Hari demi hari berlalu. Terasa seminggu ibarat sehari. Tarikh 31 Ogos 2006 akhirnya menjengah jua. Kami semua memakai baju T-shirt dan tracksuit pada pagi ini. Takkanlah nak berjalan satu sekolah pakai baju kurung kan?

Persoalan kami akhirnya terjawab juga. Kami membuat barisan seperti bersedia untuk kawad kaki. Tidak sabar rasanya untuk mendendangkan lagu pagi-pagi ini.

"Tanggal tiga puluh satu
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka..."

Tanggal 31 nyanyian Sudirman menjadi pilihan pertama. Masih tersipu-sipu malu kami ingin mengeluarkan suara. Namun, ianya tidak kekal lama apabila lagu Malaysiaku Gemilang menjadi pilihan kedua. Sungguh lantang suara yang dilantunkan sehingga kawasan kejiranan berhampiran dengan kawasan sekolah kami mula dipenuhi manusia. Mereka kelihatan teruja melihat kami. Ada juga yang mula mengikuti perjalanan kami. Respons yang diberikan semakin mengujakan kami. Terasa sambutan ini lebih bermakna kerana kami terdiri daripada kepelbagai bangsa. Melayu, India dan Cina. Kami masih tidak mengenali erti racist pada waktu ini, malahan kami juga merupakan teman baik sesama kami. Setakat ziarah ke rumah, itu sudah menjadi kebiasaan.

...................................................................................................................................................................

"Alya, sudah-sudahlah berangan tu. Daripada zaman sekolah sampai zaman universiti tak berubah lagi kau ni." 

Seha sudah mula membebel. Aku, seperti biasa hanya mampu tersengih.

Hari ini 31/8/2017. Sudah lebih sepuluh tahun berlalu, namun kenangan bersama mereka masih segar dalam ingatan. Sudah lama aku tidak bertegur sapa dengan mereka. Hanya sekadar menjeling di laman maya sahaja. Jika ingin bertegur sapa, mungkin pada hari kelahiranku sahaja. Jujur, aku sangat merindui persahabatan kami. Bukan seketika, bahkan lima tahun aku bersama mereka banyak mengajar aku erti kesatuan walaupun berlainan warna kulit.

Namun, zaman sekarang ternyata sudah berbeza. Isu perkauman makin menjadi mainan media. Masing-masing saling melagakan. Ini bukan situasi yang aku bayangkan sewaktu di zaman sekolah rendah. Aku sudah tidak dapat menilai erti kesatuan.

Aku juga merasakan sambutan kemerdekaan di Malaysia hanya tinggal sekadar sambutan sahaja. Hanya bersuka-ria di Dataran Merdeka tanpa memaknai erti kemerdekaan. Belajar sahaja subjek Sejarah, tetapi tidak pernah menghargai kesusahan orang-orang terdahulu memperjuangkan kebebasan daripada penjajah buat negara. Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Datuk Maharaja Lela dan ramai lagi yang banyak menyumbang jasa kepada negara.

Ya, aku masih belum lahir ketika itu. Bagaimana aku dapat merasakan situasi yang berlaku? Aku kira, kisah yang diceritakan oleh ayahku banyak memberi kesedaran kepada diriku. Zaman dijajah oleh Jepun banyak diceritakan kepada aku. Mereka sering memeriksa barangan yang dibawa oleh rakyat tempatan. Tidak mengira tempat. Sungai Siput antara kawasan hotspot komunis pada ketika itu. Kisah-kisah sebegini perlu ditular lebih lagi berbanding kisah-kisah artis yang dipenuhi skandal. Sejarah akan berulang jika kita tidak mengambil pelajaran daripadanya.

Belum disebut lagi kisah-kisah perjuangan ulama' terdahulu yang berjuang membebaskan negara daripada kejahilan. Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong bukan nama yang asing buat negara. Walaupun buku teks Sejarah hanya mencatatkan mereka sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan, namun sumbangan mereka untuk membuang karat-karat jahiliyah dalam negara perlu diangkat. Sememangnya, ini merupakan satu muhasabah buat aku dan semua penuntut ilmu. Beramal dengan ilmu yang telah dipelajari. Sememangnya, usaha untuk mengubah fenomena hedonisme yang semakin merebak bukannya mudah, tetapi tidakkah membazir usaha ulama' terdahulu sekiranya bukan kita yang meneruskan perjuangan ini? Bukan sekelumit cuma, bahkan selautan rasa terkilan yang aku tahan selama ini tidak ramai yang merasainya.

"Alya, jom. Malam ini ada malam munajat kemerdekaan." 

Seha mengingatkan aku akan program yang dianjurkan pada malam ini sekaligus menutup isi hatiku yang semakin membara.

Aku dapat merasakan sambutan kemerdekaan pada tahun ini pasti unik. Kenapa? Hari ini sambut kemerdekaan, esoknya pula akan sambut hari kemerdekaan buat umat Islam pula. Hari raya kan. Bukan sahaja dapat mengenang kembali sumbangan tokoh-tokoh negara, bahkan memanggil semula ingatan berkaitan sirah para Nabi yang banyak berkorban demi menyampaikan Islam ke seluruh dunia.

"Jom, Seha! Kita sambung rantai perjuangan ini!"

- Study the past if you would define the future. -
Confucius

...................................................................................................................................................................

Tinta Cerpen oleh :
Nur Aliaa binti Meor Idris
Pelajar Perubatan Universiti al-Azhar, Kaherah 

Saturday, April 2, 2016

UJIAN SEBAGAI GANJARAN BUAT HAMBA-NYA



UJIAN SEBAGAI GANJARAN BUAT HAMBA-NYA

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Di dalam al-Quran, ujian dan dugaan disebut oleh  Allah SWT sebagai bala' (البلاء) serta fitnah (الفتنة). Menurut kamus Al Muhit (المحيط) kedua-duanya berkongsi maksud yang sama.

Sebagai hamba Allah SWT, kita tidak akan dapat lari daripada terus diuji oleh Allah SWT. Ujian yang mendatang bukan sahaja dapat menjadikan diri kita kuat malah dapat juga meningkatkan tahap keimanan seseorang hamba kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam  Al Qur'an:-

"...وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالخَيْرِفِتْنَةً،وَإِلَينَا تُرْجَعُوْنَ.

"Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada kami-lah kamu semua dikembalikan". [Al Anbiyaa':35]

Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menguji hamba-Nya dengan musibah pada satu waktu dan kemudiannya memberikan nikmat pada waktu yang lain untuk melihat siapa yang bersyukur, siapa pula yang sabar, siapa pula yang kufur dan siapa pula yang putus harapan untuk terus bergantung pada Allah SWT.

■Ujian Yang Berbeza Untuk Mengukur Tahap Keimanan Hamba-Nya.

لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

"Allah tidak memberi sesuatu kesusahan kepada seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya".
[Al Baqarah:286]

Daripada ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka.

Rasulullah ﷺ menyifatkan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia merupakan tanda kecintaan Allah SWT kepada mereka. Semakin besar dugaan dan ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia, juga menandakan besar juga pahala yang diperolehinya. Maka, jelas bahawa ujian yang diberikan Allah SWT adalah untuk menguji tahap keimanan seseorang hamba agar terus dekat bersama-Nya dan hanya mengharapkan pergantungan satu-satunya hanya pada Allah SWT. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan hati yang redha. Dan padanya rahmat Allah SWT serta keredhaan-Nya.

Namun,bagi manusia yang lalai dan tidak meredhai ujian yang diberikan keatasnya maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah SWT kerana tidak redha akan ujian yang diberikan oleh Allah SWT buatnya.

■Nabi Allah SWT Juga Diuji.

Suatu kisah berkenaan antara ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ di dalam kehidupan beliau.

Bagaimana ayah Baginda Rasulullah ﷺ meninggal  dunia ketika Rasulullah ﷺ masih dalam kandungan. Kemudian, Allah SWT uji sewaktu Baginda Rasulullah ﷺ berusia 6 tahun pula terpaksa menerima pemergiaan bondanya yang tercinta. Dan seterusnya selepas hijrah Rasulullah ﷺ dari Habsyah ke Madinah, baginda ditambah lagi dengan ujian kematian bapa saudaranya yakni Abu Talib dan isteri Baginda, Siti Khadijah. Juga dalam peristiwa peperangan yang lain yakni syahidnya Hamzah bin Abdul Mutallib, Mus'ab bin Umair, 'Abbad bin Bisyr dan selainnya. Rasulullah ﷺ banyak diuji dengan ujian yang lebih berat, namun Baginda Rasulullah ﷺ menghadapi dugaan tersebut dengan penuh kesabaran meskipun kehilangan insan yang dicintai yang sentiasa menyokong Baginda dalam Aktiviti dakwah, juga para sahabat yang hebat dalam memperjuangkan agama Islam.

■Ujian Buat Hamba-Nya Hari Ini.

Mehnah dan tribulasi dalam konteks kehidupan hari ini dapat dilihat di sekelilling kita bahawa setiap manusia akan diuji  dan tiada yang akan terlepas daripada ujian Allah SWT. Perkara yang ringan pada seseorang adalah berat pada satu orang yang lain pula.Dan cara kita berinteraksi dengan dugaan yang mendatang adalah manifestasikan keimanan kita kepada Allah SWT. Pada kaca mata orang yang miskin itu, ujian buatnya adalah kemiskinan. Namun, buat orang yang kaya pula kekayaannya menjadi ujian buat dirinya.

Hari ini manusia itu diuji dengan pelbagai cara. Adapun orang yang diuji, lain kesusahan yang ditanggung.

Ada orang diberikan kasih  sayang namun suatu saatnya Allah SWT menarik nikmat kasih sayang itu dengan menguji sesuatu kematian terhadap orang yang dicintainya.

Ada orang pula, dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Mampu untuk bekerja disiang hari untuk mencari rezeki.Akan tetapi kemudiannya,Allah SWT berinya ujian dengan menghadirkan kesakitan buat dirinya sebagai satu peringatan sama ada dia sentiasa beringat untuk terus beriman dan bersyukur kepada Allah SWT ataupun tidak.

Ada orang diuji dengan kehidupan dan sebagainya.

■Sabar Sebagai Penyelamat Bagi Orang Yang Beriman.

Sering kali kita diingatkan agar sentiasa bersabar dalam menghadapi ujian Allah SWT. Seperti firman Allah SWT dalam Al Qur'an:-

 يَا أَيُّهَا الذِيْنَ أَمَنُوْا اصْبِرُواْ وَصَابِرُوا وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman!Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-sedia dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beruntung".[Ali Imran:200]

Kesabaran juga mesti dijana dengan ketaatan sebagai dasar untuk mengelakkan iman daripada terus goyah dan bersifat putus asa.Selain itu,ketaatan jua-lah,manusia akan menjadi  redha atas ujian yang berlaku.

Sabar itu juga adalah sunnah para Nabi dan Rasul.Ini jelas sebagaimana  dikhabarkan oleh Allah SWT dalam Al Qur'an surah Al Anbiyaa',ayat 85:-

 وَإِسْمَعِيْلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الكِفْلِ،كُلُّ مِّنَ الصَّبِرِينَ

 "Dan (ingatlah kisah) Ismail,Idris dan Zulkifli.Mereka semua termasuk orang-orang yang sabar".


■Nikmat Bagi Orang Yang Bersabar Dalam Ujian Allah SWT.

Oleh itu,sebagai  hamba Allah SWT dan ummat Nabi Muhammad ﷺ wajib keatas kita untuk terus bersabar dan bersyukur kepada Allah SWT kerana orang yang diberikan musibah atau ujian hakikatnya merupakan seorang hamba yang dicintai oleh Allah SWT serta mendapat ganjaran yang besar disisi Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT:

يَأيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا اسْتَعِيْنُوا بِالصَبْرِ وَالصَّلَوةِ،إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّبِرِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman!Mohonlah pertolongan (kepada Allah SWT) dengan sabar dan solat.Sungguh,Allah SWT beserta orang-orang yang sabar". [Al Baqarah:153]

Akhirnya,ketahuilah sesungguhnya tidaklah Allah SWT datangkan sesuatu ujian ataupun musibah melainkan hanya untuk meningkatkan tahap keimanan dan darjat seseorang hamba-Nya dalam kehidupan.Dan juga mengerti bahawa kenikmatan yang dikurniakan Allah SWT itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendekatkan diri agar sentiasa bertaqwa disamping mengetahui bahawa kehidupan didunia itu hanyalah sementara,khayalan semata-mata,sementara yang menjadi hakiki adalah kehidupan yang kekal selama-lamanya iaitu kehidupan di hari akhirat yang pasti.
Wallahua'lam.

Hasil Karya,
Fatini Binti Zulkelnain

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Wednesday, December 23, 2015

BAGAIMANA RASULULLAH SAW MENYEMPURNAKAN AKHLAK YANG MULIA


BAGAIMANA RASULULLAH ﷺ MENYEMPURNAKAN AKHLAK YANG MULIA?

     Ramai orang menganggap akhlak yang baik, cantik, molek, mulia itu hanya dispesifikkan kepada berapa akhlak yang dipandang baik dan sejuk di pandangan orang lain. Seperti penyayang, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Namun kita tidak menerokai kesemua akhlak yang mulia di sisi Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran Al-Karim.

     Rasulullah ﷺ adalah role model utama kepada umat Islam yang mempunyai akhlak yang paling sempurna. Allah SWT memuji ketinggian akhlak Rasulullah ﷺ di dalam Al-Quran :

                                                                (وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ)
"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia."

[Surat Al-Qalam : 4]

     Para Nabi-nabi yang sebelumnya juga disifatkan dengan sifat-sifat akhlak yang terpuji, tetapi mengapa Allah SWT menggunakan kalimah 'azim satu-satunya kepada Nabi Muhammad ﷺ? Apakah rahsia disebaliknya?

     Perkataan 'azim menunjukan kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda. Bukan sahaja sempurna dengan sifat penyayang, pemurah, pemaaf , lemah lembut dan sewaktu dengannya, akan tetapi Rasulullah ﷺ juga seorang yang berani, tegas dalam menegakkan hak, sanggup berkorban, amanah, setia dengan janji dan banyak lagi kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda.

     Segala apa yang disifatkan dalam Al-Quran merupakan akhlak Rasulullah ﷺ sepertimana apa yang disebut di dalam hadis apabila Saiditina Aisyah RA apabila ditanya tentang akhlak baginda :

ﻛَﺎﻥَ ﺧُﻠُﻘُﻪُ ﺍﻟْﻘُﺮْﺁﻥَ
“Akhlak beliau adalah Al-Quran."
[HR Ibn Baz]

     Umat Islam perlu juga mengetahui bahawasanya akhlak baginda Nabi Muhammad ﷺ adalah akhlak yang menyempurnakan akhlak manusia yang telah sedia ada. Kerana manusia itu secara fitrahnya mempunyai naluri dan akhlak asasi yang baik. Cuma ia tidak diacukan dengan acuan yang sebenar. Sabda Rasulullah ﷺ :

إنما بعثت لأتمم مكارم اﻷخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
[HR at-Thabrani]

     Secara asasnya, manusia itu sifatnya penyayang dan pemaaf. Namun jika menurut Islam penyayang dan penyabar itu apabila terpesong daripada dasar Islam, maka nilai akhlak tersebut akan tertolak.

     Seperti seseorang lelaki menyayangi wanita yang bukan mahram sehingga bisa mencetuskan perbuatan zina. Juga memaafkan kafir harbi yang memerangi orang Islam.

     Seperti contoh seruan Rasulullah ﷺ untuk merotan anak yang tidak solat apabila masuk umur 10 tahun. Apa yang digagaskan dalam undang-undang hak asasi manusia bahawa orang dewasa tidak dibenarkan mencederakan kanak-kanak secara hakikat menghakis kefahaman umat Islam terhadap seruan Rasulullah ini.

     Akhlak seorang ibu atau bapa perlu tegas dalam mendidik lebih-lebih lagi dalam menyeru ke arah dasar Islam kepada anaknya iaitu solat. Maka perkara itu menyempurnakannya, kerana akhlak yang tidak mulia apabila membiarkan anak tidak mendirikan solat yang merupakan tiang agama.

     Oleh sebab itu, dalam mencontohi Rasulullah ﷺ perlu kita ambil keseluruhan akhlak baginda. Bukan mengambil sebahagian akhlak yang mudah diadaptasi dan meninggalkan akhlak yang sukar untuk dilaksanakan.

Moga-moga kecintaan kita pada Rasulullah ﷺ semakin menebal pada bulan "Maulidur Rasul" ini. Wallahua’lam.


Amar Arif bin Ahmad Po'aad
Mantan Timb. Yang Dipertua KPIPM sesi 2012/2013

Friday, September 18, 2015

NADI MINDA: FISTULA KARYA SURI JUNJUNGAN

Nadi Minda merupakan sebuah majalah rasmi di bawah terbitan Unit Penerbitan Keluarga Pelajar-pelakjar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015. Terbitan ini menampilkan pembawaan tarbiah, thaqafah dan hiburan kepada para pembaca. Berikut adalah paparan penuh bagi Majalah Nadi Minda:

WARTA USRAH: BULETIN PERJALANAN KPIPM SEPANJANG SESI

Warta Usrah merupakan sebuah buletin rasmi di bawah Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2014/2015. Warta Usrah ini menampilkan laporan dan prebiu perjalanan KPIPM sepanjang sesi dari sudut aktiviti dan program yang dianjurkan. Berikut adalah paparan penuh Warta Usrah:

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN BERTERUSAN, PEMANGKIN KESATUAN Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN BERTERUSAN, PEMANGKIN KESATUAN Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025 Dalam sebuah komun...