Saturday, December 27, 2014

UJIAN ITU HADIAH DARI ALLAH

UJIAN ITU HADIAH DARI ALLAH


    Hari terus berganti hari, kehidupan manusia juga terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Dicelah-celah hari berwarna-warni yang dijalani dan ditelusuri. Tanpa disedari ataupun tidak,manusia sebenarnya telah pun menempuhi pelbagai ujian dan dugaan. Ujian-ujian yang datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T adalah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.


  Firman Allah S.W.T :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya.”

(Al-Baqarah 286)


    Allah S.W.T telah mengatakan dengan jelas di dalam Al-quran bahawa Dia tidak akan sesekali menguji hambanya di luar kemampuan hambaNya. Allah S.W.T mengetahui kita kuat menghadapi ujiannya, oleh kerana itu Dia memberikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah S.W.T kepada kita sebagai hambaNya.


    Hakikatnya di saat ini, kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani dengan pelbagai ujian atau dihimpit dengan pelbagai dugaan. Diantaranya, baru-baru ini kita digemparkan dengan banjir besar yang menimpa saudara kita di Malaysia. Ada juga dalam kalangan mereka di sana diuji dengan kehilangan harta benda dan sebagainya. Tidak kurang juga, ada manusia diuji apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.


    Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas oleh Allah S.W.T untuk kita sebagai hambaNya, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan tewas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya adalah “HADIAH” itu dikirimkan ole h Allah S.W.T  adalah bertujuan untuk menilai sejauh mana tahap keimanan kita terhadapNya.


   Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin pernah bermain difikiran kita saat diuji. Inilah saatnya bagi kita mengubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian yang akan kita lalui sebagai sebuah hadiah daripada Allah S.W.T dan bukan lagi satu bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi oleh Allah S.W.T.




SUMBER : Warkah Da'ie, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2014/2015






Monday, December 8, 2014

PERMOHONAN DERMASISWA ONLINE PERAK TELAH DIBUKA



PERMOHONAN DERMASISWA ONLINE BAGI MAHASISWA/WI PERAK TELAH DIBUKA

Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak, permohonan Dermasiswa Zakat Perak sesi 2014/2015 telah dibuka. Bagi sesiapa yang ingin memohon, sila rujuk laman http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu :

  • Pemohonan Kali Pertama anda perlu :


- Membuat pendaftaran online terlebih dahulu di laman web yang sama:
             http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa
- Dinasihatkan kepada pemohon agar mengisi borang online ini dengan LENGKAP tanpa meninggalkan mana-mana bahagian kosong untuk memudahkan proses permohonan.

 -Sila cetak (print) borang permohonan online anda yang telah lengkap, kemudian lampirkan dokumen-dokumen berikut (sebanyak satu salinan sahaja) :

1.       SALINAN PASPORT DAN VISA PEMOHON.
2.       SALINAN KAD PENGENALAN PEMOHON DAN SIJIL LAHIR.
3.       SALINAN SURAT TAWARAN SAMBUNG BELAJAR / PENGESAHAN        KULIAH.
4.       SALINAN SIJIL PENGAJIAN (SPM /STAM/ SYAHADAH THANAWI/           SIJIL I’DADI (BU’UTH).
5.       SALINAN SURAT KEBENARAN MELANJUTKAN PELAJARAN KELUAR   NEGARA DARI KEMENTERIAN PENDIDIKAN.
6.       SALINAN KAD PENGENALAN IBU DAN BAPA / PENJAGA.
7.       PENYATA GAJI IBU BAPA/ PENJAGA ATAU SURAT PENGESAHAN       PENDAPATAN DARI KETUA KAMPUNG/ PENGHULU BAGI YANG           BEKERJA SENDIRI.
  • Bagi yang PERNAH MEMOHON anda perlu:


1.       Mengemaskini online terlebih dahulu di laman web: http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa
2.       Dinasihatkan kepada pemohon agar mengisi borang online ini dengan LENGKAP tanpa meninggalkan mana-mana bahagian kosong untuk memudahkan proses permohonan
3.       Sila cetak (print) borang permohonan online anda yang telah lengkap, kemudian lampirkan dokumen-dokumen berikut:

1.       PENGESAHAN PENGAJIAN TERKINI
2.       KEPUTUSAN PEPERIKSAAN TERKINI
3.    PENYATA GAJI IBU BAPA/ PENJAGA ATAU SURAT PENGESAHAN       PENDAPATAN DARI KETUA KAMPUNG/ PENGHULU BAGI YANG           BEKERJA SENDIRI.

Diingatkan kepada pemohon untuk menghantar permohonan serta salinan dokumen yang lengkap SELEWAT-LEWATNYA 21 DISEMBER 2014 kepada Pejabat ATASE Pendidikan Negeri Perak, Baitul Ridzuan (Wisma B).

Sebarang permasalahan dan pertanyaan sila rujuk:


·         Setiausaha Agung KPIPM sesi 2014/2015
-Saudara Muhamad Akmal Bin Ahmad (+201158452897)

·         Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2014/2015
-Saudari Umi Atikah Binti Samsudin (+201122528674)

·         ATASE Pendidikan Negeri Perak
-Ustaz Munawir Bin Mohamed Noh (+201122141005)

·         Pembantu ATASE Pendidikan Negeri Perak
-Ustaz Abdul Munaim Bin Nordin (+201147886907)



IBRAH BAHNASA'14 : "Kembara Sejarah, Perluas Thaqafah"



Kaherah, 29 november 2014, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015 di bawah anjuran  Biro Perhubungan Sambutan dan Rehlah (BPSR) telah mengadakan jaulah ke Bahnasa El-Minya seramai 69 orang peserta di peringkat ikhwah. Manakala jaulah di peringkat HEWI di bawah anjuran  Ketua HEWI telah diadakan seminggu selepas itu pada 6 Disember 2014 telah mendapat penyertaan seramai 48 orang peserta.


       Program jaulah kali ini dinamakan Ibrah Bahnasa’14 dan bertemakan “Kembara Sejarah, Perluas Thaqafah”. Antara objektif yang digariskan dalam program ini adalah  untuk menghayati pengorbanan dan jasa para sahabat dan auliya', menambahkan ilmupengetahuan serta  menanamkan fikrah Islamiah dalam kalangan ahli KPIPM. Para perserta program bertolak dari Kaherah pada jam 12.30 malam ke Bahnasa dengan menaiki sebuah bas dan coaster.


          Keesokkan harinya, para perserta berkumpul di Masjid Sheikh Ali Jumam pada jam 7.40 pagi. Program di mulakan dengan alunan qasidah oleh saudara Ahmad Azhan Bin Fahimi dan tazkirah rohani yang disampaikan oleh saudara Amin Syazwan Bin Shahrin. Selepas itu, para perserta bersarapan dan seterusnya mendengar sedikit taklimat penerangan mengenai tempat-tempat yang akan dilawati oleh musyrif penerangan iaitu Ustaz Huzairy Bin Zamzuri. Para perserta dibawa melawati makam pertama iaitu Qadhi Qudho Bahnasa, Aulad A’qil Bin Abi Tolib, Syaid Ali Jumam dan seterusnya berpindah ke pokok Saidatina Maryam yang mana merupakan tempat  beliau berteduh ketika kembali ke Baitul Maqdis.

          Selepas itu, program ini diambil alih oleh saudara Ahmad yang berbangsa arab selaku Ketua Bahagian Penerangan di Bahnasa dengan  membawa peserta-perserta menziarahi makam ahli bait Hassan Bin Solleh Bin Zainul Abidin Bin Hassan Bin Ali, Saidatina  Ruqoyah dan Muhammad Quraisy ulama’ pada zaman Uthamaniah. Perjalanan diteruskan lagi ke makam 12 ahli Badar yang telah syahid di Bahnasa ketika mana Saidina Umar mengarahkan tenteranya membuka kota Bahnasa bagi  menyebarkan ajaran Islam. Para  perserta turut tidak melepaskan peluang untuk menziarahi makam Saidah Quwailah Binti Azwar yang merupakan salah seorang wanita yang berani berjuang untuk menyelamatkan saudaranya yang telah ditahan oleh tentera Rom. Beliau telah menyamar sebagai lelaki dan mencerobohi kem tentera tersebut.

           Kemudian, para perserta bergerak ke perkampungan yang berhampiran dan di situ terdapatnya sebatang sungai yang bersambung dari Sungai Nil dikenali sebagai "Bahrul Yusufi". Seterusnya para peserta berhenti berehat di masjid yang berdekatan iaitu Masjid Hassan Bin Solleh Bin Ali Bin Zainul Abidin. Uniknya masjid ini kerana masih mengekalkan tiang asalnya dan penduduk di situ  masih menggunakan  air  telaga sebagai tempat  berwudhu'. Dalam perjalanan pulang para peserta berhenti menziarahi makam A’fan Bin A’bban Bin Uthman Bin A’fan dan Muhammad Bin Abi Qufadi. Seusai menunaikan solat zohor dan makan tengah hari,  semua peserta menaiki kenderaan untuk ke makam Tujuh Wanita. Makam ini adalah makam terakhir  para perserta lawati sebelum berangkat pulang ke Kaherah.

          Alhamdulillah, jaulah Bahnasa yang dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang baik dari ahli dan mencapai objektif yang telah dirangka dan tema yang telah dibawa iaitu ‘Kembara Sejarah, Perluas Thaqafah”.





Sunday, December 7, 2014

RAMAH MESRA BERSAMA AHLI KPIPM DI DALAM PROGRAM INTERAKSI BKAN ANJURAN PERUBATAN CAWANGAN MANSURAH



Mansurah, 3hb Disember yang lalu Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah memenuhi jemputan Perubatan Cawangan Mansurah (PCM) bagi memberi penerangan mengenai Badan Kebajikan Anak Negeri Perak atau KPIPM dalam majlis Interaksi BKAN yang dianjurkan oleh mereka di sana.

     KPIPM diwakili oleh Yang Dipertua, Setiusaha Agung dan beberapa orang AJKT dan HEWI tidak melepaskan peluang untuk berjumpa dan beramah-mesra dengan anak-anak perak yang berada di sana. Program yang diadakan ini bertujuan untuk memperkenalkan fungsi BKAN kepada mahasiswa baru secara khasnya dan kepada seluruh anak-anak Perak di bumi Mansurah secara amnya di samping mengeratkan ukhuwah di antara pimpinan dan ahli KPIPM. Pihak Kpipm disambut baik setibanya di bumi Mansurah oleh mandub dan mandubah serta anak-anak Perak di sana.

     Program Interaksi BKAN untuk anak-anak Perak bermula pada jam 8.30 malam yang di pengerusikan oleh Saudara Abdul Rahman Bin Abdul Halim selaku Mandub Mansurah. Ramah mesra ini dimulakan dengan ucapan daripada Yang Dipertua Saudara Muhammad 'Asri Bin Mohd Salim dan ucapan wakil Perubatan Cawangan Mansurah, kedua-dua ucapan darpada wakil ini menyatakan kegembiraan dapat bertemu di dalam program seperti ini.

     Seterusnya program diteruskan lagi dengan sesi taaruf serta pengenalan mengenai sejarah KPIPM yang telah dibentangkan oleh Yang Dipertua KPIPM sendiri. Selesai taaruf dan penerangan dari Yang Dipertua semua yang hadir disajikan dengan tayangan video pengenalan AJKT dan HEWI sesi 2014/2015 dan sejarah KPIPM sejak awal penubuhannya.

     Program diteruskan lagi dengan taklimat mengisi borang keahlian KPIPM dan Taklimat Zakat atau dermasiswa yang disampaikan oleh Jabatan Setiausaha Agung KPIPM. Seterusnya sesi soal jawab dibuka kepada semua anak-anak Perak di sana. Semua yang hadir memberikan respon yang baik terhadap segala taklimat yang telah dibentangkan.

     Dengan berakhirnya sesi soal jawab tersebut maka berakhirlah program Intetaksi BKAN atau Ramah Mesra Pimpinan KPIPM bersama ahli KPIPM di Mansurah. Pihak KPIPM amat berbesar hati kerana telah diberikan peluang seperti ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perubatan Cawangan Mansurah kerana menjemput KPIPM ke sana. Semoga jalinan ukhuwah ini kekal selamanya dan diharapkan program seperti ini dapat di teruskan lagi pada masa akan datang.






MUZAKARAH BERKELOMPOK GABUNGAN : Tubuh Cergas Manifestasi Minda Yang Cerdas


Tubuh cergas manifestasi minda yang cerdas.


Jumaat, 5 Disember- ‘Hari Jumaat, Hari Usrah’. Pihak KPIPM telah mengadakan Muzakarah Berkelompok (MB) gabungan di peringkat ikhwah. Penganjuran ini dikelolai oleh Jabatan Fasilitator di bawah Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2014/2015 yang berlangsung di Nadi Syabab, Hayyu Sadis.


     Aktiviti futsal yang berlangsung mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua ahli. Turut hadir menyertai seluruh barisan kepimpinan KPIPM memeriahkan lagi suasana aktiviti riadhah tersebut.


     Sehubungan dengan itu, keberjayaan aktiviti ini sangat menggalakkan dan mencapai objektifnya. Antara objektif MB gabungan ini adalah untuk meribat ukhwwah sesama ahli yang baru dan lama, serta menjaga kesihatan jasmani di kalangan ahli agar sentiasa cergas dan menatijahkan akal yang cergas juga.


     Pihak penganjur mengharapkan agar seluruh ahli dapat memberikan komitmen yang terbaik di dalam MB setiap minggu, serta tidak dilupakan untuk kita bersama-sama menjaga kesihatan jasmani dan rohani supaya momentum tubuh badan sentiasa cergas. Di samping imtihan yang bakal tiba tidak lama lagi.







Tuesday, December 2, 2014

Di Manakah Keutamaan Kita?

Di manakah keutamaan kita?
Kuliah dan Talaqqi kedua-duanya adalah ilmu. Namun di sana ada perbezaan di antara keduanya. Antara unsur yang membezakan keduanya ialah sistem pengajian talaqqi ini tiadanya sistem peperiksaan, dan juga sistem talaqqi biasanya bermatlamatkan ‘khatam seluruh isi kitab dari kulit ke kulit’ bermula daripada mensyarahkan tajuk kitab, riwayat hidup pengarang kitab sehinggalah apa yang disampaikan oleh pengarang kitab pada penutup dibahagin akhir kitab. Dan akhirnya pengajar akan mengijazahkan sanad (bersambung ilmunya daripada syeikh sehingga pengarang kitab) kepada anak murid.

Berbeza pula dengan sisitem pengajian di kuliah (universiti), yang mana matlamat mereka pula ‘menghabiskan keseluruhan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan untuk imtihan’. Jikalau pensyarah laju seperti arnab yang makan lobak 6 kilogram setiap hari, insyaAllah akan habis kesemua sukatan tersebut, manakala jikalau pensyarah seperti kura-kura yang tidak diberi makan selama 6 hari, makanya terkadang setengah buku pun tidak sampai, terus dibuat peperiksaan sekadar pada apa yang dipelajari kerana mengejar masa peperiksaan.

Sebagai Azhari/ah, kedua-duanya perlu, cuma yang manakah perlu diutamakan? Disinilah persoalannya. Pertama sekali kita kembali kepada asas. Apakah tujuan kita ke Mesir? Iya, menuntut ilmu sebanyak mungkin. Kemudian amanah kita. Amanah pada diri sendiri dan ibu bapa. Apakah yang ibu bapa ingin lihat daripada kita di sini? Iya, berjaya dalam pelajaran dan cemerlang dalam peperiksaan. Sudah tentu kita tak ingin kecewakan mereka bukan? Maka di sini jelas keutamaan kita adalah kuliah berbanding talaqqi dek kerana amanah kita terhadap orang tua.

Seterusnya pengajian talaqqi yang bagaimanakah kita perlu ikut dan bagaimana dengan pengurusan masanya pula? Sekadar pandangan,  harus kenalpasti dahulu jenis pengajian kitab yang ingin kita ikuti bersesuaian dengan tahap kita. Seeloknya mula dari bawah . Perlahan-lahan naik satu demi satu. Kemudian buat ketetapan dalam satu atau dua pengajian dahulu yang ingin diikuti dan istiqamah. Tak perlu tergopoh gopoh nak ikut banyak pengajian sehingga akhirnya membebankan kita dan berhenti sekerat jalan.

Dari aspek masanya pula, pastikan pengajian yang diikuti tidak bertindih dengan kelas di kuliah. Sekiranya iya, maka perlu membatalkan pengajian talaqqi tersebut. Khususnya bagi mahasiswa tahun pertama, lebih digalakkan lagi untuk memfokuskan pengajian di kuliah sehinggalah keadaan menjadi stabil . Seterusnya, kosongkan waktu selepas isya’ untuk muzakarah bersama rakan-rakan. Cukuplah seharian kita bertalaqqi, luangkan masa pula untuk  belajar sendiri atau duduk berbincang bersama kawan-kawan berkenaan ilmu sama ada ilmu di kuliah atau sebagainya.


Hakikatnya di Mesir ini ada tiga kelompok pelajar, kelompok yang pertama adalah mereka yang cenderung pada kelas di kuliah sahaja, tidak langsung mengikuti mana-mana kelas selainnya. Golongan ini sudah cukup baik kerana ia masih berada dilandasan sebenar. Adapun kelompok yang kedua adalah sebaliknya, mereka hanya tumpu pada pengajian talaqqi sehingga mengabaikan kelas di kuliah. Kelompok ini dilihat kurang baik kerana sudah tersasar dengan tujuan utama serta amanah pada orang tua. Ibu bapa tidak nampak aktiviti kita di sini, cuba suatu hari kita hubungi mereka dan beritahu mereka yang kita selalu ponteng kuliah. Boleh bayang tak bagaimana perasaan mereka? Kelompok yang terakhir adalah mereka yang mampu untuk menyeimbangkan kedua-duanya. Ini dilihat sebagai golongan yang terbaik atas beberapa sebab , antaranya , kemungkinan untuk berjaya dalam peperiksaan adalah tinggi atas kesungguhannya menuntut ilmu serta tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar dan seorang anak. Maka kita nilailah kita di kelompok yang mana. Wallahu a’lam.

SUMBER: Warkah Da'ie (BIL 7), Biro Dakwah dan Tabiah KPIPM Sesi 2014/2015

Tuesday, November 25, 2014

URUSAN TERJEMAHAN PENGESAHAN PENGAJIAN DAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN


MAKLUMAN PEMBUKAAN URUSAN TERJEMAHAN PENGESAHAN PENGAJIAN DAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN


Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak, urusan penterjemahan pengesahan pengajian dan keputusan peperiksaan bagi sesi 2014/2015 telah dibuka.

Sehubungan dengan itu, kepada mana-mana pihak yang ingin membuat urusan boleh mendapatkan borang terjemahan pengesahan pengajian dan keputusan peperiksaan di pejabat ATASE Pendidikan Negeri Perak yang bertempat di Baitul Ridzuan (Wisma B) dan lampirkan bersama dokumen-dokumen yang berkenaan ;

1) Satu salinan passport
2) Satu salinan pengesahan pengajian
3) Satu salinan keputusan peperiksaan.

Sebarang permasalahan dan pertanyaan sila rujuk :

Setiausaha Agung KPIPM sesi 2014/2015
Saudara Muhamad Akmal Bin Ahmad
+201158452897

Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2014/2015
Saudari Umi Atikah Binti Samsudin
+201122528674

ATASE Pendidikan Negeri Perak
Ustaz Munawir Bin Mohamed Noh
+201122141005

Pembantu ATASE Pendidikan Negeri Perak 
Ustaz Abdul Munaim Bin Nordin
+201147886907





BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN "

Friday, October 31, 2014

Hijrah Mahasiswa


     Sudah hampir seminggu kita berada di tahun 1436 Hijrah ini. Teringat ketika mana ia menjelang, seluruh umat Islam menyambut perayaan tahun baru dengan penuh penghayatan dengan mengikut garis panduan Islam itu sendiri seperti yang disunatkan untuk dimulai dengan bacaan doa menjelang akhir tahun dan juga doa menjelang awal tahun, diikuti bacaan surah Yaasin dan solat hajat, sebagai persiapan untuk menyambut tahun baru ini.

     Secara zahirnya, ketibaan tahun baru itu menandakan peralihan masa yang menjadikan hari ini kepada semalam dan peristiwa semalam yang telah berlaku itu akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah. Namun apa yang lebih signifikan dari itu adalah persediaan diri kita untuk memperbaiki keadaan diri sebagai seorang insan, seorang mahasiswa dan lebih-lebih lagi sebagai seorang makhluk Allah Ta’ala.

     Oleh itu sebagai seorang mahasiswa, rasa tidak bermakna jika tahun baru tidak diiringi dengan semangat, azam dan minda yang baru. Sama ada azam tahun yang lalu tercapai atau tidak, itu bukan kisahnya. Tetapi perlulah diingat bahawa azam baru itu perlu bertitik tolak daripada perancangan yang rapi dan realistik dan diikuti dengan perlaksanaan yang sistematik dan bersungguh-sungguh.

    Azam merupakan matlamat yang menjadi impian seseorang. Impian ini bukan angan-angan kosong,   tetapi seharusnya keinginan yang realistik. Hasrat yang realistik ini pula bergantung kepada sikap yang optimistik serta perancangan dan perlaksaan yang rapi. Ada di antara mereka yang berazam, namun disudahi dengan kegagalan kerana gagal merancang walaupun sebenarnya tiada sesiapa yang mahukan kegagalan. Namun pada asasnya, individu yang berjaya adalah mereka yang bukan semata-mata merancang, tetapi juga melaksanakan apa yang telah mereka rancangkan. Tujuannya ialah agar memperolehi hasilnya dalam jangkamasa yang tertentu, di samping sentiasa memperbetulkan strategi sekiranya terdapat gangguan yang boleh mencetuskan kegagalan.

     Mahu atau tidak, kita sebagai penuntut ilmu perlu mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.  Oleh itu, dalam memenuhi matlamat untuk berubah, terdapat beberapa perkara asas yang perlu dihayati.

Pertamanya, kesedaran. Seseorang itu perlu menyedari mengapa ia perlu berubah. Contoh paling mudah, mengapa saya datang ke Mesir? Untuk menuntut ilmu dan mencapai keputusan cemerlang. Maka seseorang pelajar itu perlu meninggalkan keseronokannya seketika sekiranya pelajar itu menyedari tujuan utamanya ke Mesir.

Kedua, kesanggupan untuk berubah. Ramai pelajar telah sedar tetapi tidak atau belum sanggup lagi untuk berhenti meninggalkan keseronokan tersebut kerana pelbagai faktor, antaranya tiada keikhlasan .

Ketiga, berniat tegas untuk berubah dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Keempat adalah tindakan pematuhan kepada niat atau azam yang diikuti dengan proses tindakan bagi membuktikan bahawa perubahan itu dilakukan dalam tempohnya dan perubahan itu dilihat benar-benar berlaku.

Tindakan terakhir pula merupakan muhasabah terhadap tindakan pematuhan bagi memastikan sama ada pematuhan itu berlaku, diabaikan, ditangguhkan, dituruti atau sebagainya, agar tidak menyeleweng dari azam sebenar iaitu untuk berubah menuju kebaikan. Ayuh!

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"Satu Fikrah Satu Amal"

SUMBER: Risalah Warkah Da'ie (Bil.06), Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM Sesi 2014/2015

Monday, October 20, 2014

Kalam Rasmi Yang Dipertua KPIPM sesi 2014/2015




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


     Segala pujian dan rasa syukur dipanjatkan kehadrat Illahi Pemilik dan Pengurnia segala nikmat. Selawat dan salam yang berpanjangan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, para sahabat, serta pembantu dan pengikutnya yang setia yang telah bersama-sama susah dan senang dalam siri-siri perjuangan untuk mendaulatkan Islam dan menjadikannya sebagai Ad-Deen bagi seluruh pelusuk dunia ini.


Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Maaidah, ayat ketiga yang bermaksud:


" Pada hari ini telah-Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah-Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah-Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barangsiapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


     Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf, yang mempunyai sistem yang menyeluruh lagi mencakupi segenap aspek kehidupan adalah suatu kenyataan yang tidak boleh disanggah dan dipertikaikan lagi, akan tetapi perkara yang penting perlu diberikan perhatian adalah bagaimana kita sebagai penganutnya dapat mengekspresi dan mengadaptasikan kesempurnaannya itu kepada umum. Berlandaskan persoalan ini perkara teras yang perlu ditekankan adalah kefahaman tentang Islam itu sendiri. Kefahaman itu wujud dengan adanya ilmu, dan ilmu itu perlu dikumpul dan dicari gali dari sumber-sumber yang murni, maka pada akhirnya ia akan menatijahkan cahaya realiti yang cemerlang.


     Kecemerlangan cahaya Islam yang kita harapkan itu dapat kita realisasikannya dengan penguasaan akademik dan thaqafah yang baik. Hal ini telah termaktub melalui arahan " Bacalah! " dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Rasul S.A.W yang mana arahan dari wahyu pertama itu menunjukkan betapa penguasaan ilmu itu adalah suatu teras untuk membuahkan amal yang berterusan berlandaskan tunjang kefahaman yang jelas.


     Melalui perbincangan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir kali ke-48 yang telah berjaya dilangsungkan baru-baru ini, ahli KPIPM telah sepakat dan sebulat suara akan menjayakan usul yang telah dibentang dan diperbahaskan, iaitu ;

" Mengupayakan mahasiswa dan mahasiswi Perak untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik dan thaqafah. "


     Mesyuarat berlangsung dengan baik dan ia juga melihatkan komitmen dari ahli KPIPM yang prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM berharap agar segala komitmen tersebut berkekalan dan meningkat dari satu masa ke satu masa yang lain.


     Barisan pimpinan sesi 2014/2015 dengan dokongan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli seluruhnya akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan satu usul yang telah disepakati tersebut, juga 5 item penting yang sudah menjadi pegangan KPIPM iaitu :

1. Thaqafah  : Meningkatkan tahap penguasaan ilmu dari sudut akademik dan kemahiran.

2. Fikrah   : Memperkasakan tarbiah Islamiah bagi memantapkan kefahaman Islam yang syumul.

3. Ukhuwah  :Menerapkan nilai sahsiah Islamiah bagi mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli

4. Kebajikan  : Mengutamakan kebajikan ahli dalam pelbagai aspek.

5. Ekonomi    : Mengukuhkan ekonomi untuk kelangsungan KPIPM.


     Berdasarkan suasana perbincangan yang wujud dalam Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-48 yang lepas, pihak pimpinan pada sesi kali ini cukup optimis bahawa seluruh ahli KPIPM akan bersama-sama menjayakan kelima-lima item tersebut bagi memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.

     Mari kita sama-sama panjatkan doa semoga KPIPM yang kita sedang naungi ini berkekalan menjadi medium kesatuan Islam bagi anak-anak Perak di bumi Mesir. Tidak dilupakan juga semoga seluruh pembantu agama Allah S.W.T ini diberikan ganjaran berupa Rahmat dan RedhaNya yang berpanjangan.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS


MUHAMMAD 'ASRI BIN MOHD SALIM
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015

Saturday, October 18, 2014

ADAB MEMBACA AL-QURAN

      Diriwayatkan daripada Saidina Uthman Bin Affan R.A berkata: Sabda Nabi Muhammad S.A.W: “Sebaik-baik daripada kamu adalah mereka yang mempelajari Al-Quran.” (Riwayat Bukhari)  

      Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi cahaya petunjuk kepada umat manusia. Maka, umat Islam wajib untuk mengikut isi yang terkandung di dalam Al-Quran supaya ianya menjadi panduan sepanjang hidup hatta di akhirat kelak.  

      Al-Quran yang merupakan kalam Allah yang agung perlu dijaga akan ketulenannya dan menjaga adab-adab dalam membaca dan mempelajarinya. Rasulullah S.A.W pernah membahagikan golongan yang membaca Al-Quran ini kepada beberapa bahagian. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:  

“Perumpamaan orang mu’min yang rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Al-Atrujah yang mana aromanya yang wangi dan rasanya yang sedap, dan perumpamaan orang mu’min yang tidak rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah tamar yang mana tiada aromanya dan rasanya yang manis, dan perumpamaan orang munafiq yang rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Raihanah yang mana aromanya yang wangi dan rasanya yang pahit manakala perumpamaan bagi orang munafiq yang tidak rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Hanzhalah yang mana tidak mempunyai aroma dan rasanya yang pahit. (Riwayat Bukhari & Muslim)  

      Untuk menjadi mu’min yang berpegang teguh dengan Al-Quran serta mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, tidak dapat tidak perlu untuk kita mengetahui akan adab-adab serta tatacara untuk membaca serta mempelajarinya. Rasulullah S.A.W menekankan beberapa adab yang perlu umat Islam lakukan dalam mempelajari Al-Quran. Antaranya:  

1) Mengikhlaskan niat hanya kerana Allah S.W.T
Perlu meletakkan niat yang asas hanya semata-mata untuk menambahkan ketaatan dan taqarrub pada Allah S.W.T.  

2) Bersih daripada segala hadas sama ada hadas kecil atau hadas besar
Para ulama’ bersepakat bahawa harus bagi umat Islam membaca Al-Quran dalam keadaan berhadas kecil kecuali hadas besar sama ada junub atau haidh. Akan tetapi, ianya bukan bermakna menghalang umat Islam untuk tidak membaca Al-Quran secara langsung. Bagi mereka yang dalam keadaan hadas besar, harus bagi mereka melihat ayat Al-Quran untuk membacanya dan menggunakan suara hati tanpa melafazkan ayat Al-Quran tersebut.  

3) Menghadap qiblat
Disunatkan bagi kita membaca Al-Quran dengan menghadap qiblat selain solat sepertimana hadis baginda Nabi S.A.W: “Sebaik-baik majlis adalah menghadap qiblat.”  

4) Membaca Isti’azah (memohon perlindungan) Menurut jumhur ulama’, disyariatkan membaca isti’azah untuk memohon perlindungan Allah S.W.T daripada syaitan sepertimana firmanNya yang bermaksud: “Apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada Syaitan yang direjam” (Surah An-Nahl : 98)  

5) Membaca basmalah dipermulaan surah kecuali surah At-Taubah

6) Membaca ditempat yang bersih seperti masjid, surau, bilik yang bersih dan sebagainya

7) Disunatkan bersiwak (sugi)

8) Mentadabbur ayat Al-Quran, sepertimana firman Allah: “Al-Quran ini adalah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) yang banyak faedah serta manfaatnya, untuk memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya…" (Surah Shod: 29)

9) Membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan berlagu
Sepertimana sabda Nabi S.A.W: “ Hiasilah (melagukan) Al-Quran dengan suaramu.” (Riwayat Abu Daud)

10) Membaca Al-Quran dengan tartil
Firman Allah S.W.T: “Bacalah al-Quran itu dengan tartil (bertajwid)”. Ummu Salamah pernah ditanya akan cara Nabi S.A.W membaca Al-Quran, lalu Ummu Salamah menjawab:“Rasulullah S.A.W membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan.” Tartil yang dimaksudkan di sini adalah membaca dengan jelas mengikut kaedah tajwid dan sebutan huruf yang betul. Ulama’ berpandangan bawa disunatkan untuk tartil dalam bacaan bertujuan untuk mentadabbur dan memahami ayat lebih-lebih lagi daripada kalangan bukan arab (a’jamiyy).  

      Secara kesimpulan yang boleh kita ambil, dalam berpegang kepada ajaran Allah S.W.T, maka perlulah kita untuk menjaga adab kita dalam mempelajari ‘perlembagaan teragung’ yang telah diturunkan kepada rasulNya, Nabi Muhammad S.A.W. Berdasarkan kaedah serta adab yang ditekankan oleh baginda, maka perlulah kita mengikuti sunnah tersebut, supaya Al-Quran ini akan menjadi pegangan teguh yang tersemat di dalam hati kita selaku seorang muslim yang beriman.  

Amar Arif Bin Ahmad Po’aad
Ketua Badan Penerangan & Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2014  

Rujukan: At-Tibyan Fi Hamlatil Quran – Imam Nawawi Rahimahullah

Saturday, October 11, 2014

Program Perayaan Mahabbah Aidil Adha KPIPM 2014 (PERMAI'14): Menghayati Tadhiyah Menyimpul Mahabbah

Sabtu, 4 Oktober 2014 - Sempena perayaan Aidil Adha, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menganjurkan program Perayaan Mahabbah Aidil Adha 2014 (PERMAI'14) dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak bertemakan "Pengorbanan Dihayati, Mahabbah Bersemi". Sebanyak 50 ekor haiwan terdiri daripada unta, lembu dan kambing dijadikan korban pd tahun ini.

       Pada pagi hari raya pertama, ahli KPIPM telah disajikan dengan tazkirah subuh yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad 'Asri b. Mohd Salim sebelum bergegas ke Masjid Musa an-Nusair, Haiyu Sabie' bagi menunaikan solat sunat Aidul Adha, anjuran PMRAM. Seusai solat, seluruh ahli menuju ke Baitul Rahman bagi menjalankan proses pnyembelihan dan melapah secara bergotong-royong. Seluruh ahli memberikan kerjasama yang sangat memberansangkan. Pada hari yg sama juga, daging diagihkan kepada yang mengambil bahagian panggu dan seluruh ahli KPIPM. Seusai proses melapah, sekali lagi semua ahli bergotong-royong membersihkan tapak penyembelihan bagi memberi ruang untuk memasak sebagai persediaan rumah terbuka pada keesokan harinya.

       Pada hari berikutnya, program dimeriahkan lagi dengan Rumah Terbuka Aidil Adha KPIPM yg dihadiri oleh seluruh ahli KPIPM, tetamu jemputan dan tetamu dari luar. Kehadiran tetamu yg datang ke majlis tersebut amat menggalakkan. Program ini diteruskan lagi dengan Malam Perayaan Mahabbah Aidil Adha 2014. Pada malam tersebut, para hadirin dihiburkan dengan pementasan teater musikal yang dipersembahkan oleh ahli KPIPM seterusnya diakhiri dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah dan pertandingan kuiz Fiqh Korban Aidil Adha. Semoga program Perayaan Mahabbah AidilAdha 2014 (PERMAI'14) pada kali ini menatijahkan impak positif seiring dengan objektif yang dibawakan iaitu:

1) Meraikan dan menghayati hari kebesaran Islam
2) Mengukuhkan tautan ukhuwah dalam kalangan ahli KPIPM
3) Melahirkan semangat kerjasama serta toleransi dalam kalangan ahli

Thursday, September 25, 2014

Pembahagian Muzakarah Berkelompok KPIPM Sesi 2014/2015

Berikutan kehadiran mahasiswa-mahasiswi baru pada tahun ini, pihak Jabatan Fasilitator telah mengambil inisiatif untuk membuat rombakan Muzakarah Berkelompok. Rombakan yang telah dibuat adalah seperti berikut :

1) Muzakarah Berkelompok peringkat ikhwah






2) Muzakarah Berkelompok peringkat akhawat





" Kesyumulan Tarbiah Melestari Pendakwah Dinamik "
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 


Anggota Badan Penasihat KPIPM Sesi 2014/2015


Friday, September 19, 2014

TUNTUTAN DAN RAYUAN DERMASISWA FISABILILLAH MAIPK 2013


Assalamualaikum wbt.

Perhatian kepada semua pemohon Dermasiswa fisabilillah MAIPk pda sesi kali ini:

Jawatankuasa Dermasiswa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah bermesyuarat bagi  memproses permohonan dermasiswa zakat yang telah dibuat oleh pemohon. Untuk makluman semua, pemberian dermasiswa zakat pada tahun ini telah diagihkan kepada penerima yang layak.

Bagi sesiapa yang layak menerima zakat pada tahun ini, tetapi status permohonannya gagal, anda layak untuk membuat tuntutan terhadap permohonan tersebut.

Caranya, anda perlulah memberikan maklumat dan perkara seperti berikut:

1)Salinan passport.
2)Salinan terjemahan keputusan pengajian terkini.
3) Membuat surat rayuan. (lihat contoh dibawah)

Sebarang pertanyaan atau serahan maklumat, sila rujuk kepada :

-          Saudara Mohammad Fadzil bin Abdul Rahim – Setiausaha Agung KPIPM 2014 (+201143152764)
-          Saudari Fatimah binti Azizuddin – Setiausaha HEWI KPIPM 2014 (+201149734901)

-          Encik Munawir bin Mohamed Noh - Atase Pendidikan Negeri Perak (+201122141005

Contoh surat rayuan


Monday, July 21, 2014

PERTEMUAN BERSAMA CEO MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK : MENGUKUHKAN HUBUNGAN BAIK ANTARA KPIPM DAN MAIPK



IPOH, 17 JULAI – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sentiasa peka dan prihatin dalam melahirkan golongan agamawan demi mengisi keperluan semasa kepada masyarakat. Kelangsungan persatuan anak Perak yang bergerak di bawah lembayung KPIPM sentiasa merentasi masa seiring dengan usianya hampir 50 tahun.

Oleh yang demikian, satu perjumpaan telah diadakan antara pihak Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bertempat di Pejabat Pentadbiran MAIPk di Ipoh.

Pihak KPIPM telah menghantar dua wakil iaitu Saudara Muhammad ‘Asri Bin Mohd Salim selaku Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2014 dan Saudara Zulhafeez Bin Ahmad Zahidi selaku Pengarah Program Bakti Siswa Al-Azhar 2014.


Pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Bin Muhamed yang mula berkhidmat untuk menerajui institusi agama Negeri Perak itu pada awal tahun ini telah membincangkan beberapa perkara yang merangkumi kebajikan anak-anak Perak, kerjasama antara dua pihak dan penganjuran Program Bakti Siswa yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pihak KPIPM sangat optimis dengan kerjasama MAIPk sepanjang menguruskan dermasiswa dan menyalurkan bantuan kepada anak-anak Perak yang memerlukan.

“Harapan saya agar anak-anak Perak dapat mengekalkan prestasi kecemerlangan dalam pengajian yang di ambil sama ada Pengajian Islam dan Sains Kesihatan”, ujar beliau di akhir pertemuan itu.

Semoga kerjasama dan hubungan ini dapat dilestarikan dengan sebaiknya demi menjana tenaga dan memastikan bakti anak Perak di Mesir dimanfaatkan untuk masyarakat kelak.

Monday, July 14, 2014

TAFAQQUH AN-NISA' : NASIHAT UNTUK MUSLIMAH



KAHERAH, 09 JULAI 2014 - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir Sesi 2014 telah menyambung kelas Tafaqquh An-nisa' dibawah seliaan Biro Pelajaran dan Ilmiah Hewi 2014. Kali ini giliran Ustazah Nurhafsah binti Awalluddin, Penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah berkongsi sebuah kitab yang sangat berguna untuk para muslimat, " Nasihat Lil Fatah Al-muslimah ".

Pengarang telah menggariskan beberapa nasihat yang sangat baik untuk para perempuan yang bergelar muslimah. Antaranya :

1. Bagaimana para muslimah mengatasi segala ujian dan dugaan yang telah diberikan oleh Allah mengikut tahap kemampuan seseorang dengan cara yang sangat baik.

2. Pengarang juga menasihati para muslimah bahawa harta bukanlah segala-galanya dalam kehidupan. Dan ketahuilah bahawa harta di dunia tidak kekal selama-lamanya.

3. Para muslimah perlulah bersabar ketika mana menerima berita atau kejutan yang pertama yang diluar daripada sangkaan manusia.

4. Bagaimana menjalani kehidupan sebagai seorang isteri setelah melangkah ke gerbang perkahwinan.


Kesimpulannya, semoga mahasiswi di Mesir ini mengambil pengajaran dan nasihat yang telah disampaikan oleh Dr. Wajdi Ghanim supaya menjadi seorang muslimah yang berjaya di dunia dan di akhirat.


Berilmu, Beramal, Ikhlas
Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
#satufikrahsatuamal
  



THE FIKR : Medan Asahan Bakat Ahli


KAHERAH, 10 Julai 2014 - Majalah Rasmi KPIPM kini kembali lagi dengan edisi khas sempena Ramadan. (Edisi Akhirah Cup). The Fikr kali ini menfokuskan tajuk berkenaan "Ramadan dan Isu Semasa, Dimanakah peranan kita". Tajuk yang mengupas berkenaan bulan Ramadan dan juga pelbagai isu yang sedang melanda umat masa kini. 

             Fokus utama yang ingin dibawa menerusi majalah kali ini lebih tertumpu kepada penghayatan umat Islam terhadap kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak. Seiring dengan itu ia turut membentangkan berkenaan peranan dan tanggungjawab kita selaku mahasiswa Islam dalam menagani sesuatu isu meskipun sedang berada dalam Bulan Ramadan.

            KPIPM sentiasa menyediakan ruang dan medium kepada ahli untuk mengasah bakat mereka dalam aspek penulisan dan kemahiran yang lain. Bertepatan dengan usul yang dibawa oleh KPIPM bagi sesi ini penguasaan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Semoga usaha ini mampu melahirkan mahasiswa yang berkualiti seiring dengan dakwah dan keperluan masa kini.

"PENA ISLAMIK, DAKWAH DINAMIK"


Berilmu, Beramal, Ikhlas
Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
#satufikrahsatuamal



 

Wednesday, July 9, 2014

ZIARAH : Wakil KPIPM ke Bumi Mansurah


Mansurah, 6 Julai 2014 – Satu lawatan telah diadakan oleh wakil KPIPM bagi mengunjungi anak-anak Perak di bumi Mansurah. Dua orang mentor wakil Hewi KPIPM, Saudari Nabilah Binti Zakaria dan Saudari Nurul Fadhillah Binti Mohd Khairi beserta Setiausaha AMP (Ahli Majlis Perwakilan), Saudari Norfadilah binti Mohd Nasir  telah mengadakan perjumpaan dengan mandubah Mansurah, Saudari Nahdatul Awatif binti Osman.

    Wakil KPIPM sempat beramah mesra dan berbuka puasa bersama ahli Dewan Majlis Perwakilan (DPM) Mansurah di rumah salah seorang warga Arab di situ dalam satu aktiviti di bawah Program IHTIRAM di peringkat DPM Mansurah. Tidak ketinggalan wakil KPIPM berkesempatan bertemu dengan Ahli jawatankuasa Hewi DPM Mansurah bagi bertanyakan perihal kebajikan dan permasalahan ahli di sana.

            
Besar harapan KPIPM agar kebajikan kepada ahli terutamanya yang berada di muhafazah terus dapat disalurkan melalui medium mandub dan mandubah di setiap cawangan. Semoga, kunjungan singkat ini dapat meluaskan lagi jalinan ukhuwah dan kebersamaan KPIPM bersama anak-anak perak di seluruh cawangan.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN
KEUNGGULAN SYAKHSIAH TUNJANG WAHDAH

Satu Fikrah | Satu Amal


TAFAQQUH AN-NISA : Erti Sebenar Iman dan Amal Soleh

KAHERAH, 02 JULAI 2014 - Kelas Tafaqquh An-nisa' Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014 dibawah seliaan Biro Pelajaran dan Ilmiah Hewi diteruskan lagi pada minggu ke- 2 selepas peperiksaan fasa 2. Kali menampilkan Setiausaha Hewi, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir 2014, Ustazah Fatimah binti Azizuddin membentangkan kitab bertajuk " Al-Iman wal-amal as-soleh " karangan Ustaz Wajdi Ghanim.

Antara isi kandungan kitab ini adalah :

·         Rukun iman terbahagi kepada tiga :

1. Yakin di dalam hati
2. Mengakui dengan lisan ( lidah ) iaitu " Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah "
3. Dibuktikan dengan amalan zahir.

Iman tidak cukup pada kata-kata, bahkkan memerlukan kepada amalan zahir dan dilengkapkan keimanan itu dengan beriman kepada malaikat, kitab-kitab samawi dan rasul-rasul, mendirikan solat ketika mendengar seruan . Nabi Muhammad saw pernah bersabda : ketika ditanya : Apakah amalan ,yang paling afdhal ? Nabi bersabda : Beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.


·         Syarat amalan soleh :

1. Amalan tersebut mestilah selari dengan al-Quran dan as-Sunnah
2. Amalan tersebut mestilah dilakukan semata-mata ikhlas kerana Allah Taala, bukan kerana riya', ujub,dan sebagainya.


       Dapatlah disimpulkan bahawa iman dan amal soleh tidak boleh dipisahkan dan mempunyai terikatan yang kuat. Mana mungkin kita dapat melakukan amalan soleh tanpa ada iman di dalam hati dan mana mungkin seseorang tanpa iman dapat melakukan amaln-amalan kebaikan. Semoga mahasiswi Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir dalam mengambil pengajaran daripada kitab yang telah dibentangkan.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN
KEUNGGULAN SYAKHSIAH TUNJANG WAHDAH

Satu Fikrah | Satu Amal

Disediakan oleh :
Timbalan Setiausaha,
Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2014.


Sunday, June 29, 2014

AKTIVITI MUZAKARAH BERKELOMPOK HEWI KPIPM | BOWLING STRIKE





Kaherah, 27 Jun- Seramai 49 ahli HEWI KPIPM telah melibatkan diri dalam aktiviti permainan bowling yang dianjurkan oleh Biro Tabung Kebajikan, Kesenian, dan Riadah HEWI KPIPM dengan kerjasama Jabatan Fasilitator KPIPM Sesi 2014. Aktiviti ini bermula jam 9.00 pagi di dewan Wisma Darul Ridzuan B dengan mengumpulkan ahli dan melakukan aktiviti ringan dalam usrah masing-masing.
Semua ahli mula bergerak ke pusat Bowling yang terletak di Solah Salim pada jam 10.40 pagi dan permainan berakhir pada jam 2.00 petang. Semua yang terlibat telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang aktiviti dijalankan.
Pihak KPIPM mengharapkan seluruh ahli KPIPM akan lebih menitikberatkan perihal kesihatan tubuh badan seterusnya lebih memberi komitmen untuk istiqamah menghadirkan diri dalam usrah masing-masing.


Berilmu, Beramal, Ikhlas
Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
#satufikrahsatuamal

Disediakan oleh :
Setiausaha 
Biro Kebajikan, Kesenian dan Riadah 
Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, KPIPM sesi 2014

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...