Sunday, November 27, 2011

Hijrah : Satu Kewajipan Dalam Perjuangan Islam


Hijrah Nabi SAW bersama para sahabat dari Mekah ke Madinah merupakan satu tanda aras bagi kejayaan Islam.

Peristiwa hijrah merupakan peristiwa yang besar dalam sejarah Islam, kerana memperlihatkan konsep bagaimanasesuatu negara yang diperintah berdasarkan sistem Islam yang menyeluruh di era Madaniyyah selepas prosespembinaan para pejuang di era Makkiyah.

Hijrah bukanlah pelarian sebagaimana yang cuba didoktrin oleh pihak musuh, namun hijrah adalah suatu gerak kerja yang tersusun dalam gerakan Islam demi mencapai cita-cita iaitu menegakkan kalimah Allah di muka bumi. 

Pada hari ini, umat Islam sentiasa dituntut untuk melakukan hijrah, samada di peringkat individu, masyarakat atau negara. 

Hal ini demikian kerana, meraka yang berhijrah adalah mereka yang sentiasa bekerja dan berfikir untuk mencapai hasil yang lebih baik dari masa ke semasa.

Sebab itulah, baginda SAW menyebut :

"Tiada lagi hijrah (dari sudut perpindahan tempat), melainkan (hijrah dari sudut) niat dan jihad"

Di sini kita lihat, bahawa niat serta jihad (atau erti kata lain, gerak kerja) mesti ada peningkatan dari satu tahap ke satu tahap kerana Islam itu relevan pada setiap masa dan merangkumi segenap aspek. 

Justeru, sekiranya umat Islam hanya statik dan berada di satu tahap sahaja, tanpa perubahan peningkatan, maka umat Islam akan terkandas.

Oleh kerana yang demikian, hijrah merupakan suatu kewajipan dalam mencapai agenda Islam. Sebagaimana juga marhalah dakwah, bermmula dengan satu tahap dan mesti dirancang untuk ke tahap yang seterusnya. Bermula dengan individu muslim kemudian bait muslim, masyarakat muslim,negara Islam dan yang terakhir iaitu Islam dijunjung dan menjadi penyelamat bagi manusia sekalian alam yang berada di bawah naungannya. 

Inilah konsep hijrah, yang menyeru kepada umat Islam untuk terus bergerak maju kehadapan. Bukan statik, bukan juga terkebelakang.

Firman Allah SWT : 

"Orang yang beriman, dan berhijrah, serta berjuang di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka ada;ah lebih besar dan tinggi darjarnya di sisi Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya" 

Dalam peristiwa hijrah Nabi SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq, kita dapat lihat bagaimana suatu motivasi yang sangat penting yang diberikan oleh Nabi SAW kepada Abu Bakar As-Siddiq. 

Motivasi inilah yang membezakan antara perjuangan Islam dan perjuangan taghut iaitu mereka yang menolak Islam serta memusuhi gerakan perjuangan Islam. 

Iaitu kalimah "La tahzan Innallaha ma'ana" yang bermaksud jangan bersedih! Allah bersama-sama dengan kita. 

Inilah perjuangan Islam, janji Allah bahawa Allah bersama-sama dengan gerakan perjuangan Islam. Ini yang pertama.

Yang kedua, pendokong gerakan perjuangan Islam meletakkan harapan kepada Allah dalam setiap usaha yang dilakukan. 

Dua perkara inilah yang membezakan antara perjuangan Islam dan perjuangan taghut. Walaupun mereka juga berbincang, bermesyuarat, melakukan gerak kerja dan sebagainya namun mereka tidak meletakkan harapan kepada Allah. 

Firman Allah SWT : 

"Kamu mengharapkan (redha) daripada Allah dan mereka (orang kafir) tidak mengharapkannya"

Berdasarkan beberapa perkara yang disebut di atas, PMRAM menyeru kepada semua mahasiswa/wi agar terus melaksanakan gerak kerja Islam dan memastikan peningkatan tahap dari masa ke semasa adalah lebih baik.

Maka, apa tindakan kita sekarang dalam membantu BKKIMM (Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir) yang terus dinafikan hak mereka? Semestinya gerak kerja yang padu dan perancangan yang tersusun bagi memastikan BKKIMM terus bergerak sebagaimana BKAN dan DPM yang lain. 

Bantuan material, semangat dan tempat mesti diberikan kepada BKKIMM agar dakwah Islam kepada anak-anak Melaka terus berjalan. 

Begitu juga dengan gerak kerja yang lain seperti ARMA dan Syaqah bagi PMRAM. Tindakan ini mesti digerakkan bersama-sama. Tanggungjawab ini mesti dipikul bersama. Penghijrahan ini mestilah melibatkan semua. 

Selamat Tahun Baru 1433 H

Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah

Muhamad Zuhaili Saiman
Presiden
PMRAM 2011

Sumber : pmram.org



Ahli KPIPM Perlu Pertingkatkan Keselamatan



KAHERAH, 24 Nov - Bersempena hari pengumpulan anak-anak perak pada malam jumaat setiap minggu, KPIPM mengambil kesempatan mengadakan taklimat keselamatan kepada ahli KPIPM berkenaan keselamatan Mesir sekarang.

Taklimat keselamatan tersebut diadakan selepas solat isya’ dan solat hajat berjemaah. Manakala, sebelum itu diadakan bacaan yasin,tahlil dan tazkirah yang disampaikan oleh Dr Aimi Syahirah Bt Bahamam.

Semua ahli yang hadir diterangkan serba sedikit keadaan negara Mesir sekarang oleh Saudara Ibnu Abbas Bin Azizuddin, Timbalan Yang Dipertua KPIPM. Beliau juga turut menyiarkan gambar-gambar keadaan ditempat pehimpunan rakyat Mesir, terutamanya di Medan Tahrir.

Saudara Mohammad Omar Bin Adam, selaku Yang Dipertua KPIPM juga turut menerangkan pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh PMRAM Pusat.

“Semua ahli , sama ada ikhwah atau akhawat dinasihatkan tidak keluar bersendirian terutamanya ketika menaiki teksi atau sebagainya.” Pesan Saudara Mohammad Omar Bin Adam.

Beliau juga, turut mengingatkan supaya semua ahli segera menghubunginya jika berlaku sebarang masalah di talian +20111 7869112/+20111 7598926 atau  Saudara Ibnu Abbas Bin Azizuddin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keselamatan KPIPM di talian +20111 0313027 atau Saudara Muhammad Firdaus Bin Aznan, selaku Pengerusi HISBAH KPIPM di talian +20111 5311054.

KPIPM mengharapkan agar semua ahli dapat mematuhi pekeliling yang dikeluarkan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku dan juga, untuk kebaikan semua pihak.

Tuesday, November 22, 2011

Garis Panduan Keselamatan Bil. 2 Tahun 2011 Kepada Warganegara Malaysia Di Republik Arab Mesir




GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 2 TAHUN 2011 
KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR

1.         Maklumat Am

1.1.      Garis Panduan Keselamatan Bil. 2 Tahun 2011 dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) kepada semua warga Malaysia di Republik Arab Mesir. Ia adalah merupakan susulan kepada Garis Panduan Keselamatan Bil. 1 Tahun 2011 yang dikeluarkan oleh KBMK pada 7 Mac 2011 berdasarkan kepada situasi politik dan ekonomi semasa Mesir.

2.         Keadaan dan Maklumat Semasa

(A)       Ringkasan Suasana Semasa

2.1.      Semua pejabat Kerajaan, institusi pengajian, pusat kesihatan, premis perniagaan, perbankan dan sistem pengangkutan awam secara amnya masih beroperasi seperti biasa.

2.2.      Pasukan polis telah mula kembali bertugas secara berperingkat. Namun, waktu tindak balas (response time) oleh pihak polis tidak menepati keperluan sebarang kecemasan. Kes-kes jenayah seperti kes-kes pecah rumah, pergaduhan serta jenayah yang melibatkan samseng jalanan semakin kerap dilaporkan. Keyakinan rakyat Mesir terhadap pasukan polis awam masih belum pulih sepenuhnya.

2.3.      Pihak tentera masih berada di beberapa kawasan dan premis strategik seperti di luar bangunan-bangunan kerajaan. Peranan pihak tentera mengawal keamanan di bandar-bandar dilihat kurang berkesan dan tidak banyak membantu mengurangkann kes-kes jenayah.

2.4.      Kekacauan ataupun keganasan masih berlaku termasuklah keganasan agama (sectarian violence) tetapi tertumpu kepada bandar-bandar dan kawasan-kawasan tertentu. Tunjuk perasaan dan mogok juga berlaku di tempat-tempat dan pada masa-masa tertentu. Tindakan tunjuk perasaan dan mogok yang diadakan oleh banyak golongan rakyat atas pelbagai alasan termasuk menuntut kenaikan gaji, mendesak Kerajaan Sementara (Interim) Mesir dan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) membuat pelbagai perubahan politik, ekonomi dan sebagainya dengan segera dan sebagainya, tidak membantu pemulihan ekonomi Mesir. Kehadiran para pelancong asing juga semakin berkurangan.

2.5.      Beberapa kejadian tidak diingini yang menimpa mahasiswa-mahasiswi Malaysia baru-baru ini seperti perselisihan faham dengan tuan rumah yang disewa, kemalangan dan kematian sewaktu mengikuti aktiviti bukan akademik di luar pengetahuan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, boleh dijadikan teladan supaya warganegara Malaysia, khususnya mahasiswa-mahasiswi lebih mengambil berat tentang aspek keselamatan mereka dalam situasi semasa di Mesir.

2.6.      Terdapat beberapa institusi seperti pusat-pusat pengajian swasta dan pejabat-pejabat korporat syarikat-syarikat antarabangsa telah mengumumkan akan menutup operasi mereka pada tarikh-tarikh tertentu semasa Pilihanraya Parlimen Mesir diadakan sebagai langkah berjaga-jaga.

(B)       Peralihan kepada Pemerintahan Awam

2.7.      Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dan Kerajaan Sementara (Interim) Mesir telah menetapkan bahawa Pilihanraya Parlimen Mesir akan diadakan secara berperingkat mulai bulan November 2011 sehingga bulan Mac 2012. Pilihanraya Parlimen yang terdiri daripada People's Assembly dan Majlis Shoura ini telah dimulakan dengan penamaan calon mulai 12 hingga 24 Oktober 2011.

2.8.      Secara ringkasnya, Pilihanraya People's Assembly akan diadakan secara berperingkat mengikut Governorates (Muhaffazah) pada 28 November 2011, 14 Disember 2011 dan 3 Januari 2012. Pilihanraya Majlis Shoura pula akan diadakan pada 29 Januari 2012.

2.9.      Setiap peringkat Pilihanraya People's Assembly akan melibatkan sembilan (9) Governorates (Muhaffazah) seperti berikut:

  2.9.1.   Peringkat Pertama pada 28 November 2011 - Cairo, Alexandria, Damietta, Fayoum, Port Said, Kafr El-Sheikh, Assiut, Luxor dan Red Sea.

2.9.2.   Peringkat Kedua pada 14 Disember 2011 - Giza, Menoufiya (Shibin El-Kom), Sharqiya (Zaqazik), Beheira (Damanhur), Beni Suef, Ismailiya, Suez, Sohag dan Aswan.

2.9.3.   Peringkat Ketiga pada 3 Januari 2012 - Gharbiya (Tanta), Daqahliya (Mansurah), Minya, Qalioubiya, North Sinai, South Sinai, Marsa Matrouh, Qena dan New Valley.


3.         Langkah-langkah Keselamatan

3.1.      Semua warganegara Malaysia disarankan untuk mematuhi nasihat-nasihat berikut:

(A)       Pencegahan

3.1.1.   Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan seperti Dataran Tahrir, premis Kerajaan strategik seperti Kementerian Penerangan (Maspero), Pejabat Perdana Menteri, Pejabat-pejabat Gabenor (Muhaffiz) dsb;

3.1.2.   Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup atau dalam ataupun luar kampus universiti;

3.1.3.   Mengelakkan daripada memberikan sebarang komen ataupun ulasan mengenai politik dalam Mesir kepada mana-mana individu, parti-parti politik dan organisasi Mesir dan asing. Situasi semasa di Mesir adalah merupakan hal ehwal rakyat Mesir semata-mata;

3.1.4.   Menghadkan sebarang pergerakan ke tempat (venue) dan aktiviti terutamanya pada hari Jumaat yang tidak berkaitan dengan pengajian ataupun tugas pekerjaan termasuklah ceramah politik Mesir dan rapat umum yang tidak ada kaitan dengan negara Malaysia;

3.1.5.   Mengelakkan dari berjalan-jalan / bersiar-siar di waktu malam ataupun berjalan berseorangan terutamanya bagi para mahasiswi;

3.1.6.   Elakkan dari terlibat dalam pertengkaran yang boleh membawa pergaduhan dengan mana-mana anggota masyarakat tempatan yang kini bersemangat 'revolusi'. Elakkan dari mengambil tindakan bersendirian yang boleh mengundang ancaman keselamatan diri dan nyawa;

3.1.7.   Mengelakkan daripada mewujudkan suasana yang tidak tenteram dengan mempercayai dan menyebarkan khabar-khabar angin (hearsay / rumours) melalui sistem pesanan ringkas (SMS), laman sesawang seperti facebook, yahoo messenger, blog dan email. Adalah dinasihatkan supaya segala khabar angin disemak kesahihannya dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.

3.1.8.   Mahasiswa-mahasiswi dan para pelajar mestilah mendapat pandangan dan kelulusan daripada Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan, sebelum mengikuti ataupun mengadakan sebarang aktiviti sama ada secara individu ataupun berkumpulan di luar kawasan tempat pengajian. Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga disarankan supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti di luar kawasan kediaman dan kampus sehingga pilihanraya selesai melainkan setelah mendapatkan sokongan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.

(B)       Persediaan

3.1.9.   Setiap warganegara Malaysia (yang bukan mahasiswa-mahasiswi/ pelajar) yang berada di Mesir dinasihatkan supaya mendaftarkan diri dengan Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:

3.1.9.1.      mengisi borang secara atas talian (online) di http://www.kln.gov.my/web/guest/ekonsular ; atau

3.1.9.2.      mengirim emel dengan menyertakan butir-butir peribadi dan alamat perhubungan kepada alamat emel; malcairo@kln.gov.my ; atau

3.1.9.3.      menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon             (002) 02 3761 0013       (Encik Ahmed el Wassiff, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).

3.1.10. Bagi mahasiswa-mahasiswi/pelajar Malaysia yang berada di Mesir, sila layari laman web Pejabat Education Malaysia Egypt untuk membuat pendaftaran di http://www.educationmalaysiaegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel: educationmalaysiaegypt@gmail.com.

3.1.11. Mematuhi sebarang arahan keselamatan termasuk perintah berkurung yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir;

3.1.12. Mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dsb serta barang berharga di tempat yang selamat;

3.1.13. Sentiasa peka dan berwaspada kepada persekitaran dan mengemaskini maklumat semasa melalui media massa dan arahan-arahan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

3.1.14. Menyimpan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga (3) hari sepanjang tempoh pilihanraya. Selain itu, kad tambah nilai prabayar telefon dan wang saku tambahan disediakan dengan sewajarnya;

3.1.15. Memperkukuhkan tahap keselamatan tempat kediaman termasuk menggunakan mangga dan kunci yang bersesuaian. Selain itu, memastikan pintu rumah dan tingkap sentiasa ditutup rapat dan dikunci  sebelum meninggalkan rumah;

3.1.16. Memastikan supaya dokumen pengenalan diri seperti kad pelajar universiti dan kad pelajar yang dikeluarkan oleh Education Malaysia Egypt ataupun pasport dibawa bersama apabila melakukan perjalanan keluar daripada rumah / kediaman. Bagi pemegang pasport Malaysia pula, perlulah memastikan supaya visa yang berkenaan masih sah berlaku;

3.1.17. Tidak keluar rumah atau tempat tinggal pada hari-hari pilihanraya dijadualkan dan keputusan diumumkan, melainkan perlu untuk menghadiri kuliah dan sebagainya. Namun sedemikian, perjalanan yang perlu dilakukan itu perlulah dipastikan keselamatannya dan mengelakkan daripada melalui kawasan-kawasan pengundian dijalankan dan keputusan pilihanraya diumumkan yang menjadi tempat perhimpunan orang ramai;

3.1.18. Memastikan anda dapat dihubungi dengan mudah dan sentiasa memberikan maklumat perhubungan anda yang terkini kepada Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (bagi warganegara Malaysia selain mahasiswa-mahasiswi / pelajar) dan Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan (bagi para mahasiswa-mahasiswi/ pelajar Malaysia).

4.         Hal-hal Lain

4.1.      Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telahpun membuat persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Oleh itu, kerjasama semua warganegara Malaysia amatlah mustahak supaya segala tindakan susulan yang dirancang akan dapat dilaksanakan apabila perlu, dengan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.

4.2.      Garis Panduan Keselamatan ini bukanlah jaminan keselamatan tetapi sebagai panduan untuk keselamatan diri warganegara Malaysia semasa berada di Mesir dan bagi mempermudahkan sebarang urusan bantuan sewajarnya dihulurkan sekiranya perlu.

4.3.      Selaras dengan amalan diplomasi antarabangsa, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah adalah merupakan satu-satunya pusat rujukan warganegara Malaysia semasa berada di Mesir. Sebarang pertanyaan bolehlah dirujuk ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Agensi-agensi Kerajaan yang bernaung di bawahnya.

Kedutaan Besar Malaysia
Kaherah
17 November 2011

PMRAM Perjelas Isu Keselamatan Kepada Media Di Malaysia



KAHERAH, 21 Nov - Berikutan isu semasa politik tanah air Mesir yang berlaku, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menasihati kepada semua mahasiswa/wi Islam di Mesir agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang tidak benar mengenai keadaan semasa.

Ia berikutan apabila terdapat provokasi di salah satu media di Malaysia yang menggambarkan keadaan yang kritikal sehingga menyebabkan para ibu dan bapa panik mengenai keselamatan anak-anak mereka di Mesir.

PMRAM menegaskan bahawa keadaan keselamatan bagi mahasiswa/wi Islam di sini adalah masih terkawal bahkan pengajian di universiti masih berjalan seperti biasa.

Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman juga telah memaklumkan isu keselamatan semasa kepada pemberita Harian Metro yang telah menalifon beliau seawal jam 5 pagi waktu Mesir, semalam.

Selain itu, Presiden PMRAM juga telah dihubungi oleh pemberita Kosmo pada jam 11 pagi waktu Mesir dalam mendapatkan penjelasan yang sebenar mengenai kondisi keadaan mahasiswa/wi Malaysia di Mesir.

"PMRAM menegaskan agar pihak media Malaysia supaya mendapatkan informasi semasa mengenai isu di Mesir melalui saluran rasmi yang ada agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan keadaan panik di kalangan ibu bapa," ujar beliau.

"PMRAM sentiasa memantau keadaan semasa yang berlaku dan PMRAM sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam mendapatkan informasi semasa," jelas beliau lagi.

Sunday, November 20, 2011

Perhatian : Panduan Keselamatan Semasa

 
sila klik pada gambar untuk lebih jelas

PANDUAN KESELAMATAN SEMASA
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR

Berikut adalah panduan keselamatan semasa PMRAM :

11.      Mematuhi panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Melaysia Keherah (KBMK).
22.      Dilarang terlibat sebarang perkumpulan dan kempen pilihanraya.
33.      Bergerak secara berkumpulan. Tidak digalakkan keluar berseorangan.
44.      Pastikan tidak bersendirian di rumah.
55.      Tidak digalakkan ke luar kaherah atau ke kaherah (bagi ahli cawangan)
66.      Digalak meletakkan kenderaan persendirian di premis BKAN masing-masing.
77.      Menyediakan keperluan asas yang mencukupi di rumah.
88.      Tidak digalakkan berada di luar kawasan kediaman pada waktu malam.
99.      Mahasiswi yang ingin berurusan dengan warga tempatan,  mestilah melalui musyrif.
11.      Tidak membicarakan isu politik Mesir dengan warga tempatan.

-Sebarang masalah terus menghubungi Presiden PMRAM : +20111 3771841
 Atau Ketua Ops Keselamatan PMRAM : +20111 7402891

-Peringkat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) boleh menghubungi :

1. Saudara Mohammad Omar Bin Adam, Yang dipertua KPIPM di talian +20111 7869112/+20111 7598926.
2. Saudara Ibnu Abbas Bin Azizuddin, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keselamatan KPIPM
    di talian +20111 0313027.
3. Saudara Muhammad Firdaus Bin Aznan, Pengerusi HISBAH KPIPM di talian +20111 5311054.

Perhatian : Pekeliling Keselamatan

sila klik pada gambar untuk lebih jelas

PEKELILING KESELAMATAN
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR

Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Malaysia di Mesir agar berhati-hati dengan meningkatkan tahap keselamatan masing-masing :

Berikut adalah pekeliling keselamatan daripada PMRAM :

11.      Pastikan visa hidup.
22.      Keluar rumah pastikan bawa bersama pasport dan kad PMRAM (bagi ahli PMRAM)
33.      Bagi yang memandu kenderaan pastikan ada lesen memandu dan cukai jalan kenderaan.
44.      Tidak terlibat dengan sebarang perkumpulan dan demonstrasi.
55.      Tidak menghampiri sekitar kawasan yang terlibat dengan demonstrasi terutamanya di      Tahrir.
66.      Tidak keluar rumah selepas jam 12 tengah malam sehingga jam 6 pagi.
77.      Tidak memberikan sebarang dokumen penting kepada warga asing dan rakyat tempatan.

-Sebarang masalah terus menghubungi Presiden PMRAM : +20111 3771841
 Atau Ketua Ops Keselamatan PMRAM : +20111 7402891

-Peringkat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) boleh menghubungi :

1. Saudara Mohammad Omar Bin Adam, Yang dipertua KPIPM di talian +20111 7869112/+20111 7598926.
2. Saudara Ibnu Abbas Bin Azizuddin, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keselamatan KPIPM
    di talian +20111 0313027.
3. Saudara Muhammad Firdaus Bin Aznan, Pengerusi HISBAH KPIPM di talian +20111 5311054.


Nadwah Tarbawi KPIPM : Kitab Al-Islam Syariatu Al-Zaman Wa Al-Makan Dibedah



KAHERAH, 16 Nov – Muzakarah berkelompok ditangguhkan dengan gabungan semua liqo’ dalam satu NADWAH TARBAWI yang dianjurkan oleh Jabatan Fasilitator dibawah Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM. Muzakarah gabungan ini dijalankan sebelum program ditawaqufkan sempena imtihan fasa satu yang akan tiba.

Nadwah Tarbawi tersebut diisi dengan daurah kitab karangan  Dr Abdullah Nasih Ulwan “AL ISLAM SYARIATUZ ZAMAN WAL MAKAN “ yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Mujahid Bin Ir Hj Mohammad Fadzil.

10 ciri-ciri syariat Islam telah dihuraikan serba ringkas oleh pembentang. Seperti yang kita semua sedia maklum, Islam itu merangkumi semua aspek dan tiada agama yang sesempurna seperti agama Islam.

Malah, dalam kitab ini juga diterangkan mengenai bukti-bukti terkini tentang kesan pensyariatan. Bukti-bukti tersebut berdasarkan bukti semasa, bukti daripada perhimpunan-perhimpunan dan bukti daripada golongan pertengahan.

“Agama dan pemerintahan tidak dapat dipisahkan. Apabila kita mempunyai fahaman sedemikian maka secara tidak langsung sebenarnya kita telah dipengaruhi oleh pemikiran barat.” tegas Saudara Muhammad Mujahid.

Alhamdulillah daurah kitab tersebut mendapat sokongan dari semua ahli KPIPM. Semoga dengan pembentangan tersebut sedikit sebanyak dapat merungkai persoalan-persolan dari mana-mana individu. KPIPM juga mengharapkan program seperti ini dapat dijalankan lagi dan mengharapkan sokongan dari semua pihak. Ini adalah kerana, ilmu seperti ini kita tidak akan dapat memperolehinya di dalam kuliah dan dalam masa yang sama tautan ukhuwah dapat dijalinkan antara semua ahli.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...