Friday, December 30, 2016

MINDA PIMPINAN | PENCETUS HARAPAN ISLAM




PENCETUS HARAPAN ISLAM

          Untuk melangkah maju ke hadapan memerlukan tenaga, dan untuk mengundur ke belakang juga memerlukan tenaga. Seseorang itu tidak mampu melakukan sesuatu pekerjaan tanpa adanya kerahan tenaga dan usaha.
 
          “Pemuda adalah simbol hati yang masih jernih sehingga memiliki keyakinan dan iman yang kuat, kejujuran yang memungkinkan untuk memiliki ketulusan dan keikhlasan dalam beramal, serta semangat yang tinggi memungkinkan untuk beramal dengan bersungguh-sungguh dan penuh dengan pengorbanan.” (Imam Hassan Al Banna)

          Pengertian pemuda yang digambarkan adalah seperti matahari di siang hari yang berada tepat di puncak hari. Generasi muda mempunyai kelebihan dalam pemikiran ilmiah, mempunyai semangat yang bersinar terang, kritis dan juga merupakan motor penggerak utama perubahan.

          Pemuda Islam memegang peranan yang penting dalam sejarah kebangkitan Islam seperti Ali bin Abi Talib, Zubair bin ‘Awwam, Tolhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqas, Zaid bin Harithah dan ramai lagi. Kejayaan dan kekuatan, semangat juang yang tinggi daripada mereka wajar dicontohi oleh generasi muda masa kini. Hakikat seorang pemuda itu adalah berpegang teguh dengan ilmu dan taqwa. Apabila keduanya tiada maka tidaklah dianggap sebagai pemuda baginya.

         Wajarkah kita generasi muda kini hanya menongkat dagu mengharapkan kejayaan datang bergolek dengan mudah?

         Kapal yang belayar juga memerlukan nakhoda yang mahir ilmu pelayaran dan mempunyai usaha yang jitu dalam mengemudi kapalnya untuk sampai ke destinasi. Begitu juga kepada diri kita, kejayaan tidak akan datang tanpa kesungguhan dan semangat iltizam yang tinggi. 
           
Allah SWT berfirman :
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, dan mereka yang menunaikan zakat, dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka mereka itu tidaklah dicela, mereka yang ingin melakukan sebaliknya maka mereka itu adalah orang-orang yang melampaui batas, dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya …”
 (Al-Mukminun : 1-11) 
                               
          Ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa orang yang mendapat kejayaan itu adalah dalam kalangan orang mukmin. Orang mukmin sahaja yang sanggup melakukan syarat-syarat yang disebutkan di dalam ayat tadi. Kemenangan umumnya hanyalah di dunia, manakala kejayaannya yang hakiki adalah di akhirat kelak.

Terdapat tujuh syarat orang mukmin untuk mendapat kejayaan :
      1)      Khusyuk di dalam solat.
      2)      Mengelakkan dari perkara yang tidak memberi faedah.
      3)      Mengeluarkan zakat.
      4)      Menjaga kehormatan.
      5)      Menjaga amanah.
      6)      Menunaikan janji.
      7)      Menjaga solat.

          Pemuda Islam yang berusaha untuk memperoleh kejayaan tidak boleh memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakan atau saudaranya yang lain. Syeikh Said Hawa menyebut di dalam kitabnya bahawa pemuda Islam mestilah menjauhi 3 sifat iaitu pemalas, kedekut dan takut. Hal ini kerana mereka yang memiliki sifat ini pasti akan memberikan pelbagai alasan untuk kepentingan diri sendiri.

          Antara peranan pemuda Islam terhadap rakan seperjuangannya ialah menasihati dan mengingatkan mereka supaya tidak leka dan hanyut dengan hal-hal keduniaan. Bahkan antara hak seorang muslim ke atas muslim yang lain sebagaimana yang disebut oleh Nabi Muhammad S.A.W. ialah dengan memberi nasihat apabila diminta.

Allah SWT berfirman :
“Dan tetaplah memberi peringatan , kerana sesunggunya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”  (Az-Zariyat : 55)

          Kejayaan terbesar Islam yang terukir daripada dalam diri Nabi Muhammad S.A.W. adalah berusaha dalam menakluk manusia daripada kegelapan kepada landasan keimanan. Dan bukti-bukti kejayaan itu sehingga kini dapat dirasakan oleh sesiapa saja yang berusaha untuk menggalinya. Bagaimana pula dengan kejayaan kita

          Sempena musim peperiksaan yang sedang dihadapi oleh seluruh mahasiswa dan mahasiswi pengajian Islam mahupun perubatan, tingkatkan spiritual yang tinggi dalam menggunakan tenaga dan masa yang ada dengan sebaiknya untuk mengulang kaji kitab-kitab kuliah. Penyesalan yang tidak berguna adalah orang yang tidak mahu memperbaiki dirinya dari segala kesalahan masa lalunya. Justeru itu, merasai manisnya sebuah kejayaan adalah jauh lebih indah berbanding menelan pahitnya sebuah kegagalan.

          Akhir kata, ilmu tidak akan diraih tanpa bekalan doa daripada seorang guru. Pintalah doa dan keberkatan daripada mereka yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga dalam mencurahkan ilmu kepada kita semua. Semoga dengan kejayaan yang kita perolehi  dapat menjadikan kita sebagai role model  kepada generasi kini dan akan datang.

Wallahua’lam.


“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

Tinta Pimpinan oleh :
Nurul Izzaty binti Osman
Ketua HEWI KPIPM sesi 2016/2017

Tuesday, December 27, 2016

KENYATAAN YDP KPIPM BERSAMA BKKIMM (TRAGEDI 28 DISEMBER 2010)

Bismillahirrahmanirrahim.

          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah mengurniakan segala nikmat yang tidak terhitung yang telah dikecapi oleh manusia. Juga selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, tanpa jerih perih baginda, kita tidak dapat menikmati nikmat iman dan Islam sehingga ke generasi hari ini.
Meneladani sejarah adalah satu perkara yang lazim bagi seseorang manusia lebih-lebih lagi bergelar seorang muslim yang berpegang teguh kepada agama. Islam mengajar kita agar mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang berlaku kepada umat-umat terdahulu sepertimana yang banyak dikisahkan di dalam Al-Quran supaya ia menjadi pedoman sehingga ke hari kiamat. Memperingati sejarah bukanlah bertujuan untuk mengulangi kisah yang lama, akan tetapi menjadikan kita bersedia agar ‘tidak jatuh ke dalam lubang buat kali kedua.’

Allah SWT berfirman:
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”
(Surah Yusuf: 112)

Sepertimana juga kata salah seorang hukama':
"" من لا يعرفُ تاريخه لا يفهمُ حاضره ولا يبني مستقبله "

“Barangsiapa yang tidak mengenali sejarahnya, maka dia tidak faham akan kemajuannya, dan juga tidak membina masa depannya.”

          28 Disember 2010 merupakan peristiwa hitam yang terpahat di ingatan mahasiswa di Mesir. Peristiwa ini menjadi peristiwa yang penting apabila semua mahasiswa di Mesir bersolidariti menyatakan kebersamaan mereka bersama anak-anak Melaka di Mesir. Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah pun ditubuhkan 40 tahun yang lalu sejak 1976. Kesatuan ini komited menjaga kebajikan dan memberikan kemudahan dalam segenap aspek keperluan di Mesir demi memastikan kesatuan anak Melaka di Mesir terjaga. Bukan itu sahaja, kesatuan ini jugalah yang menjadi perantaraan untuk menyuarakan segala aduan anak Melaka kepada pihak berwajib lebih-lebih lagi kepada pihak kerajaan negeri Melaka.

          Akan tetapi, selama 40 tahun kesatuan ini berjasa, pada tanggal 28 Disember 2010, kerajaan negeri telah menarik pengiktirafan dan berhasrat menukar kesatuan ini kepada organisasi yang lain sedang dalam masa yang sama ia tidak dipersetujui dan tidak dibincang secara lumat akan keputusan yang drastik itu.

          Namun semenjak dari peristiwa tersebut, BKKIMM dilanda pelbagai bentuk cabaran dan ujian antaranya diberhentikan bantuan zakat, isu penempatan anak Melaka, tidak diberikan peluang agar mengadakan aktiviti di rumah Melaka dan pelbagai lagi diskriminasi yang dilakukan untuk menafikan kesatuan ini.

          Namun, semangat perjuangan anak-anak Melaka di kalangan kepimpinan dan ahlinya tidak pernah luntur. Sejak dari peristiwa itu, mereka berdikari, bersungguh-sungguh meneruskan survival kesatuan ini sehingga ia menjadi relevan sebagai satu-satunya kesatuan yang komited menjaga kebajikan anak Melaka di Mesir.

          Justeru, saya selaku Yang Dipertua KPIPM yang mewakili seluruh anak-anak Perak menyatakan kebersamaan dengan BKKIMM sepertimana usul yang disepakati di dalam Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-50 yang lalu iaitu:
“Bersama Mempertahankan Hak BKKIMM dan BKPJM bagi menyatakan solidariti mahasiswa.”

          Saya juga menyeru kepada seluruh mahasiswa di Mesir agar menunjukkan kebersamaan kita dengan memperingati peristiwa ini sebagai simbol keprihatinan dan solidariti kita di Mesir. Semoga dengan usaha ini dapat membuktikan kekuatan mahasiswa sebagai generasi muda ini akan terhasil sekiranya kita bersatu di atas suara kebenaran. Mari sama-sama kita doakan agar BKKIMM terus utuh di arena perjuangan mahasiswa.

Dari Perak pergi ke Melaka,
Singgah sebentar di Alor Gajah,
Bangun mahasiswa, sedarlah pemuda,
Hayati sejarah, kukuhkan wehdah,

Siiru ala barakatillah.
Khairul Naim Bin Abdul Razak
Yang Dipertua KPIPM 2016/2017
27 Disember 2016, Syarie’ Hafeez Badawi.

Friday, December 9, 2016

SEBARKAN KEPRIHATINAN KITA TERHADAP ROHINGYA






SEBARKAN KEPRIHATINAN KITA TERHADAP ROHINGYA


Allah SWT memerintahkan kepada umatNya bersatu di atas dasar akidah yang satu. Allah SWT berfirman:


وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya”

(Surah Ali-Imran : 103)

Oleh sebab itu, pertalian umat Islam diikat dengan pertalian akidah yang satu. Bukan diikat di atas semangat kebangsaan, atau pertalian darah dan sebagainya. Akan tetapi pertalian akidah yang merupakan ikatan persaudaraan yang paling kukuh. Tidak mengira warna kulit atau rupa, keturunan ataupun bangsa, namun apa yang dinilai oleh Allah SWT adalah taqwa.



SEJARAH DAN ASAL-USUL ROHINGYA


Arakan, Negara Islam yang Aman

     Islam datang ke rantau ini semasa pemerintahan Abbasiyah Khalifah Harun Al-Rashid pada abad ketujuh masihi. Mengikut kepada kajian sejarah, Islam dating ke wilayah ini dengan cara damai iaitu dengan cara perdagangan. Para pedagang yang dating dari India, Parsi dan Tanah Arab ini berdagang lalu mengembangkan Islam dengan uslub dakwah yang baik. Maka, apabila wilayah ini diduduki dengan para pedagang, maka wujudlah sebuah Negara yang berteraskan Islam yang dipanggil sebagai Arakan.

Arakan adalah sebuah Negara yang bebas yang telah diperintah oleh seramai 48 raja muslim lebih daripada tiga setengah abad iaitu bermula daripada tahun 1430 masihi sehingga 1784 masihi. Kesan peninggalan negara Islam Arakan adalah terbinanya 2 masjid besar pada 1430M di daerah tersebut iaitu Masjid Badr dan Masjid Sindi Khan. Antaranya juga adalah wang syiling yang tertulis kalimah syahadah sebagai matawang bagi Negara tersebut.


     Pada 1784, Arakan diserang oleh pemerintah Burma yang beragama Buddha yang dikelolai oleh Raja Bodawpaya lalu menakluk Arakan.



Arakan Era Kolonial Inggeris

Sejarah Arakan Era Penjajahan Inggeris

     Inggeris telah menjajah Burma pada tahun 1824 masihi. Pada tahun 1937, British memisahkan tanah jajahannya, Burma dari kerajaan British-India. Lalu wilayah Arakan diletakkan dibawah penguasaan pemerintah Buddha. 


     Pada tahun 1940 (Perang Dunia II), satu gerakan “Burma Independence Army” yang menerima latihan di Jepun berikrar untuk mengusir penjajah British dari Burma. Sehinggalah British menewaskan Jepun pada tahun 1945. British memberikan kemerdekaan kepada Burma pada 1948 lalu membuat satu konferens yang diberi nama Panlong Conference 1945 dengan memanggil semua etnik di Burma kecuali etnik Muslim Rohingya. Syarat yang diletakkan oleh British adalah hak kewarganegaraan harus diberikan kepada semua etnik selepas kemerdekaan namun kerajaan Burma tidak melaksanakannya. 



SIAPAKAH ROHINGYA


     Rohingya adalah etnik muslim yang mendiami kawasan utara Arakan (kini Rakhine) di barat laut Burma (kini Myanmar), Mereka bertutur bahasa Rohingya (Chittagong) dari keturunan Benggal. Mereka juga golongan minoriti yang beragama Islam di wilayah Rakhine. 


     Wilayah Rakhine yang berkeluasan 36,778 km persegi mempunyai populasi lebih daripada 3 juta penduduk, tidak termasuk seramai 1.5 juta etnik Rohingya yang dibunuh dan dibuang negara sejak tahun 1942.

Kini, majoritinya terdiri sama banyak daripada etnik Rohingya dan etnik Maghs yang beragama Buddha. Seawal tahun 1942 juga, terdapat lebih kurang 200,000 etnik di Burma tetapi kini hanyalah tinggal sekitar 100 lebih sahaja.


     Mereka adalah golongan tertindas sejak Burma menakluk Arakan pada tahun 1784. Mereka juga tidak diberikan hak kewarganegaraan oleh kerajaan Burma selepas undang-undang warganegara diperkenalkan pada tahun 1982.


     Banyak operasi-operasi yang dilancarkan oleh tentera Burma (Buddhist) untuk menghapuskan etnik (genocide) ini sehingga menyebabkan mereka lari ke negara-negara lain seperti Bangladesh, Malaysia,Thailand dan banyak lagi. Pelbagai tindakan undang-undang yang zalim menyisihkan golongan ini antaranya, pemaksaan murtad.



TINDAKAN UNDANG-UNDANG YANG ZALIM TERHADAP ETNIK ROHINGYA


Antara tindakan undang-undang bagi menyisihkan muslim Rohingya ini adalah:
  
      1) Proses murtad dan menghapuskan identiti: Burmanization dan De-muslimization 
      2) Rohingya dinafikan hak pemilikan tanah: Panlong Conference 1945 (penempatan)
      3) Dinafikan hak untuk berpolitik dan hak kewarganegaraan 
      4) Diketatkan syarat perkahwinan dan peranakan  antaranya perlu meminta izin tentera atau polis untuk dibenarkan berkahwin
      5) Menangkap perempuan etnik Rohingya dan menyuntik mereka dengan suntikan kemandulan bagi mengurangkan populasi mereka
      6) Golongan berpendidikan dan berpengaruh ditangkap dan dibunuh
      7) Tidak dibenarkan membina masjid atau sekolah-sekolah




SENARAI OPERASI PENGHAPUSAN ETNIK (ETHNIC CLEANSING) ROHINGYA


BIL.
NAMA OPERASI
TAHUN
1
Military Operation (5th Burma Regiment)
1948
2
Burma Territorial Force (BTF) Operation
1949
3
Military Operation (2nd Emergency Chin regiment)
1951
4
Mayu Operation October
1952 - 1953
5
Mone-thone Operation
1954
6
Combined Immigration and Army Operation
1955
7
Union Military Police (UMP) Operatio
1955 - 1958
8
Captain Htin Kyaw Operation 
1959
9
 Shwe Kyi Operation
1966
10
Kyi Gan Operation
December 1966
11
Ngazinka Operation
1967 - 69
12
Myat Mon Operation
169 - 1971
13
Major Aung Than Operation
1973
14
Sabe Operation
1974
15
Nagamin Operation (400,00  warga Rohingya dipaksa pindah daripada Arakan)
1978
16
Shwe Hintha Operation
1978 - 1980
17
Galone Operation
1979
18
Pyi Thaya Operation
1991-92
19
Na-Sa-Ka Operation
1992




TRAGEDI GENOCIDE ETNIK ROHINGYA


     Pada bulan April 1942, pemerintah Burma telah menyembelih seramai 100,000 orang muslim Rohingya lagi dan membakar lebih daripada 307 buah perkampungan muslim.


     Pada tahun 1978, Operasi yang dipanggil Nagamin dilakukan seramai 300,000 etnik muslim Rohingya dihalau keluar daripada perumahan mereka dan hampir 1/3 dibunuh. Dan banyak lagi peristiwa yang berlaku yang kejam




KRISIS PELARIAN ROHINGYA


     Banyak operasi ini menjadikan ribuan etnik Muslim Rohingya ini melarikan diri ke negara terdekat antaranya Bangladesh, Thailand, Malaysia dan sebagainya.


     Pada 2015 rantau Asia Tenggara digemparkan dengan peningkatan pelarian Rohingya yang lari menggunakan bot ke negara jiran seperti Malaysia, Thailand, Indionesia bahkan hingga ke Australia. Antara Januari dan Mac 2015 sahaja dianggarkan 25,000 rohingya melarikan diri dengan bot, menurut UN. Ratusan terkorban terutamanya apabila kerajaan terlibat meninggalkan mereka di tengah laut.



BAGAIMANA ISU INI BOLEH TERCETUS


     Isu ini merupakan isu lama, akan tetapi pencetus isu ini dan juga tersebar di media-media adalah bermula pada tahun 2012. Kronologi isu ini tercetus adalah seperti berikut:


28 Mei 2012

Seorang wanita Rakhine, Thida Hitwe berumur 28 tahun dirogol dan dibunuh oleh seorang lelaki Rakhine berhampiran kampung Maw Kyaut Ne dan kejadian tersebut disaksikan oleh dua warga Rohingya.

Lelaki itu menyerah diri lalu menyatakan dia bersubahat dengan 2 orang Rohingya tersebut. Lalu perogol tersebut membunuh diri di penjara.


4 Jun

Perusuh dari etnik Rakhine menyerang bas di Taungup, yang menyangka bahawa mereka yang bertanggungjawab kepada pembunuhan tersebut. Sedangkan yang berada dalam bas itu adalah jemaah tabligh. Lalu puak perusuh Rakhine membunuh 9 orang Jemaah tabligh tersebut.


15 - 28 Jun

Sejak daripada peristiwa itu, lebih 650 telah dibunuh, 1200 telah hilang dan 80,000 telah dihalau.Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan mendakwa bahawa polis dan tentera Myanmar ingin membunuh mereka. Mereka takut untuk kembali ke Myanmar apabila Bangladesh menolak mereka sebagai pelarian.



APAKAH TINDAKAN KITA?


     Tindakan kita selaku umat Islam yang mempunyai ikatan persaudaraan melalui ikatan akidah ini perlulah dioptimumkan berbanding penganut agama lain. Tiga perkara yang wajib untuk kita lakukan demi membantu mereka yang dizalimi ini :

      1) Sebarkan kprihatinan kita dengan mengekspresikannya di media massa.
      2) Teruskan berdoa kepada Allah dengan mengamalkan qunut nazilah. 
      3) Teruskan membantu dengan apa sahaja kemampuan yang kita ada antara bantuan kewangan dan sebagainya.



KESIMPULAN


     Selaku umat Islam sewajarnya kita mengambil tahu akan isu sesame umat Islam yang lain. Ini kerana sifat seorang muslim adalah kasih kepada saudaranya sepertimana dia mengasihi diri mereka sendiri. Begitulah ukhuwah Islamiah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Juga apa yang menjadi kewajaran kepada kita untuk mempunyai kesedaran politik untuk terus berusaha menjadikan Islam sebagai agama yang relevan dalam pemerintahan. Agar dengan pemerintahan dapat menjaga seluruh kemaslahatan ummah sama ada dari segi aspek duniawi dan ukhrawi. Sekian.



Nukilan: Amar Arif Bin Ahmad Po’aad

9 Disember 2016

Nadi Syabab, Hayyu Sadis



Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM