Wednesday, December 26, 2012

Makluman Tarikh Tutup Permohonan Zakat



Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak, tarikh tutup permohonan zakat akan berakhir pada 28/12/2012.

Sila hantar borang permohonan zakat anda sebelum tarikh tersebut bagi memudahkan proses   penghantaran borang.

Seluruh mahasiswa/wi diharapkan dapat mengambil perhatian dengan perkara berikut :
1.         Sila kemaskini sistem dermasiswa online dengan lengkap sebelum tarikh diatas.
2.         Bagi sesiapa yang  mengalami permasalahan berhubung sistem dermasiswa online,  sila hantar NAMA PENUH dan NO KAD PENGENALAN  kepada Setiausaha Agung KPIPM.

Sebarang masalah sila hubungi  Ustaz Mohammad Ainuddin Bin Mohd Ishak, Setiausaha Agung KPIPM sesi 2012/2013 di talian 0114-6626390 dan Ustazah Nor Atiqah Bt Hamdan, Setiausaha HEWI KPIPM Sesi 2012/2013 di talian 0114-1738859.

MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

Saturday, December 22, 2012

Solat Sunat Hifzi: Persiapkan Ahli Hadapi Imtihan


Gambar Hiasan

Kaherah, 20 Disember 2012 – Program Ehya’ Juma’ah yang dikendalikan oleh Biro Dakwah Dan Tarbiah semestinya mendapat sambutan hangat di kalangan ahli KPIPM sendiri. Program yang saban tahun menjadi agenda mingguan KPIPM itu menjadikannya sebuah medium untuk mengumpulkan ahli KPIPM serta meneruskan sesi pentarbiahan.

Bersempena dengan musim imtihan yang semakin hangat ini, KPIPM melalui program ini membuat satu insiatif iaitu solat sunat hifzi dalam usaha meningkatkan persiapan ahli KPIPM bagi menghadapi imtihan yang bakal tiba tidak lama lagi. Solat sunat hifzi ini dilakukan dengan tujuan beribadah serta meningkatkan daya ingatan sepertimana hadith yang mengisahkan tentang Saidina Ali R.A. yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang lemahnya hafalan beliau.

Kali ini KPIPM menjemput 2 orang anak Perak daripada Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra untuk mengepalai solat sunat hifzi iaitu saudara Muhammad Bin Zaba dan saudara Muhammad Khairul Hafizin. 

“Dengan medium ini, KPIPM akan terus berusaha memberikan yang terbaik kepada ahli KPIPM dalam apa jua skop kebajikan khususnya pembinaan modal insan yang berkualiti.” Ujar saudara Mohd Fadzil Rahim selaku Ketua Biro Dakwah Dan Tarbiah bagi sesi kali ini. 

Sunday, December 16, 2012

Bulan SAFAR : Antara Islam dan Jahiliyyah

Dalam menyelusuri kehidupan sehari-hari, jarang dikalangan kita mengambil berat tentang bulan-bulan Islam atau lebih dikenali dengan Bulan Hijrah. Keadaan sebegini secara halus akan menyebabkan kita lupa dengan hari-hari bersejarah dalam Islam sehingga rasa cinta dan sayang yang perlu ditanam kedalam hati-hati  semakin hari makin menghilang.

SAFAR (ﺻﻔﺮ) dari sudut bahasanya membawa erti "kosong". Ianya juga bermaksud "tiupan angin". Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan ketika itu adalah waktu berangin.

Dari segi istilahnya bulan Safar membawa erti "bulan di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang dan melakukan serangan serta menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka".


PERISTIWA BERSEJARAH BULAN SAFAR

1. Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid.

Ia berlaku sebelum Baginda s.a.w. dilantik menjadi Rasul. Khadijah antara individu yang menjadi tulang belakang kepada proses permulaan dakwah baginda di Kota Mekah bahkan beliau merupakan rusuk kiri yang sentiasa menemani Baginda s.a.w. dalam apa jua keadaan yang dilalui oleh Baginda susah dan senang.

2. Persidangan Darul Nadwah.
Ia dianjurkan oleh pihak musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah di Mekah. Persidangan ini dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah s.a.w. ketika baginda masih lagi berada di Kota Mekah. Secara ringkas diceritakan bahawa persidangan ini dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis laknatullah yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad.

Resolusi dari persidangan tersebut ialah Baginda s.a.w. dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah s.a.w. Kabilah Bani Abdul Manaf tidak mampu untuk mempertahankan Baginda daripada kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu. Maka Allah s.w.t. telah memerintahkan Baginda s.a.w. keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah. Lalu berlakulah kisah penghijrahan Rasulullah bersama para sahabatnya ke Yathrib pada bulan Rabi’ul Awwal.

3. Rasulullah s.a.w. gering.
Pada akhir bulan Safar menyaksikan kesedihan yang menyelubungi diri para sahabat Rasulullah s.a.w. kerana melihat keadaan Baginda s.a.w. mulai gering setelah kembali dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Baginda). Benarlah sebagaimana keresahan daripada khothir (lintasan hati) Sayyidina Umar el-Khattab setelah turunnya Firman Allah : “.. hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu (Islam), dan aku telah sempurnakan semua nikmat-nikmat Ku dan aku redha agama Islam sebagai agama kamu ..”. Baginda s.a.w. telah wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. “Allahumma solli ala Muhammad”

4. Peperangan yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w
-   Peperangan Al-Abwa’ (Wuddan) pada tahun ke-2 Hijrah setelah mendapat kebenaran syariat untuk berperang yang merupakan peperangan pertama dihadiri oleh Rasulullah s.a.w. dan 70 orang sahabat selepas berhijrah ke Madinah. Namun pulang Baginda s.a.w. bersama para sahabat tanpa perang.

-   Peperangan Dzu Amarr pada Tahun ke-3 Hijrah bersama 450 tentera Islam. Ia berlaku kerana Bani Tsa’labah dan Bani Dzu Ammar berkumpul untuk melakukan persiapan perang keatas umat Islam. Namun setelah mendengar ketibaan tentera Islam mereka langsung melarikan diri.

-   Peperangan al-Raji (Bi’ru Ma’unah) pada tahun ke-4 Hijrah. Seramai tujuh orang sahabat diutus mengajar Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah namun dikhianati perutusan itu dengan serangan hendap. Kesemuanya dibunuh ditempat itu kecuali Khubaib bin ‘Adiy yang dibawa dan dibunuh di Mekah. Beliau merupakan yang pertama tunaikan solat dua raka’at sunat sebelum dibunuh yang kemudian menjadi sunnah ikutan.

- Pembukaan Kota Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ke-7 Hijrah. Ia disertai oleh 1600 tentera muslimin dan juga 20 orang sahabiah, antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala dipihak Yahudi pula seramai 93 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulaannya merasakan bahawa mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, alat kelengkapan senjata yang lengkap dan bilangan mereka yang ramai.

5. Peperangan Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijrah.
Ianya di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid bagi menyebarkan Islam setelah kewafatan Rasulullah s.a.w..

6. Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubiy pada 27 Safar 589 Hijrah.

Beliau adalah seorang pemimpin agung dunia Islam yang menawan kembali Kota Jerusalem (Palestin) daripada tangan tentera Salib Kristen dan pemimpin yang membebaskan Mesir daripada kerajaan Fatimiyah yang dipelopori oleh mazhab Syiah.

7. Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.
Ianya jatuh ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijrah. Khalifah Al-Mu'tasim Billah, terbunuh beserta ahli keluarganya, orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu umat Islam. Beribu-ribu kitab Islam dimusnah.


Beberapa info tentang salah tanggapan sesetengah umat Islam terhadap bulan Safar :

Apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar, masih terdapat daripada budaya jahiliah yang diperangi oleh Islam sebelum ini seakan-akan muncul semula walaupun ianya tidaklah meluas dikalangan kita.

Dalam bulan Safar, ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala-petaka daripada Allah s.w.t. khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.

Selain daripada amalan tersebut, terdapat juga umat Islam pada masa ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat.

Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam dan boleh merosakkan akidah.

Sebenarnya bencana atau bala itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja melainkan atas kehendak dan izin Allah s.w.t. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. :

قل لن يصيبنا إلا ما كتب الله لنا هو مولانا وعلى الله وعلى الله فليتوكل المؤمنون
 “Katakanlah (wahai Muhammad) tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah Allah catatkan kepada kami, Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah mereka yang beriman harus bertawakkal”.(Taubah : 51)

Selendang kasih Nur Ilahi kepada hambaNya tidak mengenal waktu dan ketika. Dalam apa jua keadaan dan masa sekalipun, sebenarnya Allah ingin memberi peluang kepada setiap dari kita mengabdikan diri kepadaNya. Jangan hanya disebabkan terdapat sesuatu kelebihan dan fadhilat yang besar yang telah dijanjikan Allah baharulah tergerak diri kepada ubudiyyah dan mengerjakan amal kepadaNya.
Safar adalah bulan dimana Allah ingin menguji para hambaNya dan sebagai satu fatrah imtihan sejauh mana keikhlasan hati kita yang mengaku beriman kepadaNya.

Sesuailah dengan keadaan dan situasi kita semua. Sekarang adalah fatrah imtihan. Jangan dianggap bulan ini memberi kesan kepada ketidakberhasilan kita untuk memperoleh kejayaan. Hidupkankan sunnah Rasulullah dan hapuskan bidaah Jahiliah.


Kesimpulan

Sebagai umat Islam lebih-lebih lagi kita dikalangan pemuda dan pemudi yang memahami serta mencintai Islam mestilah sentiasa mengambil ihtimam (ambil berat) terhadap sejarah yang berlaku dalam ketamadunan Islam secara khusus dan ketamadunan dunia secara umum.

Secara asas, sejarah banyak memberikan kita ‘ibrah (pengajaran) terhadap peristiwa yang telah berlaku satu ketika dahulu. Ini sebagaimana juga yang telah terkandung dalam mukjizat yang abadi iaitu al-Quran yang menceritakan pelbagai peristiwa-peristiwa dari sejarah lampau ketamadunan umat manusia sebagai proses pembelajaran kepada umat yang terkemudian.

Itulah manhaj dan sistem atur kepada sebuah peradaban umat agar sentiasa mengkoreksi diri mereka melalui sejarah-sejarah lampau.

Pada masa yang sama, kita perlu mengambil berat terhadap isu-isu yang melanda umat Islam setiap ceruk dan aktiviti mereka. Biarlah sensitiviti yang dimainkan oleh kita menjadi satu wasilah kepada sebuah kesatuan dan kebangkitan umat Islam pada masa akan datang.

Bahkan hari ini, bermulanya 1 Safar 1434 Hijriah bersamaan dengan 14 Disember 2012 (Jumaat), Kesatuan Ulama' Sedunia telah menyeru seluruh kaum muslimin menjadikan hari ini sebagai "HARI MENYOKONG PERJUANGAN UMAT ISLAM SYRIA SEDUNIA".

Kalaulah bulan Safar ini di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang dan melakukan serangan serta menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka maka bermula pada saat inilah kita juga cuba berusaha untuk menyatakan sokongan keatas umat Islam Syria dan seluruh negara umat Islam yang ditindas.
Kita juga jangan biarkan umat dalam kesesatan hasil daripada mereka bertaqlid membabi buta tanpa pedoman Quran dan Sunnah samada disebabkan nenek moyang atau ideologi-ideologi baru sebagai satu trend hidup yang meratah anak bangsa sesebuah umat dalam ketamaduan mengejar materialisme (kebendaan) dunia.

Mainkan peranan dan keistimewaan kita sebagai umat Muhammad s.a.w. kerana kita dibangkitkan untuk menegakkan ma’ruf dan membenam munkar. Hasilnya, Islam akan terpacak gah di seantaro dunia dengan kemurniaan yang sedia ada padanya kerana sememangnya manhaj Islam adalah dari yang Maha Mulia.

Wassalam.


“..BULAN SAFAR MERUPAKAN FATRAH IMTIHAN BAGI MENGUJI KEIKHLASAN KITA KEPADA-NYA.. ”
“.. اللهم اجعلنا من الناجحين والفائزين والمتفوقين فى الإمتحانات
والدين والدنيا والأخرة ولا تجعلنا من الراسبين والخاسرين ..”
“.. DO THE BEST FOR OUR EXAMINATION ..”

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"


Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012

SUMBER: http://www.manhal.pmram.org/

Friday, December 14, 2012

Program Motivasi Tingkatkan Semangat Kejayaan


Kaherah, 13 Disember 2012 - "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang), oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."(surah At-taubah ayat ke 122)

Sempena musim imtihan yang bakal tiba ini, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir bagi sesi 2012/2013 dengan julung-julung kalinya telah mengadakan sebuah Program Motivasi Kecemerlangan. Pada sesi kali ini, KPIPM telah menjemput beberapa tokoh mahasiswa daripada anak Perak bagi mengisi program motivasi tersebut. Antara tokoh tersebut adalah saudara Wan Ahmad Hafizi Bin Wan Junaidi, mahasiswa Kuliah Perubatan Tahun 5 Universiti Kaherah, saudara Afifi Bin Abdullah, mahasiswa Darul Ifta’ Tahun 2 Universiti Al-Azhar Kaherah dan saudara Mohammad  Omar Bin Adam, graduan Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar Zagazig.

Program di bawah kelolaan Biro Pelajaran Dan Ilmiah itu telah dimulakan selepas solat Isyak. Kehadiran yang menggalakkan telah diserlahkan pada program tersebut. Banyak input dan tips kejayaan yang dikongsi bersama. Antara soalan-soalan yang menarik yang ditujukan kepada kedua-dua ahli panel adalah tips pembelajaran, tips menghadapi tekanan dan pengalaman kejayaan hidup.

“Kami amat berterima kasih kepada ketiga-tiga ahli panel kerana sudi mengemudi program motivasi kecemerlangan bagi sesi kali ini.” Kata saudara Nizamuddin Sabri, selaku Ketua Biro Pelajaran Dan Ilmiah bagi sesi kali ini. “KPIPM mengharapkan kejayaan daripada ahli KPIPM dalam imtihan yang bakal tiba ini. Semoga dengan motivasi ini dapat menjadi satu titik tolak kepada seluruh ahli KPIPM dalam meniti sebuah kejayaan yang cemerlang.” Ujar saudara Hanif Abdullah selaku  Yang Dipertua KPIPM sesi 2012/2013.

Wednesday, December 12, 2012

Motivasi Kecemerlangan Sempena Imtihan


Motivasi kecemerlangan sempena imtihan bakal berlangsung pada :
HARI : Khamis
TARIKH : 13 Disember 2012
MASA : 7.00 malam
TEMPAT : Dewan Syeikh Sya'rawi, Wisma Darul Ridzuan A

Kali ini menampilkan para panel yang hebat iaitu :

-Dr. Wan Ahmad Hafizi Bin Wan Ahmad Junaidi-tahun 5, Universiti Kaherah (Presiden PERUBATAN 2012/2013)
-Ustaz Muhammad Afifi Bin Abdullah-mahasiswa Darul Ifta' & M.A Bahasa Arab
Ustaz Mohammad Omar Bin Adam-Graduan Usuluddin (Mantan YDP KPIPM 2011/2012)

Ayuh sama-sama hadirkan diri. 



Membongkar Sejarah, Menyingkap Hikmah


Kaherah, 8 Disember 2012 -Bersempena dengan musim imtihan yang bakal ditempuhi oleh mahasiswa Mesir tahun ini, Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah KPIPM telah menganjurkan jaulah maqam auliya’ di sekitar Kaherah. Antara objektif program adalah untuk mengambil ibrah daripada nasihat dan kisah hidup para auliya bersesuaian dengan tema program ‘”Membongkar Sejarah, Menyingkap Hikmah” di samping dapat mengukuhkan ikatan silaturrahim dalam kalangan ahli KPIPM. 




Program tersebut dijalankan selama 2 hari iaitu pada 1 Disember bagi siswa dan 8 Disember untuk siswi. Sedikit penerangan etika jaulah telah disampaikan oleh Unit Disiplin dan Keselamatan sebelum rombongan bertolak . Musyrif penerangan, Ustaz Ibnu Abbas Azizuddin menerangkan biodata dan kisah setiap maqam para auliya’ yang dikunjungi. Antara maqam auliya’ yang dilawati antaranya seperti maqam Imam Shafie r.a, Sayyidah Nafisah r.a, As-Syahid Imam Hassan al-Banna, Syeikh Ahmad bin Átoillah as-Sakandari r.a, wali Soghir Syeikh Ashraf r.a dan macam-macam lagi.




Rombongan jaulah maqam tiba di wisma A Darul Ridzuan pada pukul 4.30 petang sebelum maghrib. Beberapa peserta menyatakan keseronokan dapat menziarahi maqam para auliya’Allah dan berterima kasih kepada KPIPM kerana sudi menjayakan program seperti ini.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...