Wednesday, May 30, 2012

Awas Warga Tempatan Menyamar Sebagai Anggota Keselamatan


(kereta milik suspek)

Notis Keselamatan Terkini

Diharapkan seluruh mahasiwa/wi Islam Mesir meningkatkan keselamatan diri masing-masing berhubung kes warga tempatan Mesir yang menyamar sebagai Anggota Keselamatan.

Maklumat Suspek: dua orang berpakaian biasa dan seorang berpakaian polis (warna putih)
Kereta jenis 'Sahin' (warna merah meroon tanpa nombor pendaftaran)

Jika berlaku sebarang permasalahan boleh merujuk kepada :

 Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir(KPIPM) 2011/2012, Saudara Mohammad Omar Bin Adam di talian, +20111-7869112, +20111-0313027

atau  Ketua Hisbah KPIPM 2011/2012 , Saudara Muhamad Firdaus Bin Aznan di Talian, +20111-2531054

Program Taklimat Imtihan Qabul Dan Hala Tuju Lepasan STAM Perak



Makluman kepada semua pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) dan calon-calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sesi 2012.

Program Taklimat Imtihan Qabul (peperikasaan kemasukan masuk Universiti Al-Azhar) Dan Hala Tuju Lepasan STAM  akan di anjurkan oleh Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir Perak (ILMAM Perak) kepada pelajar lepasan STAM sesi lalu dan  calon STAM 2012 seperti maklumat berikut:  

Tarikh            : 4 -5 Jun 2012

Tempat          : Taiping, Perak*

Pendaftaran akan dibuka sehingga 31 Mei 2012.

Bagi sesiapa yang berminat boleh membuat pendaftaran kepada 

Ustaz Khairul Ashraf Bin Mohd Khir(+6019-5474480)

Ustazah Nurain Binti Yaacob (+6019-4938806)


*Sebarang butiran program seperti masa, tempat dan lain-lain akan  dimaklumkan dari masa ke semasa.

Tawakkal



Bahang imtihan semakin panas. Kitab kuliah masih tersusun rapi di atas rak, belum terusik. Muqarrar yang diambil semakin bertambah. Al-Quran yang sudah dihafal baru setengah juzuk. Tapi masih ingat tak ingat. Tawakkal sajalah, Insyaalah boleh. Tapi beginikah cara tawakkal yang sebenar? Realitinya, inilah kebiasaan yang berlaku apabila tiba musim imtihan.

Semua ini berlaku kerana sikap kita yang kurang mengkaji bagi setiap maklumat dan ilmu yang diperolehi. Tawakkal ialah menyerahkan segala urusan kepadanya, bergantung kepada dia dalam semua keadaan. Berlepas diri daripada daya dan upaya sendiri dan bergantung kepada daya dan kekuatannya tanpa mengabaikan usaha.

Suatu peristiwa mengenai seorang lelaki, telah datang berjumpa Rasulullah SAW. Dalam keadaan menunggang kuda. Lelaki tadi bertanya: " Wahai rasulullah! Adakah aku perlu biarkan untaku dilepaskan begitu sahaja dan aku bertawakkal? " jawab baginda SAW. : " Ikatkanlah ia dan bertawakkallah"[1] .

Sesungguhnya tawakkal merupakan suatu amalan terpuji. Ia menjadi salah satu punca kasihnya Allah kepada seseorang yang mempunyai sifat ini. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang bertawakkal” - Surah Ali Imran :159

 Tawakkal juga merupakan amalan yang dituntut berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya” - Surah At-Talaq : 3

Ayat di atas membawa maksud bahawa Allah SWT menjauhkan mereka yang bertawakkkal daripada sebarang perkara yang menyusahkan.
Ketahuilah, sesungguhnya rukun tawakkal ada tiga;

1- Tauhid
2- Kelakuan hati
3- Perbuatan

Maksud rukun tawakkal yang pertama ialah percaya (i`tiqad) dengan yakin bahawa tiada yang berkuasa mewujudkan sesuatu melainkan Allah SWT sahaja, tiada yang sekutu dengannya.

Maksud rukun yang kedua ialah meletakkan kepercayaan sepenuh hati terhadap Allah SWT. Maka hati perlu teguh dalam menyerahkan segala urusan pekerjaan kepadanya dan tidak berpaling ke arah lain selain daripada Allah SWT. 

Contohnya seorang lelaki mewakilkan seorang peguam untuk menjawab pendakwaan ke atasnya di hadapan hakim, dan peguam tersebut hebat dalam perundangan serta kebolehannya yang tidak dapat ditandingi. Maka lelaki yang mewakilkan itu hanya duduk di rumah, hatinya senang lenang tanpa memikirkan dakwaan tersebut. Dia tidak meminta bantuan selain dari peguam tadi. Ini kerana dia yakin peguamnya itu akan dapat menafikan dakwaan terhadapnya. Begitu jugalah seperti mana konsep kita bertawakkal kepada Allah SWT. Maka ingatlah bahawa Allah SWT sangat kasihkan hamba-Nya, Maha Berkuasa dan Maha Kaya bagi menjamin rezeki hamba-Nya.

Maksud rukun yang ketiga ialah perbuatan (usaha/gerak kerja). Sesungguhnya orang yang bodoh menyangka bahawa tawakkal itu dengan tidak berusaha. Mereka tidak berusaha mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan, sebaliknya hanya menyerah diri bulat-bulat. Seolah-olah sengaja menyerah diri pada kegagalan yang memedihkan.

Perkara ini adalah bercanggah, sedangkan ia disuruh oleh syara`. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakan, dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya” - Al-baqarah : 286

Sebahagian ulama tasawwuf seperti Imam Al-Ghazali dan Ibnu Ajibah berpendapat bahawa tawakkal ada tiga martabat;

          i - Tawakkal yang paling rendah ialah kamu bersama Allah seperti pewakil dengan penerima wakil yang bersikap halus lagi berlemah lembut.

          ii - Tawakkal yang sederhana ialah seperti kanak-kanak bersama ibunya. Dia tidak bergantung dalam semua urusannya kepada yang lain kecuali ibunya.

          iii - Tawakkal yang paling tinggi ialah seperti pesakit yang berada di hadapan doktor.

Secara kesimpulannya ialah, kita dapat memahami bahawa tawakkal mestilah yakin dan berserah diri kepada Allah dengan sepenuh hati tanpa ragu-ragu, dan sekaligus tidak mengabaikan usaha. Dan tingginya tawakkkal sesorang bergantung setinggi mana keyakinannya kepada Allah SWT. Pujangga arab ada berkata ``siapa yang berusaha bersungguh, dia akan berjaya`` .

Disediakan Oleh :

Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak
Fakulti Syariah dan Undang-undang
Jabatan Syariah Islamiah
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Rujukan :
1- Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah, Haqa`iq Tasawuf, terjemahan Mustafa Hussain At-Taib.
2- Syeikh abdul Qadir bin Abd Muttalib Al-Indunisi Al-Mandili, Penawar Bagi Hati, olah bahasa Muhammad Mujahid bin Ir Mohamad Fadzil.

** artikel ini telah disemak oleh anggota Felo MANHAL PMRAM 2012



[1] Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban daripada Umar bin Umayyah Ad-Dhamari. Dan juga diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah

Sumber : manhal.pmram

Berita Gembira Buat Seluruh Mahasiswa Pusat Bahasa Al-Azhar 2011/12




KAHERAH, 29 MEI 2012 -- Kerisauan yang melanda akhirnya terlerai juga. Pengarah Education Malaysia Egypt, Prof. Madya Dr. Hj Su’aidi B. Dato’ Hj Safei telah menyerahkan cek yuran pengajian mahasiswa Malaysia yang mengikuti Kelas Tamhidi Bahasa Arab (Markaz Lughah) di Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Cek yuran ini telah diserahkan kepada wakil Markaz tersebut, Ustaz Tuni lebih kurang jam 11 pagi tadi (waktu tempatan) di Pejabat Pentadbiran Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar, Hayyu Sadis, Kaherah.

Mahasiswa dan mahasiswi yang tidak berjaya dalam Peperiksaan Kelayakan (Imtihan Qabul) ke Universiti Al-Azhar pada sesi 2011/2012 diwajibkan mengikuti Kelas Tamhidi Bahasa Arab selama setahun yang dikendalikan oleh Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar , Kaherah.

Yuran pengajian perlu dibayar bagi membolehkan para pelajar menduduki peperiksaan yang bakal dijalankan pada bulan Jun hadapan. Beban yuran pengajian yang agak tinggi pada sesi kali ini yang dikenakan oleh pihak pentadbiran Pusat Bahasa akhirnya mendapat perhatian pihak Kerajaan Malaysia.

Kelulusan telah diberikan bagi penajaan sepenuhnya yuran pengajian kesemua pelajar Malaysia yang mengikuti Kelas Tamhidi Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar bagi sesi kali ini.

Hasil kerjasama yang baik antara pihak PMRAM dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) beserta Education Malaysia Egypt (EME) akhirnya membuahkan berita gembira buat seluruh pelajar Kelas Tamhidi Al-Azhar. Pembayaran yuran pengajian telah dilakukan oleh pihak EME setelah kewangan diluluskan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Justeru, PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan pihak kerajaan Malaysia dan KBMK terhadap isu bebanan yuran pengajian yang melanda para pelajar yang mengikuti Kelas Tamhidi Bahasa Arab ini.

PMRAM mengharapkan agar para mahasiswa dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya serta berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang bakal dihadapi. Kalian adalah aset modal insan yang bakal menyumbang bakti terhadap agama, bangsa dan tanah air kelak.

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Sumber : pmram.org

Pembukaan Konstantinople, Iktibar Buat Semua



Kota Konstantinople merupakan sebuah kota yang cukup kuat dikuasai oleh Empayar Kristian Byzantine. Kekuatan dan kekebalan Kota Konstantinople ini terbukti apabila 12 kali percubaan tentera Islam untuk menawan kota tersebut menemui jalan buntu. Walaupun begitu, semangat yang ditunjukkan oleh umat Islam untuk menundukkan keangkuhan Empayar Kristian Byzantine tidak pernah luntur sehinggalah akhirnya mereka berjaya menawan Kota tersebut pada 29 Mei 1453 di bawah bimbingan Sultan Muhammad al-Fateh.

Sumber Kekuatan Kepada Kemenangan

Kehebatan Empayar Kristian Byzantine seolah-olah suatu perkara yang mustahil untuk ditewaskan, namun berbekalkan dengan keazaman yang tinggi, perancangan yang rapi berasaskan penyelidikan sejarah yang mendalam, dan diikuti kerja berpasukan yang jitu maka segala-galanya tidak mustahil. Pemilihan strategi yang tepat pada waktunya dan keyakinan tinggi yang luar biasa kepada pertolongan Allah SWT menjadikan perkara yang seolah-olah mustahil itu mampu untuk dilaksanakan.

Setelah 2 tahun mengambil alih tampuk pemerintahan, setiap malam  Sultan Muhammad Al-Fateh mengkaji pelan Kota Konstantinople untuk  mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji faktor-faktor kegagalan usaha-usaha generasi terdahulu dalam mengembalikan Konstantinople kepada Islam serta berbincang dengan panglima-panglimanya tentang strategi yang sesuai untuk digunakan dalam misi tersebut.

Begitulah peranan utama yang dimainkan oleh baginda Sultan pada waktu itu yang dianggap sebagai watak utama yang membentuk ke arah kemenangan Islam. Tidak pernah merasa jemu dan berputus asa menjadikan baginda sentiasa optimis dengan janji Nabi Muhammad SAW bahawa suatu hari nanti Konstantinople pasti akan dibuka oleh umat Islam sebagaimana yang telah disabdakan oleh baginda Nabi SAW 800 tahun sebelum berlakunya kemenangan tersebut.

Kemenangan dan kejayaan tidak sekali-kali datang bergolek ke arah kita dan ianya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dikecapi bahkan perkara tersebut memerlukan kepada kesungguhan yang luar biasa dalam pelbagai aspek bagi merealisasikan hasrat yang luar biasa itu.

Dalam usaha membebaskan Kota Konstantinople ini , Sultan Muhammad al-Fateh terlebih dahulu memperkuatkan angkatan tenteranya dengan kekuatan  dari sudut jasmani dan rohani, spiritual serta kelengkapan ketenteraan yang mencukupi. Ini penting bagi memastikan tenteranya tidak tersungkur awal sebelum misi selesai dijayakan.

Hasilnya, dengan kekuatan kerjasama antara umat Islam ini ditambah dengan ketaatan kepada pemimpin yang diketuai oleh Sultan Muhammad al-Fateh menjadikan misi penawanan ini berjaya dilangsaikan. Walaupun usia baginda Sultan pada waktu itu agak muda sekitar 21 tahun, namun didikan serta tarbiah yang diberikan berlandaskan tuntutan Islam menjadikan umat Islam tidak merasa kekok untuk menuruti segala arahan yang telah dikeluarkan oleh pimpinan.

Sikap Pemimpin Yang Dicari-cari

Kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapakah di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan solat fardu.

Baginda bertanya lagi, “Siapakah di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Lalu sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk kecuali Sultan Muhammad al-Fateh sahaja yang berdiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh.

Inilah kehebatan luar biasa anak didikan Syeikh Aq Shamsuddin al-Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis baginda yang berbunyi :

( لتفتحن القسطنطانية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش )
Pasti akan dibuka Kota Konstantinople, sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tentera di bawah pimpinannya”

Abdul Aziz Bin Ali
Presiden ,
(Lajnah Perhubungan Antarabangsa & Pengerusi HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

Prinsip Kemanusiaan, Integrasi Antara Kebajikan & Kasih Sayang



Saban hari kebejataan isu kemanusiaan berterusan disiarkan melalui media massa samada elektronik, cetak dan seumpamanya. Dunia kini disajikan dengan kekejaman yang berlaku kepada umat Islam di Syria. Setiap saat dan ketika sudah pasti bilangan nyawa terkorban meningkat dan terus meningkat.

Akal kewarasan manusia yang bertuhankan nafsu haloba kian merasuk jiwa lantas nyawa manusia seperti langsung tidak bernilai lalu dengan sewenangnya dijadikan mangsa ratahan kezaliman durjana.

Saat ini anak-anak kecil pula dijadikan mangsa kekejaman mereka, sampai bila kita mahu meratap penderitaan mereka tanpa melakukan apa-apa tindakan. Kehidupan yang berlantaikan darah dan jeritan anak-anak kecil seakan menjadi hiburan bagi golongan angkuh ini.

Peradaban manusia lenyap dihambat keseronokan dunia sementara, maka tidak dapat tidak kita perlu mengetahui intipati prinsip kemanusiaan untuk diekspresikan kasih sayang dan kebajikan dalam melestarikannya sekaligus menjadi satu momentum membuka mata dunia agar membendung kezaliman.

Ingin dihargai adalah salah satu prinsip kemanusiaan tidak kira daripada mana latar belakangnya kerana penghargaan adalah satu kurniaan istimewa samada di kalangan manusia apatah lagi Allah SWT. Justeru, penghargaan ini tidak akan dapat dirasai melainkan kita belajar untuk menghargai orang yang berada di sekeliling kita.

Kini apakah perlakuan yang diberikan kepada umat Islam di Syria adalah satu penghargaan ataupun sebaliknya. Sudah pasti itu bukan satu penghargaan malahan penghinaan yang bukan sahaja kepada rakyat Syria tetapi untuk seluruh umat Islam. Masih wujud lagi golongan yang berselingkuh tanpa bersuara untuk menyatakan betapa kejamnya perlakuan mereka lakukan.

Kata pepatah "Alah bisa tegal biasa" seperti tidak dijentik satu perasaan luar biasa namun sebaliknya merasakan satu kebiasaan terhadap apa yang mereka lakukan. Kemusnahan ideologi seumpama ini perlu dineutralkan dengan insulin kesucian Islam dengan merasakan bahawa kini saudara kita di Syria memerlukan doa daripada kita.

Memperanankan diri kita dalam setiap perkara juga adalah prinsip kemanusiaan yang perlu ada apatah lagi dalam menyalurkan kebajikan kepada golongan memerlukan. Tuntasnya akan lahir rasa kasih sayang dan tanggungjawab apabila jiwa dan hati kita disuntik rasa betapa perlunya memberikan kebajikan tanpa mengira latar belakang dan pangkat kedudukan.

"Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul"  itulah ungkapan kata yang acap kali didengari, namun masih belum kukuh ikatan kasih sayang sesama muslim andai kita beralasankan bahawa itu sahaja kemampuan yang kita ada. Sesungguhnya doa itu senjata bagi orang beriman, tetapi persoalannya pernahkah tergambar keperitan dan kesengsaraan saudara kita di Syria di saat kita berdoa kepada Allah SWT.

Adakalanya menuturkan kata-kata lebih mudah berbanding melaksanakan apa yang kita bicarakan, maka sewajarnya kita menjadikan doa sebagai salah satu usaha dalam menghentikan kezaliman yang semakin dahsyat di bumi Syria.

Selari dengan tema pembawaan PMRAM 2012 "Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan" di bawah subtopik "Mahasiswa Mendepani Isu Sejagat", maka ia perlu diaplikasikan oleh semua mahasiswa Islam agar tahap pemikiran mahasiswa tidak hanya terpenjara dengan kefahaman tidak sihat apatah lagi akhir zaman ini kewujudan hiburan daripada pelbagai alternatif semakin hari semakin menular seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Kempen Prihatin Syria yang telah dilancarkan oleh PMRAM di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM merupakan sebagai satu alternatif menyampaikan maklumat berkaitan isu kezaliman dengan mengadakan roadshow selain melancarkan kutipan bagi membantu umat Islam di Syria.

"Mahasiswa Mendepani Isu Sejagat"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Ahmad Huzaifah bin Fauzi
Naib Presiden III
[Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan]
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

Monday, May 28, 2012

Di Mana Harga Generasi Pewaris



"Patah tumbuh hilang berganti", itulah pepatah  yang memberi erti bahawa perjuangan terdahulu pasti akan diteruskan oleh generasi akan datang. Harapan ini bukanlah gurauan biasa kerana umur dunia semakin tenat bahkan sudah menjangkau tua dan menuju noktah hentinya. Namun begitu apakah masih lagi bersisa harapan bahawa generasi mendatang  mampu mencipta sejarah tersendiri.

Semakin tua umur dunia ini, semakin manusia tenggelam hala tuju kehidupan duniawi, seakan-akan tiada lagi kehidupan selepas ini. Suasana sekeliling mampu mengaburi neraca kewarasan manusia lalu membias segala keindahan dunia sehingga menjadi satu kebiasaan tanpa memikirkan hukum Allah SWT.

Ternyata kenikmatan yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia tidak pernah disyukuri sehinggakan wujud segelintir golongan berbangga dengan segala kemewahannya. Hakikatnya semua itu sekadar pinjaman belaka namun bisikan keangkuhan menodai akal agar ingkar daripada tunduk dan patuh pada percaturan Allah SWT.

Keindahan Islam bukan hanya sekadar pada sudut ibadah semata-mata, bahkan merangkumi segala aspek kehidupan termasuk pembinaan jati diri dan syakhsiah muslim berteraskan syariat Islam. Oleh kerana demikian, pepatah " Melentur buluh biarlah daripada rebungnya " amat  relevan dengan realiti keadaan semasa namun apakah ia benar-benar diaplikasikan atau sekadar pepatah kosong sahaja.

Menurut Islam, apabila kanak-kanak sudah mencecah umur 7 tahun maka wajib menunaikan solat manakala apabila mencecah usia 10 tahun jika meninggalkan solat boleh dipukul sebagai salah satu cara pendidikan tanda peringatan. Namun realiti masa kini apakah masih wujud rebung yang dilenturi berdasarkan nilai-nilai Islam atau diberikan pengetahuan sebagaimana corak kehidupan barat.

Seandainya dihayati perjalanan kehidupan Nabi Muhammad SAW maka sudah pasti kita akan melihat bagaimana didikan yang diberikan yang akhirnya membentuk satu ikon modal insan berkualiti, bukan hanya pada kata-kata bahkan melengkapi segala sifat.

Melalui ruang lingkup kehidupan sederhana Baginda diajar menjadi seorang pengembala kambing, tanpa kasih sayang ibu bapa Baginda dibesarkan dengan segala kekurangan, namun itu bukanlah satu sandaran untuk memilih jalan pintas bagi membelakangi ketentuan Allah SWT.

Tempoh remaja Baginda tidak pernah dihidangkan dengan kecanggihan teknologi, hanya sekadar mengembala kambing dan pada sekitar usia 14-15 tahun Baginda telah menyertai Peperangan al-Fajr yang mempertemukan  antara kaum Quraisy dan kaum Qias. Tugasnya adalah mengumpulkan anak-anak panah untuk bapa saudaranya. Secara tidak langsung ia mendidik diri Baginda sifat kepahlawanan dan kesabaran ketika berada di medan perang.

Hasil didikan yang cukup sederhana ini menatijahkan seorang pemuda yang sangat berpengaruh sehinggakan digelar Al-Amin dan sebagainya. Walaupun begitu jelas jalan pendidikan yang dicorakkan Islam, namun apakah golongan pemuda hari ini diberikan pendidikan rohani yang sewajarnya ataupun dihidangkan dengan hiburan dan keseronokan melalaikan. Mana mungkin kita mampu merealisasikan ungkapan "Patah tumbuh hilang berganti" kerana belum tersemai satu jaminan bahawa generasi yang bakal menggantikan kelak sangat berkualiti bahkan mungkin lebih parah daripada itu.

Rebung yang tidak dilenturi dengan penghayatan Islam dan mengenal hakikat sebenar kehidupan seorang muslim memungkinkan akan lahirnya belia yang memilih kehidupan berkiblatkan keseronokan dunia semata-mata. Ini memberikan kita satu isyarat kehancuran ketamadunan dunia semakin hampir jika ia tidak dibendung daripada sekarang.

Sesungguhnya kemuliaan manusia berbanding ciptaan lain adalah pada akalnya, sekiranya anugerah akal ini diletakkan bukan pada tempatnya maka kehinaan pada manusia lebih teruk berbanding ciptaan lain. Jangan biarkan kita adalah generasi terakhir mengecapi keindahan Islam tetapi jadilah generasi yang berusaha menjulang Islam ke puncak tertinggi agar manusia sedar bahawa Islam adalah cara hidup terbaik.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Unit Biah Solehah
Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

Sunday, May 27, 2012

SMMS : Terkilan Dengan Penganjuran Himpunan Jutaan Belia 2012





Pemuda merupakan aset terbesar sesebuah negara. Masa depan negara perlu dinilai kepada keadaan pemuda hari ini. Jika baik pemuda hari ini, maka baiklah masa depan negara. Namun andainya rosak pemuda hari ini, maka gelaplah masa depan negara kelak.

Pemuda perlu dibangunkan dengan sebaiknya berlandaskan kepada kehendak syarak. Ini amat penting bagi memastikan golongan pemuda memiliki daya tahan yang tinggi untuk memastikan mereka mampu berhadapan dengan pelbagai ancaman yang datang sama ada dari sudut mental, fikizikal dan spiritual. Kekuatan dalaman ataupun pegangan agama yang kukuh merupakan asas paling utama yang perlu dititik beratkan kerana ia merupakan tunjang utama yang dapat membentengi mereka daripada gejala yang tidak sihat.

Oleh yang demikian acuan pendidikan terhadap golongan muda mudi perlu diteliti dengan sebaiknya agar dapat mencorak dan membentuk jati diri anak muda yang kental serta mampu bertahan daripada asakan -asakan yang boleh merosakkan mereka. Realiti yang berlaku kepada golongan muda hari ini amat membimbangkan dan merisaukan pelbagai pihak. Anak muda dewasa ini terlalu banyak didedahkan dengan hiburan yang melampau sehinggakan berlaku kelompongan dari sudut pengisian rohani dan spiritual. Tidak salah untuk berhibur, namun perlu diingatkan hiburan yang dihidangkan itu mestilah tidak keterlaluan dan dipagari oleh batasan syarak.

Himpunan Jutaan Belia 2012 itu telah disajikan dengan pelbagai segmen dan aktiviti. Antaranya segmen Modal Insan, Gerbang Kerjaya, Young Entrepreneur, Perkhemahan dan Jambori. Terdapat juga aktiviti seperti Himpunan Pendakwah Muda, Himpunan Guru Muda dan Pesta Buku Ilmiah. Tidak dinafikan aktiviti-aktiviti ini mampu membina kekuatan mental, fizikal dan spiritual mereka. Namun, apa yang membimbangkan adalah "pencemaran minda" dengan sajian hiburan melampau dan keterlaluan yang mana 500 artis telah diundang dari seantero dunia untuk disajikan kepada generasi bakal pemimpin negara. Fenomena seperti ini akan mencelarukan lagi pemikiran dan pemahaman anak muda yang bakal menjadi pewaris tampuk kepimpinan negara kelak. Bak kata pepatah melayu, ‘Madu yang dicampur racun, hilanglah khasiat madu tersebut’.

Penganjuran konsert hiburan yang melampau itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi wujudnya suasana pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan ditambah lagi dengan  pakaian yang dipamerkan oleh artis yang amat mengghairahkan sekaligus boleh merosakkan nilai jati diri golongan anak muda.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 30 dan 31 yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”

Justeru, Solidariti Mahasiswa Malaysia Sedunia (SMMS) yang dianggotai oleh PMRAM-Mesir, GAMIS-Malaysia, MPMMJ-Jordan, PERMAYA-Yaman, PERSADA-Arab Saudi, PPIMI-Irealand, IPIJ-Jepun, PKPMI-CA-Indonesia, MCOT-England, PPMK-Korea dan PPMS-Syria melahirkan rasa terkilan di atas kegagalan pihak penganjur dalam melaksanakan pengisian yang terbaik buat anak muda.

SMMS mengharapkan agar program atau aktiviti yang boleh mencelarukan pemikiran, budaya dan kesucian agama ini tidak berulang di masa hadapan dan tindakan segera perlu diambil oleh pihak yang berwajib dalam memulihkan semula imej golongan anak muda Malaysia yang ternyata sudah tercemar di mata masyarakat.
           
Kenyataan  Bersama :
Solidariti Mahasiswa Malaysia Sedunia (SMMS)
           

Sumber : pmram.org





Islam Dan Hiburan : Batasan Dalam Berhibur



Islam Meraikan Hiburan Yang Halal

Hiburan merupakan suatu perkara yang diminati oleh manusia secara fitrahnya. Bahkan hiburan merupakan satu eleman dalam kehidupan. Adapun konsep hiburan itu berbeza-beza dan minat seseorang juga berbeza-beza mengikut kecenderungan masing-masing.

Islam tidak memperincikan apa bentuk hiburan tersebut, ia terserah kepada kesesuaian individu, tempat dan masa yang sentiasa berubah-ubah. Apa yang pati hiburan adalah subjektif yang memberikan maksud sesuatu (perbuatan, benda dan sebagainya) yang memberikan kegembiraan dan menyukakan hati.[1] Maka hiburan tersebut adalah luas bentuknya samada dalam bentuk suara seperti nyanyian, gurindam, sajak atau perbuatan seperti tarian, berlakon, bersukan atau ia merupakan sesuatu benda / objek seperti alatan muzik, buku, alatan sukan dan sebagainya.

Justeru, apa jua yang menghiburkan hati atau menggembirakan hati itu dipanggil sebagai hiburan. Sehubungan itu tujuan hiburan adalah menggembirakan hati, berlawanan dengan segala perkara yang menyedihkan hati.

Dalam ilmu mantik, manusia juga dikategorikan sebagai hayawan dhahik (حيوان ضاحك) iaitu makhluk hidup yang boleh gelak. Takrifan ini membezakan dengan haiwan walaupun konsep bahasanya adalah hayawan. Hal ini demikian hayawan adalah pengklasan dari sudut makhluk yang bernyawa maka ia merangkumi manusia dan haiwan.

Dhahik pula pengklasan dari sudut jenis sifat, maka ini yang membezakan antara manusia dan haiwan disebabkan kerana haiwan tidak boleh gelak berbeza dengan manusia.[2]

Justeru, sifat itu yang ingin dimaksudkan ialah gembira iaitu mampu untuk berhibur dan berhajat kepada sesuatu yang menghiburkan hati. Maka dari sudut mantiknya pun membawa maksud bahawa hiburan merupakan perkara fitrah. Dan bertepatan dengan Islam yang merupakan agama fitrah maka sudah tentu Islam membenarkannya selagimana ia tidak bertentangan dengan syara’.

Bahkan Nabi SAW juga berpesan kepada sahabatnya agar hidup dalam keadaan fitrah. Hal ini demikian kerana Islam itu agama fitrah. Disebabkan itu Islam melarang daripada hidup sebagaimana rahib yang tidak berkahwin, bahkan Islam mensyariatkan perkahwinan. Islam juga menyuruh manusia mencari rezeki sebagaimana dalam ayat Al-Quran berkenaan Solat Jumaat.

Firman Allah dalam Surah Al-Jumu’ah pada ayat ke-10 yang bermaksud :

“Apabila telah ditunaikan solat (Solat Jumaat dan umumnya), maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”

Islam tidak menghalang berniaga dan apa jua pekerjaan untuk mencari rezeki sebagaimana yang disebutkan dalam ayat Al-Quran di atas. Bahkan ayat di atas disebutkan bahawa selepas selesai melaksanakan solat (kewajipan kepada Allah) maka diperintahkan untuk bertebaran mencari kurniaan Allah samada perniagaan dan sebagainya. Hal ini demikian kerana Islam itu agama fitrah iaitu tidak menghalang kehendak manusia dari sudut kehidupan dunia selagimana ia tidak ditegah dan membelakangi kewajipan.

Bahkan inilah yang dikurniakan kepada manusia, namun Allah mengingatkan agar manusia menguruskan segala apa yang dikehendakinya itu selaras dengan Islam, tidak bertetangan dengan syara’. Hal ini demikian kerana apa yang disyariatkan Allah itu adalah sebaik-baiknya.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran pada ayat ke-14 yang bermaksud :

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”

Kisah sahabat yang bernama Hanzalah merupakan kisah yang masyhur bahawa Nabi SAW mengajar para sahabat agar hidup dalam keadaan yang normal iaitu tidak menolak fitrah semulajadi yang memerlukan kepada hiburan namun dalam batasan syara’. Hanzalah suatu ketika merasa gelisah sehingga merasakan seakan-akan bersifat sebagaimana orang munafik iaitu melakukan ibadah dalam satu masa, dan berhibur dalam satu masa. Namun bukanlah melakukan maksiat atau terjatuh dalam perkara haram. Lalu Nabi SAW bersabda kepada Hanzalah yang bermaksud :

“Wahai Hanzalah, sekiranya kamu berterusan dengan (syadid) dalam keadaan kamu sekarang ini (ibadah semata-mata tanpa rehat dan berhibur seketika) nescaya malaikat akan mengiringi ke mana sahaja kamu lalu (fadhilat yang besar terhadap ibadah yang sahih di lakukan), akan tetapi satu masa dan satu masa.”[3]

Apa yang ingin dimaksudkan ialah dalam kehidupan ini tidak perlu terlalu syadid tanpa melihat ibadah umum yang lebih luas. Disebabkan itu Nabi SAW sebut “satu masa dan satu masa” maksudnya ada masa untuk fokus ibadah yang khusus dan ada masa untuk rehat, berhibur,bersama-sama dengan masyarakat dan sebagainya selagimana dalam ruang lingkup yang harus bukannya haram atau maksiat.

Batasan-Batasan Dalam Berhibur

Majoriti ulama menghukumkan bahawa hiburan adalah diharuskan dengan syarat hiburan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur maksiat yang haram dan apa jua bentuk yang bertentangan dengan syara’.

Lihat ketika mana peristiwa hijrah, apabila Nabi SAW bersama-sama dengan Abu Bakar sampai di Madinah, baginda SAW disambut oleh penduduk Madinah dengan kegembiraan melalui nyanyian dan paluan gendang serta bertepuk tangan. Kesemua ini merupakan hiburan yang menzahirkan mereka gembira dengan kehadiran Nabi SAW, bahkan Nabi SAW tidak menghalangnya dan membiarkannya dengan bersabda kepada Abu Bakar yang bermaksud :

“Biarkan mereka wahai Abu Bakar, sehingga orang yahudi ketahui bahawa agam kita (Islam) itu lapang / luas (meraikan fitrah)”[4]

Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa ketika beliau mengiringi seorang wanita Ansar ke rumah suaminya (majlis menyambut tetamu), lalu baginda SAW bersabda kepadanya :

“Wahai Aisyah, tidak adakah bersama-sama kamu akan hiburan? Sesungguhnya kaum Ansar mereka teruja / suka akan hiburan.”[5]

Dalam kisah ini, Nabi SAW tidak menghalang akan hiburan yang disukai oleh kaum Ansar dalam majlis perkahwinan mereka selagimana ia tidak bertentangan dengan syara’. Hal ini demikian kerana, sebarang perkara yang tidak bertentangan dengan syara’ dan tidak dihukumkan akan haram maka hukumnya adalah harus.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-4 yang bermaksud :

“Mereka menanyakan kepadamu: "Apakah yang dihalalkan bagi mereka?." Katakanlah: "Dihalalkan bagimu yang baik-baik”

Justeru, apa yang tidak diharamkan dan dilarang oleh syara’ adalah perkara yang baik. Disebabkan itu hiburan yang menurut Islam yang tidak mengandungi unsur-unsur yang haram adalah diharuskan.

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus pada ayat ke- 59 yang bermaksud :

“Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku tentang rezki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebagiannya haram dan (sebagiannya) halal." Katakanlah: "Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah ?"

Firman Allah SWt dalam Surah Al-A’raf ayat ke-32 yang bermaksud :

“Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pula yang mengharamkan) rezki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.”

Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar berfatwa sesuatu perkara itu tidaklah diharamkan semata-mata ia menghiburkan atau menyeronokkan akan tetapi ia diharuskan berdasarkan qias kepada perkara-perkara baik melainkan adanya illah  yang menunjukkan ia adalah haram.[6]

Justeru, hukum asal bagi hiburan adalah diharuskan dengan syarat menjaga batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama yang menghukumkan hiburan itu adalah harus, iaitu :

1-   Dari sudut jenaka atau lawak, pastikan tidak menipu dan menghina atau menjatuhkan maruah seseorang serta tidak melampau sehingga terlalu banyak gelak.

Nabi SAW bersabda :

“Celakalah bagi mereka yang berkata kemudian menipu untuk menggelakkan sesuatu kaum (menghina), celakalah baginya, celakalah baginya.”[7]
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda :

“Berjenakalah, dan jangan kamu bercakap melainkan perkara yang benar.”[8]

Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat ke-11 yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Nabi SAW bersabda :

“Janganlah kamu banyak dalam bergelak, kerana sesungguhnya banyak dalam bergelak mematikan hati.”[9]

Saidina Ali bin Abi Talib menyebut :

“Masukkan dalam kalam akan jenaka, dengan kadar memasukkan garam dalam makanan.”[10]

2-   Tidak mengandungi unsur perjudian dan sebagainya yang diharamkan dalam konteks kewangan Islam.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-90 yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”

3-   Tidak lalai sehingga mengabaikan kewajipan seperti solat fardhu dan sebagainya.

Firman Allah dalam Surah Al-Asr yang bermaksud :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam keadaan yang rugi. Melainkan mereka yang beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Firman Allah dalam Surah Al-Mukminun pada ayat ke-3 yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna”

Iaitu mereka yang lalai dengan perkara keduniaan sehingga luputnya kewajipan yang sepatutnya dilakukan.

4-   Tidak mendatangakan mudharat samada mencederakan diri sendiri atau mencederakan pihak lain.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-29 yang bermaksud :

“Janganlag kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah maka pengasihi dengan kamu (hamba-hamba-Nya).”

Abi Said Al-Khudri, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

“Tidak ada (haram melakukan) mudharat dan membalas kemudharatan (dengan mudharat)”[11]

5-   Tidak mendedahkan aurat, berlaku percampuran yang terlarang / pergaulan bebas serta fitnah dari sudut syahwat yang menjurus ke arah zina

Firman Allah dalam Surah An-Nur pada ayat ke-30 dan 31 yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.(30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”

Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ pada ayat ke-32 yang bermaksud :

“Janganlah (haram) kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.”

Dan boleh rujuk pada artikel-artikel yang lepas berhubung isu aurat dan berkaitan dengannya di :

http://www.manhal.pmram.org/2011/01/hukum-bersalaman-antara-lelaki-dengan.html

http://www.manhal.pmram.org/2010/11/perbahasan-melihat-aurat-sesama-jenis.html

Kesimpulan

Islam tidak menghalang umatnya daripada berhibur bahkan ia diraikan selagimana tidak bercanggah dengan syara’. Konsep berhibur hendaklah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebagaimana yang telah dibentang di atas.

Justeru, mana-mana hiburan yang bercanggah dengan syara’ adalah diharamkan dan mesti dicegah agar tidak merosakkan masyarakat bermula dari akar umbi.

Pihak kerajaan mestilah mengambil sikap cakna yang serius dalam membangunkan modal insan di kalangan rakyat samada Islam atau non muslim. Hal ini demikian kerana kejatuhan moral menunjukkan sesebuah masyarakat tersebut tidak bertamadun.

Bahkan pihak-pihak berwajib juga bertanggungjawab dalam memastikan pencegahan keruntuhan moral terutama dalam bab hiburan ini dibendung.

Akhir sekali, pihak kerajaan dan terbabit mestilah merangka program-program yang memberikan manfaat samada dari sudut kerohanian, pemikiran, sosial, dan sebagainya kepada masyarakat terutama golongan belia yang bertepatan dengan syara’ serta tidak bercanggah dengan Islam.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :

1-   Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, jilid ke-2 oleh Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah Wahbah
2-   Al-Islam Wa Al-Fan, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3-   Fiqh Al-Lahw Wa At-Tarwih, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4-   Fiqh Al-Ghina’ Wa Al-Musiqi Fi Dhaui Al-Quran Wa As-Sunnah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
5-   Al-Fath Al-Mubin, oleh Imam Ibnu Hajar Al-Haithami S-Syafie, cetakan Dar Al-Minhaj
6-   Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan Muqattam Li An-Naysr Wa At-Tauzik


________________________________________
[1] rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4

[2] kitab Fiqh Al-Lahwi Wa At-Tarwih, Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 20
[3] kitab Fiqh Al-Lahwi Wa At-Tarwih, Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 29
[4] Tafsir Al-Qurtubi. Lihat kitab Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan,oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir m/s 355
[5] Sahih Bukhari, jilid ke-5, cetakan Dar Ibnu Kathir. Lihat kitab Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan,oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir m/s 350
[6] Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar, m/s250
[7] Ahmad no 20073 dan Ad-Darimi no 2707
[8] At-Tirmizi no 1990
[9] kitab Al-Lahw Wa At-Tarwih, Dr Yusuf Al-Qardhawi, m/s 40
[10] kitab Al-Lahw Wa At-Tarwih, Dr Yusuf Al-Qardhawi, m/s 40
[11] Ibnu Majah no 2340

Sumber : manhal.pmram

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...