Wednesday, January 30, 2013

Penganjur Elak Dengar Suara Anak Perak




KAHERAH, 30 Jan – Satu majlis ramah mesra telah diadakan bersama wakil kerajaan Negeri Perak di Kaherah semalam.

Namun, perkara yang amat dikesali adalah saudara Muhammad Hanif bin Abdullah selaku Yang Dipertua KPIPM tidak menerima sebarang maklumat rasmi daripada Pegawai HEP berkenaan kedatangan delegasi Negeri Perak ke Mesir.

Delegasi tersebut difahamkan bertolak dari tanah air singgah ke Jordan dan mengadakan majlis ramah mesra bersama anak-anak Perak di Jordan. Majlis tersebut juga diuruskan oleh persatuan anak Perak sendiri iaitu Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ).

Mengikut maklumat tidak rasmi yang diterima oleh Yang Dipertua, majlis tersebut akan diadakan di Hotel Intercontinental bersebelahan City Star Mall. Sebagai tanda hormat daripada persatuan yang diiktiraf oleh Menteri Besar Negeri Perak, Yang Dipertua telah pergi sendiri ke lokasi tersebut.

Sesi bergambar delegasi negeri Perak bersama anak Perak Jordan

Dan perkara yang amat menyedihkan lagi adalah, setibanya Yang Dipertua bersama anak Perak yang lain di sana, diketahui bahawa majlis tersebut sebenarnya berlangsung di Hotel El-Saraya yang agak jauh dari lokasi asal.

Rungutan daripada beberapa orang anak Perak yang mana pendaftaran mereka ditolak selama tempoh pendaftaran dibuka untuk menyertai majlis tersebut.

“Kami sebelum ni telah cuba berdaftar, tapi ditolak mentah-mentah oleh penganjur.” rungut salah seorang anak Perak yang rasa dianaktirikan.

Saudara Muhammad Hanif juga merasa kesal dengan kejadian seperti ini. Tambahan pula, kehadiran delegasi kerajaan Negeri Perak ini seolah-olah disembunyikan daripada diketahui oleh pihaknya.

Mengharapkan pihak delegasi dapat mendengar sendiri suara dan masalah anak Perak di Mesir, namun harapan tersebut sama sekali meleset. Lebih-lebih lagi dengan isu pegawai HEP tampar pelajar yang masih belum menemui jalan penyelesaian.

Isu Tampar : KPIPM Desak Tindakan EME


KAHERAH, 28 Jan -  Berikutan isu salah laku pegwai HEP Perak Mesir yang telah menampar salah seorang pelajar Perak baru-baru ini, KPIPM terus tegas dengan membuat tindakan susulan bagi membela hak mahasiswa.

Wakil KPIPM iaitu saudara Muhammad Hanif bin Abdullah selaku Yang Dipertua KPIPM bersama mangsa iaitu saudara Amar Arif bin Ahmad Po’aad. Turut bersama Timbalan Presiden PMRAM, saudara Zulhafeez Bin Ahmad Zahidi serta beberapa orang AJKT dan Anggota Badan Penasihat, telah ke Pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah(KBMK) bagi menemui pihak Education Malaysian Egypt.

Setibanya di sana, kedatangan KPIPM disambut baik oleh Dato’ Suaidi Bin Dato’ Safei, selaku Pengarah EME dan juga wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mesir.


Pada pertemuan tersebut, pihak KPIPM telah menyuarakan aduan serta berbincang berkenaan dengan tindakan yang perlu diambil oleh pihak EME dalam menangani masalah tersebut.

Setelah perbincangan dibuat, pihak KPIPM mendapat respon yang positif daripada pihak EME dan akan sedaya upaya membantu mahasiswa dalam menangani isu ini.

“Bagi saya, apabila sesuatu masalah melibatkan sentuhan fizikal body, ianya tidak sepatutnya berlaku”. Kata Dato’ Suaidi ketika mengulas isu tersebut.

Pihak EME yang diwakili oleh Dato’ Suaidi juga mendengar sendiri penerangan daripada mangsa iaitu saudara Amar Arif bin Ahmad Po’aad.

“Kami memohon kepada pihak EME agar dapat mengambil tindakan di dalam masalah ini. Ini juga kerana seorang pegawai rumah negeri membawa imej EME di mata seluruh rakyat Malaysia di Mesir”. Ujar Yang Dipertua di dalam pertemuan itu.

Di penghujung pertemuan tersebut, KPIPM menyerahkan memorandum kepada pihak EME bagi menangani masalah tersebut.  Yang Dipertua KPIPM juga menyuarakan tiga tuntutan iaitu :

1.       Menuntut agar Pegawai HEP memohon maaf secara terbuka.
2.      Pegawai HEP ditukarkan kerana gagal bersifat profesional sebagai seorang pegawai.
3.      Hak sebagai seorang mahasiswa dikembalikan.


“Kita menanti tindakan yang akan diambil oleh pihak EME supaya pegawai HEP Perak disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.” kata Yang Dipertua KPIPM ketika dihubungi.

Pihak KPIPM merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak EME kerana sudi untuk mendengar permasalahan serta berbincang dengan wakil KPIPM. Akhirnya pihak KPIPM mengharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.








Sunday, January 27, 2013

KPIPM Mengalu-alukan Siasatan Isu Tampar Pelajar




KAHERAH, 27 Jan - Pada Jumaat lalu, Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir Perak (ILMAM) dan Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) telah menyerahkan memorandum berkaitan salah laku pegawai HEP Perak kepada wakil pejabat Menteri Besar Perak.

Rentetan daripada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah mengarahkan seorang pegawai pergi ke Mesir untuk mendapatkan maklumat lanjut dan tinjauan berhubung masalah tersebut.

Di dalam memoramdum yang diserahkan oleh Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir Perak (ILMAM) dan Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) tersebut juga, mendesak agar mengambil tindakan sewajarnya kepada Pegawai.

Antara yang dicadangkan oleh pihak Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir ialah menamatkan serta-merta perkhidmatan Pegawai kerana berkelakuan tidak profesional dan melanggar etika sebagai seorang Pegawai yang ditugaskan menjaga hal ehwal pelajar Perak di Mesir.

Namun perkara tersebut tidak akan dilakukan sekarang sehingga mendapat laporan penuh dari pegawai yang dihantar nanti. Jelasnya kepada pemberita tanah air.

Pihak KPIPM sangat mengalu-alukan di atas siasatan yang akan dilakukan berikutan salah laku En. Abdul Muhaimin bin Abdul Majid yang telah menampar seorang pimpinan pelajar Perak di Mesir.

Dengan siasatan yang akan dilakukan ini, pihak KPIPM mengharapkan agar ianya dapat berjalan dengan lancar dan mengadili kedua-dua pihak tanpa memilih bulu

Friday, January 25, 2013

NGO Perak Cakna Hak Anak Perak Di Mesir



KAHERAH, 25 Jan – Pada 19 Januari yang lalu, kita telah dikejutkan dengan isu  Encik Abdul Muhaimin  Bin Abdul Majid, pegawai HEP Perak Mesir yang telah menampar seorang pimpinan pelajar perak di Mesir, Saudara Amar Arif Bin Ahmad Po‘aad.  Rentetan peristiwa itu, pihak KPIPM telah melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk diambil sebarang tindakan.

Antaranya, laporan telah dihantar kepada pihak Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Perak. Sebagai usaha pihak ILMAM bersama sebuah NGO Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berhubung insiden yang berlaku.

Dua NGO tersebut telah menyerahkan memorandum ke Pejabat Menteri Besar Perak dan diterima oleh Ketua Pentadbiran, Noor Azman.

Wakil ILMAM Perak Ustaz khalil Yahaya juga berkata, “penghantaran memorandum ini sebagai tanda mahasiswa tidak boleh dipergulakan sesuka hati, tambahan pula penghantaran pegawai ini jelas hanya mengganggu pergerakan aktiviti mahasiswa di Mesir”. Jelasnya ketika dihubungi oleh pihak KPIPM.

Pengarah IPMM, Ustaz Hafez Sabri berkata, Memorandum itu menuntut agar pegawai HEP tersebut dilucutkan jawatannya dan mendesak agar beliau memohon maaf serta mengakui atas segala tindakannya.

Antara perkara penting yang dinyatakan dalam memorandum tersebut ialah  :
1.       Menyiasat secara terperinci kes ini secepat mungkin sehingga menemui jalan penyelesaian

2.      Mengambil tindakan sewajarnya kepada Pegawai. Antara yang dicadangkan oleh pihak Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir ialah menamatkan serta-merta perkhidmatan Pegawai kerana berkelakuan tidak profesional dan melanggar etika sebagai seorang Pegawai yang ditugaskan menjaga hal ehwal pelajar Perak di Mesir.

3.      Mengkaji semula kepentingan Pegawai HEP dihantar ke Mesir  samada untuk memudahkan pelajar atau sebaliknya.

Yang Dipertua ketika dihubungi menyatakan harapan kepada pihak kerajaan Negeri Perak agar segala maklumat yang dilaporkan ini dapat diberikan perhatian sebaiknya.

Pihak KPIPM mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak ILMAM Perak dan IPMM yang sudi mewakili pihak KPIPM serta suara mahasiswa perak mesir diatas penyerahan memorandum pada hari ini.

Link video berkaitan : http://www.youtube.com/watch?v=kc69BwcgvUw&feature=youtu.be

Tuesday, January 22, 2013

KPIPM Menyuarakan Aduan Kepada PMRAM Pusat


KAHERAH, 22 Januari 2013 -  Susulan dengan insiden isu salah laku pegawai Perak baru-baru ini, KPIPM optimis  bagi menanganinya. Wakil KPIPM iaitu saudara Muhammad Hanif Bin Abdullah selaku Yang Dipertua KPIPM bersama mangsa iaitu saudara Amar Arif Bin Ahmad Po’aad diiringi Ketua Biro Kebajikan, Kesenian Dan Riadah KPIPM, saudara Muhammad Kamal Bin Faudzi  telah berkunjung ke pejabat rasmi Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM). Kunjungan ini bertujuan untuk melaporkan serta menyampaikan surat aduan hak mahasiswa bekenaan masalah salah laku pegawai Perak yang telah memukul pelajar Perak pada 19 Januari yang lalu.

Setibanya di sana, wakil Badan Pengurus PMRAM iaitu Naib Presiden III merangkap Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan PMRAM, saudara Ahmad Huzaifah Bin Fauzi  bersama Presiden PMRAM saudara Abdul Aziz Bin Ali menyambut baik kedatangan wakil KPIPM.

Pada pertemuan tersebut, wakil KPIPM telah menyerahkan surat  aduan berkenaan masalah salah laku pegawai sepertimana yang telah diceritakan sebelum ini. Pihak KPIPM cuba untuk menyuarakan masalah yang berlaku dengan menjelaskan isu ini diperingkat PMRAM dan dalam perbincangan tersebut pihak KPIPM mendapat respon yang amat baik dan akan mengatur tindakan seterusnya bagi menyelesaikan masalah ini.

Pihak KPIPM mengharapkan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan bantuan daripada semua pihak lebih-lebih lagi kebersamaan mahasiswa itu sendiri dalam mempertahankan hak selaku mahasiswa. Pihak KPIPM dengan sukacitanya merakamkan jutaan terima kasih kepada Pihak PMRAM  Pusat yang sudi membantu serta mendengar aduan kami.k

Monday, January 21, 2013

Kalam YDP : Pegawai Pukul Pelajar



KRONOLOGI  PEGAWAI PUKUL PELAJAR PERAK MESIR

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah S.W.T yang memberikan nikmat hidup bagi menyempurnakan amanah sebagai hamba. Selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad S.A.W yang memandu manusia ke jalan yang benar bagi mengikuti  perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Perjuangan menegakkan agama Allah SWT adalah satu tugas yang mencabar, memerlukan kepada kesabaran. Pengorbanan pula adalah sangat-sangat dituntut. Dan perjuangannya penuh dengan mehnah dan tribulasi.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,

Pada 19 Januari 2013, kita telah dikejutkan dengan perilaku Pegawai Hal Ehwal Pelajar Perak Mesir, Encik Abdul Muhaimin bin Abdul Majid yang telah melakukan satu tindakan yang kurang profesional bermula dengan mengunci surau Wisma Darul Ridzuan B dengan tanpa ada apa-apa perbincangan.

Perkara ini disedari apabila beberapa orang pelajar yang ingin mengadakan mesyuarat di tempat tersebut mendapati pintu surau telah dikunci. Setelah gagal mendapat respon yang baik dari pihak HEP Perak, beberapa orang pelajar terpaksa mencari inisiatif lain bagi membuka pintu tersebut dengan baik.

Setelah beberapa minit mesyuarat dijalankan, secara tiba-tiba pegawai HEP Perak bertindak dengan menghalau semua ahli mesyuarat daripada menggunakan surau tersebut. Dengan tindakan tersebut, dua orang pelajar yang juga merupakan AJKT KPIPM terus berjumpa dan cuba berbincang dengan memohon penjelasan daripada beliau di pejabatnya.

Setelah perbincangan dilakukan, Pegawai HEP tidak dapat memberikan alasan yang munasabah bagi menyokong tindakan yang beliau lakukan. Namun, perkara amat dikesali adalah apabila ketika perbincangan tersebut, beliau gagal menunjuk akhlak dan syakhsiah sebagai seorang pegawai yang professional.

Setelah itu, kedua-dua pelajar tersebut mengambil keputusan untuk beredar dari pejabat HEP tersebut. Dengan secara tiba-tiba beliau sekali lagi melakukan tindakan yang tidak sesuai sebagai seorang pegawai dengan keluar daripada pejabatnya dalam keadaan beremosi dan memarahi kedua-dua pelajar tersebut.

Dengan tidak semena-mena beliau menampar salah seorang daripada pelajar tersebut tanpa menyatakan sebarang sebab. Setelah itu, pelajar tersebut terus beredar daripada Wisma Darul Ridzuan B.

Rentetan daripada itu, saya selaku Yang Dipertua KPIPM mengambil tindakan dengan berjumpa sendiri pegawai HEP Perak bagi mendapatkan maklumat sebenar. Di dalam perjumpaan tersebut beliau sendiri menyatakan bahawa beliau memang memukul pelajar tersebut. Namun yang mendukacitakan adalah tiada sebarang permohonan maaf di atas kelakuan beliau.

Seluruh tindakan yang telah dilakukan oleh beliau itu, tidak sedikit pun menunjukkan beliau mempunyai kredibiliti serta moral sebagai seorang pegawai yang diamanahkan oleh pihak kerajaan. Ini juga tidak sehaluan dengan laungan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Laungan ini juga seperti dibakul sampahkan sekiranya laungan itu hanya retorik semata-mata.

Saya sebagai Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir melahir perasaan dukacita saya terhadap apa yang berlaku semalam. Kami sebagai mahasiswa di bumi Mesir ini ibarat dinafikan hak kami sebagai rakyat Malaysia apabila dilakukan sebegini rupa.

Harapan kami adalah, hak yang selama ini dicanang-canangkan kepada kami semasa menuntut ilmu di sini diberikan kepada kami. Mahasiswa berhak mendapat layanan yang baik dan tidak disekat sedemikian rupa.

Mari sama-sama kita teguhkan ukhuwah, satukan fikrah demi mencapai cita-cita dalam mendalami ilmu dan menjadi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

MUHAMMAD HANIF BIN ABDULLAH
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2012/2013

KPIPM Meneruskan Agenda Tarbiah


KAHERAH, 17 JANUARI 2013 - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sekali lagi telah melaksanakan Program Ehya’ Jum’ah dengan jayanya. Antara yang menarik pada kali ini, KPIPM telah  menyajikan kepada semua ahli yang hadir pengisian rohani melalui  Tazkirah Duet. Tazkirah Duet tersebut telah disampaikan oleh Ustazah Siti Salamah binti Hamzah, Graduanita Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-azhar, Kaherah dan Ustazah Noriah binti Mohd Zahid, Graduanita Kuliah Usuluddin Tafsir, Universiti Al-Azhar Kaherah.

Tazkirah tersebut mengupas sedikit sebanyak tentang kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW. Adakah kita benar-benar mencintai baginda dengan seluruh jiwa raga. Tazkirah tersebut juga mengkisarkan tentang peranan kita selaku mahasiswa dengan kezaliman yang dihadapi oleh saudara-saudara kita yang ditindas di Syria, Palestin, Rohingnya dan sebagainya. Mahasiswa adalah aset kepada negara untuk meletakkan kalimah Allah ditempat yang tertinggi.

Pada keesokan paginyapula, bertempat di Wisma Darul Ridzuan A, Program diteruskan dengan tazkirah subuh. Pada kali ini, KPIPM menampilkan Ustazah Nurul Safinas binti Mohajir selaku Ketua Unit Kebudayaan, Kesenian, dan Kemasyarakatan Hewi PMRAM merangkap Hewi Angkat PMRAM Cawangan Perak. Beliau telah berkongsi tentang keperibadian pemimpin Islam yang terunggul iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz yang patut dicontohi dari segi kepimpinan, akhlak, dan sebagainya. “Mahasiswa tidak akan terkecuali dari sudut kepimpinan. Kepimpinan adalah prasyarat kepada jatuh bangunnya sesebuah negara” Ujar beliau.

Majlis ditutup dengan tasbih kifarah dan surah Al-asr.

Friday, January 18, 2013

Daurah Ilmiah Sempena Musim Sejuk KPIPM


DAURAH ILMIAH SEMPENA MUSIM SEJUK KPIPM

Kitab : Risalah Al-Muzakarah
bersama:


Al-fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir

19-20 Januari 2013 | 8.00 pagi | Wisma Darul Ridzuan A
(Buku ada dijual)

Wednesday, January 16, 2013

Ehya' Juma'ah KPIPM - Tazkirah Duet


EHYA' JUMA'AH KPIPM - TAZKIRAH DUET
bersama:
- Ustazah Salamah Binti Hamzah 
(Graduan Kuliah Bahasa Arab, Al-Azhar)

- Ustazah Noriah Binti Mohd Zahid 
(Graduan Kuliah Usuluddin Tafsir Al-Azhar)

Tarikh: 17 Januari 2013 (Khamis)
Tempat :Dewan Syeikh Sya'rawi, Wisma Darul Ridzuan A
Masa: Selepas Maghrib 

Jom kita ke sana!

“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”
“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”

Untuk maklumat di facebook sila klik sini.

Listen - HEWI PMRAM Kesal Dengan Tindakan Sharifah Zohra


Segenap pelusuk masyarakat mengiktiraf bahawa golongan mahasiswa adalah aset berharga dan modal insan paling utama dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah Negara. Minggu ini Malaysia dihangatkan dengan isu penghinaan yang berlaku terhadap Saudari Bawani ketika beliau melontarkan soalan dan pandangan beliau dalam Forum “Seiringkah Mahasiswa dengan politik” yang telah berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ni.

Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI PMRAM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Saudari Bawani atas keberanian beliau melontarkan soalan pendirian selaku mahasiswi. Kredebiliti mahasiswi yang terpancar melalui ketegasan beliau jelas menunjukkan bahawa mahasiswa mahasiwi berhak dan mampu bersuara.

HEWI PMRAM amat kesal dan kecewa terhadap tindakan Puan Sharifah Zohra Jabeen yang menunjukkan ketidak-matangan beliau dalam berhadapan dengan suatu situasi yang bercanggah dengan pandangan  beliau yang menyekat Saudari Bawani dalam melontarkan pandangan dan hujahnya. Tindakan yang dilakukan oleh Puan Sharifah Zohra Jabeen jelas menunjukkan beliau telah menyalahi dan tidak menghormati Konsep Hak Asasi Negara Malaysia yang mana setiap individu bebas untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

Mahasiswa selayaknya diberikan ruang dalam menyuarakan pandangan, bukannya dicantas idea dan kreativiti mereka dalam setiap pemikiran dan tindakan. Justeru, saya mewakili Hal Ehwal wanita Islam(HEWI PMRAM) menyeru seluruh mahasiswi untuk mencontohi keberanian Saudari Bawani dalam menyatakan pandangan dan mempertahankan hak sebagai seorang mahasiswi untuk bersuara. Selaku mahasiswi, kita seharusnya tidak membiarkan hak dan maruah kita diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

Kami Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI PMRAM) mewakili mahasiswi Malaysia Mesir mendesak agar Puan Sharifah Zohra Jabeen membuat permohonan maaf secara terbuka kepada saudari Bawani khususnya, dan seluruh mahasiswa mahasiswi amnya dan berharap agar peristiwa sebegini tidak berulang lagi.

"JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN"

Nurul Hasanah bt Yahuza
Timbalan Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) 2012.

Sumber: pmram.org

Tuesday, January 15, 2013

Antara Dosa Dan Keampunan Allah S.W.T



Kalimah taubat  membawa makna yang besar dalam hidup setiap insan di muka bumi ini, andai mereka benar-benar mengetahui hakikat taubat yang sebenar-benarnya. Taubat itu merupakan satu bentuk pengabdian yang tulus daripada seorang hamba kepada Penciptanya. Namun ramai dalam kalangan manusia yang masih lagi leka dan alpa daripada melaksanakannya. Andai diteliti, faktor terbesar mengapa mereka tidak mahu melaksanakannya adalah disebabkan mereka tidak yakin bahawa Allah S.W.T akan mengampunkan semua dosa dan kesalahan yang telah mereka lakukan. Mereka tidak tahu atau mungkin lupa bahawa Allah S.W.T itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
         
         
Firman Allah SWT : 

“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji,atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

(Ali-Imran : 135)


Telah berkata Habib Ali Al-Jufri  :

“Dosa itu satu musibah...Tetapi musibah yang jauh lebih besar adalah terdetik dalam hati kamu bahawasanya dosa kamu itu lebih besar daripada keampunan Allah SWT”


 Imam Al-Junaid pernah ditanya :

Apakah yang dimaksudkan dengan taubat??
Beliau menjawab : “Apabila kamu melupakan dosa-dosa kamu.”


Mafhumnya:  Seseorang yang bertaubat dalam keadaan yakin dan percaya yang Allah itu Maha Pengampun dan tidak akan mensia-siakan taubat hamba-hambaNya, maka terlupalah dia akan dosa-dosa yang telah dilakukannya dek kerana besarnya pengampunan Allah S.W.T.


Setiap umat Islam harus yakin dan percaya bahawa Allah itu akan mengampunkan dosa-dosa hamba-hambanya yang bersungguh untuk bertaubat kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Tahu akan perihal hamba-hambaNya, kerana dialah pencipta manusia, haiwan, tumbuhan, langit dan bumi beserta isinya. Mungkin ada segelintir daripada kita yang berpendapat ada insan yang tidak dapat menerima dan memandang hina pada dosa dan kesalahan yang kita lakukan. Akan tetapi kita perlu  ingat bahawa Allah sentiasa memberikan ruang buat hambaNya yg benar-benar ingin bertaubat kepadaNya.

 Walaupun kamu :
 ~Telah meninggalkan solat sepanjang hidupmu.
 ~ Telah membunuh ratusan orang.
 ~ Telah melanggar perintah Allah dgn tidak menutup auratmu.
 ~ Telah mengabaikan  batas-batas pergaulan yang ditetapkan oleh Allah.
 ~ Telah menggadaikan maruahmu.
 ~ Telah melakukan maksiat setiap hari,setiap ketika dan setiap waktu.


Tapi selagi mana belum sampai ke tahap sehingga mensyirikkanNya maka usahlah kita khuatir akan hilangnya pengampunan Allah SWT. Andai terdetik dlm hati rasa ingin bertaubat,maka segerakanlah bertaubat. Allah sedia membukakan pintu taubatNya. Selagi mana nyawa kita  belum sampai ke hujungnya. Namun, jangan sampai kita biarkan sehingga  pintu itu telah tertutup, tatkala itu tiada guna lagi penyesalan,ctiada guna lagi tangisan mahupun esakan kerana kita telah terlebih dahulu  mendabik dada,cmenutup mata dan telinga dengan tidak menghiraukan dan mempedulikan tawaran pengampunan daripada   Allah S.W.T.


          Jadi di kesempatan ini, ku menyeru semua saudara  seislamku, agar kita sama-sama bertaubat daripada dosa-dosa yang telah kita lakukan. Tidak kiralah samada dosa  mata, hati, telinga, lidah mahupun anggota tubuh yang lain, dosa yang dilakukan dalam keadaan  kita sedar mahupun tidak, dosa besar mahupun kecil. Kita mohon supaya Allah jauhkan kita daripada mengulangi dosa-dosa tersebut. Ini kerana kita tidak tahu adakah kita masih lagi dapat bernafas selepas saat ini?


FIRMAN ALLAH SWT :

 ”Sesungguhnya hanya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat dan Dia yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang dikerjakan esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sungguh  Allah Maha Mengetahui Maha Mengenal.”

(Surah Luqman : 34)


          Semua org tidak sempurna, setiap orang ada melakukan kesalahan, tetapi jangan sampai dibiarkan  dosa itu bertindih-tindih membentuk titik-titik hitam yang menggelapkan hati kita, yang menjadi hijab  terhalangnya hubungan kita dengan Allah SWT. Sesungguhnya orang yang bermaksiat yang bertaubat atas dosa-dosa yang dilakukan itu jauh lebih baik daripada mereka yang melakukan ketaatan dalam keadaan ujub dan riak dengan dirinya sendiri.

 SABDA RASULULLAH SAW : 

"Sesungguhnya Allah tidak melihat luaran kamu, tidak juga pada tubuh badan kamu tetapi Dia  melihat pada hati dan amalan kamu."

          Kita sering mengutamakan tempat jatuhnya pandangan manusia yakni luaran dan tubuh badan kita, tetapi kita lupa pada tempat jatuhnya pandangan Allah SWt , iaitu hati.

Nurul Fadhillah bt. Mohd Khairi
Ketua Biro Dakwah & Tarbiah HEWI KPIPM
Sesi 2012/2013

Memartabat Keilmuan, Memimpin Kesatuan
Julang Keilmuan, Jana Keizzahan
Berilmu, Beramal Ikhlas


Sunday, January 13, 2013

Himpunan Rakyat : Hukum dan Pendapat Ulamak



Sudah menjadi kebiasaan di dalam sebuah negara maju dan yang mempunyai rakyat berkesedaran tinggi menjadikan himpunan umum atau demonstrasi sebagai cara menyuarakan pendirian mereka. Lebih-lebih lagi berdemonstrasi dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi selagi berlangsung dengan aman dan tidak menyebabkan huru-hara dalam negara.

Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keadilan dan hak, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan beberapa siri perhimpunan umum untuk menegur golongan pemerintah. Islam juga menyarankan konsep "amar makruf nahi mungkar" hatta kepada pemerintah sekiranya tidak berlaku adil.

Persoalannya, adakah menegur pemerintah dengan cara ini dibenarkan dalam Islam? Atau cara ini ditegah hanya kerana diceduk dari pengamalan masyarakat Barat yang tidak beragama Islam? Persoalan ini harus segera dijawab lebih-lebih lagi ia sudah menjadi amalan masyarakat di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Malaysia.

Pandangan ulamak tentang himpunan aman atau demostrasi.
1. Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi (klik), Dr. Ali Jumaah (klik) , Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka.

Malah gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2).

Dalam kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya.

2. Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W . Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di Mekah. (تاريخ دمشق /حلية الأولياء)

3. Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat haji.

4. Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada perkara yang tidak ada perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah S.A.W ketika membina parit dalam perang Khandak,membuat cop dan asal kaedah jual beli salam juga mengambil contoh dari orang bukan islam. Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari negara Parsi.

5. Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata menghadapi pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk menasihati pemerintah dan menegahnya dari terus melakukan mungkar serta ketidakadilan terhadap rakyat.

Ini berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah menegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan lidah dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah iman".

6. Kaedah المصلحة المرسلة " dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang mahu dicapai diakui oleh Islam serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara maslahah yang diperakui mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada pemerintah, meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan memperkukuhkan suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah.

Maka cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini juga, ia dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat seperti rakyat akan selamanya dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka hati oleh pemerintah dan rakyat akan terus diperintah oleh pemerintah yang zalim.

7. Di Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan kebebasan bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada perenggan (a),(b) dan (c) di dalam fasa 1,perkara 10,bahagian 2. Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman diadakan selagi tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. (di sini)

8. Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan demonstrasi dengan beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak.
Cara ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai orang bukan islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat Al-Quran yang mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة juga menjadi hujjah pendapat ini.

9. Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali di dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang ditolak kerana pernah dilakukan dan dipimpin oleh saidina Umar dan saidina Hamzah ketika zaman Rasulullah S.A.W. cara ini juga walaupun dilihat menyerupai perbuatan bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya mengharamkan menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan dengan sesuatu Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka.

Demonstrasi juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan ia dibenarkan oleh perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan selagi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Diriwayat dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : " المسلمون عند شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada perkara taat dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada pencipta".

10. Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga dijawab oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus digunakan sehingga menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai maslahah yang lebih utama dan diakui oleh Islam.

Ini kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan pihak keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan kerosakan dan perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri himpunan yang telah lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami kerugian bahkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari biasa.

sumber: http://www.manhal.pmram.org/2013/01/himpunan-rakyat-pendapat-ulama-dan.html?m=1

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...